Thursday, June 27, 2013

Dua pemain terbaik JDT terima AUDI Q7 SUV

Presiden PBNJ yang digantung, Tunku Mahkota Johor dalam satu kenyataan hari ini mengumumkan akan menghadiahkan sebuah kereta Audi Q7 SUV masing-masing kepada dua pemain terbaik Johor Darul Takzim musim ini.




Ini bukan sahaja untuk menyemarakkan pemain-pemain pasukan itu untuk melakukan yang terbaik ketika aksi final Piala FA Sabtu ini, tetapi turut melakukan sebaik mungkin untuk cuba menjuarai Liga Super walaupun harapan kian tipis. 


Ini adalah antara langkah diambil TMJ dalam memastikan pemain mereka terus menunjukkan kesetiaan untuk musim mendatang. Lain pasukan, lain strategi. 

Friday, June 21, 2013

Pasangan kembar sandaran Kelantan

Kelantan meletakkan harapan tinggi di bahu pasangan kembar seiras, Hao He Peng dan Hao He Hao untuk merealisasikan sasaran membawa pulang dua pingat emas acara gimnastik artistik di Sukan Malaysia ke-16 yang akan membuka tirai secara rasmi pada 28 Jun nanti.

Jurulatih pasukan, Mohd Jailani Daud berkata dua beradik yang merupakan bekas pelatih kebangsaan dan produk Sekolah Sukan Bukit Jalil itu dilihat sebagai prospek terbaik Kelantan untuk memperbaiki pencapaian di Pahang tahun lalu di mana mereka sekadar meraih sebutir pingat perak dan sebutir gangsa.

“Mereka berdua inilah harapan emas kita. Mereka pernah berada dalam skuad elit kebangsaan dan pernah menyertai kejohanan-kejohanan besar jadi kita pertaruhkan pengalaman dan kelebihan yang ada pada mereka.

“Kali ini kita turun dengan persiapan lebih baik dan sasaran lebih realistik, kita mahu menjadi pencabar yang serius, bukan sekadar beraksi melengkapkan jadual pertandingan.”

Jailani yang pernah mewakili negara di Sukan Sea 1989 berkata keyakinan di kem Kelantan turut diperkukuhkan dengan prestasi cemerlang yang ditunjukkan gimnas mereka di Kejohanan Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia yang berlangsung dari 2-9 Jun lepas di Shah Alam, di mana kontijen Kelantan membawa pulang 2 emas, 2 perak dan 1 gangsa.

 Menurutnya, kesemua 6 gimnas yang akan membawa cabaran kini berada dalam mood cukup bersedia dan memasuki fasa akhir latihan yang diadakan di Pusat Latihan Gimnastik, Kompleks Sekolah-Sekolah di Kota Bharu sebelum mereka menyertai Kem Motivasi Atlet membabitkan kesemua atlet SUKMA Kelantan di Besut pada 23 dan 24 Jun nanti.

Selain He Peng dan He Hao, empat lagi gimnas lain yang diberi kepercayaan mengalas cabaran adalah Shamirul Aizat, Azizul Jusoh, Ang Jing Hoe dan Mohd Hakimi.

Affandi bukan pergi melancong !!

Selepas wujud dakwaan yang mengatakan ada pegawai FAM membawa keluarga bersama ke Slovakia, di mana pasukan Harimau Muda A berlatih di situ, FAM tampil dengan kenyataan akhbar untuk menjernihkan keadaan dan menjelaskan situasi sebenar. 

Pegawai yang dimaksudkan adalah Naib Presiden FAM, Dato' Affandi Hamzah yang dikatakan telah membawa keluarganya atas tanggungan sendiri. Selebihnya, boleh baca kenyataan FAM ini : 

Kenyataan Akhbar FAM : 

