Sunday, September 6, 2015

Norfarhan, Azwari antara digugur tatkala Nuri sahut cabaran Kim Swee

Penyerang sensasi Kelantan, Norfarhan Mohamad dan penyerang Harimau Muda, Syahrul Azwari adalah dua nama popular yang digugurkan pengendali sementara skuad kebangsaan, Dato' Ong Kim Swee menjelang pertembungan menentang Arab Saudi, Selasa ini.

Kim Swee yang dilantik menggantikan Dollah Salleh yang melepaskan jawatan sejurus tiba dari Abu Dhabi turut menggugurkan pemain sayap Felda Utd, Syamim Yahya dan S Kumaahran selain meyisihkan Zamir Selamat dan Zubir Azmi kerana kecederaan.

Lima pemain dipanggil melapor diri di kem kebangsaan hari ini, iaitu :

Fakri Saarani
Adam Nor Hazlin
Ramadhan Hamid
Fadhli Shas
Nurridzuan Abu Hassan



Selepas tiga perlawanan, Malaysia menduduki tangga tercorot Kumpulan dan sebarang harapan untuk mengintai ruang ke pusingan seterusnya sudahpun berkubur. Justeru di kesempatan ini, Kim Swee dijangka menjadikan perlawanan menentang Arab Saudi di Shah Alam tidak lebih dari misi memulihkan sedikit maruah yang diaib teruk oleh UAE tempoh hari. 

Saturday, September 5, 2015

Pemain terima RM10,000 seorang

Ganjaran setimpal! Kesemua pemain Pasukan Hoki Terengganu (THT) akan menerima RM10,000 setiap seorang di atas kejayaan  menjuarai Liga Hoki Malaysia (TNB-MHL 2015) setelah menundukkan Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC) 5-4 pada aksi terakhir, malam tadi.

Insentif itu diumumkan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman sebagai ganjaran buat pemain yang beraksi cemerlang untuk mengekalkan kejuaraan liga buat musim kedua berturut-turut di bumi Terengganu selain bersedia memberikan insentif tambahan andai Piala TNB juga dapat dipertahankan.


Gambar : Gawang.my

"Kita berterima kasih kepada pemain dan dengan izin Allah insentif ini akan disampaikan kepada pemain dalam masa terdekat," katanya.

Melihat perkembangan hoki yang begitu memberansangkan di Terengganu, Ahmad Razif turut mengumumkan kerajaan negeri akan membina dua gelanggang hoki berhampiran Kompleks Hoki Gong Badak. Pada masa sama, Stadium Hoki Batu Buruk akan dinaiktaraf bagi membolehkan kejohanan lebih berprestij diadakan di situ di masa akan datang.

Diolah semula dari sumber BERNAMA. 

Zamir Selamat tersisih ACL

Prestasi cemerlang di arena bolasepak tempatan, menghadiahkan Zamir Selamat peluang terbaik untuk memacu namanya di pentas antarabangsa, namun tatkala dia menyahut cabaran itu keyakinannya sedikit disentak dengan perkhabaran duka - mengalami kecederaan ACL menyaksikannya tersisih untuk satu tempoh lama.

Sekian lama menanti peluang, Zamir dibawa masuk menggantikan Khairul Fahmi pada aksi getir menentang UAE dalam aksi Kelayakan Piala Dunia/Asia ketika sedang ketinggalan 0-4. Tatkala moral pemain sudah dalam keadaan kritikal, tidak banyak yang boleh dilakukan anak muda ini yang melepaskan tiga lagi gol tambahan sebelum tamat separuh masa dan dikeluarkan untuk diganti Khairul Azhan dek kecederaan.

Foto : Instagram Zamir

Tidak kurang yang sinis mengatakan Zamir pada hakikatnya tidak mahu meneruskan permainan khuatir akan melepaskan lebih banyak gol namun setelah imbasan dilakukan, disahkan penjaga gol Perak ini boleh melupakan terus baki aksi Piala Malaysia musim ini.

Buat Zamir, fokus pada proses pemulihan kecederaan dan come back stronger, selepas ini! 

Kim Swee ambil alih tugas Dollah buat sementara waktu

Sebagai memikul tanggungjawab di atas aib yang menimpa dalam kekalahan memalukan 0-10 kepada Emiriah Arab Bersatu, Dollah Salleh mengambil keputusan melepaskan jawatan sebagai ketua jurulatih skuad kebangsaan, dan tempatnya diambil alih Dato' Ong Kim Swee buat sementara waktu.

Bermula dengan kekalahan 4-1 kepada Tajikistan hingga ke kekalahan terburuk dalam sejarah bolasepak tanah air, tidak banyak pencapaian membanggakan dibawa Dollah - jurulatih digelar mempunyai magis - sejak membimbing Malaysia bermula JUN tahun lalu, selain pingat naib juara Piala AFF Suzuki 2014.

Dollah tidak menang sepanjang 2015. Kredit foto : Google

Suara Sukan mengucapkan selamat maju jaya buat Dollah, pasukan kebangsaan mungkin bukan level beliau setelah cemerlang bersama MPPJ, Selangor, Pahang dan PDRM sebelum ini.

Berikut senarai penuh perlawanan skuad kebangsaan dibawah bimbingan Dollah.

8/8/14  Malaysia 1 - 4 Tajikistan - Friendly - Tewas
14/ 9/14 Malaysia 0 - 2 Indonesia - Friendly - Tewas
20/9/14  Malaysia 4 - 1 Kemboja - Friendly - Menang
12/11/14 Malaysia 0 - 3 Syria - Friendly - Tewas
16/11/14 Malaysia 1 - 3 Vietnam - Friendly - Tewas
23/11/14 Malaysia 0 - 0 Myanmar - AFF - Seri
26/11/14 Malaysia 2 - 3 Thailand - AFF - Tewas
29/11/14 Malaysia 3 - 1 Singapura - AFF - Menang
7/12/14 Malaysia 1 - 2 Vietnam - AFF - Tewas
11/12/14 Malaysia 4 - 2 Vietnam - AFF - Menang
17/12/14 Malaysia 0 - 2 Thailand - AFF - Tewas
20/12/14 Malaysia 3 - 2 Thailand - AFF - Menang

26/3/15 Malaysia 0 - 6 Oman - Friendly - Tewas
27/5/15 Malaysia 1 - 2 Tottenham Hotspurs - Friendly - Tewas
6/6/15 Malaysia 0 - 0 Hong Kong - Friendly - Seri
11/6/15 Malaysia 1 - 1 Timor Leste - WCQ - Seri
16/6/15 Malaysia 0 - 6 Palestin - WCQ - Tewas
24/7/15 Malaysia 1 - 1 Liverpool - Friendly - Seri
29/8/15 Malaysia 0 - 0 Bangladesh - Friendly - Seri
3/9/15 Malaysia 0 - 10 UAE - WCQ - Tewas

Jumlah perlawanan : 20
Menang : 4
Seri : 5
Tewas : 11

Friday, September 4, 2015

Duka berganda buat Nicol David!

Setelah melepaskan takhta nombor satu dunia yang dipegang sejak 109 bulan lalu, ratu skuasy negara Datuk Nicol Ann David dihadiahkan duka berganda apabila tersingkir daripada Kejohanan Terbuka China.

Pada perlawanan dalam gelanggang kaca di Hotel Peninsula, Nicol tewas 3-1 kepada pemain remaja Mesir, Nouran Gohar dalam aksi suku akhir di Shanghai, China hari ini walaupun memulakan saingan dengan memenangi set pertama 11-9.


Bagaimanapun Nouran yang berusia 17 tahun yang berada di ranking ke-17 dunia, bangkit untuk mengejutkan Nicol  dengan keputusan 11-8, 11-5 dan 11-8.

