Friday, July 31, 2015

Bintang import janjikan pertarungan terhebat!

Juara berganda Terengganu Hockey Team (THT) dan Kuala Lumpur Hockey Club (KLHC) bersedia memberikan impak lebih besar dalam saingan Liga Hoki Malaysia-TNB 2015 bermula dengan aksi Piala Sumbangsih di Stadium  Hoki Nasional Bukit Jalil pada Ahad.

KLHC bimbingan K. Dharmaraj, mendominasi saingan TNB-MHL dari  2010 ke 2013 sehinggalah muncul THT musim lalu untuk menoktahkan penguasaan juara empat kali itu.

Pertarungan hebat antara dua gergasi ini, bagaimanapun, berterusan musim ini dengan tidak banyak yang memisahkan dua kelab ini yang bakal tampil dengan himpunan bintang import tatkala baki pasukan dalam saingan liga enam-pasukan termasuk Sapura HC, Universiti Kuala Lumpur (UniKL Young Guns), Maybank dan Tenaga Nasional Berhad juga turut memantapkan kempen mereka kali ini selepas kegagalan musim lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), Logan Raj,  berkata  adunan pemain remaja, senior dan pemain import dalam saingan TNB-MHL adalah satu petanda baik dalam membantu badan induk hoki tanah air itu mencari bakat baru bagi menjayakan transformasi untuk membentuk pasukan yang lebih kuat untuk Olimpik 2020.



 “Impian Olimpik kita menerima tamparan begitu hebat di Antwerp, Belgium baru-baru ini dan kita perlu kembali berada di landasan. Kami percaya saingan TNB-MHL 2015 akan memperlihat dan menyajikan perlawanan berkualiti tinggi di  antara pasukan yang bertanding,” kata Logan pada majlis pelancaran rasmi TNB-MHL di Kuala Lumpur hari ini.

“Kehadiran pemain berkualiti hanya akan menjadikan Liga ini lebih baik dan ini akan memberi pemain remaja dan senior peluang yang baik untuk beraksi lebih baik apabila menentang lawan yang kuat,” katanya sambil menambah bahawa KHM akan turut memperkenalkan rujukan video sewaktu perlawanan.

“Ini hanyalah satu pengukur bagi kita untuk membawa Liga ke satu platform yang baru dan membiasakan diri kita dengan amalan yang dipraktikkan ketika ini di seluruh dunia,” tambahnya.

THT dan KLHC akan membuka tirai saingan Divisyen Perdana Liga TNB-MHL dengan aksi Piala Sumbangsih sementara TNB melayan kunjungan Maybank dan Sapura HC bertemu UniKL pada perlawanan pembukaan di Stadium Hoki Nasional pada Ahad.

KLHC telah mendapatkan khidmat enam pemain Pakistan untuk memperkuatkan skuad 2015 mereka – Waseem Ahmad, Fareed Ahmad, Muhammad Umar Bhutta,  Ali Shan, Muhammad Usman dan Ahmad Ajaz.

Waseem AHmad perkuat KLHC

Dalam senarai pemain tempatan pula, KLHC, yang berbelanja besar untuk membariskan pasukan yang lebih hebat kali ini, mempunyai pakar flik pukulan sudut penalti Razie Rahim, penjaga gol Roslan Jamaluddin, pertahanan Shukri Mutalib dan pemain tengah Nabil Fiqri.

Jurulatih THT Sarjit Singh, bagaimanapun, membuka pilihannya lebih luas  dengan kemasukan pemain Argentina Pablo Javier Trevisan, Nicolas Cicileo, Jose Leandro Tolini dan Ignicio Quilez di dalam skuadnya yang turut menyaksikan kehadiran Ahmad Shakeel Butt dari Pakistan. Ini adalah kali pertama pemain Argentina akan tampil dalam MHL sejak pengenalannya pada 1978.

Cicileo antara yang direkrut THT

Dan untuk menambah lebih sengat, pasukan dari Terengganu itu mempunyai tujuh pemain kebangsaan sebagai pelengkap kepada kekuatan import mereka dalam usaha untuk mempertahankan kejuaraan liga dan keseluruhan. Mereka adalah penjaga gol Hafizuddin Othman, pertahanan Azlan Misron, pemain tengah Shahrun Nabil dan Fitri Saari serta penyerang Faizal Saari, Tengku Ahmad Tajuddin dan Firhan Ashaari.

