Monday, June 10, 2013

Selangor azam hapus badi semifinal

Kecundang dua kali berturut-turut di peringkat separuh akhir sebelum ini, skuad futsal Selangor berazam memastikan penampilan mereka di Sukan Malaysia kali ini bukan sahaja dapat menghapus badi separuh akhir, sebaliknya pulang dengan kilauan emas buat pertama kali.

Pengurus pasukan, K.Santhana Raju berkata episod kegagalan lalu menjadi pembakar semangat barisan pemainnya dan mereka yang digalaskan tanggungjawab kesemuanya berinspirasi tinggi untuk memastikan sasaran emas kali ini dapat direalisasikan.

“Kekalahan musim lalu, memang sangat perit kerana kita hanya beberapa minit dipisahkan dari final. Ketika itu kita sedang mendahului 5-3, perlawanan sudah menuju penghujung tapi sedikit kelekaan sahaja kedudukan sudah menjadi 5-5, dan kemudian dimenangi Negeri Sembilan. Pemain-pemain cukup bersemangat mahu menebus kekalahan itu, itu janji mereka,” kata Santhana Raju.

skuad futsal Selangor. foto : duniasukan
Menurut Santhana Raju, skuad bimbingan gabungan tiga jurulatih Noraidi Azhar Sulaiman, Rashid Zainot dan Ruzaley Aziz ini tidak memandang enteng cabaran mana-mana pasukan lawan sebaliknya berpendapat dengan kehadiran pemain-pemain yang beraksi bersama kelab seperti PKNS dan MPSJ dalam Liga Futsal Felda memberi kelebihan buat Selangor.

“Kita juga ada pemain yang bermain untuk skuad kebangsaan, saya boleh katakan kali ini kita menghimpunkan antara barisan pemain terbaik yang kita ada. Melihat kekuatan pasukan yang kita miliki serta adunan pemain muda dan berpengalaman seperti Khairul Efendi dan Mohamad Izuwan, kita tidak boleh tersasar daripada kilauan emas,” tambahnya.

Untuk edisi kali ini yang disertai 12 pasukan, Selangor diundi sekumpulan bersama pemenang pingat emas 2011, Johor, Perak dan Sabah - Johor muncul juara pada 2011 dengan menewaskan Negeri Sembilan pada aksi final manakala Sarawak berkesudahan di tempat ketiga. 

No comments: