Friday, May 31, 2013

FAM berdiam isu keselamatan

FAM tampil membalas kenyataan PBNJ yang melabel badan induk itu sebagai berat sebelah dan mempertahankan tindakan mereka untuk membenarkan perlawanan semula separuh akhir Piala FA antara Pahang dan JDT dengan kehadiran 80,000 penyokong di Stadium Nasional Bukit Jalil. 

Mereka menjelaskan keputusan itu dibuat sebulat suara selepas bermesyuarat, dihadiri wakil kedua-dua pasukan dan menyangkal dakwaan mengatakan FAM berat sebelah dan tidak adil.

"FAM akan mengelola perlawanan ini dengan bantuan Pahang sebagai tuan rumah. Sebagai tuan rumah, Pahang mempunyai hak ke atas semua aspek pengelolaan. Peruntukan 60k tiket untuk Pahang dan 20k untuk dibeli Johor di SNBJ adalah dengan persetujuan PBNP. FAM hanya bertanggungjawab di dalam pengelolaan hal teknikal sahaja, manakala urusan bukan teknikal seperti jualan tiket, harga tiket, agihan tiket, peruntukan tiket dibawah bidang kuasa PBNP," kata kenyataan itu. 

Menerusi kenyataan ini, apa yang diperjelaskan FAM ini adalah apa yang telah mereka beritahu dua hari lalu.   Mereka hanya ulang semula keputusan mesyuarat dan tidak ada penjelasan baru yang konkrit tetang tindakan tersebut. Mereka tidak memberi jawapan persoalan mengenai KESELAMATAN PENYOKONG, BERAPA ANGGOTA POLIS AKAN BERKAWAL, FRU, JUMLAH PETUGAS yang sudah tentu boleh memberi gambaran tentang langkah-langkah keselamatan yang diambil.

Mereka tidak menjawab persoalan bagaimana sebuah pasukan yang dihukum diberi keistimewaan beraksi di Bukit Jalil dengan kehadiran lebih ramai penyokong (hadiah atau hukuman) tatkala situasi masih lagi tegang, mereka tidak menjawab siapa yang akan bertanggungjawab sekiranya terjadi apa-apa yang tidak diingini, 

Tatkala persoalan mengenai keselamatan penyokong perlu diberi keutamaan, FAM memilih HANYA UNTUK MENJAWAB soalan tentang tiket, jadi siapa pula nak jawab tentang keselamatan? Mereka tidak langsung menyentuh tentang perkara itu, adakah ini bermakna mereka lepas tangan? Mereka yang tetapkan venue dan jumlah penyokong, kemudian tak jawab persoalan. 

Tetapi, oleh kerana FAM berkata mereka hanya mengelola aspek teknikal, manakala PBNP sebagai tuan rumah mengelola aspek bukan teknikal, ini bermakna keselamatan penyokong juga hal bukan teknikal dan ia terletak di tangan pihak tuan rumah iaitu PBNP. Mereka perlu bertanggungjawab penuh memastikan keselamatan semua peminat bolasepak tanah air yang hadir malam esok. 

Jumlah anggota keselamatan yang ditempatkan perlu diambil kira, kepada penyokong yang hadir di stadium pula, biarlah bolasepak yang menjadi pemenang sebenar, tontonlah dengan penuh SEMANGAT KESUKANAN. Bolasepak adalah medium mengeratkan kekitaan, bukan untuk cari gaduh.

Tetapi, FAM tetap perlu bertanggungjawab sekiranya berlaku apa-apa insiden buruk. Jangan lepas tangan kerana anda yang tetapkan 80,000 penyokong boleh hadir menyaksikan perlawanan ini.

Thursday, May 30, 2013

JDT bidas FAM tidak adil, tolong PBNP buat duit!

Perkembangan terbaru ...

Persatuan Bolasepak Johor tampil membidas keputusan Jawatankuasa Pertandingan FAM yang memutuskan untuk meneruskan perlawanan separuh akhir kedua Piala FA antara Pahang dan Johor dengan kehadiran penyokong. 

Dalam satu kenyataan media yang dihantar sejurus tamat mesyuarat pengelolaan semi-final petang tadi, mereka berkata FAM perlu bersikap neutral di dalam mentadbir bolasepak Malaysia. 

"Sebab utama perlawanan diadakan di gelanggang neutral agar ianya adil kepada kedua-dua pasukan. Kita perlu ingat bahawa Pahang telah DIHUKUM kerana gagal menyediakan kawalan keselamatan yang baik ketika perlawanan yang sepatutnya berlangsung pada 28 Mei. Sekarang mereka diberi pula keistimewaan untuk menjadi tuan rumah di Bukit Jalil dengan tambahan penonton yang akan mencecah 80,000.

"Dengan hasil jualan tiket akan masuk ke kantung Persatuan Bolasepak Pahang, ini boleh dikatakan sebagai hadiah kepada mereka, bukannya hukuman. Persatuan Bolasepak Johor meminta perlawanan diadakan tanpa penyokong kerana keselamatan penonton, kerana keadaan masih lagi tegang dan panas. Nampaknya, FAM lebih berminat untuk tolong Pahang buat duit, berbanding memikirkan keselamatan penyokong."

Kenyataan tersebut juga mempertikai tentang agihan tiket 60,000 kepada pihak PBNP, manakala 20,000 untuk dijual secara terbuka selain kenapa perlunya penyokong JDT pula yang membayar lebih untuk menyaksikan perlawanan itu - mengambil kira kos pengangkutan, tenaga dan lain-lain. 

"Sekiranya terjadi apa-apa kejadian tidak diingini, siapa yang akan bertanggungjawab, FAM atau Pahang? Sekiranya kejadian yang sama berlaku di Larkin, Perak atau Selangor, atau mana-mana sahaja pasukan apakah keistimewaan menggunakan Bukit Jalil akan diberikan kepada mereka juga? FAM seolah cuba membantu Pahang, mungkin ada kepentingan peribadi antara FAM dan Pahang.


"Jika mereka tidak adil dalam pengagihan tiket, mungkin juga mereka tidak adil dalam perkara lain. Mungkin juga pengadil akan bersikap tidak adil kerana mereka adalah di bawah FAM."

Adakah JDT akan mengambil keputusan untuk tidak beraksi? 

Kesimpulan : Presiden FAM adalah Sultan Pahang ... 
Tiket 80,000 x RM 15 = RM1.2 juta
Tolak denda - RM 100,000
Keuntungan bersih Pahang dapat ekoran insiden tempoh hari : RM1.1 juta
Untung RM1.1 juta ni dikira sebagai hukuman atau ganjaran

Tetapi, apa yang menjadi persoalan adalah, ketika mesyuarat berlangsung petang tadi, apabila ditanya sama ada pihak PBNJ berpuas hati dengan keputusan yang dibuat, mereka berkata berpuas hati dan tiada masalah cuma sedikit peka dengan pengagihan tiket. 

Jadi, kenapa pula bersuara selepas segalanya dimuktamadkan? Atau mendapat arahan khas dari TMJ pada saat akhir? Apa sekalipun, kata-kata TMJ bahawa keselamatan penyokong perlu diutamakan adalah sangat tepat, sesuatu yang tidak tercapai dek akal oleh individu-individu dalam FAM.

Kepada JDT juga, pasukan-pasukan lain sudah lama melalui situasi ini - Kelantan paling utama, gelanggang tak dapat diguna kerana bencana alam pun boleh diisytihar sebagai kalah dan diberi kemenangan percuma kepada KL PLus 3-0, Sarawak pernah didenda beraksi tanpa penyokong, Terengganu, Negeri Sembilan, Kedah semuanya pernah merasa situasi ini.

JDT baru ditubuhkan, ia bukan Johor atau Johor FC, pengurusan totally baru, so berjinak-jinakla dengan kerenah FAM, banyak lagi akan dilalui. 

Wednesday, May 29, 2013

Padah dabik dada..

Berpeluang untuk turut sama mengulas mengenai aksi semifinal Piala FA dalam rancangan Sepak Mula terbitan RTM, saya agak tertarik untuk membincangkan mengenai aksi antara Kelantan dan Terengganu tetapi tidak berkesempatan untuk mengulas lebih panjang kerana tumpuan lebih terarah kepada pertembungan antara Pahang dan JDT pada malam hari. 

Kesimpulan mudah yang boleh dibuat, Kelantan sangat bernasib baik untuk mara manakala Terengganu pula harus menyalahkan diri sendiri di atas kegagalan mempertahankan kelebihan serta kegagalan pemain mengawal emosi di saat yang begitu getir justeru menjadi punca tersingkirnya mereka dari saingan. 

Tidak salah andai saya katakan kekalahan Terengganu semalam adalah berpunca daripada 'one minute crazy action' daripada pemain import, Effa Owona yang sebelum itu mungkin layak diangkat sebagai hero selepas meledak gol ketiga - tindakannya memprotes dan memaki hamun pengadil walhal dia tahu dia sudahpun memiliki layangan kad kuning nyata tindakan bodoh, dan padahnya dia dilayangkan kad merah. 

foto : dunia sukan
Susulan daripada sepakan percuma itulah, hantaran Badri Razi ke dalam kotak penalti singgah di kepala Fakri dan disudahkan oleh Obinna Nwaneri - gol yang mengheret perlawanan ke masa tambahan sedangkan kem Terengganu sudah bersiap sedia meraikan kemenangan. 

Situasinya mungkin berbeza andai Owona merelakan sahaja sepakan percuma diambil ketika pengadil meniup wisel kerana saya tindakan itulah yang mengubah arah hantaran bola daripada Piya. 

Penilaian jujur yang turut dikongsi oleh rakan saya, Wan Nazrul, pengulas RTM, ianya silap jika dikatakan Terengganu beraksi lebih baik tetapi sebenarnya Kelantan yang tidak beraksi dengan baik.  

Untuk 90 minit permainan, Kelantan tidak menunjukkan aggresif-ness, permainan mereka tidak seperti sedang beraksi di separuh akhir, seolah-olah bermain di perlawanan pemanas badan, rentak sumbang dan tempo permainan yang sangat perlahan, hantaran yang tidak tepat. 

Jangan kata ia adalah disebabkan kesukaran beraksi di bawah terik mentari, kerana pandangan daripada ramai bekas pemain yang pernah mewakili skuad kebangsaan, Selangor, Johor, Kelantan dan Pahang yang kesemuanya berpengalaman bermain di waktu petang/malam - mereka mengakui ia sedikit berbeza tetapi tidak boleh dijadikan alasan kerana berlatih setiap hari di bawah terik mentari.  

Sebelum perlawanan, Bojan lebih gemar untuk mendabik dada mengatakan 'percaturan bodoh'nya di Larkin membuahkan hasil, dia sangat berbangga kerana dapat menutup seketika kritikan dan meskipun mengeluarkan kenyataan 'kami tidak memandang rendah Terengganu', dia seperti tidak yakin Terengganu boleh bangkit sehingga boleh menjaringkan tiga gol. 

Daripada habiskan masa bercakap mengenai percaturan bodoh, lebih baik dia fikirkan percaturan bijak untuk mengekang kebangkitan Terengganu tetapi itulah masalah pengendali dari Croatia ini. 

Kepincangan taktikalnya terbukti apabila dia menyenaraikan Faiz Subri, Zairo Anuar Zailani, Badri Razi, Norfarhan Mohamad dan Indra Putra kesemuanya di dalam kesebelasan utama sekaligus memadatkan barisan tengah sedangkan salah seorang daripada mereka tidak kisahlah siapapun boleh diletakkan di bench untuk memberi ruang kepada Dickson Nwakaeme beraksi. 

Sama ada formasinya adalah 4-5-1 atau 4-6-0, tetapi ia tidak dilihat sebagai percaturan yang bijak kerana pada ketika mereka sedar Terengganu akan melakukan sedaya mungkin untuk bangkit, adalah perlu seorang penyerang tulen yang tajam di depan gol untuk memadam kelebihan gol di tempat lawan yang dimiliki Terengganu. 

Tindakan merehatkan Fakri Saarani dilihat sangat tepat, tetapi Dickson sepatutnya dibariskan di kesebelasan utama kerana dia adalah pemain yang boleh mengancam pertahanan Terengganu - saya setuju dengan kata-kata Rasdi Jumaat dan Azman Adnan bahawa Kelantan terlalu mengharapkan Dickson untuk melakukan magik dan hanya memasukkannya apabila terdesak. 

Terengganu pula seperti di Kota Bharu, menjaringkan gol awal yang membangkitkan semangat justeru apabila kedudukan sudah menjadi 2-0, Kelantan sudah menekan butang panik tetapi malangnya tiada URGENCY yang ditunjukkan untuk bangkit. 

Kemenangan di Kota Bharu penyelamat Kelantan. Foto : Dunia Sukan
90 minit permainan Kelantan tidak mencipta peluang berbahaya kecuali beberapa gerakan Dickson selepas dimasukkan, dan gol yang hadir selepas minit kelima masa kecederaan menyelamatkan Bojan yang sudahpun diberi teguran agar menepati KPI yang ditetapkan. 

Beraksi menentang 9 pemain Terengganu di masa tambahan, barulah Kelantan dilihat bernafsu melancarkan serangan - mungkin sebab memiliki kelebihan 2 pemain dan pemain Terengganu sudah keletihan - begitupun,  tetap Terengganu yang dilihat lebih bersungguh manakala Kelantan sekali lagi mengharapkan gol minit akhir Dickson untuk mara ke final buat kali ketiga berturut-turut. 

Tatkala Shamirza boleh dipuji prestasinya, agak mengecewakan untuk melihat prestasi Khairul Fahmi Che Mat sejak akhir-akhir ini, tidak mustahil Norazlan Razali akan mengambil alih posisi penjaga gol nombor satu negara tetapi tidak wajar Apek dipersalahkan 100% apabila Bojan tidak mahu merehatkan pemain ini - dia adalah satu-satunya pemain yang beraksi setiap perlawanan tanpa rehat, mental terjejas memberi kesan kepada prestasi. 

Apabila merehatkan pemain, Bojan perlu melihat secara menyeluruh bukannya dua tiga pemain semata-mata, penjaga gol juga manusia bukannya robot - apakah Kelantan tidak mempunyai penjaga gol simpanan atau Bojan tidak yakin dengan pemain yang dia miliki? Zaman Peter Butler, Dato' M.Karathu, B.Sathianathan semuanya pernah memberi ruang kepada penjaga gol muda. 

Apapun, kini saingan akan berehat panjang, harapnya tempoh rehat dapat dimanfaatkan sebaiknya semua pasukan yang bersaing. 

Best performer Terengganu : Shamirza, Ashaari & Hasmizan 
Best performer Kelantan : Daudsu, Indra Putra & Dickson

Apa yang diutarakan adalah ulasan peribadi saya, mungkin ada yang bersetuju, mungkin ada yang tidak. Sebarang pandangan dialukan. 

Tuesday, May 28, 2013

Farah Ann optimis pertahan emas

Borak-borak dengan adik manis nie tempoh hari, here is share perkembangan terkininya.. 

Sebut sahaja nama Farah Ann Abdul Hadi, siapa yang tidak kenal ratu gimnastik negara ini yang bukan sahaja dikenali dek kelincahan aksi di atas gelanggang tetapi juga raut wajah manis yang sentiasa menjadi tumpuan pengemar sukan tanah air.

Bereputasi tinggi sebagai gimnas senior kebangsaan yang pernah meraih pingat perak di Sukan Sea Indonesia pada 2011, Farah tidak memandang enteng temasya Sukan Malaysia yang dijadual berlangsung pada hujung bulan Jun dan berazam mempertahankan pingat emas yang dimenangi tahun lalu di Pahang.

Gimnas berusia 19 tahun berasal dari Subang Jaya ini ketika ini dalam persiapan bersama skuad kebangsaan untuk menyertai pertandingan di Singapura yang bermula pada 6 Jun dan sekembalinya ke tanah air, Farah akan mengalihkan fokusnya untuk melakukan yang terbaik di SUKMA.



“Balik dari Singapura nanti, tiada istilah berehat kerana saya perlu bekerja keras untuk mengekalkan tahap kecergasan dan mempersiapkan diri sebaik mungkin bagi SUKMA. Latihan akan diteruskan macam biasa di kem kebangsaan, kami semua hanya akan menyertai kontijen negeri ketika pertandingan berlangsung,” katanya yang akan mewakili Selangor.

Temasya di Kuala Lumpur 2013 ini akan menjadi temasya SUKMA kelima disertai Farah selepas penyertaan sulung pada 2004 diikuti 2008, 2010 serta 2012 : “Bagi saya, SUKMA adalah satu-satunya platform untuk para gimnas menyerlahkan potensi mereka dan diberi pendedahan.

“Tidak banyak kejohanan peringkat kebangsaan untuk sukan seperti gimnastik, jadi sudah tentu peluang yang ada ini perlu dimanfaatkan. SUKMA juga dalam masa sama boleh meningkatkan profil sukan ini, peminat sukan tahu, nampak bahawasanya sukan gimnastik ini wujud dan tidak terpinggir,” ujar Farah yang merupakan produk Sekolah Sukan Bukit Jalil.

Tahun lalu, Farah yang pakar dalam acara senam lantai meraih dua pingat emas menerusi acara berpasukan dan individu senam lantai, serta pingat gangsa individu keseluruhan apabila dikecewakan dua rakan dari kem kebangsaan, Tan Ing Yueh (emas) dan Tracie Ang (perak).


Satu-satunya pertandingan disertai Farah tahun ini adalah Kejohanan Dunia di Qatar pada bulan Mac lalu dan dia percaya masih banyak yang boleh dipertingkatkannya selepas ini : “Walaupun gagal ke peringkat akhir, tetapi mengambil kira ia kejohanan bertaraf dunia dan kejohanan pertama untuk tahun ini, saya tetap berpuas hati.

“Cuma, saya merasakan saya boleh buat lebih baik dan boleh meningkatkan lagi prestasi. Memang itu azam saya, sentiasa melihat ruang untuk meningkatkan prestasi serta kemahiran. Dengan bantuan jurulatih dan latihan yang berterusan, saya percaya saya boleh bertambah baik,” katanya menutup perbualan.

Friday, May 24, 2013

Tracie tidak putus asa


Meskipun masih dihimpit masalah kecederaan berulang di pergelangan kaki ditambah kecederaan bahu yang baru dialami pada awal Mei lalu, gimnas artistik serba boleh, Tracie Ang tidak melihat ia sebagai alasan untuk meminggirkan diri daripada sesi latihan dan tetap bersemangat untuk sekali lagi mempamer kelibat di temasya Sukan Malaysia.

Permata gimnastik negara yang akan membawa cabaran Melaka ini tidak menafikan masalah kecederaan sedikit membataskan perjalanan kariernya namun berkata ia tidak sedikitpun menjejaskan moralnya dan tidak akan berputus asa untuk kembali bangkit.



“Dengan kecederaan yang saya alami ini, saya belum pasti sama ada akan bertanding atau tidak di SUKMA, saya perlu lihat bagaimana keadaan saya tetapi jika diberi pilihan, sudah tentu saya mahu bertanding.

“Saya tidak boleh terburu-buru dan perlu mendapatkan nasihat doktor. Untuk kembali bangkit memang satu cabaran besar tetapi semangat saya tetap kuat.

“Masih ada lebih sebulan jadi saya harap kecederaan ini akan pulih sebelum tempoh itu. Saya mungkin tidak menyertai kejohanan di Singapura awal bulan Jun nanti untuk tumpu pada proses pemulihan, jadi SUKMA adalah kejohanan yang terdekat selepas itu. Bagi saya, SUKMA adalah medium paling relevan untuk mencuba kemahiran atau teknik baru,” katanya.

Untuk rekod, gimnas berusia 20 tahun ini adalah antara sandaran utama skuad gimnastik Melaka setiap kali berlangsungnya SUKMA – pada 2004 di Kedah ketika berusia 11 tahun, Tracie menyumbang dua pingat emas manakala satu pingat emas masing-masing pada 2008, 2010 dan 2012.

Manis sungguh budak ni :)
Tracie sebelum ini tersisih sepanjang tahun 2011 akibat kecederaan pergelangan kaki dan seandainya gagal pulih menjelang tempoh SUKMA bermula, skuad gimnastik artistik Melaka bimbingan bekas jurulatih kebangsaan, Mikhail Gutsalyuk akan menyandarkan harapan untuk merampas semula pingat emas berpasukan yang terlepas tahun lalu di bahu Tan Ing Yueh, Chong Yan Ling, Deifrin Choo Hui Sin, Yap Chien Wen dan Emily Tan Voon Ling.

Thursday, May 23, 2013

Peluang untuk Awe, Faiz buktikan

Selangor dan Johor Darul Takzim terus mendominasi carta panggilan pemain ke skuad kebangsaan yang baru dikeluarkan Persatuan Bolasepak Malaysia bersempena sesi latihan dan perlawanan persahabatan di Australia yang dijadual berlangsung pada Jun nanti.

Pemilihan Safiq Rahim yang even tidak mendapat kepercayaan Fandi Ahmad bersama JDT adalah sesuatu yang meragukan tetapi Nurul Azwan Roya, Faiz Subri, Farid Ramli dan Nizad Ayub (biar betul?) adalah antara beberapa nama baru yang disenarai K.Rajagobal, justeru jadikan ini peluang untuk membuktikan kemampuan. Cuma, bagi Rajagobal pula, usahlah memanggil mereka sekadar nak melengkapkan senarai.  


foto : Haniff Omar / The Red Warriors
Berikut senarai 26 pemain yang dipanggil mengikut pasukan diwakili :

Selangor : Norazlan Razali, Mahali Jasuli, K.Gurusamy, Bunyamin Omar, Amri Yahyah, Asrarudin Putra Omar, S.Kunanlan
Johor Darul Takzim : Aidil Zafuan, Safiq Rahim, Farid Ramli, Nurul Azwan Roya, Safee Sali, Norsharul Idlan Talaha
Kelantan : Khairul Fahmi, Shakir Shaari, Badri Razi, Nik Shahrul Azim, Faiz Subri
ATM : K.Reuben, Amiridzwan Taj
Pahang : Azamudin Akil
PKNS Selangor : Nizad Ayub
Terengganu : Faizal Muhamad
Negeri Sembilan : Nazrin Nawi
Kedah : Khyril Muhaimeen
Perak : Farizal Marlias


Wednesday, May 22, 2013

SUKMA pentas buat atlet negara cari pengalaman

Jurulatih skuad elit gimnastik kebangsaan, Nurul Fatiha Abdul Hamid mahu anak buahnya yang akan mewakili kontijen negeri masing-masing pada Sukan Malaysia (SUKMA) bulan depan menjadikan kejohanan itu sebagai platform terbaik untuk mempersiapkan diri bagi menghadapi beberapa kejohanan besar yang akan disertai sepanjang tahun ini.

Menurut Nurul Fatiha, bekas gimnas kebangsaan yang turut mencipta nama di pentas SUKMA dengan meraih keseluruhan tiga pingat emas di tiga edisi SUKMA iaitu 1998, 2000 dan 2002, temasya yang akan berlangsung dari 28 Jun hingga 7 Julai ini akan memberi ruang buatnya untuk memantau secara teliti prestasi 6 atlet yang berlatih di bawahnya.

nurul fatiha pada suatu masa dahulu ... 
“Selepas balik dari Singapura, mereka akan kembali ke kontijen negeri masing-masing untuk SUKMA. Tapi sepanjang kejohanan berlangsung, saya akan sentiasa memantau mereka. Saya tidak meletakkan tekanan ke atas mereka untuk beraksi cemerlang, kerana tujuan kita adalah memberi pendedahan.

“Oleh sebab acara ini tak dipertandingkan di Sukan Sea Myanmar, maka fokus saya adalah untuk Kejohanan Dunia pada hujung September dan saya percaya SUKMA adalah salah satu peluang untuk mereka menimba pengalaman dan mendapatkan keyakinan untuk beraksi di temasya lebih besar,” kata Nurul Fatiha yang juga pemenang 6 pingat emas di tiga temasya Sukan Sea (2001, 2003 & 2005).

6 gimnas yang berada di bawah bimbingan Nurul Fatiha, diketuai dua gimnas senior iaitu Tracie Ang, Farah Ann Abdul Hadi, Tan Ing Yueh, Nur Elli Elina Azmi, Nor Azira Aziri dan Rachel Yeoh.

tracie ang
farah ann
Kesemua gimnas berkenaan mempunyai reputasi hebat mereka tersendiri – Farah Ann, Elli Ellina dan Nor Azira yang akan membawa cabaran kontijen Selangor memenangi pingat emas acara berpasukan pada edisi ke-15 tahun lalu di Pahang.

