Wednesday, July 25, 2012

Arsenal Nyaris Diaibkan Sang Harimau, Wenger Puji Aksi Gary, Farizal


foto : Ahmad Junaidi

Kealpaan barisan pertahanan dalam tempoh 3 minit terakhir memisahkan Malaysia daripada mengulangi sejarah 37 tahun lalu, apabila kelab Liga Perdana Inggeris, Arsenal bangkit daripada ketinggalan satu gol untuk mencatat kemenangan 2-1 ke atas skuad Malaysia kendalian Datuk K.Rajagobal di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Malaysia, yang tewas 0-4 kepada lawan sama tahun lalu tampil sebagai sebuah pasukan berbeza kali ini, dengan aksi dan penguasaan bola yang lebih meyakinkan, lebih banyak mencipta gerakan dan peluang, justeru tidak hairanlah pengurus Arsenal, Arsene Wenger sendiri menyatakan rasa kagumnya terhadap peningkatan ditunjukkan Harimau Malaya.

Malah, Wenger juga memuji aksi beberapa pemain terutamanya Gary Steven Robbat dan penjaga gol, Farizal Marlias.

“Pasukan yang kami tentang malam ini jauh meningkat berbanding tahun lalu, saya harus memuji kawan saya (Rajagobal) atas peningkatan ini, mereka menyukarkan kami, dan saya agak tertarik untuk melihat aksi beberapa pemain, antaranya nombor 15 (Gary), nombor 8 (Safiq), nombor 16 (Kunalan) agak lincah dan pastinya penjaga gol (Farizal) yang cukup cemerlang (fantastic) malam ini.

foto : Ahmad Junaidi
“Apapun, bagi saya keputusan perlawanan tidaklah terlalu penting pada aksi pra-musim, yang penting adalah persefahaman dan keserasian yang dapat dipupuk, itu yang saya tekankan kepada pemain saya, saya menurunkan barisan berbeza di setiap babak permainan, adunan pemain berpengalaman dan muda sebagai pendedahan kepada pemain muda kami. Musim EPL cukup panjang, mereka perlu bersedia beraksi bila-bila masa diperlukan andai ada perkara luar dugaan berlaku, contohnya seperti kecederaan pemain utama,” ujar Wenger pada sidang media selepas perlawanan.

Manakala bagi Rajagobal, beliau cukup gembira dengan prestasi para pemainnya.

“Apabila menentang pasukan seperti Arsenal, sebuah kelab gergasi, kita mampu menjaringkan gol dan hampir menewaskan mereka, ia pastinya perlu dipuji. Pemain saya telah melakukan yang terbaik, dan tiada apa untuk dimalukan dengan kekalahan ini, walaupun saya akui sedikit kecewa untuk tewas selepas mendahului pada saat yang begitu getir.

Mengenai komen Wenger tentang Gary Steven, Rajagobal berkata : “Ya, Wenger ada bertanya kepada saya pemain ini cukup bagus kenapa tidak masukkan dia awal-awal, tetapi saya berkata ia adalah perancangan taktikal, lagipun saya mahu beri peluang kepada semua pemain membuktikan sesuatu. Saya turunkan Shakir Shaari di posisi Gary untuk melihat keberkesanan dia, tetapi dia baru sahaja mewakili Kelantan menentang QPR dan kelihatan penat, justeru saya menggantikan dia dan Gary membalas kepercayaan saya.”

Pada perlawanan itu, Malaysia mengejutkan Arsenal menerusi gol pembukaan pemain pertahanan kiri, Azmi Muslim dari jarak hampir 30 meter yang mengegar gawang kawalan Vito Mannone pada masa kecederaan babak pertama.

foto : Dunia Sukan
Arsenal yang beraksi sambil lewa sebelum itu, menggandakan usaha mencari gol penyamaan di babak kedua, namun semua usaha mereka menemui jalan buntu, sama ada disebabkan keutuhan pertahanan diterajui S.Subramaniam dan Aidil Zafuan mahupun kecemerlangan Farizal mengagalkan beberapa percubaan berbahaya.

Keputusan Rajagobal mengeluarkan Azmi dan meletakkan penyerang, Rozaimi Rahman di posisi bek kiri menjadi titik tolak kebangkitan Arsenal yang memanfaatkan kepincangan di sebelah kiri untuk mencipta gol penyamaan menerusi Thomas Eisfeld pada minit ke-87, dan selang dua minit kemudian Chuks Aneke menjaringkan gol kemenangan The Gunners sekaligus menyentap hasrat Malaysia mencipta kejutan.

foto : Dunia Sukan
Sementara itu, gandingan penyerang utama – Norsharul Idlan dan Safee Sali – terus hambar dengan kedua-dua pemain itu dilihat masih bergelut untuk kembali menemui prestasi sebenar mereka. Safee, di sebalik berjaya menguji Manonne 3 kali, mempamer sentuhan kecundang setiap kali mendapat bola, manakala Norsharul masih terbawa-bawa aksi tidak meyakinkannya sejak pulih dari kecederaan jangka panjang.