Bagi UniKL Young Guns, mereka sudah tentunya mengintai tempat di separuh akhir dengan jurulatih Arul Selvaraj mempertaruhkan pengalaman Haziq Samsul, Baljit Singh, Izwan Firdaus dan Meor Azuan yang beraksi di Separuh Akhir Liga Hoki Dunia di Antwerp. Pemain import mereka pula adalah Richard Sykes, Patrick Neil Schultz dan Jethro Ray Eustice.

Jurulatih skuad Projek 2016 itu mempunyai 10 pemain dari skuad pelatih Piala Dunia Remaja yang diserap ke dalam UniKL iaitu Sufi Ismat, Zul Pidaus Mizun, Maxhans Christi, Ashran Hamsani, Azwar Rahman, Najmi Farizal, Nor Azrul dan Ezry Mustafa.

Kecuali  TNB, kendalian Nor Saiful Zaini, yang akan sekali lagi menyandarkan harapan sepenuhnya di bahu pemain tempatan, Sapura dan Maybank turut melontarkan cabaran dengan diperkuatkan beberapa pemain Pakistan.

Jurulatih kebangsaan Tai Beng Hai telah menamakan Khasif Ali, Muhammad Imran, Abdul Haseem Khan dan Mohamad Azfar Yaqoob untuk mengetuai cabaran Sapura, Maybank turut berupaya menyengat dengan kehadiran Imran Butt, Muhammad Irfan, Muhammad Toseeq, Muhammad Waqas dan  Deepanshu Bhargav dari India.

Ianya akan menjadi musim TNB-MHL 2015 yang cukup hebat untuk dikenang bagi semua peminat! 

Wednesday, July 29, 2015

Pertarungan dua penjuru Perlis - Real Mulia FC

Tatkala tinggal hanya 4 perlawanan lagi sebelum aksi Kumpulan A Liga FAM 2015 melabuhkan tirai, ianya kini menjadi pertarungan dua penjuru antara bekas juara Piala Malaysia Perlis dan pendatang baru, Real Mulia FC untuk memburu tiket ke Liga Perdana 2016.

Pada hari yang menyaksikan Perlis mengukuhkan cengkaman di tangga teratas menerusi kemenangan 2-0 ke atas Hanelang FC, Real Mulia bimbingan Yunus Aliff mengekalkan jurang lima mata di antara kedua-dua pasukan dengan menang 2-1 ke atas Felcra FC.

“Ia kemenangan penting bagi Real, kita dapatkan gol awal tetapi kita benarkan mereka bangkit dan ia hampir menghukum kita. Selepas mendahului dua gol, kita sepatutnya membunuh terus perjuangan Felcra tetapi kita leka dan memberi ruang kepada mereka untuk kembali dalam permainan.



“Syamsuri menggunakan pengalamannya untuk menyelamatkan kita. Kita sudah berada di fasa getir dan perlu kekalkan momentum ini, tiada ruang untuk buat silap lagi,” ujar Yunus.

Real Mulia yang berdepan masalah ketumpulan penyudah sepanjang saingan musim ini, tampil garang apabila penyerang yang dibawa masuk pada April, Saufie Hamid meledak gol hanya 75 saat selepas permainan bermula dan menambah satu lagi jaringan pada minit ke-10 untuk mendahului selesa 2-0.

Meskipun menguasai aksi babak pertama dengan merencana beberapa gerakan serangan menarik, Real Mulia gagal menambah jaringan dengan dua percubaan masing-masing menerusi Saufie dan Zulkifli Affendi Zakri dinafikan Muhamad Amirul di gawang Felcra.

Ketika separuh masa pertama dilihat hampir tamat dengan jaringan 2-0, kelekaan barisan pertahanan membenarkan Muhamad Shafiq menanduk masuk gol tunggal Felcra hasil hantaran sepakan sudut.

