Saturday, July 30, 2011

Kudrat Veteran Masih Berbisa, Dua Gol Dollah Benam Johor


Meskipun berstatus veteran, barisan bekas pemain kebangsaan masih berupaya menampilkan aksi menghiburkan untuk mencatat kemenangan 3-0 ke atas Pilihan Johor, di Kompleks Sukan Pagoh petang tadi.

Dua gol jaringan jurulatih Pahang, Dollah Salleh serta satu gol jaringan bekas tonggak Kuala Lumpur dan Sabah, Shahrin Majid memastikan Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) menjulang Piala Pegawai Daerah Muar, yang dianjurkan bersempena Karnival Sukan Pagoh.

Disaksikan kira-kira 300 penyokong terdiri daripada pelbagai lapisan umur, barisan YAKEB diketuai Datuk Soh Chin Aun membuktikan kudrat mereka masih berbisa dan berupaya mempamer skill-skill hebat, walaupun sedikit diganggu masalah kecergasan dek faktor usia.

Gandingan Zainal Abidin Hassan dan Dollah, seringkali mengancam pertahanan lawan dengan gerakan mengelirukan sepertimana mantapnya gandingan mereka 17 tahun lalu bersama skuad negara, manakala tiga sekawan – Mat Zan Mat Aris, Reduan Abdullah dan Razip Ismail utuh di posisi masing-masing.

K.Gunalan dan Zolkifli Ahmad berganding baik di barisan pertahanan, menyukarkan pemain lawan untuk memecah masuk ke dalam lotak penalti, tatkala penjaga gol Mazlan Wahid jarang-jarang sekali diuji.

Hadir memberikan sokongan, Pengerusi Eksekutif YAKEB, Dato’ Mumtaz Jaafar, Dato’ Malek Noor, barisan Ahli Lembaga YAKEB yang lain, serta beberapa bekas atlet antaranya Mutalib Razak (menembak) dan Zaiful Zainal Abidin (olahraga).

“bagi saya, program seperti ini satu pengiktirafan buat kami bekas pemain negara, ia suatu penghargaan, kerana walaupun selepas bersara, kami dikumpulkan di satu tempat, diberi peluang beraksi, walaupun tidak lagi sehebat dulu, ia lebih kepada nostalgia, mengingatkan kami bahawa kami pernah menyumbang khidmat untuk negara suatu ketika dulu, mengingatkan semula detik pernah berjuang untuk mengharumkan nama negara. Ia satu inisiatif baik daripada YAKEB, terima kasih saya ucapkan..”. – Shahrin Majid.

Shahrin yang bersara 5 tahun lalu, iaitu pada usia 37 tahun, adalah nama popular dalam arena bolasepak tanah air, pernah mewakili beberapa pasukan terkemuka antaranya Selangor, Kuala Lumpur dan Pahang, dan anggota skuad Sukan Asia Hiroshima 1994.

Tahun lalu, Shahrin menjaringkan gol ketika Veteran Selangor menentang Veteran Singapura, dan March lalu menjaringkan gol tunggal dalam kemenangan 1-0 YAKEB ke atas Pilihan MB Perak, membuktikan sentuhan jaringan pemenang kasut emas tahun 2000 (ketika itu Shahrin mewakili Pahang) belum hilang.

Wira Olimpik, Bekas Pemain Kebangsaan Beraksi Di Pagoh


Dato’ Soh Chin Aun, Bakri Ibni, dan Dato’ Santokh Singh adalah antara nama-nama besar arena bolasepak tempatan, yang akan mempamer aksi di Kompleks Sukan Pagoh petang ini, merebut Piala Pegawai Daerah Muar, yang dianjurkan bersempena Karnival Sukan Pagoh.

Diketuai Chin Aun atau glamour dengan panggilan ‘towkey’ yang pernah beraksi di Sukan Olimpik Munich 1972, barisan bekas pemain kebangsaan yang membawa nama Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan, akan turut menampilkan Khalid Ali, Reduan Abdullah, K.Gunalan, Kamarulzaman Yusoff, Zainal Abidin Hassan dan Zolkifli Ahmad.

“saya tak nak main lah, jadi penonton jer. nanti saya main, jadi pulak macam Malek Noor aritu, kita bagi orang-orang muda main..”, seloroh Datuk Santokh Singh.

Turut beraksi, trio Jurulatih Liga Super – Dollah Salleh (Pahang), Razip Ismail (Kuala Lumpur) dan Mat Zan Mat Aris (Pos Malaysia). Mat Zan adalah bekas pemain yang membina pertahanan ampuh skuad kebangsaan dan Kuala Lumpur di era kegemilangan skuad warga kota suatu ketika dahulu, dan pernah digelar ‘orang besi’ dek aksi bertenaga dan meyakinkan di barisan pertahanan.

Raja Bola, Datuk Ghani Minhat pula bertindak sebagai Pengurus Pasukan.

Kepada peminat bolasepak yang merindui aksi wira bolasepak negara ini, jangan ketinggalan berkunjung ke Kompleks Sukan Pagoh, petang ini, perlawanan bermula jam 5 petang.

Barisan pemain :

Penjaga gol : Mazlan Wahid, Rashid Hassan, Azlisham Ibrahim

Pemain padang : Dato’ Soh Chin Aun, Dato’ Santokh, Razip Ismail, Kamarulzaman Yusoff, Zolkifli Ahmad, K.Gunalan, Ismail Ibrahim, Mat Zan Mat Aris, Bakri Ibni, Khalid Ali, Reduan Abdullah, Khalid Ali, Zainal Abidin Hassan, Dollah Salleh, Azlan Johar, Shahrin Majid, P.Sommasundram, Mohd Nor Yaakob, Che Hamzah Che Hussin, Manja Man, Rachel Gomez

Friday, July 29, 2011

Isu Benayoun : FAM Mohon Maaf Kepada Chelsea


Susulan aduan kelab gergasi Liga Perdana Inggeris, Chelsea kepada Persatuan Bolasepak Malaysia berhubung ejekan terhadap pemain tengah mereka, Yossi Benayoun dalam aksi persahabatan yang berkesudahan Chelsea menang 1-0 minggu lalu.

FAM dalam satu kenyataan ringkas, memohon maaf kepada Benayoun dan Chelsea di atas insiden tersebut, dan menegaskan ia hanya tindakan segelintir penonton, bukannya melambangkan perasaan, mentaliti, atau kelakuan majoriti peminat di negara pencinta bolasepak ini.

FAM juga menegaskan mereka tidak menyokong sebarang tindakan atau aktiviti menyentuh sensitiviti perkauman di dalam bolasepak.

Pada perlawanan tempoh hari yang mana gol Didier Drogba menjadi pemisah antara kedua-dua pasukan, Benayoun, pemain antarabangsa Israel menjadi mangsa ejekan berbentuk perkauman setiap kali dia menyentuh bola, yang mana kelab utara London itu berpendapat tidak seharusnya berlaku dalam bolasepak.

Usah Panggil Pemain Ke Kem Kebangsaan, Kalau Sekadar Jadi Pelengkap


Kumpulan pertama : Asrarudin Putra Omar, Mohd Fadhli Shas, Amar Rohidan, S.Kunalan, Amirulhadi Zainal, Ahmad Fakri Saarani, dan terbaru Ismail Faruqi Ashaari.

Kumpulan kedua : Baddrol Bakhtiar, Shakir Shaari, Ashaari Shamsudin, Rizal Fahmi Rosid, dan Azmi Muslim. 

Tahukah anda apa beza antara dua kumpulan pemain yang disenaraikan ini? Kumpulan pertama, favourite player Datuk K.Rajagobal yang terjamin tempat mereka dalam kesebelasan utama atau setidak-tidaknya sebagai gantian, langsung tidak tergugat walau seteruk manapun mereka beraksi di atas padang.

Manakala kumpulan kedua, pemain yang sekadar menjadi pelengkap senarai/kuota pemain walau sehebat mana aksi mereka bersama pasukan negeri masing-masing, atau sebagus manapun komitmen diberikan sewaktu sessi latihan skuad kebangsaan, berbanding pemain di dalam kumpulan pertama. 

Azmi, pelengkap
Nyata, pemilihan Rajagobal masih bersandarkan kepada prestasi lampau, bukan prestasi semasa. Mungkin oleh sebab itulah, seburuk mana aksi Asrarudin Putra, tiada ruang buat Azmi Muslim mencuri tempatnya sama ada di kesebelasan utama, mahupun sebagai pemain gantian. 

Mungkin oleh sebab itu juga, prestasi Amar semakin merudum perlawanan demi perlawanan, kerana dia yakin tiada ruang buat Shakir Shaari mengambil alih tempatnya, dia pemain kesayangan Rajagobal, main dengan rating 3/10 masih boleh kekal 90 minit perlawanan.

Dan disebabkan alasan yang sama jugalah, Ahmad Fakri Saarani yang tidak langsung berkesan pada perlawanan pertama, menjadi pilihannya untuk menggantikan Abdul Hadi berbanding Ashaari Shamsudin atau Baddrol Bakhtiar, dan ‘pulangannya cukup lumayan’, dapat dilihat dengan jelas pada perlawanan semalam.

Amar, tidak begitu berfungsi
Rajagobal nyata tidak menghargai sepenuhnya bakat yang ada dalam skuadnya, stick to one batch of players

Apabila jurulatih berusia 55 tahun ini mengumumkan senarai pemain yang dipanggil untuk menjalani latihan, terbit keyakinan dalam diri setiap peminat, betapa inilah skuad yang akan mencipta sejarah demi sejarah baru bolasepak tanah air kerana ia menghimpunkan barisan pemain terbaik Liga Malaysia.

Namun sayangnya, himpunan pemain berbakat besar sekadar untuk melengkapkan senarai pemain, dan sekadar menjadi pemerhati – Rajagobal gemar menurunkan lineup sama, apabila diganti pun dengan anak emasnya juga, jadi mengapa bersusah payah memanggil wajah-wajah baru, jika mereka tidak diberi peluang membuktikan kehebatan, cukuplah sekadar mempunyai 15 pemain, kenapa perlu 24 pemain?

Alasan mereka tidak bersedia, belum layak, tiada pengalaman sebenarnya tidak boleh lagi digunapakai – kalau itu alasannya mengapa menurunkan Khairul Fahmi di Sukan Asia 2010 lalu, bukankah dia tiada pengalaman ketika itu, namun mempamerkan aksi cemerlang?

Shakir, tiada peluang
Mengapa mengandingkan Muslim Ahmad, Mahali Jasuli dan Fadhli Shas di Piala AFF Suzuki lalu, bukankah mereka mentah pengalaman tetapi tetap menjadi tonggak sehingga muncul juara? Dan persoalan paling utama, mengapa menurunkan Ismail Faruqi di kesebelasan utama pada kedua-dua perlawanan menentang Singapura, bukankah dia juga mentah dari segi pengalaman? 

Jadi, aspek atau kriteria apakah yang dinilai Rajagobal sebelum menentukan LINEUP untuk setiap perlawanan? Kecergasan? Komitmen? Pengalaman? Ketenangan? Disiplin? Apa kriteria untuk menjadi anak emas, atau favourite player, adakah kerana mereka Pak Turut?

Contoh lain, umum mengetahui Sharbini Allawee adalah hero Rajagobal ketika Sukan Sea Laos 2009, justeru atas faktor itulah Sharbini kekal sebagai no.1 dalam MINDSET Rajagobal, cuma kecederaan Sharbini memaksanya menurunkan Khairul Fahmi sebagai penjaga gol ‘bidan terjun’ di Sukan Asia.