Sementara itu pemain Mesir, Raneem El Welily yang baru dinobatkan sebagai pemain nombor satu dunia, melangkah ke separuh akhir dengan mudah apabila lawannya Annie Au dari Hong Kong menarik diri sebelum bermula set ketiga.

Raneem ketika itu sedang mendahului 2-0 selepas menang dua set pertama 11-2, 11-8.

Dalam perlawanan suku akhir lain, pemain Perancis, Camille Serme mengalahkan  Sarah Jane Perry (England) 11-7, 11-7, 11-7 manakala pemain Amerika Syarikat, Amanda Sobhy menewaskan Emma Beddoes 9England) 11-4, 11-5 dan 11-8.

Diolah semula dari Sumber BERNAMA NEWS.

10-0, Kekalahan terburuk dalam sejarah bolasepak tanah air

Malaysia tewas lagi, namun kali ini kekalahan yang pastinya akan terpahat dalam sejarah bolasepak tanah air selepas diaibkan 10-0 oleh Emiriah Arab Bersatu dalam saingan kelayakan Piala Dunia/Asia.

Anak buah Dollah Salleh diajar bermain bolasepak di Abu Dhabi dengan tujuh gol membolosi gawang negara dalam tempoh 40 minit pertama, diikuti 3 di babak kedua dalam perlawanan yang menyaksikan Dollah membuat tiga pertukaran penjaga gol.


Khairul Fahmi dikeluarkan selepas melepaskan  4 gol untuk diganti Zamir Selamat sebelum penjaga gol Perak itu dikeluarkan pada permulaan babak kedua kerana kecederaan untuk diganti Khairul Azhan.

Apa sekalipun, sepatutnya tiada lagi alasan dan jika ada rasa tanggungjawab, Dollah Salleh dan barisan pembantunya perlu secara sukarela melepaskan jawatan sekembalinya dari Abu Dhabi. 

Wednesday, August 5, 2015

Zulkifli Affendi pastikan harapan Real Mulia terus bernyala

Real Mulia FC belum bersedia mengangkat bendera putih meskipun jurang lima mata dengan Perlis tatkala berbaki hanya tiga perlawanan dilihat semakin mustahil untuk diatasi.   

Selepas menyaksikan pasukannya bekerja keras membenam cabaran Megah Murni FC 1-0 di gelanggang lawan,  jurulatih RMFC, Yunus Aliff optimis pertarungan antara RMFC dan Perlis untuk memburu slot beraksi di Liga Perdana 2016 hanya akan ternoktah apabila kedua-dua pasukan  bertembung sesama sendiri di Kangar pada 16 Ogos depan.   

“Ianya tipis, tetapi selagi peluang ada kita tidak boleh mengalah. Saya melihat bagaimana pemain saya mengatasi tekanan untuk menang ke atas Felcra, kemudiannya Megah Murni. Mereka mahukan kemenangan ini, tidak putus asa, menunjukkan semangat tinggi untuk terus kekal dalam perjuangan.  

“Masih ada tiga perlawanan, 9 mata boleh dikutip jadi saya tidak akan kata peluang sudah tertutup. Kita akan menentang Perlis di Kangar, jadi sebarang kemungkinan boleh berlaku sehingga ke aksi terakhir nanti. Apapun, kita akan fokus perlawanan ke perlawanan dan saya mahu persiapkan barisan terbaik untuk menentang Penjara Ahad ini,” ujar Yunus. 
  


Ahad lalu, gol tunggal jaringan bekas pemain kebangsaan, Zulkifli Affendi Zakri pada minit ke-40 menghadiahkan kemenangan penting buat Real Mulia pada hari sama yang menyaksikan pendahulu Kumpulan A, Perlis mengukuhkan cengkaman di tangga teratas menerusi kemenangan 2-1 ke atas jiran Real Mulia, UKM FC.

“Tidak mudah berdepan tekanan seperti ini, tetapi moral pemain di tahap cukup tinggi. Kami perlu kekal fokus dan lakukan tugas kami di atas padang. Yang penting, kerjasama sepasukan cukup tinggi,” jelas Zulkifli yang pernah membarisi skuad Sukan SEA 2001 dan 2005.

Ianya adalah kemenangan kelapan RMFC di gelanggang lawan – satu-satunya pasukan yang menang kesemua perlawanan di tempat lawan – sekaligus menyaksikan RMFC terus menghambat kedudukan Perlis yang cemerlang mengekalkan rekod tanpa kalah musim ini.

RMFC akan melayan kunjungan pasukan tangga tercorot, Penjara FC Ahad ini dengan dua tonggak, A. Puvan Raj dan Badrulhisani Abd Rahman kembali dari penggantungan perlawanan manakala Perlis akan bertandang ke Arena UM untuk menentang Felcra FC. Hanya juara kumpulan akan layak ke final Piala FAM dan Liga Perdana 2016. 

Friday, July 31, 2015

Bintang import janjikan pertarungan terhebat!

Juara berganda Terengganu Hockey Team (THT) dan Kuala Lumpur Hockey Club (KLHC) bersedia memberikan impak lebih besar dalam saingan Liga Hoki Malaysia-TNB 2015 bermula dengan aksi Piala Sumbangsih di Stadium  Hoki Nasional Bukit Jalil pada Ahad.

KLHC bimbingan K. Dharmaraj, mendominasi saingan TNB-MHL dari  2010 ke 2013 sehinggalah muncul THT musim lalu untuk menoktahkan penguasaan juara empat kali itu.

Pertarungan hebat antara dua gergasi ini, bagaimanapun, berterusan musim ini dengan tidak banyak yang memisahkan dua kelab ini yang bakal tampil dengan himpunan bintang import tatkala baki pasukan dalam saingan liga enam-pasukan termasuk Sapura HC, Universiti Kuala Lumpur (UniKL Young Guns), Maybank dan Tenaga Nasional Berhad juga turut memantapkan kempen mereka kali ini selepas kegagalan musim lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), Logan Raj,  berkata  adunan pemain remaja, senior dan pemain import dalam saingan TNB-MHL adalah satu petanda baik dalam membantu badan induk hoki tanah air itu mencari bakat baru bagi menjayakan transformasi untuk membentuk pasukan yang lebih kuat untuk Olimpik 2020.



 “Impian Olimpik kita menerima tamparan begitu hebat di Antwerp, Belgium baru-baru ini dan kita perlu kembali berada di landasan. Kami percaya saingan TNB-MHL 2015 akan memperlihat dan menyajikan perlawanan berkualiti tinggi di  antara pasukan yang bertanding,” kata Logan pada majlis pelancaran rasmi TNB-MHL di Kuala Lumpur hari ini.

“Kehadiran pemain berkualiti hanya akan menjadikan Liga ini lebih baik dan ini akan memberi pemain remaja dan senior peluang yang baik untuk beraksi lebih baik apabila menentang lawan yang kuat,” katanya sambil menambah bahawa KHM akan turut memperkenalkan rujukan video sewaktu perlawanan.

“Ini hanyalah satu pengukur bagi kita untuk membawa Liga ke satu platform yang baru dan membiasakan diri kita dengan amalan yang dipraktikkan ketika ini di seluruh dunia,” tambahnya.

THT dan KLHC akan membuka tirai saingan Divisyen Perdana Liga TNB-MHL dengan aksi Piala Sumbangsih sementara TNB melayan kunjungan Maybank dan Sapura HC bertemu UniKL pada perlawanan pembukaan di Stadium Hoki Nasional pada Ahad.

KLHC telah mendapatkan khidmat enam pemain Pakistan untuk memperkuatkan skuad 2015 mereka – Waseem Ahmad, Fareed Ahmad, Muhammad Umar Bhutta,  Ali Shan, Muhammad Usman dan Ahmad Ajaz.