FAM ingin menjelaskan bahawa Pengurus Pasukan Harimau Muda “A” YH Dato’ Afandi Hamzah telah berlepas ke Slovakia pada 16 Jun 2013  untuk memantau latihan dan perkembangan pasukan yang di bawah tanggungjawab beliau itu.  Sesungguhnya beliau sepatutnya berada bersama Pasukan sepenuh masa.  Namun, disebabkan tugas harian beliau maka beliau tidak dapat berbuat demikian.
Pemergian beliau adalah di bawah bidang tugas beliau dimana beliau dikehendaki melaporkan perkembangan terkini Pasukan kepada Exco FAM yang akan bersidang pada 17 Julai 2013.
Kunjungan ini amat penting bagi memantau persiapan Pasukan menghadapi Sukan SEA 2013 di Myanmar dimana FAM telah meletakkan sasaran untuk mempertahankan pingat emas yang dimenangi pada temasya Sukan SEA lalu.
Di dalam surat pemakluman sebelum berlepas, YH Dato’ Afandi memberitahu bahawa beliau akan membawa keluarganya bersama ke Slovakia, atas tanggungan beliau sendiri.
Sehubungan dengan itu, FAM berharap kenyataan ini dapat menangkis segala tomahan serta fitnah terhadap pegawai-pegawai di FAM yang dituduh berulang-alik ke Slovakia.  YH Dato’ Afandi merupakan pegawai FAM yang pertama melawat Pasukan sejak berada di Slovakia pada bulan Mac 2013.
Selain dari itu, FAM ingin menyatakan dengan tegas bahawa FAM tidak pernah menaja mana-mana keluarga pegawai FAM samada ke luar negara ataupun dalam negara.

P/S : Tidak seperti dahulu, FAM kini kerap tampil dengan kenyataan media untuk memperbetul keadaan serta mengelak berlakunya salah faham tentang badan induk itu, tetapi adalah bagus juga sekiranya mereka turut menjawab atau menghantar kenyataan media berhubung isu RM30 juta duit tajaan yang dibangkitkan Tan Sri Annuar Musa dan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin. 

Friday, June 14, 2013

Piala FA Trophy Tour di JB dan KB

Sempena Final Piala FA 2013
ARENA BOLA MANIA
Mengajak anda ke Piala FA Trophy Tour pada : 
15 Jun 2013 di
Dewan Konvensyen Tanjung Puteri 301 & 302, Persada Johor, 10 pagi


DAN

18 Jun 2013 di 
The Red Warriors Station (Aras 1, Kelantan Trade Centre), 2 petang

JEMPUT HADIR SEMUA!!
*Jemputan ini dipanjangkan oleh Astro Arena*


Tuesday, June 11, 2013

Duo perenang kebangsaan sandaran Selangor

Pengalaman luas dua perenang kebangsaan, Katrina Ann Abdul Hadi dan Zylane Lee Ying Huey menjadi taruhan skuad renang berirama Selangor untuk mencapai sasaran membawa pulang dua pingat emas dari temasya Sukan Malaysia ke-16 yang akan berlangsung hujung bulan ini.

Pengurus pasukan, Yap Soon Kiat yakin ia sasaran realistik dengan mengambil kira reputasi hebat Katrina dan Zylane : “Tujuh pingat emas ditawarkan, tetapi sasaran minima kita dua emas. Saya yakin ia boleh dicapai kerana kita mempunyai Katrina dan Zylane yang akan mengetuai pasukan, mereka berpengalaman luas dan pernah mewakili negara dalam banyak kejohanan antarabangsa.”

Katrina adalah kakak kepada Farah Ann
“Kita juga telah melantik jurulatih baru, Song Yi Xin sejak Ogos lalu di mana beliau mengendalikan latihan sehingga lima atau enam sesi seminggu. Dahulunya, kita cuma berlatih dua atau tiga sesi, jadi ini pastinya meningkatkan komitmen dan tahap kesediaan perenang kita.

“Mereka juga banyak menunjukkan peningkatan dan lebih banyak menunjukkan prestasi impresif sejak kebelakangan ini. Ini bukan bermakna kita letak sasaran tinggi, kerana kita tidak mahu beri tekanan kepada jurulatih tetapi kita percaya pada kemampuan perenang kita,” kata Soon Kiat yang berharap pencapaian 3 pingat emas pada 2011 dapat diulangi.

Zylane Lee
Selain Katrina dan Zylane yang berlatih di Kompleks Akuatik Bukit Jalil, seramai 8 perenang lain disandarkan harapan iaitu Kimberley Yap Jie Yee, Michellyn Jane, Jessie Kwong, Nur Amira Amiruddin, Ng Lyn Sze, Lai Nicole, Tan Wei Yi dan Sharifah Zarifah Syed Sharifudin di mana mereka meneruskan latihan intensif di Pusat Akuatik Darul Ehsan.