Bukti yang nyata, siapakah penjaga gol Malaysia ketika tewas 1-5 kepada Indonesia pada perlawanan pertama Piala AFF – Sharbini, walhal bukankah penjaga gol itu tidak beraksi 2 bulan dan baru pulih daripada kecederaan, manakala Apek pula ketika itu di kemuncak prestasi. Apakah yang meyakinkannya untuk menurunkan Sharbini, ANAK EMAS (Ketepikan soal kenegerian, di sini kita bercakap soal prestasi).

Apek, cemerlang
Seharusnya pada perlawanan menentang Singapura di Jalan Besar, apabila sudah bolos 3 gol, Sharbini seharusnya sudah dikeluarkan (diakui Datuk Subahan Kamal, pengurus pasukan), namun beraksi sehingga tamat perlawanan?  Kenapa, ANAK EMAS. 

Namun Rajagobal pandai menutup semua itu, dengan menurunkan Apek pada perlawanan semalam, dan memuji aksi cemerlang penjaga gol Kelantan itu.

Keputusan Rajagobal menggantikan Ismail Faruqi (attacking minded) dengan K.Gurusamy (defensive minded) menimbulkan satu lagi tanda tanya, apatah lagi Malaysia perlu mencari 2 gol dan perlu menyerang, bukannya bertahan. Sudah ada Amar di posisi DM, mengapa tidak memasukkan Baddrol untuk menghidupkan barisan depan yang buntu idea, dan hanya mengharapkan Safee Sali?

Keluarkan Hadi, masukkan Fakri? Sekali lagi, mengapa tidak Baddrol atau Ashaari Shamsudin? Jangan kerana status mereka selaku ANAK EMAS/FAVOURITE PLAYER atau apa saja gelaran diberi, bakat lain yang ada disia-siakan begitu sahaja. 

Kalau tidak, tidak mustahil di masa akan datang pasukan negeri atau kelab keberatan untuk melepaskan pemain mereka ke kem kebangsaan, kerana mereka inginkan pemain mereka menyumbang khidmat kepada negara, bukan duduk menangguk di bangku simpanan.

Tanpa Apek Kita Malu Besar, Rajagobal Pertahan Pemain Kesayangan


Aksi cemerlang penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat berjaya menghalang gawang negara daripada dibolosi lebih daripada 1 gol oleh rangkaian serangan Singapura, seterusnya mendapat pujian pelbagai pihak, termasuklah jurulatih skuad negara, Datuk K.Rajagobal yang menyifatkan persembahannya malam ini sebagai cukup cemerlang dan layak ditabalkan sebagai pemain terbaik perlawanan.

“ya memang dia menyelamatkan beberapa percubaan lawan, dia cukup tangkas, kita patut berterima kasih kepada dia. Kalau tanya adakah saya menyesal kerana rehatkan dia pada perlawanan pertama, saya pun tak tahu nak kata apa, dia bagus. outstanding. tapi saya ada alasan rehatkan dia. sebenarnya kedua-dua goalkeeper kita bagus. Bila dia bolos dengan Liverpool 5 gol, orang kritik dia, bila Sharbini bolos 5 gol dengan singapura, pun kena kritik, so lebih adil saya komen prestasi dia malam ini..”. – Datuk K.Rajagobal.

Keputusan menurunkan Apek di gawang, nyata dilihat satu-satunya keputusan bijak dalam pemilihan pemain dilakukan Rajagobal, berbanding percaturan lain dilakukan pengendali berusia 55 tahun itu sepanjang permainan, apatah lagi Apek bertindak cemerlang mengagalkan setidak-tidaknya 3 percubaan pasti gol dilakukan pemain lawan.