Waseem AHmad perkuat KLHC

Dalam senarai pemain tempatan pula, KLHC, yang berbelanja besar untuk membariskan pasukan yang lebih hebat kali ini, mempunyai pakar flik pukulan sudut penalti Razie Rahim, penjaga gol Roslan Jamaluddin, pertahanan Shukri Mutalib dan pemain tengah Nabil Fiqri.

Jurulatih THT Sarjit Singh, bagaimanapun, membuka pilihannya lebih luas  dengan kemasukan pemain Argentina Pablo Javier Trevisan, Nicolas Cicileo, Jose Leandro Tolini dan Ignicio Quilez di dalam skuadnya yang turut menyaksikan kehadiran Ahmad Shakeel Butt dari Pakistan. Ini adalah kali pertama pemain Argentina akan tampil dalam MHL sejak pengenalannya pada 1978.

Cicileo antara yang direkrut THT

Dan untuk menambah lebih sengat, pasukan dari Terengganu itu mempunyai tujuh pemain kebangsaan sebagai pelengkap kepada kekuatan import mereka dalam usaha untuk mempertahankan kejuaraan liga dan keseluruhan. Mereka adalah penjaga gol Hafizuddin Othman, pertahanan Azlan Misron, pemain tengah Shahrun Nabil dan Fitri Saari serta penyerang Faizal Saari, Tengku Ahmad Tajuddin dan Firhan Ashaari.

Bagi UniKL Young Guns, mereka sudah tentunya mengintai tempat di separuh akhir dengan jurulatih Arul Selvaraj mempertaruhkan pengalaman Haziq Samsul, Baljit Singh, Izwan Firdaus dan Meor Azuan yang beraksi di Separuh Akhir Liga Hoki Dunia di Antwerp. Pemain import mereka pula adalah Richard Sykes, Patrick Neil Schultz dan Jethro Ray Eustice.

Jurulatih skuad Projek 2016 itu mempunyai 10 pemain dari skuad pelatih Piala Dunia Remaja yang diserap ke dalam UniKL iaitu Sufi Ismat, Zul Pidaus Mizun, Maxhans Christi, Ashran Hamsani, Azwar Rahman, Najmi Farizal, Nor Azrul dan Ezry Mustafa.

Kecuali  TNB, kendalian Nor Saiful Zaini, yang akan sekali lagi menyandarkan harapan sepenuhnya di bahu pemain tempatan, Sapura dan Maybank turut melontarkan cabaran dengan diperkuatkan beberapa pemain Pakistan.

Jurulatih kebangsaan Tai Beng Hai telah menamakan Khasif Ali, Muhammad Imran, Abdul Haseem Khan dan Mohamad Azfar Yaqoob untuk mengetuai cabaran Sapura, Maybank turut berupaya menyengat dengan kehadiran Imran Butt, Muhammad Irfan, Muhammad Toseeq, Muhammad Waqas dan  Deepanshu Bhargav dari India.

Ianya akan menjadi musim TNB-MHL 2015 yang cukup hebat untuk dikenang bagi semua peminat! 

Wednesday, July 29, 2015

Pertarungan dua penjuru Perlis - Real Mulia FC

Tatkala tinggal hanya 4 perlawanan lagi sebelum aksi Kumpulan A Liga FAM 2015 melabuhkan tirai, ianya kini menjadi pertarungan dua penjuru antara bekas juara Piala Malaysia Perlis dan pendatang baru, Real Mulia FC untuk memburu tiket ke Liga Perdana 2016.

Pada hari yang menyaksikan Perlis mengukuhkan cengkaman di tangga teratas menerusi kemenangan 2-0 ke atas Hanelang FC, Real Mulia bimbingan Yunus Aliff mengekalkan jurang lima mata di antara kedua-dua pasukan dengan menang 2-1 ke atas Felcra FC.

“Ia kemenangan penting bagi Real, kita dapatkan gol awal tetapi kita benarkan mereka bangkit dan ia hampir menghukum kita. Selepas mendahului dua gol, kita sepatutnya membunuh terus perjuangan Felcra tetapi kita leka dan memberi ruang kepada mereka untuk kembali dalam permainan.



“Syamsuri menggunakan pengalamannya untuk menyelamatkan kita. Kita sudah berada di fasa getir dan perlu kekalkan momentum ini, tiada ruang untuk buat silap lagi,” ujar Yunus.

Real Mulia yang berdepan masalah ketumpulan penyudah sepanjang saingan musim ini, tampil garang apabila penyerang yang dibawa masuk pada April, Saufie Hamid meledak gol hanya 75 saat selepas permainan bermula dan menambah satu lagi jaringan pada minit ke-10 untuk mendahului selesa 2-0.

Meskipun menguasai aksi babak pertama dengan merencana beberapa gerakan serangan menarik, Real Mulia gagal menambah jaringan dengan dua percubaan masing-masing menerusi Saufie dan Zulkifli Affendi Zakri dinafikan Muhamad Amirul di gawang Felcra.

Ketika separuh masa pertama dilihat hampir tamat dengan jaringan 2-0, kelekaan barisan pertahanan membenarkan Muhamad Shafiq menanduk masuk gol tunggal Felcra hasil hantaran sepakan sudut.

Real Mulia akan menentang Megah Murni FC Ahad depan, manakala Perlis akan berdepan UKM FC namun detik penentuan sebenar sudah tentunya apabila Real Mulia dan Perlis bertembung sesama sendiri pada 16 Ogos depan di Kangar.

Saturday, July 25, 2015

Tengku Fahd suntik keyakinan di kem Real Mulia

Kehadiran Presiden Real Mulia FC, YAM Tengku Fahad Mua’adzam Shah ke gelanggang latihan pasukan buat pertama kali, menyuntik keyakinan tambahan di kem RMFC untuk tampil memberi aksi terbaik dalam baki lima perlawanan terakhir Liga FAM – bermula dengan aksi menentang Felcra FC Ahad ini.  

Tengku Fahad, yang turut didaftarkan sebagai pemain RMFC untuk beraksi di posisi penyerang, turun ke sesi latihan buat pertama kali musim ini selepas cuti Aidilfitri dan pantas menjadi sensasi hangat di kalangan pemain dan pegawai pasukan   

Ketua pasukan, Fazli Zulkifli berkata, “Kehadiran Tengku (Fahad) satu tonik bagi semua, sudah lama kami nantikan saat ini. Tengku cepat mesra, cepat menyesuaikan diri dengan persekitaran di sini dan juga rakan sepasukan.

“Beliau memberi semangat kepada kami semua agar tidak berputus asa selagi saingan belum berakhir dan seorang yang cukup positif terhadap pasukan ini. Kami akan berjuang sehabis baik demi membalas kepercayaan yang diletakkan apatah lagi pada peringkat getir ini apa sahaja boleh berlaku.”   





Pengendali RMFC, Yunus Aliff turut senada dengan kaptennya itu apabila menyifatkan kehadiran Tengku Fahd adalah tepat pada masanya di saat pasukan sangat memerlukan motivasi tambahan.

“Di saat ini kehadiran Tengku cukup penting untuk pasukan. Dalam mana-mana pasukan sekalipun, semua pemain akan melipatgandakan usaha apabila beraksi di hadapan presiden kelab mereka, kerana mereka mahu menonjol dan membuktikan sesuatu. Pemain-pemain pastinya tidak mahu mengecewakan presiden mereka dengan mempamer aksi hambar,” ujar Yunus.     

Di sebalik ketinggalan lima mata di belakang pendahulu, Perlis, Yunus berpendapat persaingan memburu satu slot dari Kumpulan A untuk beraksi di Liga Perdana 2016 masih terbuka kerana beliau percaya Perlis ketika ini berada dalam tekanan untuk mengekalkan prestasi cemerlang dan akan melakukan kesilapan.