Tuesday, July 17, 2012

Tiket QPR - Kelantan Pada Separuh Harga, Bonus Raya RM50,000 Menanti Pemain Kelantan

gambar ehsan Ferzalfie Fauzi 
Anak Kelantan bergelar mahasiswa boleh mendapatkan tiket perlawanan Kelantan menentang kelab Liga Perdana Inggeris, Queens Park Rangers yang berharga RM53 pada separuh harga, yang mana akan dijual mulai hari ini sehingga 19 Julai (Khamis), di Pejabat Hal Ehwal Pelajar, Universiti Teknologi Mara, Puncak Alam - hubungi Puan Fazilah di talian 019 6401 062.

Presiden Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa berkata langkah ini diambil untuk memastikan lebih ramai penyokong The Red Warriors membanjiri Stadium Shah Alam, 

"ini tawaran istimewa kepada mahasiswa anak kelantan, tiket-tiket berharga RM53 ini boleh didapati pada separuh harga untuk tempoh sehingga malam 19 Julai, di mana mereka perlu tunjukkan kad matrik sebagai mengesahkan bahawa mereka adalah pelajar universiti (mana-mana universiti, janji tunjuk kad matrik).

"dan seorang dihadkan 4 keping tiket. Kita peruntukkan sebanyak 5ribu tiket untuk dijual melalui universiti dan tiket yang tidak habis pada malam 19Julai, akan kita kutip balik untuk dijual di Stadium Shah Alam pada hari perlawanan (20Julai), kat sana sudah tiada diskaun. Kena beli pada harga asal..".

**so, sape2 ada member kat u bolehla roger2 terus, atau kalau takde kad matrik pun, pergi jer uitm puncak alam, aproach la mana-mana student suruh tolong beli (ini cadangan peribadi saya).**

Annuar juga mengesahkan sehingga kini sudah lebih 20,000 tiket sudah dijual, dan menjangkakan sekurang-kurangnya lebih 30,000 peminat bolasepak tempatan, khususnya peminat TRW akan hadir menyaksikan perlawanan bersejarah bagi TRW ini.

Tambahnya, segala kemudahan solat maghrib dan solat terawih (jika disahkan keesokan harinya puasa) sudah diusahakan dengan kerjasama Majlis Bandaraya Shah Alam.

Sementara itu, mengenai persiapan pasukannya, TSAM berkata Kelantan akan menyenaraikan barisan pemain terkuat dalam memastikan penonton yang hadir disajikan dengan permainan menarik dan menghiburkan, dan mengumumkan pemberian bonus raya RM50,000 ANDAI dapat mengekang QPR sekurang-kurangnya untuk keputusan seri.

"kita akan turunkan skuad penuh kita, ini sebagai justifikasi kepada harga tiket yang dibayar penyokong, agar mereka terhibur. semua pemain yang bercuti kita dah panggil balik, termasuk Ghaddar yang cuti kahwin, yang pergi national training, dan kita akan ada 4 pemain import termasuk Mijo Dadic. kita bukan sekadar mahu main suka-suka, tetapi memberi saingan hebat dan jikalau kita berjaya kekang QPR untuk sekurang-kurangnya seri, saya akan beri mereka bonus raya RM50,000," katanya dalam sidang media khas di ibu negara petang tadi.

Mengenai persiapan skuad Piala Malaysia, Annuar mengesahkan tiga pemain tempatan akan didapatkan secara pinjaman bagi memperkuatkan cabaran pasukan TRW, iaitu dua pemain KL dan seorang pemain Sabah. 

"Tiga pemain ini akan kita daftarkan sebagai pemain pinjaman untuk memperkuatkan pasukan bukan sahaja Piala Malaysia, tetapi juga Piala AFC. Persetujuan sudah dicapai bersama pasukan masing-masing, kini tinggal rundingan mengenai bayaran gaji dan kontrak bersama pemain itu sendiri, yang mana sudah berada di fasa akhir..", kata Annuar yang meminta agar nama tiga pemain itu tidak didedahkan.

Memandangkan TSAM sendiri mengakui persetujuan sudah dicapai, tak salah rasanya didedahkan - Aslam Najmudin, Afiq Azmi (KL), Mafri Balang (Sabah)  - ini info dari TSAM sendiri, kalau dia lipak saya, maknanya saya telah lipak anda. Hopefully saya tak dilipak.

