Sunday, April 10, 2011

Kelantan : Antara Impian Besar & Angan Mat Jenin


Terima kasih kerana singgah sebentar untuk membaca artikel ini, yang mana penulis yakin rata-ratanya penyokong / peminat bolasepak Kelantan. Pertamanya, artikel ini bukan mahu melaporkan tentang perlawanan yang baru tamat sebentar tadi, antara Kelantan dan Felda United kerana penulis yakin ianya sudahpun diulas melalui rakan-rakan lain melalui facebook, mahupun blog-blog mereka. 

Dan ingin Suara Sukan tegaskan, bolasepak Kelantan menjadi pilihan untuk diulas sepanjang minggu ini, kerana bukan sahaja penulis ‘ore klate’, tetapi kebetulannya penulis berada di Kota Bharu, dan berpeluang melihat sendiri betapa meriahnya suasana bolasepak di Kelantan dibandingkan dengan beberapa negeri lain yang pernah penulis berpeluang untuk berkunjung sebelum ini.

Baiklah, jika ramai yang berpendapat kekalahan kepada T-Team mula menjejaskan tumpuan dan mental di kem Kelantan, The Red Warriors membuktikan itu hanya sementara apabila kembali ke puncak liga hanya beberapa hari melepaskan kedudukan itu kepada Selangor.

Setengah dozen, membolosi gawang Felda, membuktikan betapa mereka mahu membuktikan segala cakap-cakap bahwa tekanan mula menghimpit mereka sama sekali tidak benar. 

Apa sekalipun ia tidak dapat menutup hakikat bahwa Kelantan ketika ini, melalui detik paling mencabar dalam usaha mereka merangkul dua kejuaraan yang belum pernah didakap sebelum ini, iaitu Liga Super dan Piala FA, selain mengintai peluang muncul pasukan kedua merangkul empat piala semusim, jika berjaya mempertahankan kejuaraan Piala Malaysia yang dimenangi musim lalu, selain Piala Sumbangsih yang sudahpun berada dalam koleksi kejuaraan – ini dinamakan impian.

Melihat situasi terkini, permulaan hebat, serta kedudukan ini sememangnya menjanjikan sesuatu yang indah namun usah dilupa ia juga berpotensi juga menjadi harapan yang mungkin tinggal hanya harapan. 

Saingan liga sememangnya masih panjang, ada 16 perlawanan lagi untuk ditempuh, namun selepas apa yang mereka lalui, dengan jadual yang cukup ketat, iaitu 18 perlawanan dalam tempoh 2 bulan, dan pendahulu bersama liga, Selangor menanti di separuh akhir Piala FA, apakah Kelantan mampu mengatasi segala cabaran seterusnya menyalakan impian mereka untuk mencapai sasaran diletakkan – ini dinamakan harapan.

Atau seperti Arsenal, mereka memulakan segalanya dengan baik, menjanjikan potensi kesudahan yang menarik, akhirnya hampa dek kerana kecelaruan dan kekalutan ciptaan sendiri?

Andai dilihat barisan pemain, yang menyerlah dalam kem Kelantan ketika ini hanyalah beberapa pemain, antaranya Norshahrul Idlan Talaha, Nurul Azwan Roya, Shakir Shaari dan Rizal Fahmi tatkala pemain lain seperti Badri Razi  termasuk penjaga gol sensasi, Khairul Fahmi Che Mat, masih di bawah tahap sebenar.

Berdasarkan puluhan e-mel dari penyokong Kelantan khususnya, rata-rata mengakui Khairul Fahmi tidak di tahap terbaik namun tidak 100% menyalahkan pemain itu, kerana sedar beliau berdepan tugas berat musim ini, bukan sahaja bersama skuad Kelantan dan senior kebangsaan, tetapi juga skuad Olimpik negara. 

Pemain juga masih belum dapat menyesuaikan diri sepenuhnya dengan taktikal Dato’ M.Karathu tatkala tekanan sentiasa menghambat mereka untuk menghasilkan keputusan cemerlang pada setiap perlawanan, apatah lagi dengan status antara pasukan paling mewah dalam Liga Malaysia, selepas Selangor.

Malah, ada yang sudahpun melabel Kelantan sebagai kuasa baru bolasepak tanah air, yang mana sebelum ini lebih sinonim dengan pasukan seperti Selangor, Kedah dan Perak. Tidak dinafikan mereka sedang menuju usaha itu, namun sekadar satu piala, iaitu Piala Malaysia dalam koleksi kejuaraan setakat ini (tidak mengambil kira Piala Sumbangsih), mereka harus bangkit memadam segala kritikan, dan mengatasi segala cabaran, atau mereka akan digelar berangan seperti Mat Jenin. 

Penyokong pula, tidak dinafikan membayar harga tiket untuk menyaksikan setiap perlawanan dengan harapan untuk menyaksikan pasukan mereka menang, dan ianya normal. Namun, andai tewas atau seri, jangan pula terus menjauhkan diri dari stadium. Anda perlu sentiasa bersama pasukan, tidak kira apa keputusan yang dicatat, kerana ia sebenarnya satu bentuk suntikan semangat buat para pemain. 

Sering kali dapat kita saksikan, pada ketika pasukan ketinggalan, penyokong seolah tidak lagi mahu memberikan semangat, walaupun pada ketika sedang menyerang, seperti mana dapat dilihat ketika menentang T-Team tempoh hari. Bukan cakap kosong, lihat kenyataan Tan Sri Annuar Musa di sebelah.

Melihat kepada kegilaan terhadap bolasepak ini, maka tidak hairanlah pelbagai inisiatif diambil oleh Tan Sri sendiri antaranya terbaru mewujudkan ARMY yang mendapat sambutan menggalakkan.

Program akar umbi dipergiat, manakala pelbagai promosi dilakukan untuk menarik minat lebih ramai orang umenjadi sebahagian daripada kegilaan ini. 

Penulis juga yakin usaha ini pastinya menarik minat lebih ramai penaja untuk tampil menyokong dan menghulurkan tajaan, namun dalam masa sama kerjasama semua pihak termasuk media teramatlah penting, jika mahu memastikan usaha Kelantan menjadi hub, atau kilang melahirkan pemain berbakat besar menjadi kenyataan.

3 comments:

MHN said...

Walau pun kita berpesta gol tapi bukan untuk dimegah-megahkan seperti sesetengah pehak, kita bersyukur dan berterima kasih kepada pemain, kita terima sama ada menang seri atau pun kalah

Bisu said...

syukur...gelanggang keramat semakin digeruni

noha said...

Selain keupayaan,skill dan stamina yang tinggi pemain,eleman penting yang perlu ada dalam sesebuah pasukan ialah "Kesatuan Hati" semua pemain dan Semangat "Sayangkan" kepada pasukan.

Unsur ini akan membangkitkan permainan yang bersungguh-sungguh.Melawan ke saat terakhir tanpa rasa jemu dan penat.