“Perlis sebuah pasukan yang bagus, mereka begitu cemerlang sepanjang 13 perlawanan yang lepas, belum tewas dan merupakan pilihan utama ketika ini. Saya kagum dengan prestasi mereka tetapi saya tidak mahu fikir pasal Perlis, yang penting adalah Real Mulia.

“Tiada guna kami harap Perlis cicirkan mata jika kami sendiri tidak beraksi di tahap yang baik. Kami perlu tingkatkan prestasi dan menang semua perlawanan. Tiada tekanan bagi kami kerana kami underdog, Perlis yang tertekan dan tekanan ini akan sebabkan mereka cicirkan mata.”  


Ahad ini, Real Mulia akan bertandang ke Stadium Sains Sukan UM untuk menentang Felcra FC manakala Perlis akan bertandang ke Kuala Berang untuk menentang Hanelang FC. 

Thursday, July 9, 2015

JDT & Dortmund pertaruh barisan terkuat

Juara lapan kali Bundesliga Jerman, Borussia Dortmund bersedia menampilkan aksi cemerlang apabila menentang Juara Liga Super Malaysia 2014 Johor Darul Ta’zim di Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos, malam ini.

Kehadiran Borussia Dortmund ke Malaysia dalam siri Jelajah Asia mereka yang disokong oleh penaja utama kelab, Evonik ini adalah persinggahan kedua BVB selepas pertembungan menentang kelab Liga Jepun Kawasaki Frontale di Tokyo yang menyaksikan kebanjiran penyokong yang memenuhi kapasiti stadium.

Perlawanan ini diadakan susulan kepada kerjasama pembangunan berprofil tinggi yang dimeterai pada 2014 di antara bekas finalis Liga Juara-Juara Eropah itu dan JDT atau lebih dikenali sebagai Johor Southern Tigers.

Perjanjian itu akan menyaksikan kedua-dua pasukan berkongsi informasi latihan dan kejurulatihan selain pertukaran pemain di masa akan datang untuk pembangunan bolasepak belia di Johor.

Antara bintang Borussia Dortmund di Johor Baru adalah pemain Jepun Shinji Kagawa, yang kembali ke Signal Iduna Park dari Manchester United musim lepas, Marco Reus, Mats Hummels, dua pemain tengah baru Gonzalo Castro dan Julian Weigl berusia 19 tahun yang mempunyai potensi hebat untuk berkembang, serta penjaga gol Roman B├╝rki.



Bagi peminat yang mengikuti perkembangan BVB di era kegemilangan mereka pada 1990-an, duta antarabangsa BVB Karl-Heinz Riedle dan penyelia pasukan belia Lars Ricken turut menyertai kontijen Hitam Kuning itu dalam jelajah ini.

Tengku Mahkota Johor, DYAM Brigadier Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, yang juga Presiden Persatuan  Bolasepak Negeri Johor, berkata beliau cukup teruja dengan penampilan Borussia Dortmund di negeri itu susulan kerjasama yang berjaya di antara kedua-dua kelab.  

“Ini adalah perjanjian jangka panjang antara kami dan Dortmund. Saya serius mengenai pembangunan bolasepak di Johor dan saya mahu melihatnya berkembang ke tahap seterusnya,” kata Tunku Ismail.

“Hari ini menandakan satu babak baru dalam rancangan pembangunan JDT dan dengan BVB menyokong usaha kami ini, kami yakin dapat mencapai hasil yang positif.”

“Saya mahu menyatakan penghargaan kepada BVB di atas kerjasama yang hebat ini dan kami akan berusaha mulai sekarang. Perlawanan ini memberi peluang terbaik  kepada peminat Johor untuk merasai satu pengalaman yang menarik,” tambah Tunku Ismail.



Perjanjian ini turut membenarkan Dortmund untuk meluaskan pengaruh mereka di Asia selepas pembukaan pejabat pasukan di Singapura pada 2014. BVB cukup dikenali di rantau ini sebagai tempat asal bintang Jepun Shinji Kagawa dan turut pernah menerima kehadiran pemain Malaysia Gary Robbat untuk sesi latihan.

Ketua Pegawai Eksekutif Borussia Dortmund, Hans-Joachim Watzke, berkata kunjungan ke Asia buat kali pertama sejak 2007 ini adalah bayangan strategi jangka panjang global BVB.  

“Peminat di Asia mahukan peluang untuk menyaksikan bintang kami di depan mata, dan ini adalah hasrat yang kami mahu tunaikan. Tayangan aksi Bundesliga di pasaran TV Asia semakin meningkat. Ini, secara tidak langsung akan membantu kami untuk lebih dikenali,” kata Watzke.

“Kami telah menjadikannya sasaran kami untuk mengekalkan hubungan rapat jangka panjang dengan masyarakat di rantau ini dan belajar dari satu sama lain. Informasi terkini menunjukkan bahawa lebih kurang enam juta rakyat Jepun mempunyai minat yang tinggi terhadap BVB,” tambahnya.

Penaja jersi global Dortmund, Evonik dan pembekal kit Puma, kedua-duanya yang mempunyai pangkalan serantau di Singapura, akan membantu dalam inisiatif penjenamaan di rantau ini. DFL Sports Enterprises, cabang pemasaran hak media Bundesliga pula turut mempunyai sebuah pejabat di Asia yang berpusat di Singapura dan akan bekerjasama rapat dengan kelab untuk mencapai matlamat penjenamaan strategik.

Borussia Dortmund kekal sebagai kelab nombor satu di Eropah dari segi kehadiran penonton dan satu-satunya kelab pada musim 2014/15 – sama seperti musim sebelumnya -  untuk mencatatkan kehadiran purata lebih 80,000 penonton bagi setiap perlawanan di gelanggang sendiri.


Dengan kehadiran purata penonton seramai 80,424, Borussia Dortmund mengungguli kedudukan di seluruh Eropah – mengatasi Barcelona FC (77,632), Manchester United (75,335), Real Madrid (73,081) dan Bayern Munich FC (72,882).

Wednesday, July 8, 2015

Kagawa ketuai barisan Dortmund

Pemain tengah, Shinji Kagawa akan mengetuai barisan bintang Borussia Dortmund yang akan turun menentang Johor Darul Ta’zim dalam perlawanan persahabatan antarabangsa yang julung kalinya antara kedua-dua pasukan di Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos malam esok.



Kagawa, yang kembali ke Signal Iduna Park dari Manchester United, adalah antara 27 pemain yang disenaraikan juara Bundesliga lapan kali ini bagi persinggahan Jelajah Asia 2015 Borussia Dortmund di Malaysia.

Antara pemain lain termasuklah Mats Hummels, Henrikh Mkhitaryan, Marco Reus, Gonzalo Castro, Jeremy Dudziak, Mitsuru Maruoka, Jon Stankovic dan Matthias Ginter. Bagi peminat yang mengikuti perkembangan BVB di era kegemilangan mereka pada 1990-an, duta antarabangsa BVB Karl-Heinz Riedle dan penyelaras pasukan belia Lars Ricken turut menyertai kontijen Hitam Kuning itu dalam jelajah ini.

Borussia Dortmund menampilkan aksi dominan bertenaga ketika mencatat kemenangan 6-0 ke atas pasukan Liga Jepun Kawasaki Frontale dalam aksi pertama Jelajah Asia mereka di hadapan 24,650 peminat yang memenuhi Stadium Todoroki pada Selasa. Kagawa dan Pierre-Emerick Aubameyang masing-masing menjaringkan dua gol, manakala Maruoka dan Stankovic meledak satu gol.

