Monday, April 11, 2011

Sekilas EPL : Musim EPL Sudah Berakhir, Man Utd Juara Mutlak?


E-mel beberapa pembaca, meminta Suara Sukan tidak hanya menulis tentang Liga Malaysia, sebaliknya turut membuat ulasan tentang bolasepak Liga Perdana Inggeris, yang mana rata-ratanya sukar mencari ulasan yang ditulis dalam Bahasa Melayu. 

Sememangnya fokus Suara Sukan adalah sukan tempatan, namun sebagai menghormati permintaan mereka, minggu ini penulis menyentuh sedikit perkembangan bolasepak EPL.

Tinggal 6 perlawanan sahaja lagi, sebelum musim 2010/2011 yang mana paling sukar diramal, penuh dengan keputusan mengejutkan menutup tirai. 

Sehingga saat ini, kedudukan pendahulu gah milik Manchester United, dan tidak ramai yang meramalkan juara 18 kali trofi EPL itu akan melepaskan kedudukan mereka, apatah lagi dengan kelebihan 7 mata di tangga teratas, agak sukar untuk mana-mana pasukan termasuk pencabar terdekat, Arsenal, mahupun juara bertahan, Chelsea melakukan kejutan.

Malah, anak buah Sir Alex Ferguson berada di puncak prestasi mereka ketika ini, bangkit merakamkan tiga kemenangan berturut-turut selepas tewas kepada Liverpool 1-3 March lalu, dan tidak kelihatan seperti akan mengalami kejatuhan prestasi dalam tempoh beberapa minggu akan datang.

Perwatakan juara Man Utd dapat dilihat, tatkala mereka bangkit daripada ketinggalan 2-0 kepada West Ham Utd untuk menang 4-2, minggu lalu, pada hari yang menyaksikan Arsenal sekadar mampu mencatat keputusan seri tanpa jaringan menentang Blackburn, manakala Chelsea pula seri menentang Stoke City, sekaligus menyaksikan perebutan kejuaraan seolah sudah tertutup.

Berbatov, penjaring terbanyak (21 gol)
Ramai mengakui, Man Utd tidak lagi boleh dihalang musim ini, dan hanya keajaiban akan menyaksikan barisan Alex Ferguson mencicirkan lebih daripada 6 mata dalam 6 perlawanan terakhir, itupun jika Chelsea dan Arsenal dapat memanfaatkan peluang mereka apabila kedua-duanya mempunyai peluang menyekat Man Utd nanti.

Bagi Arsenal pula, permulaan musim mereka menjanjikan sesuatu yang indah, hanya untuk ianya sekali lagi berakhir sebagai harapan yang tidak ada noktahnya. 

Pada satu ketika, mereka adalah satu-satunya pasukan berpeluang merangkul 4 piala semusim, namun segalanya berkecai dalam tempoh kurang sebulan, dan kini tinggal hanya gelaran liga untuk mereka kejar, pada ketika perwatakan dan kredibiliti selaku pencabar kejuaraan masih belum kelihatan.

Mereka akhirnya, selepas begitu lama menanti, berjaya mencatat kemenangan pertama dalam 4 perlawanan, menewaskan Blackpool 3-1 - sebelum ini seri 0-0 menentang Blackburn dan Sunderland, dan 2-2 menentang West Bromwich Albion.

Krisis keyakinan tampak suatu yang makin sukar diatasi di Emirates, tatkala mereka mula rebah dek kekalutan ciptaan sendiri. Umpamanya ketika menentang Birmingham di Perlawanan Akhir Piala Carling, tewas kepada Barcelona tanpa mampu melancarkan walau satu pun serangan di Nou Camp, bagaimana kecelaruan pertahanan menyaksikan mereka bolos 2 gol kepada West Brom.

Nasri, tunjang kekuatan Arsenal tahun ini
Ia adalah sesuatu yang berulang, dan Arsenal nyata tidak pernah belajar dari kesilapan. Malah, mengambil kira perlawanan semalam, kekalutan itu masih lagi berlaku, ketika Blackpool menjaringkan gol tunggal mereka, yang mana penjaga gol veteran yang keluar dari persaraan, Jens Lehmann boleh disifatkan bernasib baik untuk terus kekal di atas padang di sebalik kesilapannya mengasari pemain lawan di dalam kotak penalty.

Ironinya, pasukan mana yang kurang membuat kesilapan, pasukan itulah yang mampu berdiri gah di atas podium juara dan harus diakui semua kelebihan itu ketika ini, hanya kelihatan ada pada Man Utd. 

Penulis sendiri adalah penyokong Arsenal namun tidak merasakan anak buah Arsene Wenger mampu mengakhiri kemarau kejuaraan yang berterusan sejak lima musim lalu.

Apapun, dalam bolasepak segalanya mungkin. Andai Man Utd sekurang-kurangnya tewas 2 dan seri 1 atau seri 4 dalam 6 perlawanan terakhir mereka menentang Newcastle Utd, Everton, Arsenal, Chelsea, Blackburn, maka mereka akan mencicirkan 8 mata, namun apakah ia mungkin? Dan sekiranya ia terjadi, apakah Arsenal mahupun Chelsea mampu memanfaatkan peluang itu? 

Arsenal sendiri umpamanya, akan menentang Liverpool dan Tottenham Hotspur dalam dua perlawanan akan datang, dan penulis yakin ia akan menjadi penentu sama ada musim ini sudah sah berakhir, atau akan ada penyudah dramatik.

No comments: