Tuesday, May 31, 2011

Hashim Mustapha Mangsa Keadaan Cetusan FAM

**sambungan kpd Part 1, Hashim Mustapha Hero Sepanjang Zaman Bolasepak Kelantan**

Adalah menjadi lumrah, apabila tiba masa seseorang pemain itu menggantung butnya, ada yang bersara atas faktor usia, faktor kecederaan, kegagalan berada dalam kesebelasan utama dan sebagainya, namun dalam kes HASHIM MUSTAPHA, wira sejati sepanjang zaman arena bolasepak Kelantan, ianya atas faktor berbeza.

Keputusan untuk bersara bukan atas kerelaannya, tetapi menjadi mangsa keadaan, apatah lagi Hashim sebenarnya bercita-cita untuk terus bergelar pemain professional, sehingga mencecah usia 40 tahun.

“FAM ni ada mewujudkan satu skim, dia macam tuntutan insuran/pampas an/ganjaran (tiada definisi tepat), di mana apabila kita bergelar pemain professional selama 7 tahun berturut-turut, kita boleh memohon untuk mendapatkan pampasan/ganjaran tu. Tapi bersyarat (tiada masalah disiplin, penggantungan atau sebagainya). Saya pohon, dan saya dapat, tapi wujud kekeliruan, FAM ni dia tak beritahu saya, apabila kita dah dapat pampasan/ganjaran pemain pro tu, kita dah tak boleh main dah, saya sudah bersetuju sambung kontrak dengan TNB, TNB nak daftarkan nama saya musim 2002 tu, tak dapat, FAM cakap saya dah tak layak main, kalau saya tahu, baik saya tangguhkan dulu untuk keluarkan pampasan/ganjaran tu, main sampai umur 40 tahun, cipta satu lagi rekod, walaupun masa tu nak main 90 minit mungkin tak boleh, tapi kudrat saya ni bolehlah kalau nak main 30, 40 minit, tapi nak wat camne, terpaksa gantung but..” – Hashim Mustapha.

Tidak keterlaluan, dan pastinya ramai mengakui andai dikatakan belum ada seorangpun pemain yang mampu menandingi kehebatan Hashim hingga ke hari ini.
foto kredit : coklat strobery/kelate.net
Bercerita tentang Hashim, bekas wartawan dan Ketua Editor NSTP Group, Datuk Hishamuddin Aun, dalam satu kolumnya pada awal 90-an dahulu pernah melabel Hashim sebagai seorang pemain yang menepati segala ciri professional sejati, baik dari segi disiplin, dedikasi, kesungguhan, inspirasi malah ‘role model’ kepada rakan sepasukan.

Bolasepak sudah sebati dalam diri Hashim, pada usia 13 tahun dia sudahpun mewakili Kelab Sri Utama dalam Liga Divisyen 3 Kota Bharu, manakala pada usia 16 tahun sebelum dipanggil mewakili Kelantan, dia mewakili pasukan kelab, PKINK – pasukan yang turut diperkuatkan bekas pemain kebangsaan, Nik Fauzi Hassan.

Kelibatnya di atas padang sudah cukup menghadirkan gerun pertahanan lawan, baik yang berbadan kecil mahupun, bertubuh tegap, sasa persis pemain eropah, maka tidak hairanlah nama Hashim tidak pernah lekang daripada menjadi sebutan dan seringkali menjadi topic utama akhbar tempatan.

Kalau ada seorang pemain tempatan, yang benar-benar dapat menandingi, malah mengatasi kehebatan pemain import pada zaman kegemilangannya seperti Scott Olerenshaw, Fandi Ahmad, Abbas Saad, Peter Nieketien, Alistair Edward, Jose Irriarte dan ramai lagi, ia tidak lain tidak bukan Hashim Mustapha.

Larian pantas, rembatan kencang bak peluru, sentuhan penyudah cukup tajam dan gol-gol memukau, menakjubkan hanyalah secebis daripada deretan kelebihan dimiliki Hashim, yang popular dengan jersi no 10 pernah disarung Dali Omar pada era 60-an dahulu.