Borussia Dortmund akan tiba di Singapura hari ini untuk persinggahan kedua dalam siri Jelajah Asia mereka. Selepas satu malam di bandar itu, BVB akan bertolak ke Johor Bahru esok untuk sesi ramah mesra bersama peminat di Malaysia bertempat di Puma Store di Komtar, JBCC (2.30-3.15 petang) dan Al-Ikhsan Megastore di Bandar Baru Uda (2.30-3.30 petang). Mereka akan kembali turun ke gelanggang untuk menceriakan lebih 30,000 peminat apabila menentang  Johor Southern Tigers di Stadium Larkin (sepak mula jam 9.45 malam).



Gergasi Bundesliga ini telah menikmati hubungan istimewa dengan rantau Asia sejak menjuarai Piala  Intercontinental di Tokyo pada 1997.

Manakala di pihak Harimau Selatan, yang mara ke peringkat suku akhir Piala AFC 2015 di bawah kendalian pengurus Roberto Carlos Mario Gomez, bersedia menampilkan aksi terbaik menentang pasukan pelawat.

Perlawanan ini diadakan susulan kerjasama yang terjalin di antara Johor Darul Ta’zim dan Borussia Dortmund menerusi kerjasama pembangunan berprofil tinggi pada 2014. Perjanjian ini akan menyaksikan kedua-dua pasukan berkongsi informasi  latihan dan kejurulatihan selain pertukaran pemain di masa akan datang untuk pembangunan bolasepak belia di Johor.


Skuad Borussia Dortmund : Pierre-Emerick Aubameyang, Sven Bender, Jakub Blaszozykowski, Hendrik Bonmann, Gonzalo Castro, Jeremy Dudziak, Erik Durm, Matthias Ginter, Kevin Grosskreutz, Mats Hummels, Ciro Immobile, Shinji Kagawa, Kevin Kampl, Oliver Kirch, Mitch Langerak, Mitsuru Maruoka, Henrikh Mkhitaryan, Sokratis Papastathopoulos, Lukasz Piszczek, Adrian Ramos, Marco Reus, Nuri Sahin, Marian Sarr, Marcel Schmelzer, Neven Subotic, Roman Weidenfeller, Julian Weigl.

Tuesday, June 2, 2015

Real semakin bernafsu

Real Mulia FC (RMFC) melakar kemenangan penting untuk melonjak ke tangga kedua Kumpulan A Liga FAM dengan menewaskan Sungai Ara FC 1-0 pada Ahad untuk terus berada di landasan mengejar tiket beraksi di Liga Perdana 2016.    

Pemain tengah, Badrulhisani Abdul Rahman muncul wira apabila merembat kencang hantaran M.Yoganathan dari luar kotak penalti untuk gol tunggal perlawanan sekaligus mengesahkan tiga mata berharga milik RMFC tatkala Sungai Ara tewas buat pertama kali di gelanggang mereka.

Meskipun berdepan isu padang yang dilihat tidak sesuai untuk sebuah pertandingan rasmi sebelum sepak mula, RMFC menampilkan aksi bertenaga serta kekuatan mental tinggi untuk mencatat kemenangan kelima berturut-turut di gelanggang lawan, dan juga kemenangan kelima dengan jaringan 1-0.



Pengendali RMFC, Yunus Aliff berkata, “Bukan mudah untuk menang di gelanggang ini kerana padang ditakungi air ekoran hujan sebelum perlawanan. Tetapi pemain saya manfaatkan pengalaman mereka dan menunjukkan karakter yang hebat untuk membawa pulang tiga mata.

“Kedua-dua pasukan mencipta peluang, kami ada empat atau lima peluang dan begitu juga mereka tetapi akhirnya pasukan yang beraksi lebih baik menang. Kita ketepikan segala provokasi dan menunjukkan kekuatan mental untuk menang di sini. Pemain tidak boleh leka dan perlu lebih ghairah memburu kemenangan selepas ini.”

RMFC yang berada di kedudukan ketiga sebelum perlawanan, menguasai babak awal perlawanan, dengan dua percubaan dari Wan Aliff  Wan Jasmi sedikit tersasar. Sungai Ara turut memiliki peluang menjaringkan gol tetapi kecemerlangan bekas penjaga gol kebangsaan, Syamsuri Mustafa dan palang gol menjadi penghalang buat tuan rumah meledak jaringan.


RMFC ketika ini di kedudukan kedua, dua mata mengatasi Megah Murni yang seri di UKM dan ketinggalan lima mata di belakang Perlis yang unggul dengan rekod tanpa kalah selepas menewaskan Shahzan Muda. RMFC akan bertandang ke Kuala Berang, Terengganu untuk menentang Hanelang FC Ahad depan.  

Tuesday, May 26, 2015

Poyok, Syamsuri pastikan impian Real terus bernyala

Real Mulia FC memastikan perjuangan memburu tiket ke Liga Perdana 2016 masih di landasan tepat menerusi satu lagi kemenangan tipis 1-0, kali ini ke atas PBAPP FC di Stadium Bandaraya pada Ahad.

Gol tunggal jaringan Saufie Hamid pada minit ke-55 serta satu lagi aksi cemerlang dari penjaga gol Syamsuri Mustafa, memastikan anak buah Yunus Aliff mengekalkan rekod bersih empat kemenangan di gelanggang lawan.

“Kita bermula dengan baik, pemain mendengar arahan supaya kita kuatkan bahagian tengah di separuh masa kedua. Saufie melakukan larian yang baik, mencabar pertahanan lawan sebelum dapat menjaringkan gol. Ia kemenangan yang penting dan saya percaya kita masih berada di landasan yang betul untuk layak ke Liga Perdana,” ujar Yunus yang merupakan jurulatih PBAPP musim lepas.



Mengenai Syamsuri, Yunus berkata, “Syamsuri? Saya hilang kata-kata nak cakap tentang dia. Setiap minggu dia selamatkan kita. Hari ini dia selamatkan 4 percubaan bahaya depan gol. Semua pemain memberi aksi terbaik tetapi Syamsuri beraksi luar biasa setiap perlawanan. Secara peribadi, saya anggap dia penjaga gol terbaik dalam negara buat masa ini.”

Real Mulia yang turun tanpa Ariff Zulkifly (penggantungan) dan Khairan Ezuan (kecederaan) goyah pada 15 minit pertama apabila PBAPP ghairah mengasak mencari gol awal namun berjaya mengimbangi permainan ketika menuju ke pertengahan separuh masa pertama.

Selepas percubaan Faiz Nasir, Ikhram Ibrahim dan Shahrulnizam Anuar diselamatkan dengan cemerlang oleh Syamsuri, giliran Real Mulia terlepas peluang keemasan apabila Haikal Nazri dan Saufie gagal memanfaatkan ruang terbuka untuk menjaringkan gol apabila percubaan mereka tersasar.
10 minit permainan bersambung di babak kedua, Saufie menceriakan kem RMFC apabila rembatan kencangnya gagal diselamatkan penjaga gol PBAPP untuk gol tunggal perlawanan.

Kemenangan membolehkan RMFC melonjak satu anak tangga ke tangga ketiga dengan 19 mata, dipisahkan menerusi beza jaringan dengan pasukan tangga kedua, Megah Murni yang mengikat Perlis tanpa jaringan di Kangar. Perlis masih mendahului Kumpulan A dengan kelebihan 5 mata.

Lilywhites tiba di ibu negara!

Tottenham Hotspur bimbingan Mauricio Pochettino tiba di ibu negara bersama barisan pemain bintang mereka antaranya sensasi baru di White Hart Lane, Harry Kane, penjaga gol Hugo Lloris, pemain tengah Erik Lamela dan Christian Eriksen untuk aksi Piala AIA Kuala Lumpur 2015 menentang Malaysia XI.  

Dianjurkan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan dipromosikan oleh ProEvents International Sdn Bhd, Lilywhites akan menentang Malaysia XI bimbingan Dollah Salleh di Stadium Shah Alam, esok (sepak mula jam 8.45 malam).

Pengerusi Tottenham Hotspur, Daniel Levy berkata : “Kami bersedia untuk memberi peminat kami di sini peluang untuk menyaksikan pasukan kami beraksi menentang antara pemain terbaik di Malaysia sebagai cara untuk menyatakan penghargaan kami terhadap usaha dan sokongan yang telah mereka berikan kepada kami dari segenap pelusuk dunia setiap minggu. Kami berharap dapat bertemu sejumlah besar di antara mereka sepanjang kunjungan ini.”

Kane sensasi terbaru White Hart Lane

“Kunjungan ini juga akan membolehkan kami untuk meneruskan jalinan kerjasama hebat bersama AIA, rakan kongsi jangka panjang kelab, yang mana akan menyaksikan pasukan Kejurulatihan Global kami mengendalikan klinik kejurulatihan bolasepak akar umbi untuk menggalakkan gaya hidup sihat dan sejahtera di seluruh rantau ini. Kami juga berterima kasih kepada Persatuan Bolasepak Malaysia, ProEvents, CIMB dan Astro di atas sokongan dan kerjasama hebat yang diberikan.”

Dollah telah menyenaraikan lima pemain import yang beraksi dalam saingan Liga Malaysia - Ali Ashfaq (PDRM), Paulo Rangel (Terengganu), pertahanan Perak dari Brazil, Thiago Junior Aquino serta dua pemain Selangor Robert Cornthwaite dan Guilherme De Paula (Selangor) di dalam skuadnya.

“Peluang beraksi menentang kelab EPL bukan sentiasa datang dan saya yakin Malaysia XI, termasuk pemain import yang telah saya namakan, akan memberi aksi terbaik mereka kerana ini adalah peluang terbaik mereka untuk menonjol,” ujar Dollah. Saya mengharapkan satu perlawanan yang menarik menentang Spurs dan ia tentunya hebat dengan penyokong berdiri memberi sokongan padu di belakang kami.”

Ali antara 5 impot disenarai Dollah

Setiausaha Agung FAM, Dato’ Hamidin Mohd Amin, berkata : “Bagi pihak FAM, saya menyatakan rasa keterujaan kami di dalam mengalu-alukan kehadiran Tottenham Hotspur FC untuk saingan Piala AIA Kuala Lumpur 2015. Kita telah menanti sekian lama untuk perlawanan ini dan saya percaya banyak yang boleh pemain kita pelajari sebelum beraksi di Kelayakan Piala Dunia.”

Pengarah Urusan ProEvents International, San Boon Wah, berkata ini sememangnya satu detik bersejarah buat penyokong Tottenham Hotspur di Malaysia dan ribuan lagi penyokong Spurs yang akan bertandang dari China, Hong Kong, Australia, UK, Singapura, Indonesia, Thailand dan Kemboja.

“Tatkala peminat di Malaysia akan mendapat peluang menyaksikan Spurs beraksi di Stadium Shah Alam, kami juga ingin memaklumkan bahawa Malaysia akan dipasarkan kepada jutaan peminat di seluruh dunia melalui siaran luar negara perlawanan ini termasuk di UK & Eire, Perancis, China, Indonesia, Jepun, Maldives, Norway, USA, Kanada dan di Timur Tengah,” kata San.

Sebagai sebahagian dari perancangan di Piala AIA Kuala Lumpur 2015, kelab ini dan pasukan Kejurulatihan Global mereka komited untuk mengadakan sesi kejurulatihan sejumlah 100 jam keseluruhan dan klinik ini dihadiri oleh jurulatih-jurulatih Harimau Muda B, C, dan D, pemain dari Sekolah Sukan Malaysia Pahang, Sekolah Sukan Bukit Jalil, SMK Seri Perkasa (Teluk Intan, Perak), Akademi FAM dan tidak ketinggalan Sukan Olimpik Khas Malaysia.  

Ketua Pegawai Pemasaran AIA Bhd, Thomas Wong, berkata : “Hari ini adalah hari yang cukup mengujakan bagi kami di AIA, selepas setahun menjalin kerjasama tajaan jersi bersama Tottenham Hotspur FC; kami mempunyai peluang untuk bekerjasama dengan Kelab ini dan membawa skuad utama mereka merentasi sempadan dunia untuk beraksi menentang Malaysia XI di Piala AIA 2015!

“Sebagai sebuah syarikat insurans hayat, kami sedar betapa seorang ahli sukan berpengaruh boleh menjadi contoh yang baik di dalam menyampaikan motivasi khas untuk menggalakkan gaya hidup sihat justeru AIA dan Spurs telah bekerjasama untuk menyampaikan mesej ini melalui pelbagai klinik kejurulatihan dan aktiviti kemasyarakatan yang telah dirancang minggu ini.” 

Ketua Eksekutif Kumpulan CIMB Group, Tengku Dato’ Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata, “CIMB, sebagai rakan kongsi rasmi, berbangga untuk menyokong inisiatif untuk membawa aksi bola sepak berkelas dunia ke Malaysia – di sini di Kuala Lumpur. Kami cukup pasti kumpulan besar penyokong EPL di Malaysia akan terhibur menyaksikan sebuah perlawanan yang tanpa ragu sebuah perlawanan hebat dan cukup bersejarah.”

Tiket terbuka dijual pada harga RM58 dengan tiket VIP terhad boleh didapati pada harga RM428 dan RM328. Kesemua tiket sudah boleh didapati untuk pembelian secara online di www.ticketpro.com.my, di cawangan Ticketpro dan juga menerusi talian hotline, +603-7880-7999.

Tiket juga akan dijual di Stadium Shah Alam hari ini (26 Mei) bermula jam 11 pagi ke 8.30 malam dan pada hari perlawanan (27 Mei) dari 11 pagi hinggalah tamat separuh masa pertama.


Pintu masuk akan dibuka pada jam 4.30 petang pada hari latihan, dan 6 petang pada hari perlawanan. 

Tuesday, May 19, 2015

Syamsuri selamatkan Real dari berputih mata

Prestasi cemerlang bekas penjaga gol kebangsaan, Syamsuri Mustafa menjadi penyelamat buat Real Mulia FC daripada berputih mata di gelanggang sendiri tatkala tuan rumah sekadar berpuas hati dengan keputusan seri 1-1 menentang PBAPP FC pada perlawanan terakhir pusingan pertama Kumpulan A Liga FAM, pada Ahad. 

Real Mulia yang ketinggalan 0-1 di babak pertama menerusi jaringan Saifulnizam Anuar pada minit ke-45 menyamakan kedudukan pada minit ke-66 menerusi sepakan penalti Amirullah Ab Razab namun ianya aksi bertaraf lima bintang dari Syamsuri yang menyelamatkan satu mata berharga buat anak buah Yunus Aliff.

“Sekali lagi, Syamsuri menjadi wira kita. Dia berada di kemuncak prestasi dengan menyelamatkan lima atau enam percubaan pasti gol. Dia berada dalam kelas tersendiri, ianya pertahanan kita yang terlalu banyak memberi ruang kepada lawan untuk menyerang dan jika tidak kerana dia (Syamsuri), kita sudah tentu tewas,” ujar Yunus sejurus tamat perlawanan.

Penyerang PBAPP Ikhram Ibrahim cuba melepasi halangan pertahanan RMFC, Ariff Zulkifly.