Real Mulia akan menentang Megah Murni FC Ahad depan, manakala Perlis akan berdepan UKM FC namun detik penentuan sebenar sudah tentunya apabila Real Mulia dan Perlis bertembung sesama sendiri pada 16 Ogos depan di Kangar.

Saturday, July 25, 2015

Tengku Fahd suntik keyakinan di kem Real Mulia

Kehadiran Presiden Real Mulia FC, YAM Tengku Fahad Mua’adzam Shah ke gelanggang latihan pasukan buat pertama kali, menyuntik keyakinan tambahan di kem RMFC untuk tampil memberi aksi terbaik dalam baki lima perlawanan terakhir Liga FAM – bermula dengan aksi menentang Felcra FC Ahad ini.  

Tengku Fahad, yang turut didaftarkan sebagai pemain RMFC untuk beraksi di posisi penyerang, turun ke sesi latihan buat pertama kali musim ini selepas cuti Aidilfitri dan pantas menjadi sensasi hangat di kalangan pemain dan pegawai pasukan   

Ketua pasukan, Fazli Zulkifli berkata, “Kehadiran Tengku (Fahad) satu tonik bagi semua, sudah lama kami nantikan saat ini. Tengku cepat mesra, cepat menyesuaikan diri dengan persekitaran di sini dan juga rakan sepasukan.

“Beliau memberi semangat kepada kami semua agar tidak berputus asa selagi saingan belum berakhir dan seorang yang cukup positif terhadap pasukan ini. Kami akan berjuang sehabis baik demi membalas kepercayaan yang diletakkan apatah lagi pada peringkat getir ini apa sahaja boleh berlaku.”   





Pengendali RMFC, Yunus Aliff turut senada dengan kaptennya itu apabila menyifatkan kehadiran Tengku Fahd adalah tepat pada masanya di saat pasukan sangat memerlukan motivasi tambahan.

“Di saat ini kehadiran Tengku cukup penting untuk pasukan. Dalam mana-mana pasukan sekalipun, semua pemain akan melipatgandakan usaha apabila beraksi di hadapan presiden kelab mereka, kerana mereka mahu menonjol dan membuktikan sesuatu. Pemain-pemain pastinya tidak mahu mengecewakan presiden mereka dengan mempamer aksi hambar,” ujar Yunus.     

Di sebalik ketinggalan lima mata di belakang pendahulu, Perlis, Yunus berpendapat persaingan memburu satu slot dari Kumpulan A untuk beraksi di Liga Perdana 2016 masih terbuka kerana beliau percaya Perlis ketika ini berada dalam tekanan untuk mengekalkan prestasi cemerlang dan akan melakukan kesilapan.

“Perlis sebuah pasukan yang bagus, mereka begitu cemerlang sepanjang 13 perlawanan yang lepas, belum tewas dan merupakan pilihan utama ketika ini. Saya kagum dengan prestasi mereka tetapi saya tidak mahu fikir pasal Perlis, yang penting adalah Real Mulia.

“Tiada guna kami harap Perlis cicirkan mata jika kami sendiri tidak beraksi di tahap yang baik. Kami perlu tingkatkan prestasi dan menang semua perlawanan. Tiada tekanan bagi kami kerana kami underdog, Perlis yang tertekan dan tekanan ini akan sebabkan mereka cicirkan mata.”  


Ahad ini, Real Mulia akan bertandang ke Stadium Sains Sukan UM untuk menentang Felcra FC manakala Perlis akan bertandang ke Kuala Berang untuk menentang Hanelang FC. 

Thursday, July 9, 2015

JDT & Dortmund pertaruh barisan terkuat

Juara lapan kali Bundesliga Jerman, Borussia Dortmund bersedia menampilkan aksi cemerlang apabila menentang Juara Liga Super Malaysia 2014 Johor Darul Ta’zim di Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos, malam ini.

Kehadiran Borussia Dortmund ke Malaysia dalam siri Jelajah Asia mereka yang disokong oleh penaja utama kelab, Evonik ini adalah persinggahan kedua BVB selepas pertembungan menentang kelab Liga Jepun Kawasaki Frontale di Tokyo yang menyaksikan kebanjiran penyokong yang memenuhi kapasiti stadium.