Subra : Padang Keras Macam Batu


Pemain pertahanan Kelantan, yang juga antara pemain pertahanan terbaik negara, S.Subramaniam menyifatkan padang bolasepak di Malaysia tidak berkualiti. Syabas Subra, kerana berani bersuara demi  kemajuan bolasepak tanah air. Artikel ini telah disiarkan di Majalah Kakibola baru-baru ini, yang mana pengarangnya adalah saya sendiri.  

foto kredit : shazlishamsuddin, theredwarriors.com
Malaysia mungkin boleh berbangga dengan reputasi selaku jagoan bolasepak Asia Tenggara, malah seringkali juga menjadi tumpuan kelab gergasi bolasepak antarabangsa sebagai destinasi persiapan pra-musim.

Kita memiliki himpunan stadium berkapasiti besar yang sesuai digunakan untuk penganjuran kejohanan berprestij seperti Piala AFF Suzuki malah pernah menganjurkan Kejohanan Champions Youth Cup yang berlangsung di beberapa lokasi, namun sejauh mana pula aspek kualiti padang itu ditekankan?

Jujur saya katakan, kualiti padang dan infrastruktur stadium bolasepak di Malaysia masih lagi di tahap yang menyedihkan.

Seringkali kita mendengar rungutan dan keluhan para pemain mahupun jurulatih yang mempersoalkan kualiti padang yang tidak menepati standard atau piawaian, dan akhirnya membawa kepada permainan tidak sepertimana yang diharapkan, menganggu taktikal yang telah dirancang selain meningkatkan risiko kecederaan,namun apabila bersuara kita dikatakan memberi alasan.  

Penyokong membayar harga tiket yang tinggi untuk menyaksikan permainan bolasepak berkualiti dan menghiburkan, tetapi mutu padang yang teruk menyebabkan mereka seringkali pulang hampa apabila pemain tidak dapat menyerlahkan aksi sebenar mereka.

Pemain terpaksa mengambil extra-touch walhal mereka sebenarnya boleh bermain one-touch football kerana padang yang tidak rata, keras dan tidak sesuai untuk perlawanan bolasepak – ini mungkin disebabkan pengurusan yang tidak peka akan penyelenggaraan rumput dan penjagaan padang, selain penggunaan stadium untuk aktiviti selain bolasepak.

Sebagai contoh, berdasarkan pengalaman saya sendiri, ketika beraksi pada perlawanan Piala AFC membabitkan Kelantan dan Navibank Saigon dari Vietnam di Stadium Nasional Bukit Jalil, perlawanan itu berlangsung dengan 60% padang ditakungi air akibat hujan lebat.

Sistem saliran air stadium masih lagi lemah dan tidak guna kita mempunyai stadium yang besar dan berkapasiti tinggi, disifatkan terbaik di Asia Tenggara, tetapi kemudahan padang, tandas, dan bilik persalinan pemain tidak berada di tahap yang terbaik – dan malangnya keadaan ini boleh dikatakan berlaku di kebanyakan venue.

Kebanyakan stadium bukan milik persatuan bolasepak negeri, sebaliknya perbadanan stadium dimiliki kerajaan negeri dan ini menyebabkan kesukaran untuk proses penyelenggaraan dilakukan pihak persatuan – masalah ini tidak boleh dibiarkan berlanjutan, kerana dikhuatiri akan memberi imej buruk kepada bolasepak tanah air, seterusnya menjejaskan pembangunan bolasepak negara.

Jika benar kita sayangkan bolasepak kita, langkah drastik perlu segera diambil, dan diberi penekanan dari semasa ke semasa, kerana daripada penyokong hinggalah pemain, semuanya mengharapkan padang berkualiti untuk mutu bolasepak yang terbaik.

S.Subramaniam, pemain Kelantan dan kebangsaan.

Majalah Kakibola yang kedua di bawah penulisan saya akan berada di pasaran bermula hari ini. Jangan lupa dapatkannya, lebih banyak kupasan menarik dimuatkan di dalamnya.




Monday, July 16, 2012

Khairul Fahmi Dilantik Sebagai Duta 100Plus


Penjaga gol utama Malaysia, Khairul Fahmi Che Mat, menerima suntikan semangat menjelang perlawanan menentang kelab gergasi Liga Perdana Inggeris (EPL) dan Piala AFF Suzuki penghujung tahun ini apabila menandatangani persetujuan untuk dilantik sebagai duta 100Plus. 

Ini menyaksikan Khairul menyertai kumpulan ekslusif atlet handalan kebangsaan termasuk bintang badminton, Datuk Lee Chong Wei, penerjun bertaraf dunia Pandalela Rinong dan Safee Sali sebagai duta minuman isotonik nombor satu negara itu. 

100Plus juga adalah penaja minuman rasmi pasukan lumba basikal trek kebangsaan dan minuman yang disyorkan oleh Majlis Sukan Negara (MSN).