Tambah Yunus, “Hanya untuk 15 minit pertama, kita main permainan kita dan selepas itu kita hilang punca dan nampak tertekan. Banyak kesilapan mudah, termasuk hantaran pendek yang mudah dibaca pihak lawan. Malah gol yang dilepaskan juga berpunca daripada kesilapan sendiri, kita kehilangan bola dan mereka melakukan serangan balas yang menghukum kita.”

Pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Akademi Maybank Bangi itu, Real Mulia bermula dengan baik apabila menguasai babak awal perlawanan sebelum PBAPP bimbingan Kamal Kalid mengimbangi permainan menerusi beberapa serangan balas pantas yang diilhamkan menerusi pemain licik, Faiz Nasir.

Dengan Haikal Nazri, Shafizi Zain dan M.Yoganathan kesemuanya gagal merencanakan gerakan serangan yang memberi impak, ianya PBAPP  yang dua kali mencemaskan gawang Real Mulia – kedua-duanya menerusi sepakan percuma kencang yang diselamatkan Syamsuri.

Tatkala aksi babak pertama dilihat hampir pasti tamat tanpa jaringan, kesilapan barisan tengah dihukum Saifulnizam yang lolos ke dalam kotak penalti dan memperdaya tiga pemain pertahanan sebelum melepaskan rembatan yang menewaskan Syamsuri.

Real Mulia tampil lebih agresif di separuh masa kedua, dan berhasil menyamakan kedudukan selepas Haikal dikasari di dalam kotak penalti, dengan sepakan Amirullah mudah menewaskan Ismail Rahman.

Kedua-dua pasukan mempunyai peluang keemasan untuk menambah jaringan selepas itu, terutamanya PBAPP namun dinafikan oleh kecemerlangan Syamsuri di gawang Real Mulia manakala tuan rumah meratapi peluang terbaik untuk mengesahkan kemenangan apabila tandukan Fazli Zulkifli singgah di palang gol pada minit akhir permainan.

Keputusan seri menyaksikan Real Mulia dan PBAPP masing-masing mengutip 16 mata, untuk kekal menghuni tangga ketiga dan keempat Kumpulan A – 7 mata di belakang pendahulu Perlis. Kedua-dua pasukan akan bertemu sekali lagi pada 24 Mei depan.

Friday, May 15, 2015

Fazli : Real tidak boleh buat silap

Tiada lagi ruang untuk buat silap seandainya Real Mulia mahu terus memberi saingan sengit kepada pendahulu Kumpulan A Liga FAM, Perlis, demikian tegas ketua pasukan RMFC, Fazli Zulkifli.
Real Mulia yang berada di tangga keempat dengan ketinggalan lima mata di belakang Perlis akan melayan kunjungan PBAPP FC di gelanggang sendiri, Stadium Akademi Maybank pada Ahad dan Fazli berpendapat hanya kemenangan akan memastikan mereka terus berada di landasan tepat untuk mengejar Perlis.

“Kami telah banyak merugikan mata di gelanggang sendiri, apa yang penting kita semua sebagai satu pasukan tahu di mana silap kita dan bersama-sama perbaiki. Kita tidak boleh ulangi kesilapan sama kerana sudahpun berada di pertengahan saingan dan semua perlawanan selepas ini adalah cukup penting,” katanya.



Tambah Fazli, “Semua pemain mahukan yang terbaik untuk pasukan. Kita ada 10 perlawanan lagi untuk dilalui dan saya percaya kita akan tampil sebagai pasukan yang lebih baik. Kita juga ada pemain baru yang bagus jadi saya yakin kita akan berupaya mencapai sasaran yang ditetapkan iaitu untuk mara ke Liga Perdana 2016.”    

Sebagai penambahbaikkan pada skuad sedia ada, Real Mulia telah mendaftarkan dua pemain baru iaitu bekas penyerang Terengganu, Saufie Hamid dan bekas pemain tengah Sabah, M.Yoganathan sejurus pintu perpindahan kedua dibuka pada 11 Mei lalu.

Berita gembira juga buat Real Mulia apabila khidmat pertahanan kanan, A. Puvan Raj yang tersisih akibat kecederaan lutut sebelum ini akan kembali dapat digunakan. 

Namun, Real Mulia hampir pasti tidak dapat menggunakan khidmat Yoganathan yang sehingga kini belum menerima Sijil Perpindahan Negeri dari Persatuan Bolasepak Sabah yang enggan mengeluarkan SPN pemain itu meskipun pada awalnya telah bersetuju memberi pelepasan kepadanya untuk beraksi bersama pasukan lain.

Pengendali Real Mulia, Yunus Aliff berkata, “Ini adalah satu masalah apabila persatuan bersikap tidak profesional. Apapun perkara ini tidak membabitkan persatuan kita (Real Mulia), ia adalah antara Yoga dan SAFA, mereka perlu mencari penyelesaian kerana masa semakin suntuk dan kita harap perkara ini dapat diselesaikan segera. Mereka hanya akan membunuh semangat dan karier pemain itu.”

Thursday, April 23, 2015

ISS ISTAF Superseries : Korea harap tuah gelanggang sendiri

Beraksi selaku tuan rumah ISTAF SuperSeries KOREA 2014/15 dijangka menyuntik semangat buat barisan pemain Korea untuk menampilkan aksi cemerlang apabila pusingan ketiga ISTAF SuperSeries membuka tirainya di Arena Wolmyeong Arena pada Khamis.

Korea harap tuah selaku tuan rumah.

Kali terakhir merasai nikmat bergelar juara pada aksi akhir ISTAF SuperSeries INDIA 2013/14 di in New Delhi selepas kemenangan bergaya  3-0 ke atas Malaysia, Korea akan mengharapkan tuah gelanggang dan penyokong sendiri untuk cuba mengulangi pencapaian tersebut.

Bagi kategori Lelaki, Thailand diundi di dalam Kumpulan A bersama-sama Jepun, Indonesia dan tuan rumah Korea. Manakala dalam Kumpulan B, juara ISTAF SuperSeries MALAYSIA, Malaysia dijangka berdepan tentangan sengit dari Myanmar, Singapura, dan China. Malaysia hadir ke kejohanan ini dengan berada di prestasi terbaik mereka setelah kejayaan penuh bersejarah ke atas Thailand pada aksi akhir ISTAF SuperSeries MALAYSIA yang berlangsung di Melaka.

Juara bertahan, Malaysia akan membuka tirai saingan ISS KOREA dengan beraksi dua perlawanan menentang China dan Myanmar pada hari pembukaan manakala Korea menentang Jepun.

ISTAF SuperSeries KOREA 2014/15 diadakan menerusi kerjasama Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa dan rakan komersialnya Asia Sports Ventures (ASV) dengan sokongan dari Gabenor Jeollabuk Do, Song Ha-Jin dan Datuk Bandar Gunsan City, Moon Dong-Shin.

Selepas menampilkan aksi berkelas dunia di ISTAF SuperSeries MALAYSIA pada Februari lalu untuk muncul juara dengan menewaskan Thailand, Malaysia dijangka berdepan saingan yang lebih mencabar di Gunsan dengan perubahan pada barisan pemain termasuk ketiadaan Syahir Rosdi.

Sahidan Ali akan mengetuai cabaran Malaysia bersama-sama Hairul Hazizi Haidzir, Sumari Zuleffendi, Khairul Zaman dan Mohamed Zamree.

Malaysia turun selaku pilihan selepas menjuarai ISTAF Superseries Malaysia. 

Kategori wanita pula menyaksikan pilihan utama Thailand akan disertai musuh ketat Malaysia dan Korea dalam Kumpulan A yang menjanjikan aksi hebat di peringkat kumpulan. Malaysia dijangka berdepan tugas sukar untuk mengatasi skuad wanita Thailand yang cukup dominan, serta Korea yang pastinya mahu memanfaatkan kelebihan beraksi di gelanggang sendiri.