Renang berirama yang dijadual berlangsung selama 3 hari bermula 2 – 4 Julai depan akan menawarkan tujuh pingat emas untuk direbut, iaitu dua menerusi acara solo (rutin bebas dan teknikal), dua menerusi acara duet (rutin bebas dan teknikal), dua menerusi acara berpasukan (rutin bebas dan teknikal) manakala satu menerusi acara kombinasi berpasukan.

Monday, June 10, 2013

Selangor azam hapus badi semifinal

Kecundang dua kali berturut-turut di peringkat separuh akhir sebelum ini, skuad futsal Selangor berazam memastikan penampilan mereka di Sukan Malaysia kali ini bukan sahaja dapat menghapus badi separuh akhir, sebaliknya pulang dengan kilauan emas buat pertama kali.

Pengurus pasukan, K.Santhana Raju berkata episod kegagalan lalu menjadi pembakar semangat barisan pemainnya dan mereka yang digalaskan tanggungjawab kesemuanya berinspirasi tinggi untuk memastikan sasaran emas kali ini dapat direalisasikan.

“Kekalahan musim lalu, memang sangat perit kerana kita hanya beberapa minit dipisahkan dari final. Ketika itu kita sedang mendahului 5-3, perlawanan sudah menuju penghujung tapi sedikit kelekaan sahaja kedudukan sudah menjadi 5-5, dan kemudian dimenangi Negeri Sembilan. Pemain-pemain cukup bersemangat mahu menebus kekalahan itu, itu janji mereka,” kata Santhana Raju.

skuad futsal Selangor. foto : duniasukan
Menurut Santhana Raju, skuad bimbingan gabungan tiga jurulatih Noraidi Azhar Sulaiman, Rashid Zainot dan Ruzaley Aziz ini tidak memandang enteng cabaran mana-mana pasukan lawan sebaliknya berpendapat dengan kehadiran pemain-pemain yang beraksi bersama kelab seperti PKNS dan MPSJ dalam Liga Futsal Felda memberi kelebihan buat Selangor.

“Kita juga ada pemain yang bermain untuk skuad kebangsaan, saya boleh katakan kali ini kita menghimpunkan antara barisan pemain terbaik yang kita ada. Melihat kekuatan pasukan yang kita miliki serta adunan pemain muda dan berpengalaman seperti Khairul Efendi dan Mohamad Izuwan, kita tidak boleh tersasar daripada kilauan emas,” tambahnya.

Untuk edisi kali ini yang disertai 12 pasukan, Selangor diundi sekumpulan bersama pemenang pingat emas 2011, Johor, Perak dan Sabah - Johor muncul juara pada 2011 dengan menewaskan Negeri Sembilan pada aksi final manakala Sarawak berkesudahan di tempat ketiga. 

Skuad bola jaring Selangor mahu tebus kecewa 2011

Meskipun bakal kehilangan dua pemain tonggak yang akan mewakili pasukan remaja kebangsaan di Kejohanan Bola Jaring Remaja di Brunei penghujung bulan ini, skuad bola jaring Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor yakin mampu mencapai sasaran minima layak ke aksi final.

Pengurus pasukan, Azlin Kamsah berkata kecewa tersingkir awal pada 2011 mahu ditebus oleh adunan pemain muda dan senior yang diletakkan harapan untuk menggalas cabaran di edisi kali ini dan menyifatkan skuadnya berada dalam sesi persiapan terbaik untuk mencapai sasaran itu.

“Saya yakin kita telah belajar sesuatu menerusi kegagalan pada 2011, kita perlu perbaiki kesilapan-kesilapan yang membawa kepada kekalahan. Itu kelemahan yang perlu kita atasi kerana secara keseluruhan saya lihat semua pasukan adalah lebih kurang, tiada yang terlalu kuat atau lemah jadi sasaran ini adalah realistik.

“Kita biasanya mengadakan latihan pada hujung minggu, bermula 14 Jun depan kita akan mula mengadakan latihan pusat sehinggalah SUKMA bermula. Penekanan aspek kecergasan mahupun teknikal, segalanya berjalan lancar. Keyakinan di kem juga semakin meningkat justeru kami hanya perlu fokus pada sesi persiapan,” katanya.    