Khairul bersetuju mengikat perjanjian dua tahun yang bakal menyaksikan penjaga gol terbaik kebangsaan itu muncul dalam iklan dan promosi 100Plus di seluruh negara. 

"Khairul adalah atlet yang luar biasa dan seorang yang mempunyai reputasi tinggi di Malaysia. Dia terus mengejar kejayaan dan menepati semangat yang dilaungkan 100Plus iaitu 'Atasi Segalanya'. Kami cukup gembira untuk melantiknya dan percaya beliau adalah role model yang baik bagi mereka yang mahu menjalani gaya hidup yang aktif," kata Penolong Pengurus Besar, Brand Marketing F&N Beverages Marketing Sdn Bhd, Jenny Wong.

Kempen pertama yang akan menyaksikan kelibat Khairul atau lebih dikenali sebagai Apek adalah kempen  Ramadhandan Hari Raya 100Plus yang diberi judul Sentiasa Cergas Di Bulan Mulia Ini. Bercakap di majlis pelancaran komersial TV hari ini, Apek berkata beliau amat gembira dipilih sebagai duta 100Plus.

"Perjanjian tajaan ini adalah satu pengiktirafan terhadap usaha saya sebagai penjaga gol pasukan kebangsaan dan saya mahu mengucapkan terima kasih kepada 100Plus di atas kepercayaan mereka terhadap saya," kata Khairul yang akan menyertai latihan bersama skuad kebangsaan petang ini dalam persiapan untuk menghadapi perlawanan persahabatan menentang Arsenal dan juara liga inggeris, Manchester City. 


Perlawanan ini adalah sebahagian daripada persediaan pasukan kebangsaan untuk menghadapi Piala AFF Suzuki yang akan berlangsung dari 24 November hingga 22 Disember depan. Malaysia akan turun selaku juara bertahan dan bakal berdepan ujian getir mempertahankan gelaran apabila diundi bersama Indonesia dan juara 3 kali, Singapura, dalam Kumpulan B.

"Kita berada dalam kumpulan yang sukar, dan perlu menepati semangat Atasi Segalanya 100Plus untuk menewaskan lawan seterusnya mempertahankan kejuaraan," ujar Khairul.

100Plus juga adalah penyokong yang komited bagi acara sukan di Malaysia - Media247-

Monday, July 9, 2012

Rajagobal Panggil 27 Pemain, Rizal Fahmi, Manaf Mamat Dalam Standby List


Matyo terus mendapat kepercayaan di sebalik prestasi merudum

Menjelang pertemuan menentang dua kelab Liga Perdana Inggeris, Arsenal dan Manchester City, Persatuan Bolasepak Malaysia telah memanggil seramai 27 pemain untuk mendaftar diri di kem latihan skuad kebangsaan pada 16 Julai 2012.

Tiada kejutan disaksikan pada senarai pemain yang diumumkan, kecuali penyenaraian penyerang muda, Rozaimi Abdul Rahman yang sedikit mencuri tumpuan. Selain 27 pemain yang dipanggil melapor diri, 5 lagi pemain – Nasril Nourdin, Mazlizam Mohd, Rizal Fahmi Rosid, Gary Steven Robbat, dan Manaf Mamat pula diletakkan dalam senarai ‘standby’ sekiranya berlaku kecederaan kepada mana-mana pemain yang sedia ada.

Senarai penuh :
Amar Rohidan, Khyril Muhaimeen, Baddrol Bakhtiar (Kedah)
Asrarudin Putra Omar, Bunyamin Omar, Safiq Rahim, Norazlan Razali (Selangor)
Shakir Ali, Farizal Marlias, Shahurain Abu Samah, S.Kunanlan (N.Sembilan)
Khairul Fahmi, Shakir Shaari, Norsharul Idlan, S.Subramaniam (Kelantan)
Ashaari Shamsudin, Muslim Ahmad, Faizal Muhamad (Terengganu)
Azamudin Akil (Pahang), Rozaimi Abdul Rahman (Sabah)
Mahali Jasuli, Fadhli Shas (Harimau Muda)
Aidil Zafuan, Amiridzwan Taj, Azmi Muslim (ATM)
Safee Sali (Pelita Jaya), Yong Kuong Yong (Felda)

Sunday, July 8, 2012

Kelantan Terlalu Unggul, Pertahan Kejuaraan Liga Super


Selepas menjuarai Piala FA pada Mei lalu, Kelantan melengkapkan musim cemerlang mereka dengan kejayaan mempertahankan trofi Liga Super, pada ketika masih berbaki 2 perlawanan lagi untuk diharungi.

Lebih manis, saat gemilang itu dicipta di laman sendiri di hadapan hampir 15,000 penyokong dengan Kelantan garang membaham Perak 6-0, dengan kesemua gol terhasil dalam tempoh 47 minit pertama.

foto : gawang.my
Indra Putra Mahyuddin muncul wira dengan jaringan hatrik, tatkala kapten Badri Razi, Mahmoud Ghaddar dan Nurul Azwan Roya melengkapkan pesta gol Kelantan, yang juga kemenangan terbesar tuan rumah di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV sejak membelasah Felda Utd dengan jaringan sama lebih setahun lalu.