Manakala Ing Yueh yang akan menggalas cabaran Melaka mencipta kejutan dengan memenangi pingat emas individu keseluruhan juga pada SUKMA yang lalu dengan mengetepikan rakan sepasukan, Tracie sementara Rachel pula disandarkan harapan oleh kontijen dari Borneo, Sabah.

Monday, May 20, 2013

Muaythai & Gimnastik sandaran Kelantan


Selepas kali terakhir menulis tentang SUKMA pada 2008, ketika itu berlangsung di Terengganu, saya agak teruja apabila ditawarkan sebuah syarikat PR Sukan terkemuka untuk menulis tentang temasya ini yang kini berlangsung secara tahunan, baru-baru ini. 

Saya menganggap ianya satu peluang untuk turut membantu mempromosikan sukan ini. Artikel yang ditulis dipaparkan di laman web rasmi SUKMA iaitu sukanmalaysia.nsc.gov.my dan selepas ianya disiarkan di laman web tersebut, barulah saya siarkannya di blog ini agar keasliannya masih menjadi milik sekretariat - saya menulis untuk mereka, maka mereka adalah pemilik artikel tersebut. 

Jadi untuk seketika sehingga tempoh berakhir SUKMA pada 7 Julai, rajin-rajinlah melayari laman web rasmi SUKMA itu untuk perkembangan kontijen dan segala maklumat yang diperlukan tentang temasya ini, dan ini pula antara nukilan terbaru saya. 



Muaythai & Gimnastik sandaran Kelantan

Kontijen Kelantan yakin mampu membawa pulang sekurang-kurangnya lima pingat emas daripada acara Muaythai pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) ke-16 di Kuala Lumpur bulan depan, demikian menurut Penolong Pengarah Pentadbiran dan Atlet Majlis Sukan Negeri Kelantan, Tuan Aziz Tuan Mat.

Tambah Tuan Aziz yang juga pegawai yang bertindak menguruskan persediaan atlet SUKMA Kelantan : “Muaythai memang pertama kali dipertandingkan di SUKMA, tetapi sukan ini agak popular di kalangan rakyat Kelantan, persiapan kita sangat teliti kerana kita mahu mendominasi Muaythai di peringkat kebangsaan.

“Kita tidak mahu meletak cita-cita tinggi, tetapi saya berpendapat kita boleh meraih sekurang-kurangnya 5 pingat emas dari sukan ini. Ia adalah KPI (petunjuk aras prestasi) yang saya yakin kita boleh penuhi. Atlet-atlet kita diberi latihan khusus dan menjelang hari pembukaan pada 2 Julai, kita pasti sudah bersedia sepenuhnya,” katanya ketika dihubungi tengah hari tadi.

Tuan Aziz berkata selain Muaythai, sukan lain yang diyakini berpotensi cerah menghadiahkan pingat atau lebih tepat disasarkan membawa pulang emas buat kontijen Cik Siti Wan Kembang itu adalah Ragbi, Gimnastik dan Bola Baling.

“Kita mempunyai skuad ragbi dan bola baling yang mantap, manakala gimnastik artistik pula kita ada beberapa atlet yang mampu menyerlah. Kita memiliki bekas atlet kebangsaan yang dahulunya berlatih di Sekolah Sukan Bukit Jalil dan ketika berlatih sepenuhnya di bawah program MSNK. Pengalaman yang ada padanya adalah kelebihan bagi kita.”

Kontijen Kelantan ke SUKMA kali ini akan bertanding dalam 11 jenis sukan daripada keseluruhan 20 yang dipertandingkan iaitu bola tampar pantai, bolasepak pantai, bola jaring, sofbol, bola keranjang, ping pong, bina badan, gimnastik artistik, bola baling (lelaki dan wanita), ragbi dan muaythai.

Pada edisi ke-14 di Kuala Lumpur dua tahun lalu apabila SUKMA mula dianjurkan sebagai kejohanan tahunan, Kelantan hanya berupaya meraih 3 pingat emas, 2 pingat perak dan 1 pingat gangsa seterusnya menduduki tempat ke-11 senarai pungutan pingat.

Sunday, May 19, 2013

Hajat Gladiators tidak kesampaian

Hajat besar Angkatan Tentera Malaysia untuk mengambil kesempatan di atas kegagalan Lions XII mengutip mata penuh pada Jumaat, tidak kesampaian apabila dipaksa berputih mata tewas 1-2 kepada Negeri Sembilan yang turut menjadi kemenangan pertama buat skuad Hoben Jang Hoben selepas 17 perlawanan Liga Super.

Ketua jurulatih, B.Sathianathan nyata kurang gembira dengan kegagalan pasukannya mengekalkan momentum kemenangan setelah mencatat empat kemenangan berturut-turut sebelum ini.


foto : utusan
“Ya memang mengecewakan untuk tewas pada ketika kita turun penuh bersemangat, tetapi kredit perlu diberikan kepada Negeri (Sembilan). Mereka main dengan penuh semangat, kita kena akui kita yang berikan mereka kemenangan ini, kita buat kesilapan mudah, hadiahkan sepakan percuma yang tidak sepatutnya diberikan di kawasan bahaya.

“Kita tidak berada pada prestasi sepertimana biasa kita tetapi kekalahan ini bagaimanapun tidak harus menyentap semangat pemain semua, saya mahu kita bangkit dan kembali kepada prestasi asal dan terus berada di landasan untuk mencapai sasaran kelompok tiga teratas,” ujar Sathianathan yang membimbing ATM menjuarai Liga Perdana musim lalu.

Selepas ketinggalan kepada jaringan minit pertama Fauzi Nan yang melepaskan rembatan dari luar kotak penalti hasil kesilapan Venice Alphi yang memegang bola terlalu lama, ATM bangkit menyamakan kedudukan menerusi kapten berpengaruh, Hairuddin Omar yang merembat masuk hantaran pemain sayap, Christie Jayaseelan.

Begitupun, malang buat The Gladiators apabila rentak kebangkitan yang cuba dijelmakan sedikit terencat dengan gol kedua menerusi sepakan percuma Nazrin Nawi yang gagal sama sekali diselamatkan Farizal Harun dan diburukkan dengan kecederaan menimpa Hai-O pada minit ke-41 – memaksa dia digantikan oleh Fitri Omar.

Ditambah ketiadaan penyerang tulen ekoran kecederaan dialami penyerang prolifik juga penjaring terbanyak, Marlon Alex James serta penyerang veteran, Nizarudin Yusof, ATM mendapati ianya terlalu sukar mencari gol penyamaan menentang skuad yang pertama kali dibimbing bekas penyerang Perlis, Ridzuan Abu Shah itu.

Tetapi Sathianathan tidak mahu menjadikan ianya sebagai alasan : “Ketiadaan Marlon sudah cuba saya tutup dengan meletakkan Hai-O, tetapi sayang dia tidak boleh meneruskan permainan. Nizarudin pula mengalami kecederaan saat akhir jadi ini sahaja pilihan kita ada. Kita perlu belajar bagaimana mahu bangkit apabila hilang pemain tonggak.”

Tamat perlawanan ke-18 buat ATM, liga akan berehat lebih sebulan dan hanya akan bersambung semula pada 21 Jun dengan perlawanan ATM yang seterusnya adalah menentang Selangor – dalam tempoh rehat panjang ini, Sathianathan menjelaskan pasukannya akan mengatur beberapa perlawanan persahabatan untuk mengekalkan kecergasan pemain.  

Sarawak azam kembali gegar




Saya juga menulis tentang SUKMA. 

Ketua kontijen Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak, Afandi Keli percaya pencapaian yang lebih baik dari Kuala Lumpur 2011 dapat dicatat pada temasya kali ini oleh barisan atlet negeri berkenaan.

Jika dua tahun lalu Sarawak hanya membawa pulang 2 pingat emas, 4 pingat perak dan 8 pingat gangsa untuk berkesudahan di kedudukan ke-12 pada SUKMA yang julung kalinya dianjurkan secara tahunan itu, Afandi yakin kontijen kali ini yang mempertaruhkan 258 atlet mampu membawa pulang sekurang-kurangnya 10 pingat emas.

Bukan bercita-cita tinggi, tetapi Afandi berkata ia adalah sasaran realistik bagi negeri Bumi Kenyalang yang suatu ketika dulu merupakan kuasa besar sukan tanah air, malah masih lagi tergolong di kalangan kontijen terbaik setiap kali SUKMA dilangsungkan.