Vietnam adalah pilihan untuk mara dari Kumpulan B, dengan Indonesia dan Jepun kedua-duanya berharap dapat memberikan tentangan kepada Vietnam untuk merebut tempat teratas. Vietnam mara ke perlawanan akhir pada ISS MALAYSIA dan sudah tentunya mahu memperbaiki prestasi untuk merampas takhta kejuaraan wanita dari Thailand.

Timbalan Presiden ISTAF, Datuk Haji Ahmad Ismail, berkata: “Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa cukup berbangga untuk menganjurkan pusingan ketiga ISTAF SuperSeries ini di Korea dengan sokongan kuat dari Gabenor Jeollabuk-do, En. Song Ha-Jin, dan Datuk Bandar Gunsan City, En. Moon Dong-Shin. Mereka telah menjadi tuan rumah yang cukup hebat.”

ISTAF SuperSeries 2014/15 hanyalah satu daripada banyak pertandingan yang kami bawakan kepada pemain dan peminat sepaktakraw dengan matlamat utama meningkatkan kualiti dan prestasi kita di arena antarabangsa,” tambahnya pada sidang media pra-kejohanan hari ini.

Setiausaha Agung badan induk sepaktakraw dunia itu, Dato’ Abdul Halim Kader, berkata matlamat utama ISTAF adalah membawa Sepaktakraw  untuk dipertandingkan di Sukan Olimpik dan sedang bekerjasama erat dengan SportsAccord International dan Persatuan Jawatankuasa Olimpik Kebangsaan (ANOC) untuk mendapatkan sokongan kemasukan Sepaktakraw di Sukan Pantai Dunia pertama yang dijadualkan berlangsung pada 2017 di Eropah.

ISTAF akan turut menghantar delegasinya ke Socchi, Russia bulan depan untuk menghadiri Konvensyen SportsAccord bagi menentukan kemasukan Sepaktakraw yang mana akan menjadi satu langkah besar buat ISTAF untuk mencapai matlamat utamanya – Sukan Olimpik.

Ketua Pegawai Operasi Asia Sports Venture, Venu Ramadass, berkata musim ini menyaksikan Kejohanan ISTAF SuperSeries disiarkan secara langsung sepenuhnya menerusi laman web rasmi, www.sepaktakraw.org.

“Ini akan membolehkan lebih ramai peminat di seluruh dunia untuk menonton dan terhibur menyaksikan perlawanan menerusi internet. Dan sebagai pelengkap kepada laman web kami serta kandungannya, kami juga merancang menyediakan sebuah aplikasi mobil serbaguna untuk membekalkan semua berita dan maklumat sepaktakraw yang peminat perlukan dalam sekelip mata,” tambah Ramadass.

“Aplikasi yang dipanggil “Sepaktakraw” ini boleh dimuat turun pada Apple dan platform Android yang lain. Aplikasi ini bertujuan memberikan semua peminat sepaktakraw jadual perlawanan dan kemaskini keputusan bagi setiap perlawanan. Selain itu, ia memberi peluang kepada penonton menyaksikan perlawanan ‘SECARA LANGSUNG’ menerusi aplikasi ini,” jelas Ramadass.

Undian Kategori Lelaki
Kumpulan A: Thailand, Jepun, Korea, Indonesia
Kumpulan B: Malaysia, Myanmar, China, Singapura

Undian Kategori Wanita
Kumpulan A: Thailand, Malaysia, Korea
Kumpulan B: Vietnam, Indonesia, Jepun


*Semua perlawanan boleh disaksikan secara langsung menerusi ‘livestream’ di  www.sepaktakraw.org

Monday, April 20, 2015

FRENZ, MUSA meterai perjanjian jangka panjang

Persatuan Bolasepak Melaka United dan Kelab Bolasepak Frenz United hari ini menandatangani Memorandum Persefahaman yang mana bakal menyaksikan dedikasi yang lebih baik di dalam meningkatkan standard bolasepak di negeri ini.

Majlis menandatangani MoU dirasmikan oleh Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron di atas kapasitinya selaku Presiden Persatuan Bolasepak Melaka United, dan Presiden Frenz United FC, Dato’ Noor Ihsan A. Hamid.

Majlis berlangsung dengan disaksikan wakil pengurusan tertinggi dari kedua-dua kelab termasuk pengurus pasukan Melaka United, Datuk Mohd Yusoff Hj. Mahadi. Untuk rekod, Melaka United SA beraksi di dalam saingan Piala FAM yang merupakan Divisyen Ketiga Liga Malaysia.

Menerusi perjanjian ini, yang membuka jalan untuk terjalinnya hubungan yang memberi manfaat kepada kedua-dua pihak dalam perjanjian selama 15 tahun, antara lain memastikan Frenz United FC berpindah pangkalannya dari Janda Baik, Pahang ke Melaka dengan Stadium Hang Tuah yang cukup popular atau lebih dikenali sebagai ‘Stadium Kubu’ akan menjadi gelanggang tuan rumah buat FUFC.

Dua kejohanan utama Frenz United Asia – Trofi Juara-Juara Asia (ACT) dan Piala Antarabangsa Frenz (FIC) akan turut berlangsung di Melaka secara tahunan.




Mengulas mengenai persetujuan yang dicapai bersama MUSA, Datuk Seri Idris Haron berkata : “Kami cukup gembira menerusi Memorandum Persefahaman ini ianya merapatkan hubungan antara pengurusan tertinggi dalam keluarga bolasepak. Kerajaan Negeri Melaka percaya bahawa status Melaka sebagai antara destinasi pelancongan yang menarik akan lebih utuh menerusi perjanjian kerjasama ini.”

“Ianya satu penghormatan buat Melaka untuk menjadi tuan rumah dua kejohanan elit antarabangsa ini buat kali pertama. Kami mempunyai kemudahan berkelas dunia dan kepakaran yang memberikan keyakinan kepada Frenz United FC untuk membawa kejohanan itu ke sini,” tambahnya.  

“Aspek yang paling penting dalam perjanjian ini adalah membangunkan sukan bolasepak di peringkat akar umbi.”

Presiden Frenz United FC, Dato’ Noor Ihsan, berkata : “Hari ini menandakan satu peristiwa yang cukup penting dalam sejarah FUFC. Kami cukup teruja MoU ini menyediakan platform yang baik untuk kerjasama yang lebih utuh, membolehkan pertukaran dan perkongsian maklumat dan kepakaran yang bertujuan menggalakkan pembangunan bolasepak di Melaka.”

Beliau menambah Frenz United FC diwujudkan untuk membekalkan peluang kepada pemain lepasan akademi kelab itu di Janda Baik untuk meneruskan karier bolasepak mereka.

“Terdapat sejumlah 24 kelab antarabangsa dari seluruh Asia, Eropah, dan Afrika Selatan mengambil bahagian dalam kejohanan ACT dan FIC stiap tahun. Penyertaan kelab-kelab ini akan melonjakkan industri pelancongan di Melaka. Kami juga mempunyai perancangan untuk membangunkan sukan bolasepak di peringkat sekolah dengan memperkenalkan klinik kejurulatihan,” kata Dato’ Noor Ihsan.


Kejohanan Piala Antarabangsa Frenz B18 2015 telah dianjurkan secara bersama oleh  Malaysia dan Indonesia. Aksi peringkat kumpulan berlangsung di Kuala Lumpur dan Palembang, Indonesia melibatkan penyertaan  16 kelab dari seluruh dunia. Kelab Brazil, SC Internacional muncul juara dengan menewaskan Estudiantes FC dari Argentina 3-2 pada aksi akhir di Stadium Gelora Sriwijayain Palembang.