Perlawanan bagaimanapun sedikit tercemar dengan layangan kad merah kepada kapten Perak, Shahrulnizam Mustapha, yang mengasari Mahmoud Ghaddar.

Kemenangan membolehkan Kelantan mengumpul 57 mata, 7 mata meninggalkan pasukan tangga kedua, Lions XII, dan 17 mata mengatasi pasukan tangga ketiga, Selangor yang menewaskan Kuala Lumpur 4-0.

Saturday, July 7, 2012

Ahli Gabungan Tidak Dibenar Sentuh Isu Lain, Kongres FAM Hambar


Kongres FAM 2010 & 2011 yang berlangsung pada hari ini, menyaksikan hanya penambahan ahli jawatankuasa eksekutif daripada 8 kepada 10 orang menjadi ‘keputusan besar’ yang dibuat menjadikan keseluruhan sesi yang berlangsung hampir 90 minit hambar tanpa sebarang isu lain diketengahkan.

Penambahan 2 ahli wanita untuk membarisi jawatankuasa eksekutif adalah sebagai pindaan kepada artikel 33 statut FAM dan dimuktamadkan pada kongres yang dipengerusikan Presiden, Sultan Ahmad Shah, tengah hari tadi.

Naib Presiden FAM, Datuk Affandi Hamzah berkata : “kita telah bersetuju dengan penambahan ahli jawatankuasa, di mana 2 tambahan itu khusus untuk kuota wanita, ia sejajar dengan peraturan FIFA dan AFC. Kita percaya ia dapat membantu pembangunan bolasepak wanita. Pencalonan sebagaimana biasa akan datang dari ahli gabungan sebelum kongres akan datang, dan saya yakin mereka akan calonkan individu yang relevan untuk mengangkat martabat bolasepak wanita,”.

foto : Mohamad Sabri Hassan
foto : Mohamad Sabri Hassan
Dalam pada itu, sepanjang kongres berlangsung, hanya Presiden Persatuan Bolasepak Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim dilihat aktif melontarkan pendapat dan pertanyaan pada ketika semua ahli gabungan lain tampak ‘berat’ untuk berbuat demikian, namun apa yang menjadi persoalan Shahidan adalah mengapa KONGRES TIDAK MEMBENARKAN ahli gabungan untuk bersuara tentang lain-lain perkara berbangkit.

“Kita ahli gabungan tiada ruang untuk bercakap tentang hal-hal lain yang berbangkit selain agenda mesyuarat, itu peraturan katanya. Jadi apa guna ada terms lain-lain perkara berbangkit dalam minit mesyuarat? Tujuan saya bersuara, saya mahu biarlah pertubuhan ini ditadbir secara kasih sayang, jangan ada buruk sangka. Kita kena rigid, jangan berpemikiran sempit,” katanya yang ditemui selepas berakhir kongres.

Antara perkara yang dibangkitkan Shahidan, apakah larangan memberi kenyataan turut membabitkan media sosial seperti blog, facebook, portal tidak rasmi atau mana-mana medium lain, atau ianya sekadar membabitkan media rasmi yang berdaftar sahaja namun tidak mendapat jawapan daripada Tuanku Presiden, sebaliknya disindir apakah beliau mahu mengikut jejak Tan Sri Annuar Musa, iaitu bersuara menggunakan laman facebook.

“Kita perlukan penjelasan tentang statut yang menyebut tentang kesalahan memberi kenyataan kepada media, apa terms media itu, adakah membabitkan media sosial? Kenapa ia tidak boleh dibangkitkan? Apakah bersuara menggunakan media sosial satu kesalahan? Takkan hari-hari orang bagi statement, hari-hari FAM nak tangkap orang? Nanti lokap tak cukup. Harini tangkap seorang, esok yang lain pula bercakap, ia takkan habis, FAM tidak boleh keras, tadbir secara lembut,” tambah Shahidan.

Dokumen Yang Mempengaruhi Keputusan FAM


Tindakan FAM untuk tidak menghantar bantahan terhadap kes membabitkan pemain lebih umur Myanmar pada Kelayakan B-22 Piala Asia, bukanlah satu kejutan dan ianya sudah diduga dari awal - tetapi pastinya satu kekecewaan buat seluruh peminat bolasepak tempatan yang merasakan FAM tidak seiring dengan apa yang mereka laungkan, Support Our Local Football.