“Sarawak sinonim sebagai kuasa besar sukan negara, pernah lahirkan ramai atlet. Daniel Bego, Pandalela, Watson Nyambek mencipta nama mereka bermula di SUKMA. Kita berkemampuan bukan sahaja dalam sukan-sukan yang utama, tetapi inilah peluang untuk buktikan kita juga  boleh menyerlah dalam sukan kurang mendapat tumpuan.

“Muay thai umpamanya dipertandingkan pertama kali, jadi semua pasukan memiliki peluang sama rata, tiada yang boleh dikatakan pilihan. Kita ada potensi menerusi sukan seperti gimnastik, bina badan, bola tampar, silambam dan ping pong. Maka tidak lah keterlaluan jika kami sasarkan 10 pingat emas untuk dibawa pulang,” kata Afandi.

Kontijen Sarawak akan mengambil bahagian dalam 15 daripada 20 jenis sukan yang akan dipertandingkan di SUKMA KL 2013 yang akan bermula pada 28 Jun depan iaitu bina badan, bola tampar, ragbi, kabbadi, sofbol, silambam, gimnastik artistik, futsal, handball, bola keranjang, muay thai, lawan pedang, ping pong, kriket dan judo.

Untuk rekod, Sarawak pernah muncul juara SUKMA selama tiga edisi berturut-turut pada 1990, 1992 dan 1994 sebelum Selangor dan kemudiannya Terengganu mengambil alih dominasi sebagai kuasa besar arena sukan tempatan – Selangor muncul juara enam kali berturut-turut dari 1996 – 2006, manakala Terengganu sebanyak 4 kali berturut-turut bermula 2008 hinggalah yang terbaru, tahun lalu. 

Friday, May 17, 2013

Beckham akan dirindui

Pagi tadi telah dihubungi oleh wartawan dari Astro Awani yang meminta saya untuk berkongsi pandangan tentang persaraan ikon bolasepak terkenal dunia, David Beckham selepas membantu Paris Saint Germain merangkul kejuaraan liga pertama dalam 19 tahun. 

Beberapa soalan lazim dikemuka dan antara jawapan saya adalah Beckham merupakan sebilangan pemain kecil yang mempunyai peminat di kalangan wanita. Sebut nama Giggs, Messi atau Rooney sekalipun hanya peminat bola sahaja yang kenal, tetapi sebut nama Beckham, pasti satu dunia kenal namanya baik dari kalangan peminat sukan itu sendiri atau berlainan bidang. 

Saya juga mengatakan Beckham pada hakikatnya masih boleh terus bermain sepertimana Giggs, Teddy Sheringham tetapi eloklah dia berundur ketika namanya masih memuncak. Jangan bila prestasi mula jatuh, orang suruh berundur baru hendak bersara. Ini waktu yang tepat kerana dia akan dikenang antara pemain terbaik pernah disaksikan dunia. 


Ditanya apakah bidang kerja yang sesuai dengan Beckham selepas ini, saya mengatakan dengan kemapuan atau kekuatan kewangan yang ada pada Beckham, dia pada hakikatnya boleh bergelar pemilik kelab, bukan sekadar seorang jurulatih atau duta. Malah, saya tanpa berselindung mengatakan kini mungkin dia boleh menumpukan kepada dunia glamer, mungkin juga menjadi seorang pelakon. Tidak mustahil kerana perkara seperti ini adalah lazim di arena sukan global. 



KUALA LUMPUR: Penggiat bola sepak tanah air berpendapat bahawa pengumuman persaraan oleh bintang bola sepak terkenal dunia David Beckham pada hari Khamis tepat pada masanya.

“Pada usia 38 tahun, beliau masih boleh main dalam satu atau dua tahun lagi. Namun, lebih baik beliau bersara ketika beliau masih ada nama. Dalam tempoh satu atau dua tahun lagi, prestasi beliau mungkin akan merosot, jadi lebih baik beliau bersara sekarang sebelum orang di sekeliling menyuruh beliau berundur,”  kata penulis blog sukan Aiman Aminul.

Tambah Aiman, Beckham merupakan ikon bola sepak dan ini akan menjadi kehilangan besar kepada arena boleh sepak.

“Beliau antara pemain unik dan diantara pemain yang mempunyai skil hantaran dan hantaran lintang yang tepat. Beliau juga mempunyai kemahiran sepakan percuma terbaik,” tambah beliau.

Aiman berpendapat selepas ini Beckham boleh menjadi lebih daripada seorang jurulatih atau pengurus kelab bola sepak.

“Dengan populariti yang dimiliki, beliau boleh menjadi pemilik kelab bola sepak. Beliau juga layak menjadi duta England jika negara berkenaan ingin membida untuk menjadi tuan rumah temasya Piala Dunia kelak. Beliau begitu layak untuk membawa nama England di persada dunia,” tambah beliau.

Bekas pemain bola sepak negara Reduan Abdullah juga mempunyai pendapat yang sama.

“Nama David Beckham adalah satu jenama yang baik di atas dan luar gelanggang. Walaupun turut menjadi duta beberapa jenama, namun ia sama sekali tidak menjejaskan mutu permainan beliau. Ini kerana beliau begitu berdisiplin,” kata Reduan.

Akui beliau sudah banyak berjasa kepada England dan memberikan impak yang besar kepada arena bola sepak dunia,  Reduan berpendapat sudah tiba masanya untuk Beckham bersara.

“Beliau bukan lagi pemain sepenuh masa, dan rasanya tidak perlu lagi untuk beliau mecari peluang untuk bermain sepenuh masa lagi. Jadi sudah sampai masanya untuk beliau bersara walaupun berkemampuan untuk bermain lagi,” tambah Reduan.

Pengacara Astro ARENA Hafizal Hamad turut berpendapat  bahawa inilah masa yang tepat untuk Beckham bersara.

“Dari Manchester United, Real Madrid, Los Angeles Galaxy dan Paris Saint-Germain, beliau telah merasai kenikmatan untuk bergelar pemain profesional yang begitu unggul,” kata Hafizal.

Namun atas faktor usia, umur dan juga pesaingan dari pemain-peminan muda, Hafizal berpendapat lebih sesuai jika Beckham bersara.

“Beliau pernah mengalami kecederaan, pemulihan dan harus menyesuaikan diri kembali di gelanggang bola sepak dan ditambah pula dengan pemain-pemain muda, jadi tidak perlu untuk beliau terus bersaing,” kata beliau.

Yakin bahawa Beckham tetap akan berada di hati peminant, Hafizal ingin melihat Beckham sebagai jurulatih.

“Kerjaya ini dilihat sebagai pilihan yang tepat dan sinomin dengan Beckham.”

Berita mula diterbitkan pada: Mei 17, 2013 13:20 (MYT)


Wednesday, May 15, 2013

Countdown Azuddin bermula .. siapa calon berkaliber?

Tinggal kira-kira dua minggu sahaja lagi sebelum Datuk Azuddin mengosongkan kerusinya di FAM sebagai Setiausaha Agung - jawatan yang disandangnya menggantikan Dato' Dr Ibrahim Saad pada 2008, khabar angin mula kedengaran mengenai siapakah calon pengganti paling layak duduk di kerusi paling panas di badan induk bolasepak negara itu - lebih panas dari kerusi Presiden barangkali.

Azuddin diakui bukanlah seorang individu yang begitu digemari - baik pemain, jurulatih, bekas pemain, pegawai pasukan, wartawan mahupun peminat mempunyai sebab mereka tersendiri untuk tersenyum apabila diberitakan bekas pemain Angkatan Tentera pada zaman 70-an ini akan berpindah pejabat ke AFF. 

Begitupun, sama ada kebetulan atau memang ia adalah bukti wibawanya, tidak harus kita nafikan pada era Azuddin inilah skuad negara menoktahkan kemarau 20 tahun pingat emas Sukan Sea, muncul juara Piala AFF buat pertama kali dan mara ke pusingan kedua Sukan Asia buat pertama kali dalam tempoh 32 tahun. 

Saya masih ingat pada 2008, ketika saya sebagai wartawan Bernama TV mengadakan satu sesi temuramah khas bersama Azuddin yang ketika itu masih lagi fresh dalam jawatannya sebagai SUA FAM, beliau mengatakan antara agenda utamanya adalah membentuk semula skuad kebangsaan selepas kegagalan di Sukan Sea Korat dan perlukan masa untuk menetapkan satu halatuju baru buat skuad negara agar berupaya menjadi sebuah negara kuasa besar bolasepak di rantau ASEAN. 