KL Juara SUKMA 2011
Pasukan Selangor sebelum ini menjalani latihan di gelanggang terbuka Pejabat Daerah Petaling dan sejak beberapa minggu lalu menukar pusat latihan mereka itu ke gelanggang tertutup Kompleks Rakan Muda Klang, Kuala Selangor sebagai menyesuaikan diri dengan venue sebenar pertandingan nanti.

Mengenai pemilihan pemain, Azlin berkata pemantauan telah dilakukan dengan menilai pemain yang beraksi di Liga IPT serta Kejohanan MASUM serta membuka peluang kepada bakat-bakat berpotensi untuk memikat juri sebelum senarai akhir 12 pemain dimuktamadkan.

“Kita telah membuka peluang kepada ramai pemain, kemudian memilih 15 yang terbaik sebelum memuktamadkan 12 pemain terakhir pada hujung bulan Mei. Ia satu keputusan sukar dibuat kerana semua adalah terbaik. Jadi, skuad yang dibentuk ini saya yakin adalah skuad yang terbaik.”

Pada edisi kali ini, Selangor diundi sekumpulan bersama naib juara 2011, Terengganu dan Negeri Sembilan dan dijangka meletakkan harapan kepada ketajaman balingan ‘shooter’ mereka, S.Sakthieswary untuk meneruskan kemaraan .

7 pingat emas sasaran skuad gimnastik Selangor

SUKMA 2013 akan berlangsung 28 Jun depan, bahang makin terasa meskipun sukan-sukan utama tidak dipertandingkan ia tentunya punyai tarikan tersendiri. Saya terlibat di dalam membantu pihak sekretariat mempromosikan SUKMA kali ini menerusi kekuatan editorial yang dimiliki. Ini antara nukilan yang saya hasilkan untuk Unit Media SUKMA 2013.

Andai tiada aral melintang, pasukan gimnastik artistik Selangor tidak akan bermasalah untuk membawa pulang 7 pingat emas menerusi penyertaan di Sukan Malaysia yang akan berlangsung di Kuala Lumpur bermula 28 Jun – 7 Julai depan sekaligus memperbaiki pencapaian 6 pingat emas pada 2011.

Demikian reaksi penuh yakin pegawai teknikal pasukan yang juga bekas gimnas kebangsaan, Onn Kwang Tung : “Persiapan berjalan lancar, kita sasar paling kurang 7 pingat emas iaitu 4 emas menerusi acara lelaki, dan 3 emas menerusi acara wanita dan sudah tentu gimnas kita yang beraksi bersama pasukan kebangsaan dijadikan sandaran utama.

Barisan Emas 2011
“Bagi acara lelaki, kita sasarkan emas berpasukan, individu keseluruhan, kekuda berpelana dan palang sejajar manakala bagi wanita pula kita sasarkan emas berpasukan. Bagi acara individu wanita, Farah Ann dan Elli Elina adalah sandaran kita, tetapi tidak sasar mana-mana apparatus khusus kerana belum pasti acara yang akan mereka sertai nanti,” kata Kwang Tung.

Gimnas kebangsaan, Daniel Iskandar Richard dan Chau Jern Rong akan memimpin aksi skuad lelaki manakala bagi skuad wanita, selain dua gimnas berpengalaman – Farah Ann Abdul Hadi dan Nur Elli Elina Azmi – sandaran turut digalas Letitia Ng Wei Qi dan Nur Azira Aziri untuk mempertahankan emas berpasukan yang mereka menangi tahun lalu.

Tahun lalu ketika SUKMA berlangsung di Pahang, pasukan lelaki Selangor yang turun sebagai kuasa dominan sukan ini apabila merangkul pingat emas tujuh edisi berturut-turut sejak 1998 – 2010 (gimnastik tidak dipertandingkan pada 2011) sekadar meraih pingat perak, dikecewakan pasukan Pulau Pinang.

Justeru, skuad yang turut dibarisi Gan Gang Wen, Tan Fu Jie, Chim Ai Di dan Benjamin Cheong ini berazam untuk merampas semula pingat emas yang terlepas itu seterusnya memulihkan semula martabat gimnastik artistik Selangor.