Perlawanan ini diadakan susulan kepada kerjasama pembangunan berprofil tinggi yang dimeterai pada 2014 di antara bekas finalis Liga Juara-Juara Eropah itu dan JDT atau lebih dikenali sebagai Johor Southern Tigers.

Perjanjian itu akan menyaksikan kedua-dua pasukan berkongsi informasi latihan dan kejurulatihan selain pertukaran pemain di masa akan datang untuk pembangunan bolasepak belia di Johor.

Antara bintang Borussia Dortmund di Johor Baru adalah pemain Jepun Shinji Kagawa, yang kembali ke Signal Iduna Park dari Manchester United musim lepas, Marco Reus, Mats Hummels, dua pemain tengah baru Gonzalo Castro dan Julian Weigl berusia 19 tahun yang mempunyai potensi hebat untuk berkembang, serta penjaga gol Roman Bürki.



Bagi peminat yang mengikuti perkembangan BVB di era kegemilangan mereka pada 1990-an, duta antarabangsa BVB Karl-Heinz Riedle dan penyelia pasukan belia Lars Ricken turut menyertai kontijen Hitam Kuning itu dalam jelajah ini.

Tengku Mahkota Johor, DYAM Brigadier Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, yang juga Presiden Persatuan  Bolasepak Negeri Johor, berkata beliau cukup teruja dengan penampilan Borussia Dortmund di negeri itu susulan kerjasama yang berjaya di antara kedua-dua kelab.  

“Ini adalah perjanjian jangka panjang antara kami dan Dortmund. Saya serius mengenai pembangunan bolasepak di Johor dan saya mahu melihatnya berkembang ke tahap seterusnya,” kata Tunku Ismail.

“Hari ini menandakan satu babak baru dalam rancangan pembangunan JDT dan dengan BVB menyokong usaha kami ini, kami yakin dapat mencapai hasil yang positif.”

“Saya mahu menyatakan penghargaan kepada BVB di atas kerjasama yang hebat ini dan kami akan berusaha mulai sekarang. Perlawanan ini memberi peluang terbaik  kepada peminat Johor untuk merasai satu pengalaman yang menarik,” tambah Tunku Ismail.



Perjanjian ini turut membenarkan Dortmund untuk meluaskan pengaruh mereka di Asia selepas pembukaan pejabat pasukan di Singapura pada 2014. BVB cukup dikenali di rantau ini sebagai tempat asal bintang Jepun Shinji Kagawa dan turut pernah menerima kehadiran pemain Malaysia Gary Robbat untuk sesi latihan.

Ketua Pegawai Eksekutif Borussia Dortmund, Hans-Joachim Watzke, berkata kunjungan ke Asia buat kali pertama sejak 2007 ini adalah bayangan strategi jangka panjang global BVB.  

“Peminat di Asia mahukan peluang untuk menyaksikan bintang kami di depan mata, dan ini adalah hasrat yang kami mahu tunaikan. Tayangan aksi Bundesliga di pasaran TV Asia semakin meningkat. Ini, secara tidak langsung akan membantu kami untuk lebih dikenali,” kata Watzke.

“Kami telah menjadikannya sasaran kami untuk mengekalkan hubungan rapat jangka panjang dengan masyarakat di rantau ini dan belajar dari satu sama lain. Informasi terkini menunjukkan bahawa lebih kurang enam juta rakyat Jepun mempunyai minat yang tinggi terhadap BVB,” tambahnya.

Penaja jersi global Dortmund, Evonik dan pembekal kit Puma, kedua-duanya yang mempunyai pangkalan serantau di Singapura, akan membantu dalam inisiatif penjenamaan di rantau ini. DFL Sports Enterprises, cabang pemasaran hak media Bundesliga pula turut mempunyai sebuah pejabat di Asia yang berpusat di Singapura dan akan bekerjasama rapat dengan kelab untuk mencapai matlamat penjenamaan strategik.

Borussia Dortmund kekal sebagai kelab nombor satu di Eropah dari segi kehadiran penonton dan satu-satunya kelab pada musim 2014/15 – sama seperti musim sebelumnya -  untuk mencatatkan kehadiran purata lebih 80,000 penonton bagi setiap perlawanan di gelanggang sendiri.