Ditanya apakah yang dimaksudkan sebagai halatuju baru sedangkan tempoh hampir 19 tahun (ketika itu) sudahpun cukup lama manakala kita mencari dan terus mencari halatuju, membentuk dan merombak pasukan seolah tiada halatuju, Azuddin terdiam sejenak dan menjawab "apa yang saudara Aiman katakan itu adalah 19 tahun yang merangkumi SUA terdahulu, saya tidak mahu ambil tahu apa yang telah dilakukan oleh SUA terdahulu, saya hanya boleh bercakap tentang tempoh masa yang diperlukan saya kerana saya masih baru, saya tidak boleh menjanjikan apa-apa."

Itu ayat playsafe yang keluar dari mulut Azuddin khuatir seandainya menjanjikan apa-apa, maka ia akan makan diri - tetapi setahun selepas itu pingat emas di Laos yang hadir selepas menempuh pelbagai dugaan pra-kejohanan mula memberi kredit yang baik bukan sahaja kepada pemain dan K.Rajagobal (kini datuk), tetapi juga kepada Azuddin khususnya.

Tempoh 3 tahun selepas itu Azuddin lebih terkenal dek kontroversi memanjang dan dia jugalah individu yang bertanggungjawab memastikan Presiden Persatuan Bolasepak Kelantan, Tan Sri Annuar Musa dikenakan penggantungan 30 bulan - ini kerana Pengerusi Jawatankuasa Disiplin, Datuk Taufek Razak pernah mendedahkan bahawa aduan dan surat pertuduhan mengenai TSAM adalah dikeluarkan oleh sekretariat yang diketuai Azuddin (baca sini). 

Kini, dia akan melepaskan jawatannya. Jadi siapakah pilihan yang tepat? Secara kasar, maklumat dari sumber mengatakan S/U FAS, Dato' Hamidin Amin yang juga mesra media mendapat sokongan sebulat suara dari ahli gabungan yang mencadangkan namanya untuk menjawat jawatan penting tersebut yang menawarkan gaji berpuluh ribu. 

Begitupun, Hamidin tidak berdepan laluan mudah kerana nama tokoh pentadbiran bolasepak bertaraf dunia terkenal, Windsor Paul dikatakan turut berada dalam senarai untuk mencabar jawatan tersebut - sejauh mana kesahihannya masih tidak dapat dipastikan malah dikhabarkan ada empat nama yang dicalonkan untuk mendapat perkenan Sultan Ahmad Shah (dua lagi nama tidak didedahkan sumber berkenaan).

Pada hakikatnya, nama Windsor bukanlah pertama kali disebut malah sudah ada beberapa rakan media atau blogger terkenal, Rizal Hashim sendiri menyebut nama Windsor sebagai calon yang berkelayakan dan kini ia sekadar mengukuhkan lagi perkhabaran tersebut.

Windsor Paul. Gambar : Jai Ho Malaysia (Christopher Raj)
Nama Windsor mungkin asing bagi kebanyakan peminat bolasepak tanah air, tetapi tidak di FAM - malah, saya sendiri tidak begitu familiar dengan nama ini dan hasil carian yang kemudian membawa saya ke blog Christopher Raj, Windsor adalah bekas Ketua Jabatan Pembangunan dan Penyelidikan FAM, pernah juga berkhidmat sebagai Pegawai Pembangunan FIFA dan terlibat di dalam penganjuran Piala Dunia 2006 dan 2010.

Jelas, kredibilitnya tidak wajar untuk dipertikai malah ramai mengatakan beliau adalah calon sesuai jika mahu perubahan menyeluruh dilaksana di peringkat FAM - begitupun ia sekadar satu spekulasi dan apa sekalipun keputusan akhir tetap di atas perkenan Sultan Presiden FAM. 

Hamidin masih dilihat sebagai calon favourite tetapi tidak mustahil kejutan akan berlaku dengan nama selain dua nama ini mungkin diberi peluang, sama-sama kita nantikan. 

Tuesday, May 14, 2013

Minat mendalam pendorong Izyan Zafirah

Minat mendalam terhadap aktiviti kebajikan dan sukarelawan membawa Izyan Zafirah Abdul Rahman terlibat sekali lagi sebagai salah seorang sukarelawan yang akan membantu melicinkan perjalanan Sukan Malaysia (SUKMA) tahun ini.

Bertugas sebagai Pegawai Tadbir Gred N41 di Kementerian Pertahanan, gadis genit berusia 25 tahun lulusan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai ini tidak menjadikan kesibukan tugas sebagai alasan untuk menjauhi aktiviti khidmat masyarakat dan ironinya, dia bukanlah asing dalam bidang ini dan merasakan satu kepuasan apabila dapat melakukan kerja amal.


“Saya terlibat di dalam aktiviti sukarelawan ini sejak dari bangku sekolah lagi, saya berasa puas apabila dapat terlibat sama dalam kerja-kerja amal. Malah, ketika di UTM dulu, saya aktif bersukan. Saya bermain Sofbol dan dari situ secara langsung seringkali dipanggil untuk menjadi sukarelawan di kejohanan-kejohanan sukan berprestij.

“Penglibatan saya sebagai sukarelawan di temasya sukan bermula ketika AUG 2008 yang berlangsung di ibu negara apabila saya ditugaskan sebagai pegawai Liason (perhubungan) untuk kontijen Timor Leste. Saya membantu menguruskan segala apa yang diperlukan dan saya suka untuk melakukannya, ia satu pengalaman yang menarik.

"Dari situ, minat saya untuk terlibat sebagai sukarelawan di temasya sukan bertambah dan sejak saya melibatkan diri dalam sukarelawan ini ramai kawan-kawan telah saya tarik untuk terlibat sama dalam program berbentuk sukarelawan. Saya melakukannya bukan untuk mencari nama dan tidak mengharap apa-apa kerana niat saya adalah mahu melihat lebih ramai generasi muda menjadi seorang sukarelawan," kata Izyan.

Ini adalah kali kedua Izyan akan terlibat sebagai sukarelawan SUKMA selepas kali pertama pada 2011, juga di Kuala Lumpur.

Dia yang ditemui ketika menghadiri Kursus Intensif MySukarelawan di Bukit Jalil turut berkata pada hakikatnya ramai belia di luar sana yang berminat untuk menyertai aktiviti kemasyarakatan seperti ini tetapi tidak diberi pendedahan wajar malah ramai yang tidak tahu bagaimana caranya mahu terlibat sama.

Seramai 350 sukarelawan akan terlibat di dalam menjayakan penganjuran SUKMA ke-16 tahun ini yang akan berlangsung dari 28 Jun hingga 7 Julai depan dan Izyan tidak sabar untuk menantikan temasya bermula untuk sama-sama merasai satu lagi pengalaman hebat dapat memberikan khidmat kepada para atlet mahupun pegawai pasukan. 

Sunday, May 12, 2013

Sathia bangga prestasi gemilang ATM

Ketua Jurulatih Angkatan Tentera Malaysia, B.Sathianathan percaya tiada tekanan yang menghimpit barisan pemainnya menjelang baki 5 perlawanan yang boleh diibaratkan seperti final selepas membimbing skuadnya mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas Felda United pada aksi yang berlangsung di bawah terik mentari di Stadium Majlis Perbandaran Petaling Jaya.

Gol tandukan kapten pasukan, Hairuddin Omar berpunca daripada sepakan percuma Rezal Zambry Yahya pada minit kesembilan sudah memadai untuk menghadiahkan ATM tiga mata berharga seterusnya kekal dalam pemburuan kejuaraan liga musim ini, masih ketinggalan satu mata di belakang Lions XII yang mengukuhkan cengkaman hasil kemenangan 3-0 ke atas T-Team.

foto :bharian
Sathianathan berpendapat pemainnya telah menampilkan aksi cukup komited meskipun tidak berada pada tahap prestasi terbaik dan tidak mahu meletakkan sasaran tinggi pada ketika pencapaian berada di kedudukan kedua sudah cukup untuk dibanggakan.

“Tiada sebarang tekanan untuk kami mengejar kedudukan pertama, saya tidak pernah kata kami idam untuk muncul juara tetapi jika ia hadir, kami tidak akan melepaskan peluang itu. Memang kita sedang berusaha ke arah itu tetapi jika berkesudahan di tangga ketiga sekalipun, saya tidak akan kecewa,” kata Sathianathan.