“saya ni gelecek bola tak pandai sangat, setakat sorang dua bolehlah, terer Matyo lagi, tapi apabila winger atau rakan lain nk cross bola, saya mesti ada kat tengah..striker kena pandai cari peluang, jangan duk tunggu jer, tak semestinya setiap kali try tu gol, tapi usaha, sekali gagal, dua kali gagal, tapi dalam 10 kali try, mesti akan ada 1 gol, dalam kamus hidup pemain bola tak boleh ada giv up..” 

Sebut sahaja nama penjaga gol terhebat ketika itu - Ong Yu Tiang, Mazlan Wahid, Khairul Azman, V.Murugan, Zubir Ibrahim, Halim Napi (ketika itu bersama Perak), Azmin Azram Aziz, Azlisham Ibrahim, semuanya pernah tewas kepada penyerang prolific ini.

Sesuai dengan statusnya selaku pengempur terhebat, Hashim, 3 kali meraih anugerah Kasut Emas penjaring terbanyak Liga Perdana – 1990 (15 gol), 1993 (13 gol), 1994 (29 gol), namun yang tetap segar di ingatannya hingga ke hari ini, muncul penjaring terbanyak pada 1994, tahun yang sama Hishamuddin Aun menulis tentangnya.
foto kredit : coklat strobery/kelate.net
Ini kerana dia beraksi 90 minit dalam kesemua 39 perlawanan musim tersebut – 30 perlawanan liga (ketika itu liga 16 pasukan), 3 Piala FA, dan 6 Piala Malaysia, tanpa terlepas walau satupun perlawanan sama ada digantikan, direhatkan, digantung, atau kerana kecederaan, satu rekod yang belum diatasi mana-mana pemain hingga ke hari ini. 

Sepanjang menabur bakti bersama negeri kelahirannya, Hashim pernah mendakap Piala Emas Raja-Raja, Piala Agung, namun gagal membantu pasukannya meraih sebarang trofi utama Liga Malaysia – Liga, Piala FA dan Piala Malaysia, meskipun mara hingga ke separuh akhir Piala Malaysia pada 1993, tewas kepada Kedah.

Mungkin itu juga sebab Hashim beralih angin ke utara tanah air, selepas menyumbang 11 gol untuk Kelantan pada 1995, Hashim memilih untuk menyarung jersi Kedah selama 2 musim (1996/1997), yang ketika itu diperkuatkan Radhi Mat Din, Andre Luis Nascimento dan Mamadou Maryam.

foto kredit : coklat strobery/kelate.net
Musim pertama di Kedah, Hashim membantu Kedah muncul Juara Piala FA buat pertama kali, menewaskan Sarawak 1-0 di final, dan selepas berkelana dua tahun, Hashim kembali berbakti kepada Kelantan pada 1998.

Nyata, bisa sentuhan Hashim tidak pudar pada usia mencecah 32 tahun, apabila membantu Kelantan yang turut dibarisi pemain seperti Zahasmi Ismail dan Wong Kah Loon menduduki tangga ketiga Liga Perdana 2, malah masih menjadi kegilaan peminat bolasepak Kelantan yang merindui kelibat lagenda mereka itu.

Gara-gara selisih faham dengan pengurusan yang ketika itu diterajui Datuk Wan Hashim Wan Daud, Hashim sekali lagi membawa diri, kali ini ke Johor, dan membantu pasukan itu muncul juara Liga Perdana 2, seterusnya dinaikkan ke Liga Perdana 1.

Rindu terhadap tanah kelahiran tidak pernah pudar dalam dirinya, dan pada 2000, Hashim memilih untuk menyarung jersi pasukan kelab, JKR Kelantan bersama Adnan Musa dan Rosli Rejab dan membantu pasukan itu menyerlah dalam Liga Perdana 2, sebelum dipancing pula TNB Kelantan pada tahun berikutnya.

Sebaik bersara, Hashim menyepi seketika sebelum kembali bersama skuad Kelantan berwajah baru di bawah kepimpinan Tan Sri Annuar Musa, kali ini di dalam barisan kejurulatihan. Nak tahu apa rahsia di sebalik karier gemilang 20 tahun Hashim, apa yang menjadikannya pemain idaman semua jurulatih, serta pendapatnya tentang pemain hari ini yang disifatkannya MALAS, tunggu part 3.

Monday, May 30, 2011

Hero Bolasepak Kelantan, Belum Ada Pengganti Setanding Hashim

Sejak zaman Hussein Ahmad, Nik Mahmud Nik Daud, Datuk Ahmad Rastom Ahmad Maher hinggalah ke era kepimpinan Tan Sri Annuar Musa pada hari ini, bolasepak Kelantan telah melalui pelbagai revolusi dan hari ini, tanpa ragu Kelantan boleh berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan pasukan yang layak dilabel kuasa bolasepak tanah air.

Wira silih berganti, mungkin ramai yang sudah lupa nama-nama seperti Dali Omar, Wan Zawawi Yusof, Mahadi Yusof, Wan Hassan Wan Ibrahim mahupun Nik Leh Nik Man, namun jutaan peminat bolasepak Kelantan, pastinya tidak lupa akan nama wira sepanjang zaman mereka, HASHIM MUSTAPHA.

foto kredit : kelate.net
Sebut sahaja nama lagenda bolasepak tanah air dan Kelantan ini, ia persis Diego Maradona di Argentina, Pele di Brazil, dan Roberto Baggio di Italy, begitulah popularnya pemain ini sepanjang lebih 20 tahun mencipta nama di persada bolasepak tanah air, dan antarabangsa hingga digelar antara pemain Melayu paling hebat pernah dilahirkan.

Siapa yang boleh lupa gol TANDUKAN TERBANGnya ketika membantu Malaysia menewaskan Thailand 2-0 di Sukan Sea Jakarta 1987, atau GOL TERPANTAS Liga Malaysia jaringannya selepas hanya 26 saat perlawanan bermula ketika seri 2-2 menentang Pahang pada 1988 (dilaporkan rekod itu diatasi selepas 21 tahun oleh Safee Sali pada 2009, 11 saat), atau DUA GOL SEPAKAN GUNTINGnya ketika Kelantan menewaskan Johor di suku akhir Piala FA 1993?

Itu baru mukadimah, dan berborak panjang dengan Hashim yang nyata cukup peramah, mudah mesra dan tidak cerewet apabila diajak berkongsi pengalamannya ketika bergelar pemain, makin banyak yang boleh dicerita tentang anak jati Kota Bharu ini.

foto kredit : kelate.net
Antara detik yang sukar dilupakannya, dilabel ‘JAGUH KAMPUNG’ oleh bekas jurulatih kebangsaan, Claude Le Roy, yang membimbing skuad Sukan Asia Hiroshima 1994, gara-gara tersingkir awal di peringkat kumpulan.

“oleh sebab saya penjaring terbanyak liga masa tu (30 gol), harapan terhadap saya memang tinggi, tapi saya pun dah cakap awal2 lagi, orang lain trening 2 tahun, saya trening sebulan, kena pula national team saya bukan 1st eleven, supersub, 94 tu saya dipanggil semula selepas 4 tahun tinggalkan skuad negara, memang sakit atilah..”.

Skuad negara ketika itu yang turut diperkuatkan antaranya Khairul Azman, Ong Kim Swee, K.Sanbagamaran, Azizol Abu Hanifah, Dollah Salleh, Azman Adnan dan Shahrin Majid, sekadar mencatat 1 kemenangan ke atas Hong Kong, seri menentang Thailand, dan tewas kepada Arab Saudi dan Uzbekistan, yang kemudiannya muncul juara di kejohanan itu.

foto : kelate.net
Mengimbau pembabitan Hashim selaku pemain bolasepak, anak keenam dari Sembilan beradik ini, mula aktif sejak zaman sekolah lagi, apabila mewakili Sekolah Rendah Ismail (2) dan Sekolah Menengah Sultan Ismail (SMSI) di pelbagai peringkat umur, sebelum ‘bergraduat’ ke Kolej Sultan Ismail (SIC, medan utama lahirnya bakat-bakat baru bolasepak Kelantan  ketika itu).

Penampilan pertamanya selaku pemain Kelantan, adalah pada 1982 ketika mewakili skuad Piala Emas Raja-Raja menentang Melaka di suku akhir, dan sejak itu, Hashim mula mengorak langkah demi langkah dalam menempa nama dan mengukuhkan reputasinya selaku bintang bolasepak tanah air.

Meskipun memilih untuk memberi tumpuan terhadap Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun berikutnya, Hashim kembali pada 1985 sebagai seorang pemain yang lebih matang, menjadi asset pasukan dan dipanggil menyertai skuad negara pada usia 20 tahun, ketika itu skuad negara di bawah bimbingan Datuk M.Chandran.

Lebih dikenali sebagai supersub, Hashim antara tonggak yang memainkan peranan penting dalam kejayaan skuad negara meraih pingat Perak Sukan Sea 1987, apabila menjaringkan gol di separuh akhir, bersama Dollah Salleh, sebelum tunduk kepada tuan rumah, Indonesia dalam aksi final.

Dua tahun berikutnya ketika Malaysia meraih emas di bumi sendiri, Hashim tiada dalam senarai pemain, apabila memilih untuk memberi keutamaan terhadap keluarga - melaksanakan tanggungjawabnya sebagai seorang abang.

Memasuki era 90-an, nama Hashim semakin meletup di arena bolasepak tanah air, malah reputasi dan kehebatannya menenggelamkan barisan pemain import tersohor negara ketika itu antaranya Scott Olerenshaw, Abbas Saad dan Alistair Edward. 

Ingin tahu lebih lanjut tentang pencapaian hebat pemain ini, dan mengapa Hashim bersara walhal dia pernah bercita-cita menjadi seperti Paolo Maldini dan Teddy Sheringham (beraksi hingga usia 40 tahun), teruskan bersama Suara Sukan, part 2 akan menyusul.

Sunday, May 29, 2011

Ujian Doping Bukan Prosedur Normal, Bukan Juga Kerja MSN


Ujian Doping yang menyebabkan 6 atlet olahraga negara menghilangkan diri minggu lalu, bukanlah prosedur normal sebelum seseorang atlet itu berlepas ke luar negara sepertimana didakwa Majlis Sukan Negara (MSN), sebaliknya ia hanya dijalankan ke atas atlet olahraga negara semata-mata, menurut Timbalan Presiden Kesatuan Olahraga Amatur Malaysia, KOAM, Karim Ibrahim.

“itu bukan normal procedure, mana ada, jangan tipu. u tahu tak utk satu ujian doping u kena belanjakan rm700, mana MSN nak cari duit kalau setiap kali pergi oversea kena buat doping, u bukan ada satu dua atlet, ada lebih 20, 30 persatuan sukan matilah kalau semua nak kena doping. Duit habis utk doping. Kalau betul normal prosedur, MSN tunjukkan bukti setiap atlet ke luar negara pernah jalani ujian doping, air kencing..”.

“lagi satu doping bukan kerja MSN, itu kerja ISN. Dia sibuk buat PC, kalau atlet kita lari u kena inform KOAM first, kita persatuan yg jaga dia, pasal doping pun u takda inform, pasal atlet lari pulak u inform media dulu, apa rasional? Cuba u jawab bolehkah MSN buat macam tu, kalau KOAM, belum sampai seminit terus call media padahal kita sendiri tidak dimaklumkan..” .

Karim juga menafikan terdapat komplot untuk menghantar kumpulan atlet ini dengan kadar segera ke Bulgaria sebagai menyelamatkan mereka dari menjalani ujian doping, sebaliknya menegaskan tempahan penerbangan sudahpun dibuat lebih awal, dan ia tidak boleh dibatalkan sewenang-wenangnya.

“kita sudah book flight, MSN atau ISN tak pernah cakap ada doping, tiba-tiba saja ini berlaku, so kita tak boleh cancel flight tiba-tiba, kita cuma ikut jadual penerbangan, itu u orang nak cakap kita lari? U sendiri boleh fikir, ada orang cakap Harun Rashid sudah lari pergi Bulgaria, hari ni u tengok depan mata u, betulkah Harun ke Bulgaria? Dia sibuk majlis perkahwinan anak dia, tanggungjawab seorang ayah, tapi u all cakap dia macam-macam, kasihanlah kat dia. nanti apa orang fikir..”, tegas Karim yang ditemui pada majlis perkahwinan anak perempuan Ketua Jurulatih Olahraga Negara, Harun Rashid.

Isu ini timbul selepas 6 atlet olahraga negara, menghilangkan diri daripada menjalani pemeriksaan kesihatan dan ujian doping, sebagai ‘prosedur normal’ sebelum berlepas untuk sessi latihan+pertandingan di Bulgaria.
3 daripada mereka kembali ke ISN untuk melakukan ujian, dan mendedahkan mereka sekadar mengikut arahan Harun untuk tidak menjalani ujian tersebut.

SS bagaimanapun belum mendapatkan komen Harun berkenaan perkara ini, apatah lagi ia tidak manis dan tidak beretika sekiranya mengajukan soalan ini pada ketika beliau sedang sibuk menguruskan majlis perkahwinan anaknya. 

Sama ada Karim yang putar, atau MSN yang cuba menjadikan ini sebagai satu isu besar, wallahuallam.

Debaran 180 Minit Berikutnya, Wan Jamak Pilih Terengganu


Wan Jamak Wan Hassan, jurulatih Kedah, yang juga jurulatih pertama berjaya membawa pulang 3 mata penuh dari Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah musim ini, namun itu tidak sekalipun menghalang bekas jurulatih kebangsaan ini daripada memilih Terengganu untuk muncul juara Liga Super musim 2011.

“Kami datang dengan tidak cukup pemain, selepas Johor Fc kami terus ke Tganu. Sikap serta disiplin pemain malam ni membuahkan hasil utk menewaskan Tganu. Apapun saya tetap rasakan Terengganu akan muncul juara liga musim ini..”, komen ringkasnya ketika dihubungi selepas tamat perlawanan.

Kedah, juara 2007 & 2008, ketika ini menghuni tangga kelima liga dengan 38 mata, dipisahkan 7 mata dengan pasukan tangga ketiga, Selangor, tatkala tinggal hanya 9 mata maksimum untuk diraih.

Mereka kehilangan khidmat beberapa pemain utama antaranya Sabri Abu, Azmi Muslim, Azlan Ismail dan V.Thirumurugan, manakala Ahmad Fauzi Shaari pula terpaksa dimainkan di babak kedua walaupun masih merawat kecederaan.

SS yakin, Wan Jamak memilih Terengganu pastinya atas dasar kelebihan skuad Irfan Bakti itu, yang akan menentang Kelantan di gelanggang sendiri pada 6 Jun, selain aksi pada 14 Jun, di mana Terengganu mempunyai kelebihan besar menentang pasukan adik mereka, T-Team, malah T-Team juga mungkin tidak kisah diratah 5 atau 6 gol dalam usaha memberi kelebihan besar kepada abang mereka.

Ashaari (tonggak Trganu) & Norshahrul (tonggak Kelantan)
 Andai Terengganu menang kedua-dua perlawanan menentang Kelantan termasuk final Piala Fa, ia pastinya satu kelebihan cukup besar dari aspek moral dan mental pemain di kem Sang Penyu, namun usah dilupa skrip juga mungkin berbeza andai keputusan berlaku sebaliknya. 

Dengan Kelantan hanya mampu meraih 4 mata dari 3 perlawanan terakhir, malah hanya kemenangan tipis 1-0 ke atas Pahang, pasukan yang dibelasah 5-0 oleh Terengganu, persoalan semakin hangat ketika ini sama ada The Red Warriors mampu menyekat Terengganu seterusnya bergelar bukan sahaja kuasa bolasepak Pantai Timur, tetapi juga kuasa bolasepak tanah air.

180 MINIT berikutnya, akan mempertemukan dua pasukan ini sebanyak dua kali, satu senario yang dijangka menyemarakkan permusuhan dua musuh tradisi ini, seterusnya mencipta satu lagi fenomena baru bolasepak tempatan.

Saturday, May 28, 2011

Kedah Lebur Rekod Terengganu, 6 Jun Penentu Siapa Juara


Saingan merebut trofi Liga Super musim 2011, memasuki fasa lebih menarik dengan 6 Jun akan memberi GAMBARAN LEBIH JELAS pasukan mana antara Kelantan, Terengganu dan Selangor layak bergelar juara.

Selepas Kelantan, giliran pendahulu, Terengganu pula dihadiahkan kekalahan pertama di laman sendiri musim ini, selepas 14 perlawanan apabila tunduk kepada Kedah 0-1.

Menambah lagi kerancakkan saingan, kekalahan tersebut menyaksikan Kelantan kembali menerajui carta liga, menerusi kelebihan JUMLAH GOL dijaringkan (46-45), BUKAN beza jaringan yang mana tiada jaringan memisahkan kedua-dua pasukan (26-26), hasil kemenangan dengan jaringan sama ke atas Pahang.

Kini, pertembungan sesama sendiri dua gergasi Pantai Timur ini pada 6 Jun depan, bakal menjadi penentu cabaran halatuju cabaran kedua-dua pasukan, namun apa yang pasti, debaran ini akan berlanjutan hingga ke perlawanan terakhir musim.

Ini kerana penyandang juara, Selangor turut kembali menghidupkan peluang, apabila mencatat kemenangan pertama, 2-0 ke atas Negeri Sembilan, 3 mata pertama selepas tewas tiga perlawanan berturut-turut, mengurangkan defisit 5 mata sebelum ini kepada hanya 2 mata.

Apapun, Terengganu yang mengintai ruang menamatkan kemarau 10 tahun kejuaraan sejak menjulang Piala Malaysia pada 2001, di era kegemilangan Zulharisam Awang, Sapian Wahid, Zubir Ibrahim dan Rosdi Talib, masih dilihat mempunyai kelebihan besar.

Baki 2 daripada 3 perlawanan selepas ini adalah di laman sendiri termasuk menentang Kelantan, sementara perlawanan kedua terakhir pula akan menyaksikan mereka menentang pasukan adik, T-Team, yang mungkin akan cuba memberi kelebihan kepada Sang Penyu.

Bagi Kelantan pula, kemenangan ke atas Terengganu pada minggu depan bukan saja akan memberi kelebihan di persada liga tetapi turut memberi kelebihan psikologi menjelang aksi final pada 11 Jun, namun mereka tetap meniti laluan berliku, berdepan dua pasukan yang belum ditewaskan musim ini, Perak (KB) dan Sabah (tempat lawan) pada perlawanan terakhir.

Sebarang kesilapan oleh Terengganu mahupun Kelantan, akan dimanfaatkan sebaik mungkin Selangor, yang juga berpotensi muncul juara buat kali ketiga berturut-turut, apatah lagi tiga lawan mereka selepas ini adalah Perlis (tercorot), Felda Utd dan Perak – dua daripadanya di Shah Alam, meskipun Shah Alam bukanlah gelanggang kebal buat Gergasi Merah Kuning.

Kelantan, Terengganu, atau Selangor, yang pastinya kita harapkan yang terbaik akan menang tanpa sebarang unsur negative, atau kegiatan tidak baik.

Friday, May 27, 2011

Dollah Tak Terkejut Kalah Di Terengganu, Harap Dapat Tambah Derita Kelantan


“Saya TAK PELIK kita kalah dgn Trganu, yg SAYA PELIK camne leh menang dgn Selangor, u tahu tak first eleven saya 7,8 pemain cedera, pemain reserve yg ada semua tak kena posisi, saya dgn assistant dah pening nak susun line up, LAWAN SELANGOR SAYA HARAP TAK KALAH 3 atau 4 gol, tp Selangor pulak bangang main macam tu, kita menang terkejut saya (tergelak besar). Lawan trganu saya MAIN STRATEGI SAMA, tapi terperangkap, tapi sebab dia nk kena menang 5 gol utk pintas Kelantan, kita pun kalah 5-0 mula lah bunyi macam2, padahal masalah team saya adalah takde player reserve yg UP TO THE STANDARD, diorang TAK SAMA LEVEL..” – Dollah Salleh.

Kata-kata Dollah menjelang aksi penting pasukannya, Pahang menentang pasukan tangga kedua liga, Kelantan malam esok, seolah-olah cuba mengatakan bahawa Kelantan memiliki kelebihan besar pada aksi keempat terakhir Liga Super  yang akan berlangsung di Kota Bharu.

Tanpa beberapa pemain utama seperti kata Dollah, antaranya DUA pemain berkongsi nama sama, R.Surendran (Harmstring), R.Surendran (Gastrik), Fazli Baharudin, Alafi Mahmud, Fazirul Zakaria dan Faizul Hussin, skuad Tok Gajah jelas tempang untuk bertandang ke Stadium Sultan Muhammad ke-4, gelanggang yang akhirnya dinoktahkan status KEBAL oleh T-Team, ekoran kekalahan pertama musim ini, Rabu lalu.

“Nak lawan Kelantan lagilah saya pening nak congak strategi, memang T-Team menang di KB, tapi dia lain, dia cukup player, player semua star, Pahang lain, malah Munir (Amran) pun cedera, tapi saya tetap turunkan dia sebab takde pilihan, nak buat macam mana?..”

Perlawanan esok, sama ada peminat setuju atau tidak akan menjadi penentu sama ada Kelantan mampu meneruskan cabaran mengejar kejuaraan liga, manakala bagi Pahang, ia adalah keputusan HIDUP MATI mereka dalam Liga Super, sama ada kekal, atau tersingkir buat pertama kali ke Liga Perdana.

“Tekanan memang kuat, setiap game kita memang ada tekanan, 3 game berturut-turut jumpa top 3, memang tertekan, TAPI DALAM SITUASI SEKARANG, KELANTAN PUN TERTEKAN, KITA BERGELUT DI ZON PENYINGKIRAN, SAYA MENGHARAPKAN SESUATU DARI PLAYER SAYA, MAGIC, KITA PERLUKAN MAGIC PERFOMANCE, KITA NAK TAMBAH DERITA KELANTAN, DAN KITA KENA KELUAR DARI KEDUDUKAN BAHAYA, DALAM BOLA IA TIDAK MUSTAHIL…”, jelasnya mengakhiri perbualan.

Pertemuan terakhir kedua-dua pasukan, Pahang menang 2-0 di Kuantan, namun kali terakhir mereka bertemu di Kota Bharu, Kelantan menang 2-1. Apapun, rekod juga membuktikan Pahang pernah menang di Kota Bharu, pada 15 Februari 2003, 4-1 hasil jaringan Helton Soares, Azizul Kamaludin, Hairudin Omar, dan Juzaili Samion.

Kedudukan 5 Teratas Liga:

Terengganu
22
14
5
3
45
18
+27
47
Kelantan
22
13
5
4
45
20
+25
44
Selangor
22
13
3
6
31
22
+9
42
Perak
22
9
8
5
28
22
+6
35
Kedah
22
10
5
7
20
18
+2
35

Kedudukan 5 Terbawah Liga :
Felda Utd
22
6
7
9
22
29
-7
25
K.Lumpur
22
5
8
9
19
26
-7
23
Sabah
22
5
7
10
19
28
-7
22
Pahang
22
5
7
10
18
30
-12
22
Perlis
22
2
4
16
19
50
-31
10