Dengan kehadiran purata penonton seramai 80,424, Borussia Dortmund mengungguli kedudukan di seluruh Eropah – mengatasi Barcelona FC (77,632), Manchester United (75,335), Real Madrid (73,081) dan Bayern Munich FC (72,882).

Wednesday, July 8, 2015

Kagawa ketuai barisan Dortmund

Pemain tengah, Shinji Kagawa akan mengetuai barisan bintang Borussia Dortmund yang akan turun menentang Johor Darul Ta’zim dalam perlawanan persahabatan antarabangsa yang julung kalinya antara kedua-dua pasukan di Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos malam esok.



Kagawa, yang kembali ke Signal Iduna Park dari Manchester United, adalah antara 27 pemain yang disenaraikan juara Bundesliga lapan kali ini bagi persinggahan Jelajah Asia 2015 Borussia Dortmund di Malaysia.

Antara pemain lain termasuklah Mats Hummels, Henrikh Mkhitaryan, Marco Reus, Gonzalo Castro, Jeremy Dudziak, Mitsuru Maruoka, Jon Stankovic dan Matthias Ginter. Bagi peminat yang mengikuti perkembangan BVB di era kegemilangan mereka pada 1990-an, duta antarabangsa BVB Karl-Heinz Riedle dan penyelaras pasukan belia Lars Ricken turut menyertai kontijen Hitam Kuning itu dalam jelajah ini.

Borussia Dortmund menampilkan aksi dominan bertenaga ketika mencatat kemenangan 6-0 ke atas pasukan Liga Jepun Kawasaki Frontale dalam aksi pertama Jelajah Asia mereka di hadapan 24,650 peminat yang memenuhi Stadium Todoroki pada Selasa. Kagawa dan Pierre-Emerick Aubameyang masing-masing menjaringkan dua gol, manakala Maruoka dan Stankovic meledak satu gol.

Borussia Dortmund akan tiba di Singapura hari ini untuk persinggahan kedua dalam siri Jelajah Asia mereka. Selepas satu malam di bandar itu, BVB akan bertolak ke Johor Bahru esok untuk sesi ramah mesra bersama peminat di Malaysia bertempat di Puma Store di Komtar, JBCC (2.30-3.15 petang) dan Al-Ikhsan Megastore di Bandar Baru Uda (2.30-3.30 petang). Mereka akan kembali turun ke gelanggang untuk menceriakan lebih 30,000 peminat apabila menentang  Johor Southern Tigers di Stadium Larkin (sepak mula jam 9.45 malam).



Gergasi Bundesliga ini telah menikmati hubungan istimewa dengan rantau Asia sejak menjuarai Piala  Intercontinental di Tokyo pada 1997.

Manakala di pihak Harimau Selatan, yang mara ke peringkat suku akhir Piala AFC 2015 di bawah kendalian pengurus Roberto Carlos Mario Gomez, bersedia menampilkan aksi terbaik menentang pasukan pelawat.

Perlawanan ini diadakan susulan kerjasama yang terjalin di antara Johor Darul Ta’zim dan Borussia Dortmund menerusi kerjasama pembangunan berprofil tinggi pada 2014. Perjanjian ini akan menyaksikan kedua-dua pasukan berkongsi informasi  latihan dan kejurulatihan selain pertukaran pemain di masa akan datang untuk pembangunan bolasepak belia di Johor.


Skuad Borussia Dortmund : Pierre-Emerick Aubameyang, Sven Bender, Jakub Blaszozykowski, Hendrik Bonmann, Gonzalo Castro, Jeremy Dudziak, Erik Durm, Matthias Ginter, Kevin Grosskreutz, Mats Hummels, Ciro Immobile, Shinji Kagawa, Kevin Kampl, Oliver Kirch, Mitch Langerak, Mitsuru Maruoka, Henrikh Mkhitaryan, Sokratis Papastathopoulos, Lukasz Piszczek, Adrian Ramos, Marco Reus, Nuri Sahin, Marian Sarr, Marcel Schmelzer, Neven Subotic, Roman Weidenfeller, Julian Weigl.