Awal-awal lagi hanya media dan ‘pihak ketiga’ (mengikut kata Datuk Azuddin Ahmad) yang dilihat bersungguh-sungguh memperjuangkan nasib, mencari bukti bagi membantu skuad B-22 negara itu yang tersingkir selepas kekalahan kepada Myanmar, pada ketika FAM mengambil sikap berdiam diri dengan alasan tiada bukti, manakala bukti yang ada pula tidak mahu dimanfaat dan dikatakan tidak dapat membantu.

Tatkala beberapa bukti diperoleh media dilihat sudah cukup untuk setidak-tidaknya membolehkan bantahan dikemuka, berikut beberapa dokumen yang mempengaruhi tindakan FAM untuk tidak membuat bantahan.











Mengikut maklumat atau bukti yang diperolehi FAM dari senarai pendaftaran pemain ini, memang SAH Kaung Si Thu adalah pemain yang lahir pada 1993, iaitu berusia 19 tahun, manakala Kyi Lin lahir pada 1992, iaitu berusia 20 tahun - ini berbeza dengan maklumat awal yang tertera di laman wikipedia yang kemudiannya telah diedit.

Sementara Kyaw Zayar Win pula dikatakan dua individu dengan nama sama, seorang berusia 24 tahun, dan seorang lagi berusia 21 tahun justeru menjadikan FAM membuat konklusi betapa mereka 'tidak boleh menang kes' walaupun bantahan dikemuka.

Apa yang menjadi persoalan di sini, mengapa susah sangat untuk hantar sahaja bantahan, menang atau tidak biar AFC yang tentukan melalui jawatankuasa tertentu yang akan menyiasat kes ini, sekurang-kurangnya kita cuba untuk fight akan perkara ini - apakah rasional mengalah sebelum mencuba sedangkan peluang itu tetap ada?  

Menurut Presiden SAM, Ahmad Khawari Isa : "FAM tak mahu protes kerana AFC dilaporkan hanya menerima dokumen rasmi daripada Myanmar, justeru apa jadi dengan dokumen rasmi untuk pemain sama yang diguna masa Sukan SEA? Saya rasa FAM tak pernah nak kisah pun nak simpan dokumen tu sebelum ni, AFC pun terkenal dengan sikap malas nak periksa, apa ada depan mata diorang tengok..".

Apa gunanya juga Malaysia mempunyai wakil di dalam AFC andai kesemua mereka tidak sedikitpun memberi kelebihan kepada kita pada situasi yang melampaui keraguan munasabah seperti ini? Umpamanya Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah (Naib Presiden), Dato' Hamidin (Jawatankuasa Pertandingan), dan Dato' Alex Soosay (General Secretary). 

Sejarah Gemilang ATM, Layak Ke Liga Super 2013

Angkatan Tentera Malaysia (ATM) memastikan pelaburan besar mendapatkan pemain berstatus bintang berbaloi dengan mencipta sejarah gemilang muncul juara Liga Perdana musim ini, sekaligus melayakkan diri ke saingan Liga Super 2013.

Skuad bimbingan B.Sathianathan itu yang hanya memerlukan satu mata untuk mengesahkan kejuaraan, berpesta gol membelasah MP Muar 8-1 di Stadium MBPJ, Kelana Jaya.

Marlon meraikan gol jaringannya bersama Christie, foto : Bernama 
Marlon Alex James, Christie Jayaseelan, Hairudin Omar kesemuanya menyumbang dua gol, manakala dua lagi gol dijaringkan Bruno Sebastian Martelotto, dan Yusaini Hafiz Che Saad.

Dengan berbaki satu perlawanan untuk menoktahkan tirai musim 2012, ATM mengumpul 51 mata mengatasi pencabar terdekat, Pahang, yang menewaskan Pos Malaysia 3-1 dan berkesudahan di tangga kedua membolehkan pasukan itu bersaing dalam aksi play-off Liga Super.

Perlawanan lain, Sime Darby menewaskan PDRM 3-0, Johor menewaskan USM 4-0, Perlis menewaskan MBJB 4-0, dan Harimau Muda B menewaskan Betaria FC 4-0.

Friday, July 6, 2012

Martabatkan Jersi Tempatan


Di sebalik demam Euro 2012 yang melanda peminat bolasepak tanah air sepanjang bulan Jun yang lalu, Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan, melalui inisiatif yang diusahakan Jabatan Perumahan Negara dengan kerjasama Ligakit.com telah terlibat di dalam Kempen Memartabatkan Jersi Pasukan Kebangsaan dan Bolasepak Tempatan, yang mana kemuncaknya adalah pada malam menjelang final Euro 2012, pada 1 Julai lalu  bertempat di i-City.


Seramai 5 orang bekas pemain kebangsaan iaitu K.Gunalan, K. Gunasegaran, Anuar Abu Bakar, Bakri Ibni dan K.Sanbagamaran telah hadir membawa nama YAKEB bagi memeriahkan dan menjayakan aktiviti yang telah diatur penganjur.