Tambahnya lagi : “Sejak awal dahulu saya sudah tegaskan kedudukan tiga teratas adalah pencapaian yang sudah cukup baik, kami hanya perlu kekal di kedudukan ini kerana secara kasarnya pasukan ini adalah dibentuk daripada skuad juara Liga Perdana musim lalu jadi ia mengujakan melihat skuad ini mengorak langkah ke depan.”   

Begitupun, kemenangan kesepuluh ATM musim ini tidak hadir dengan mudah apabila Felda yang turun membawa misi keluar dari zon penyingkiran dilihat liat untuk dijinakkan malah beberapa kali mengancam gawang kawalan Farizal Harun – termasuklah menerusi percubaan minit akhir Leonel Preux yang terkena tiang.

Mengulas mengenai kemenangan penting ini, Sathianathan berkata : “Ia kemenangan yang sukar, kami menjaringkan gol awal tetapi sukar untuk kami beraksi di bawah cuaca panas terik seperti ini. Kami bernasib baik pada sebahagian besar perlawanan kerana Felda gagal menyempurnakan peluang mereka.

“Tetapi apa yang lebih penting pemain saya berjaya menyesuaikan diri dan menunjukkan persefahaman mantap walaupun tanpa beberapa pemain utama. Kita beraksi tanpa Marlon (cedera lutut) dan Hairuddin menggalas tanggungjawab sebagai penyerang di samping peluang yang saya berikan kepada Nizarudin Yusoff.

“Ia sudah tentu lebih bagus jika Marlon beraksi, kami mungkin tampil lebih kuat. Dia bukan sekadar pemain yang baik atau sederhana, tetapi seorang pemain yang hebat, dia adalah role model pasukan ini. Apabila dia beraksi, rakan sepasukan lebih yakin. Dia akan kembali pada perlawanan akan datang, diharap kami akan bertambah baik.

“Dari aspek disiplin, saya gembira untuk melihat pemain telah mengkoordinasi dan menyusun pertahanan dengan baik, meminimakan kesilapan. Shukor (Adan) dan Irwan (Fadzli) telah menjalankan tanggungjawab dengan cukup bagus.”

Aksi menentang Felda merupakan perlawanan sebelah petang terakhir buat ATM dan lima perlawanan selepas ini kesemuanya akan berlangsung pada waktu malam justeru Sathianathan berharap ia akan memberi kelebihan buat pasukannya untuk mengekalkan rentak konsisten. 

Saturday, May 11, 2013

MSN azam pastikan SUKMA 2013 tiada kecacatan


Dalam memastikan kelancaran penganjuran temasya Sukan Malaysia (SUKMA) yang akan berlangsung di Kuala Lumpur bulan depan, Majlis Sukan Negara (MSN) tidak mahu terlepas pandang walau satu pun aspek yang perlu diberi perhatian – ini termasuklah penyediaan khidmat sukarelawan bagi membantu menjayakan temasya yang memasuki edisi ke-16 ini.

Pengarah Jabatan Hal Ehwal Atlet MSN yang juga Pengerusi Jawatankuasa Sukarelawan SUKMA KL 2013, Zaiton Othman berkata pihaknya serius di dalam membekalkan khidmat terbaik sepanjang 10 hari temasya berlangsung apabila menyediakan seramai 350 sukarelawan untuk terlibat sama agar penganjuran kali ini berlangsung dengan jayanya.


Bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Kursus Intensif MySukarelawan SUKMA 2013 di Bukit Jalil, Zaiton berkata : “Khidmat mereka sangat penting, merekalah yang akan membantu memastikan SUKMA kali ini berjalan lancar.

“Kursus ini akan membantu mereka memahami dan tahu apa yang diperlukan daripada mereka, serta bagaimana untuk mengendalikan perkara-perkara yang perlu walau dalam apa jawatankuasa sekalipun mereka diletakkan agar mereka dapat melaksanakan tugas dengan berkesan nanti.

“Kita akan mempunyai 16 jawatankuasa semuanya. Semua jawatankuasa memerlukan sukarelawan seperti sekretariat sendiri, perubatan, penyampaian hadiah, pengangkutan dan sebagainya. Kita mahu sukarelawan kita berkenalan satu sama lain melalui aktiviti yang kita adakan, dengan itu mereka akan lebih mudah bekerjasama dan membentuk pasukan yang mantap di SUKMA.”

Kursus  Intensif MySukarelawan akan berlangsung dua sessi dengan sessi kedua dijadual diadakan pada 15 Jun depan.

Topik-topik yang terkandung di dalam modul latihan untuk sukarelawan sepanjang dua sessi ini adalah memahami kesukarelawan, tayangan video tanggungjawab sukarelawan sukan antarabangsa dan tempatan, sesi permainan, the do and don’t’s di kalangan sukarelawan sukan, etika kesukarelawan dan Role Play.

Mengulas lanjut, Zaiton berkata : “Kita sebenarnya telah rancang tiga sesi, tetapi kerana kita nak jimatkan bajet, kita padatkan jadi dua. Sesi yang seterusnya (15 Jun) akan memantapkan lagi pengetahuan mereka kerana pada masa itu mereka akan lebih jelas tentang tugas mereka.

“Saya yakin dua sesi sudah mencukupi, kita ada tenaga yang berpengalaman dan sukarelawan ini akan didedahkan dengan bidang tugas sebaiknya. Apa yang penting, kita mahu mereka tahu etika yang perlu dipatuhi, menjadikan mereka lebih berdisiplin kerana sukarelawan ini akan membawa imej dan nama kita secara langsung.”

SUKMA KL 2013 akan berlangsung pada 28 Jun hingga 7 Julai depan dengan mempertandingkan sebanyak 20 acara sukan. 

Friday, May 10, 2013

Hai-O : Silap besar jika pandang enteng keupayaan Felda

Artikel yang saya nukil untuk Media ATM sebagai membantu rakan saya, Harris Rajahdin yang sedikit sibuk minggu ini. 


Kapten The Gladiators, Hairuddin Omar berkata adalah silap jika menganggap pertemuan menentang pasukan di kedudukan tiga tercorot, Felda United petang esok sebagai perlawanan yang mudah justeru menggesa rakan sepasukannya agar tidak hilang tumpuan dalam memastikan tiga mata menjadi milik mutlak ATM.

“Di atas kertas mungkin nampak mudah, tetapi saya tetap berpendapat ia perlawanan yang sukar. Prestasi semasa Felda tidak boleh dijadikan ukuran kerana mereka tentunya memberi tentangan sengit untuk keluar dari zon penyingkiran. Ia silap besar yang mungkin akan makan diri jika kita memandang enteng keupayaan mereka.


“Lagipun kita perlu berhati-hati kerana perlawanan esok berlangsung pada waktu petang, itu satu lagi kekangan bagi kita kerana keputusan kita tak berapa bagus apabila beraksi pada waktu petang. Kita juga akan turun tanpa Afizze Faizal, K.Reuben dan Christie Jayaseelan yang digantung perlawanan, jadi saya percaya kami akan dikerah bekerja keras,” ujar pemain kelahiran Setiu itu.

ATM ketika ini berada di tahap prestasi terbaik mereka selepas mencatat empat kemenangan dalam lima perlawanan terakhir, terbaru kemenangan 2-0 ke atas pasukan berbelanja besar, Johor Darul Takzim pada Selasa lalu namun berdepan kebimbangan tidak dapat menurunkan ayam tambatan yang juga penjaring terbanyak, Marlon Alex James akibat kecederaan.

“Saya tidak pasti tentang situasi Marlon, sehingga semalam selepas latihan dia mengalami kecederaan lutut dan mungkin tidak diturunkan. Saya juga tidak berada pada tahap kecergasan 100% tetapi ATM mempunyai barisan pemain simpanan yang tahap mereka sama dengan pemain di kesebelasan utama. Itu kelebihan kita,” tambah Hairuddin lagi.

Dengan 30 mata daripada 16 perlawanan, ATM ketika ini di tangga kedua, ketinggalan satu mata di belakang Lions XII yang beraksi kurang satu perlawanan dan lima mata meninggalkan dua pasukan yang mengekori di belakang, Selangor dan JDT, masing-masing 25 mata.