Apek yang sekadar menjadi pemerhati ketika rakan seposisinya, Sharbini Allawee Ramli melepaskan 5 gol mudah ketika perlawanan pertama, membuktikan dia adalah pilihan tepat untuk menyarung jersi penjaga gol no.1 negara, bangkit daripada prestasi merudum dengan merebahkan badan menyelamatkan percubaan Shi Jiayi (m-10), melayangkan badan menyelamatkan sepakan percuma Shaiful (m-38), dan menyelamatkan percubaan one-on-one Mustafiq Qiu Li di penghujung separuh masa kedua. 

Dengan tidak banyak untuk diperkatakan tentang perlawanan kedua ini, tumpuan sebenarnya lebih terarah kepada taktikal Rajagobal, keputusan pengadil dan penjaga garisan serta tindakan pemain Singapura yang banyak melengahkan masa dengan lakonan demi lakonan hebat yang layak dianugerahkan Oscar Award.

Rajagobal menurunkan kesebelasan utama sepertimana dijangka, tiada rombakan besar, dengan Aidil Zafuan dan Amirulhadi Zainal kembali ke posisi mereka, manakala Ismail Faruqi mengambil tempat Safiq Rahim, dan Abdul Hadi Yahya bermula di kesebelasan utama.

Seperti biasa pemain kesayangan atau favourite Rajagobal – Amar Rohidan, yang benar-benar tidak berfungsi (ada satu ketika hanya berdiri dan melihat bola dikuasai pemain Singapura) kekal beraksi 90 minit permainan, manakala Ismail Faruqi yang berjaya menambat hatinya hanya selepas beraksi 30 minit menentang Liverpool, digantikan Gurusamy (Persoalannya, mengapa tidak Baddrol Bakhtiar atau Shakir Shaari?).

Manakala kemasukan Fakri Saarani, melengkapkan episode buruk percaturan Rajagobal, pemain itu bukan sahaja gagal memainkan peranan dengan berkesan, malah tidak berada di atas padang ketika wisel penamat ditiup, gara-gara dilayangkan kad kuning kedua. Mungkin ramai yang berpendapat Ashaari Shamsudin lebih sesuai menjadi penganti.

Ditanya pendapat Rajagobal tentang perlawanan serta keputusannya hanya menurunkan anak emas, ini jawapan Rajagobal.

“kalau awak tanya saya, memang ini keputusan tidak adil, saya sebagai jurulatih inginkan kemenangan, dan mara ke pusingan seterusnya, tapi keputusan kita kena terima. kita bukan tewas, saya gembira, terutamanya dengan aksi separuh masa kedua, kita berikan mereka saingan tapi tidak memadai. Tak perlu salahkan sesiapa, melihat pasukan ini, saya yakin merekalah yang akan menjadi tonggak untuk kita mara ke Piala Asia 2015, itu sasaran kita dan di sini mereka dapat pendedahan berguna..”.

“Ismail, saya tak rasa dia beraksi buruk, dia masih baru dalam pasukan ini, kita tak boleh judge dia dalam 1 match, terus kata tak bagus, dia ada skill, kreativiti, kita harus bagi dia peluang, saya yakin dia boleh pergi lebih jauh, sama ada national team, mahupun bersama Terengganu, dan Amar dia tetap steady seperti biasa..”.

Mengambil kira kata-kata Rajagobal, kemampuan seseorang pemain tidak boleh dinilai melalui 1 perlawanan, penulis juga ingin bangkitkan persoalan, apakah kriteria yang dilihatnya yang ada pada Ismail Faruqi, yang meyakinkannya untuk diturunkan dalam kesebelasan utama, berbanding Ashaari, Baddrol dan Shakir, yang lebih lama bersama pasukan?

Tersingkirnya Malaysia, bermakna tiada lagi aksi kompetitif antarabangsa untuk tempoh terdekat, sekadar mengharapkan skuad Olimpik untuk beraksi pada September, manakala Singapura pula, akan bersaing di pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia, bersama 19 pasukan lain.