Antaranya sesi autograf, beramah mesra dengan peminat dan juga sesi fotografi, yang ditutup dengan acara menonton perlawanan final antara Sepanyol dan Itali di layar gergasi bersama Menteri Belia dan Sukan, Dato’ Sri Ahmad Shabery Cheek.

Kehadiran bekas pemain ini nyata mendapat sambutan menggalakkan, dan kesemua mereka turut berkongsi serba sedikit perkembangan terkini selepas bersara sebagai pemain.


Program ini, selain bertindak sebagai program tanggungjawab sosial korporat (CSR) bagi JPN, objektif utamanya adalah memupuk semangat patriotisme di kalangan masyarakat melalui aktiviti sukan, serta meningkatkan minat masyarakat untuk memiliki dan memakai jersi pasukan kebangsaan dan pasukan dalam liga bolasepak tempatan.

Pelbagai koleksi jersi dari zaman 1970-an hinggalah yang terkini diperagakan untuk dijual mahupun sekdar pameran, termasuk jersi yang pernah disarung oleh lagenda bolasepak tanah air, Allahyarham Mokhtar Dahari dan juga jersi yang telah ditandatangani oleh bekas pemain dengan 20% daripada jumlah kutipan hasil penjualan jersi pada hari tersebut, disalurkan ke tabung YAKEB.


Penganjur juga melihat ianya sebagai satu usaha murni ke arah memupuk dan menarik semula minat dan sokongan terhadap bolasepak tempatan. 

Thursday, July 5, 2012

Mental Kelantan Menakjubkan, Apa Jadi Kes Shokri Nor?

Berpeluang menyaksikan pertemuan Liga Super antara Kelantan dan Selangor minggu lalu, tidaklah mengejutkan untuk menyaksikan Kelantan mengutip 3 mata pada perlawanan itu. Mereka lebih dari segala aspek – kualiti permainan, kekuatan pasukan, sokongan peminat, dan paling penting, MENTAL yang kuat!

foto : theredwarriors.com
Mana tidaknya, kalau bukan kerana mental yang kuat, saya yakin Stadium Sultan Muhammad Ke-IV pastinya sudah menjadi saksi kepada perlawanan gusti atau muay-thai, bukannya perlawanan bolasepak – mental dan disiplin tinggi pemain tuan rumah cukup menakjubkan dan wajar diberi pujian, di sebalik provokasi hebat dari pemain Selangor, ‘dibantu’ pula pengadilan yang ‘cukup mantap’ oleh Jeffery Zolkifli.

Pemain Selangor, malah pengadil sendiri boleh dikatakan bernasib baik, kerana Kelantan pada hari ini berbeza dengan Kelantan yang cukup dikenali dengan sikap panas baran suatu masa dahulu, pantang diprovoke, pasti ada yang sudah bertindakbalas, pasti tangan sudah naik ke muka - kalau-kalau ada yang masih ingat kes Hashim Mustapha, Zahasmi Ismail, Akmal Ahmad Tabrani, atau Halim Napi, pastinya hakikat itu diakui.

Mungkin Irfan Bakti tersilap mencatur strategi, dengan andaian bahawa jika pemain Kelantan diserang dari segi psikologi, mereka akan mudah diperangkap sepertimana Irfan melakukan perkara sama ketika membimbing Terengganu menewaskan Kelantan di suku akhir Piala Malaysia tahun lalu – ketika itu serangan psikologi Irfan berhasil dengan dua pemain Kelantan, Daudsu Jamaludin dan Shakir Shaari diperintah keluar padang.

Namun, jerangkap samar itu tidak berkesan kali ini – deretan aksi kasar yang tidak diendahkan atau ‘tidak dikesan’ Jefferi membuatkan pemain Selangor bermaharajalela BERMAIN GUSTI di atas padang, tatkala Kelantan di gelanggang keramat mereka, merelakan diperlakukan sedemikian, kerana bagi mereka apa yang penting, tonjolkan kredibiliti dan perwatakan sebagai juara – itu sudah cukup untuk memastikan lawan pulang berputih mata.

Apapun, mutu pengadilan pastinya tidak terlepas dari diketengahkan di sini. Apakah FAM telah melantik pengadil yang benar-benar bertauliah untuk mengendalikan perlawanan yang begitu penting di dalam kalendar Liga Super musim ini, atau sekadar main tangkap muat?

Di manakah terjemahan perkataan INTEGRITI yang terpampang di dada baju, di lilitan lengan atau yang hebat dicanang dalam laungan ikrar? Atau pengadil-pengadil ini hanya berprestasi sedemikian untuk ‘perlawanan-perlawanan tertentu’ yang sudah ditetapkan pihak tertentu?