Ini meletakkan anak buah B.Sathianathan sebagai pencabar utama kejuaraan Liga Super pada musim pertama mereka di pentas elit bolasepak negara ini setelah juara sejak dua edisi lalu, Kelantan mengalami kemerosotan prestasi dan terperosok di tangga ketujuh ketika saingan hanya berbaki 6 perlawanan untuk ditamatkan.

Tambah Hairuddin : “Kita sudah berada di laluan yang terbaik, kita ada kemampuan untuk mencabar kejuaraan. Apa yang penting saya dan rakan sepasukan perlu memberi yang terbaik untuk memastikan kita mencatat keputusan baik pada baki 6 perlawanan akan datang. Tidak mustahil kita boleh mencipta kejutan dengan muncul juara sekiranya prestasi ini dikekalkan hingga akhir musim.”

Thursday, May 9, 2013

Zolkples jamin SUKMA 2013 lebih berkredibiliti

Dengan kerjasama Sports247, dipersembahkan berita mengenai Sukan Malaysia.

Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara, Dato’ Seri Zolkples Embong percaya penganjuran temasya Sukan Malaysia (SUKMA) tahun ini, yang mana akan berlangsung dari 28 Jun – 7 Julai depan adalah lebih berkredibiliti dan memberi jaminan bahawa beberapa ralat yang berlaku dalam penganjuran SUKMA yang lepas dapat diatasi.

Bercakap kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Laman Web dan Detik 50 Hari SUKMA ke-16 di Bukit Jalil, Zolkples berkata : “Buat pertama kalinya kita akan mengadakan Delegation Registration Meeting (DRM) sebelum temasya bermula.


“DRM lazimnya untuk temasya peringkat dunia seperti Komanwel dan Olimpik tetapi untuk permudahkan perjalanan kejohanan, kita bersetuju mengadakannya di peringkat SUKMA. MSN peka dengan beberapa masalah yang sering kali timbul seperti masalah pertukaran atau pertindihan masa membabitkan atlet kontijen yang bertanding.

“Kita mahu jimatkan tenaga, jimatkan masa. Jadi, dengan adanya DRM, masalah-masalah ini kita yakin akan diatasi dan penganjuran juga lebih efektif,” jelas Zolkples mengenai DRM yang dijadual diadakan pada 3 hingga 6 Jun depan membabitkan semua kontijen yang bertanding.

Hampir 5,000 pegawai pasukan dan atlet dijangka membanjiri perkampungan sukan di Universiti Putra Malaysia bagi menjayakan kejohanan yang pernah melahirkan ramai jagoan sukan dunia dari Malaysia seperti Dato’ Lee Chong Wei, Dato’ Nicol David, Khoo Cai Lin, Azizul Hasni Awang dan Azlan Iskandar.

Terengganu yang bakal turun untuk mempertahankan gelaran juara keseluruhan buat kali kelima berturut-turut menyertai 17 daripada 20 acara sukan yang dipertandingkan manakala hanya dua kontijen – Selangor dan Wilayah Persekutuan – yang menghantar penyertaan bagi kesemua 20 sukan tersebut.

Tanpa ‘ibu’ segala sukan, bolasepak, yang tidak dipertandingkan, sukan Ragbi menjadi satu-satunya sukan disertai oleh kesemua 14 kontijen yang mengambil bahagian di temasya yang dianjurkan dengan kos tidak melebihi RM9 juta ini.

Bahang SUKMA makin terasa


Dengan kerjasama Sports247, dipersembahkan berita mengenai Sukan Malaysia. 

Bahang semakin terasa tatkala tinggal hanya 50 hari sahaja lagi sebelum peminat sukan tanah air disajikan dengan kehangatan temasya Sukan Malaysia ke-16 yang akan berlangsung bermula 28 Jun hingga 7 Julai depan.

Temasya yang seringkali menjadi medium terbaik mencungkil bakat-bakat muda berpotensi besar ini tidak pernah sepi dari sambutan meriah dan begitu jugalah ceritanya tahun ini apabila dilaporkan hampir 500 atlet dari seluruh negara bakal turun berentap memburu pengiktirafan.

Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Dato’ Seri Zolkples Embong berkata segala persiapan pra-kejohanan berjalan lancar dan yakin pihak sekretariat akan menyediakan khidmat terbaik agar maklumat-maklumat terkini dapat disampaikan dengan tepat dan pantas kepada orang ramai.


“Kita telah membuat persiapan sejak tahun lepas lagi, selepas berakhir SUKMA di Pahang dan saya bersyukur kerana pilihanraya yang telah berlangsung juga tidak menjejaskan sedikitpun kelancaran persiapan. Ini bukti betapa sukan tidak dipengaruhi oleh mana-mana faktor luar.

“Hari ini, kita melancarkan laman web rasmi temasya, menunjukkan betapa kita serius untuk mengangkat martabat sukan negara tanpa mengira tahap kompetitifnya,” kata Zolkples pada Majlis Pelancaran Laman Web & Detik 50 Hari Sukan Malaysia ke-16 Kuala Lumpur.

Tambah beliau lagi : “Kualitinya mungkin rendah, tidak seperti web yang dibangunkan dengan kos berjuta-juta, tetapi apa yang penting adalah menyampaikan maklumat yang dikemaskini. Apa yang kita tekankan adalah menyediakan sebuah kejohanan yang tinggi mutunya, kita mahu lahirkan lebih ramai atlet berkelas tinggi dan mahu lihat lebih ramai atlet pecahkan rekod kebangsaan.”

Temasya SUKMA yang lazimnya diadakan setiap dua tahun mula dijadikan sebagai kejohanan tahunan sejak 2011 dengan Terengganu muncul juara edisi lalu menerusi pungutan 62 emas, 24 perak dan 31 gangsa sekaligus mempertahankan kejuaraan buat kali keempat berturut-turut sejak pertama kali muncul juara pada 2008.


Untuk edisi kali ini, sebanyak 20 acara sukan akan dipertandingkan antaranya bolasepak, ping pong, ragbi, gimnastik, akuatik dan bina badan manakala sukan seperti muay-thai, woodball dan bolasepak pantai pertama kali dipertandingkan.

Upacara perasmian dan penutupan kejohanan dijadual berlangsung di Stadium Mini MSN, Bukit Jalil sementara venue pertandingan pula akan membabitkan beberapa lokasi sekitar Kuala Lumpur dan Lembah Klang.

Wednesday, May 8, 2013

Ejai selamatkan ATM

Artikel disumbangkan Harris Rajahdin yang juga pemegang saham Suara Sukan, beliau merupakan bekas wartawan Berita Harian yang kini Pegawai PR di Universiti Malaya selain berkhidmat bersama Jabatan Media ATM yang dikendalikan Shekhinah PR.

Pendahulu carta penjaring, Marlon Alex James meledakkan dua gol untuk mengekalkan Angkatan Tentera Malaysia dalam buruan gelaran Liga Super menerusi kejayaan 2-0 keatas barisan berbelanja besar, Johor Darul Takzim.

Penyerang tinggi lampai kelahiran St Vincent & Grenadines itu yang jauh mendahului dalam senarai Kasut Emas menanduk masuk hantaran lintang Bruno Sebastian Martelotto pada minit ke-55.

foto : mediaATM
Ia adalah jaringan ke-15 Marlon musim ini, disusuli dengan gol keduanya lapan minit kemudian apabila melepaskan diri daripada kawalan dalam kotak penalti sebelum merembat kencang ke penjuru gawang.

Drama tercetus, dua minit susulan itu selepas pelawat dianugerahkan penalti berikutan kesilapan pemain muda, Affize Faisal Mamat menjatuhkan Norshahrul Idlan Talaha dalam kawasan bahaya.

Peledak bertubuh gempal, Leonel Nunez mengambil sepakan itu namun Ejai meneka tepat untuk mengekalkan kelebihan dua gol The Gladiators.
ejai cemerlang. foto : mediaATM
Tiga mata itu kini menyaksikan ATM kekal satu mata dipisahkan dengan pendahulu, Lions XII yang meraih kejayaan 2-1 ke atas Terengganu pada aksi yang dilangsungkan sebelah petang.
“Fokus bukan terarah kepada saya tetapi persembahan pasukan, tidak penting sama ada saya atau pemain lain yang menjaringkan gol,” kata Marlon.


“Kami perlu kekal positif dan terus berharap bahawa kami mampu mengekalkan diri dalam buruan Liga Super,” tambahnya.