Bagi acara wanita, Selangor merampas semula emas berpasukan yang terlepas ke tangan Melaka sejak tahun 2006 pada temasya SUKMA 2012 menerusi gandingan cemerlang Farah Ann, Nur Eli Ellina, Nur Azira, Letitia, Sarah Aneesa Mazwan dan Wafiyatun Nagiha Rosli - Farah Ann sebelum ini melaungkan azam mahu mempertahankan dua pingat emas yang dimenanginya tahun lalu, salah satunya menerusi acara senam lantai.

Farah Ann
Senarai penuh skuad :

Lelaki : Daniel Iskandar Richard, Benjamin Cheong Kok Kong, Chau Jern Rong, Chim Ai Di, Tan Fu Jie, Gan Gang Wen

Wanita : Farah Ann Abdul Hadi, Nur Eli Ellina Azmi, Letitia Ng Wei Qi, Nur Afiqah Rosnan, Nur Azira Aziri, Sarah Aneesa Mazwan

Thursday, June 6, 2013

Perjuangan ini untukmu, Che Din!!

Artikel nukilan saya untuk Media ATM..

Persatuan Bolasepak Angkatan Tentera Malaysia mengucapkan setinggi takziah di atas pemergian Allahyarham Kamarudin Mohd Nor, pembantu jurulatih pasukan yang meninggal dunia pada 4 Jun kerana sakit jantung.

Antara tonggak senior pasukan, Irwan Fadzly Idrus berkata dia masih lagi terkilan dengan pemergian mengejut arwah yang disifatkannya sebagai seorang individu yang sangat rapat dan mesra sebagai ‘Che Din’ di kalangan para pemain.

“Tidak saya nafikan, pemergian beliau amat mengejutkan. Even pada hari beliau sakit, beliau masih lagi meluangkan masa untuk bersama-sama pemain di padang latihan. Seorang yang sangat tegas, susah untuk tengok beliau senyum di atas padang, tetapi di luar kami semua mesra bagai satu keluarga dan tiada jurang antara kami.


“Saya setiap hari akan duduk berborak dengan arwah, selepas latihan bersarapan pagi, beliau selalu bercerita bahawa ketika sebagai pemain beliau tidak pernah menjulang piala berprestij dan mahu kami di ATM menang piala yang besar seperti Liga Super atau Piala Malaysia. Beliau nampak pasukan ini ada potensi dan masa depan sangat baik, dan inilah peluang terbaik untuk melakukannya,” kata Irwan.

Jurulatih, B.Sathianathan yang turut bersama-sama beberapa pegawai pasukan untuk memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham yang disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Panji, Kota Bharu, berkata kehilangan Che Din sesuatu yang sangat dirasai setiap anggota pasukan.

“Saya kenal beliau bukan setahun dua, bukan ketika menjadi jurulatih ATM sahaja, tetapi sudah berpuluh tahun. Sejak 80-an kami sudah berkawan, kemudian saya bekerjasama dengan dia di Kelantan, ketika itu arwah Pengarah Kejurulatihan Kelantan, dan kami terus bersama apabila berkhidmat di ATM, memang satu kehilangan yang besar.”


Sementara rakan karib Allahyarham, Hamid Ramli yang juga jurulatih penjaga gol ATM berkata : “Saya dan dia bukan semata-mata kenal satu sama lain atas dasar profesyen sebagai jurulatih, tetapi kami berkawan baik sejak dia mula-mula kenal bolasepak.

“Pada usia 18 tahun, dia adalah pemain termuda diserap ke skuad senior Kelantan, saya senior dia masa tu. Kami sama-sama beraksi untuk Kelantan, dan sama-sama dalam skuad kebangsaan. Kami menjadi rakan karib, dari zaman sebagai pemain hingga ke bidang kejurulatihan. Atas dan di luar padang, malah di ATM ini juga kami tinggal serumah.

“Memang ia satu yang cukup menghibakan,” ujar Hamid yang sama-sama menganggotai skuad pemenang emas Sukan Sea Jakarta 1979 bersama Allahyarham.