Ghaddar berulang kali menjadi sasaran serangan Irfan Bakti
Kenapa boleh ada dua peraturan berbeza untuk satu kesalahan yang sama? Sebagai contoh nyata, mengapa ketika Nurul Azwan menarik baju Bosko Balaban, dia dilayangkan kad kuning, tetapi ketika Razman Roslan menarik Ghaddar (exactly sama seperti kesalahan Azwan), bukan sahaja tiada kad, tetapi ianya tidak langsung dilihat sebagai kesalahan. Yang arif mohon jawab.

Apa yang dilakukan Amri Yahyah tidak perlu saya ulas, dan pengadil mungkin boleh kata kejadian itu tidak dikesan kerana ia berlaku terlalu pantas, tetapi bagaimana pula kekasaran Bunyamin Umar ke atas Ghaddar? Pengadil menghentikan permainan untuk mendapatkan penjelasan dari dua pembantunya, sekadar untuk meneruskan permainan sebarang tindakan?

Bagaimana pula dengan sepakan tepat ke muka Ghaddar oleh Nasriq, yang disifatkan pengulas pada malam itu bahawa ia sepatutnya layangan kad merah?

Bukti : kat mana bola sebenarnya, kat muka Ghaddar? foto : gawang.my
Tujuan saya bukan mahu mencetus provokasi, malah kalau saya melihat perkara sama berlaku dalam perlawanan lain, akan tetap saya suarakan, tetapi pointnya di sini, inikah kualiti pengadilan kita?

Oleh kerana pengadil tidak tegaslah, maka pemain lebih berani untuk bertindak sedemikian - saya yakin kalau Ghaddar atau pemain Kelantan yang lain bertindak balas, layangan kad merah pastinya sudah menyusul namun apakah tindakan kepada pemain yang memulakan? Terlepas kerana pengadil tidak nampak?

Saya masih ingat bagaimana insiden antara pemain QPR, Joey Barton yang mengasari Carlos Tevez pada perlawanan terakhir menentang Manchester City, pengadil tidak mengesan insiden itu, namun selepas mendengar dari pembantunya, Barton dilayangkan kad merah. Situasi itu jarang berlaku di Malaysia, dan sampai bila kita nak merungut tentang mutu pengadilan yang kritikal ini, terus menjadi satu persoalan.

Dan, apa pula yang berlaku kepada kes Shokri Nor dan S.Thanasegar, dua individu yang ditahan dibicarakan di mahkamah Singapura? Kenapa kes ini mulanya begitu hangat, tetapi selepas 31 Mei tiada update tentang kesudahan kes mereka? Apa terjadi? Kenapa ia ditutup begitu sahaja? Apakah ada ‘tangan ghaib’ yang menyelamatkan mereka? Atau sekiranya saya ketinggalan, sila update kepada saya.

Selebihnya, saya akan mendapatkan pandangan pengerusi jawatankuasa pengadil, Datuk Astaman pada Kongres FAM yang berlangsung Sabtu ini.

Wednesday, July 4, 2012

Kakibola..


Pertama sekali, minta maaf kepada semua pengunjung blog Suara Sukan kerana sejak kebelakangan ini masa saya agak terhad untuk mengupdate blog, seperti biasa sibuk dengan kerja hakiki, juga tugas baru saya sebagai pengarang majalah Kakibola.  

Majalah kakibola edisi pertama saya sebagai pengarangnya sudahpun berada di pasaran, namun dek kerana ini adalah first output, maka saya pasti masih terlalu banyak kelemahan yang perlu diperbaiki terutama dari segi design dan content, kekelam-kabutan dan kekangan masa sepanjang bulan lalu menyebabkan kandungannya lebih banyak berkisar tentang ulasan Euro 2012.

Setiap ulasan adalah ulasan saya sendiri dan bukannya ‘ditranslate’ ulasan daripada media global, ini supaya peminat tidak jemu membaca benda yang sama dalam bahasa yang berlainan.

Kakibola di bawah editorial saya juga akan menampilkan slot untuk bolasepak tempatan, ianya penting agar peminat tahu perkembangan bolasepak tanah air, meskipun terdapat pelbagai medium lain pada hari ini.
Dan sebagai permulaan, saya kongsikan cerita tentang padang bolasepak di Malaysia yang dilabel tidak berkualiti dan berada di tahap menyedihkan oleh pemain yang boleh dilabel pertahanan terbaik Malaysia, S.Subramaniam. Nak tahu lanjut, dapatkan naskhah Kakibola anda di pasaran.

Selebihnya, saya yakin banyak perubahan perlu dibuat dan mengharapkan agar pembaca memberi ruang untuk penambahbaikkan memandangkan ini adalah hasil kerja pertama yang disiapkan dalam tempoh 5 hari dek kerana mengejar deadline, dan segala pendapat, pandangan yang diberi amatlah saya hargai.