Untuk rekod, Allahyarham Kamarudin menyertai ATM sebagai pembantu jurulatih kepada Sathianathan pada 2012 dan terlibat antara tonggak yang membawa pasukan ini menjuarai Liga Perdana 2012 seterusnya finalis Piala Malaysia dalam apa yang disifatkan sebagai revolusi besar-besaran skuad ATM.


Segala sumbangan Che Din amat kami hargai dan sekali lagi, terima kasih di atas segala jasa Che Din di dalam mengangkat martabat ATM – jasamu dikenang. 

Wednesday, June 5, 2013

Duit hak penyiaran satu sen pun tak dapat : TMJ

Meskipun mengakui Persatuan Bolasepak Negeri Johor telah menerima amaran keras dari FAM untuk tidak lagi mengeluarkan kenyataan yang memburukkan FAM kepada media dan umum, Presiden PBNJ yang digantung, Tengku Mahkota Johor (Tengku Ismail Tengku Ibrahim, TMJ) terus lantang bersuara dan kali ini tegas memperkatakan bolasepak Malaysia tidak akan maju meskipun dalam tempoh 20 tahun lagi.

Baginda yang bersuara atas kapasiti TMJ dan bukannya Presiden PBNJ menghighlightkan beberapa perkara antaranya :
--- Biasanya hukuman dijatuhkan jatawankuasa tatatertib, dalam kes Pahang vs JDT, jawatankuasa pertandingan pula yang menjatuhkan hukuman.  Menarik jugak ni, Dato' Hamidin ambil alih kuasa Dato' Taufek. 

--- Duit hak penyiaran satu sen pun belum dapat lagi ohh ohh … taja juta-juta, masyuk juta-juta, tapi tuan rumah belum dapat duit? Adakah begitu juga kisahnya dengan tuan rumah lain, seperti Selangor, Kelantan, Terengganu, Pahang .. etc …. kat mana sangkut, ASTRO atau FAM? 

--- Aduan secara rasmi pernah dikemuka kepada FAM berhubung mutu pengadilan, tetapi tidak mendapat respon, selepas itu barulah pergi kepada media … hmm, FAM selalunya minta suarakan aduan guna saluran betul, tapi kalau guna saluran betul pun tak dapat maklumbalas??

Well, inilah senario bolasepak Malaysia, sudah saya katakan dalam post sebelum ini, banyak lagi akan ditempuh JDT. Bukan senang nak jadi senang, sudah ramai individu dan persatuan bolasepak menjadi mangsa dan ia ibarat tiada kesudahan. TMJ semakin lantang dan berani bersuara lebih-lebih lagi sejak JDT dikatakan menjadi mangsa berat sebelah FAM, tetapi sejak tahun bertahun, perkara sama ini berlaku kepada pasukan-pasukan lain. Mereka tidak boleh bersuara kali kedua, kerana hukuman lanjutan menanti.

Mungkin TMJ agak istimewa kerana berapa kali bersuara pun, hukumannya hanya sekali manakala selebihnya hanya amaran keras. Ini kelebihan buat baginda untuk terus bersuara, tetapi siapakah yang mendengar? Keluar kenyataan hari ini, esok akan dibalas, kami tidak berat sebelah, kami terkilan, tidak akan ada langkah diambil untuk perbetulkan keadaan. Selamat datang JDT ke kancah bolasepak Malaysia yang sebenar. 

Selebihnya boleh baca dan nilai sendiri menerusi surat cinta panjang ini :  

Melihat keadaan semasa dalam FAM, sukar membayangkan akan berlaku perubahan-perubahan positif dalam landskap bolasepak negara ini. Mungkin dua puluh tahun daripada sekarang pun, kita akan menghadapi kemelut yang sama. Kita lebih gemar mengundang pasukan-pasukan luar seperti Chelsea untuk beraksi di sini, tetapi mengabaikan pembangunan bakat baru dari kalangan belia dan hal-hal kritikal berkaitan bolasepak negara.

Apabila saya dikenakan tindakan penggantungan selaku presiden PBNJ, saya dimaklumkan bahawa tiada sesiapa pun berada di atas undang-undang. Sebelum ini, segala hukuman akan dijatuhkan oleh Lembaga Disiplin dan Tatatertib FAM. Tetapi dalam kes Pahang menentang Johor Darul Takzim dalam perlawanan separuh akhir Piala FA, hukuman telah dijatuhkan oleh Jawatankuasa Pertandingan Tempatan.

Kita juga tidak diberikan ruang untuk membuat sebarang rayuan atas denda tersebut. Pada saya, ianya bukanlah soal kewangan, tetapi soal keadilan dalam layanan terhadap persatuan-persatuan bolasepak. Ini jelas menunjukkan bahawa FAM boleh membuat keputusan dan mengubah peraturan sewenang-wenangnya.

Saya pernah menyuarakan tentang mutu pengadil yang mengadili perlawanan bolasepak tempatan. Pada masa kini, pengadil perlawanan bolasepak liga tempatan adalah berstatus semi-profesional, dan dengan itu, boleh dikatakan berada pada tahap amatur. Oleh kerana menyuarakan berkenaan isu tersebut, saya telah didenda dan digantung. Ramai sebelum saya juga telah menerima nasib yang sama, semua kerana memberikan pendapat dan cadangan bagi mempertingkatkan mutu bolasepak negara ini.


Mengapa tidak boleh menyuarakan pendapat dan memberi pandangan? Isu-isu penting dalam bolasepak Negara harus diberi perhatian dan diketengahkan. FAM tidak membenarkan persatuan-persatuan dan individu menyuarakan sebarang pendapat atau pandangan. Jadi bagaimana saya hendak memberi pandangan dan berkongsi pendapat berkenaan hal-hal penting berkaitan bolasepak, jika FAM seolah-olah keberatan untuk bekerjasama? Saya telah menulis surat-surat kepada FAM termasuk surat berkaitan mutu pengadilan di Negara ini, namun tidak mendapat maklumbalas.

Saya menyuarakan pendapat saya kepada media kerana rakyat Malaysia berhak untuk mengetahui situasi sebenar. Bolasepak bukan suatu entity persendirian milik mana-mana individu, ianya adalah untuk semua lapisan rakyat.

FAM sepatutnya berterima kasih kepada Johor kerana menjadikan arena bolasepak tempatan lebih menarik dan meriah. Setiap perlawanan melibatkan JDT disambut dengan kehadiran ramai penyokong di stadium, selain penonton yang ramai dalam siaran televisyen. Syabas juga diucapkan kepada pasukan Kelantan, Selangor, ATM dan pasukan-pasukan lain kerana menambahbaik landskap bolasepak tempatan. Oleh yang demikian, bolasepak Malaysia menjadi lebih dinamik dan kompetitif.

Satu lagi perkara yang saya ingin sentuh adalah berkaitan dengan pendapatan daripada siaran langsung perlawanan bolasepak oleh Astro. Saya dimaklumkan bahawa untuk setiap perlawanan yang ditayangkan secara langsung di televisyen, persatuan bolasepak tuan rumah akan menerima RM15,000. Sehingga kini, saya masih belum melihat satu sen pun daripada hasil tersebut.

Semalam, PBNJ telah menerima satu surat amaran, supaya tidak membuat lagi sebarang kenyataan media mengkritik FAM. Pihak FAM hendaklah tidak mengambil kesempatan untuk mengenakan denda kepada PBNJ bagi kenyataan ini, kerana saya mengeluarkannya selaku Tunku Mahkota Johor, dan bukannya selaku presiden PBNJ yang digantung.

Kenyataan ini bukan bertujuan untuk membelakangkan mana-mana individu atau persatuanbolasepak, tetapi untuk mengetengahkan isu-isu penting dalam bolasepak tempatan. Sekiranya FAM merasakan perlu untuk mengenakan denda terhadap saya, saya akur.

Ada yang menasihati saya supaya bertanding untuk jawatan dalam FAM, tetapisayaingin menegaskan bahawa saya tidak berminat terhadap sebarang jawatan dalam FAM. Sejujurnya, saya akan mengutamakan Johor, dan oleh yang demikian, saya tidak layak memegang sebarang jawatan dalam FAM.

Saya melakukan semua ini hanya kerana cinta terhadap sukan bolasepak. Mereka yang memegang jawatan dalam FAM mestilah telus dan adil kepada semua pasukan yang bersaing dalam liga tempatan. Keutamaan mereka mestilah untuk meningkatkan kualiti bolasepak dalam negara.

--TMJ ---