Wednesday, May 7, 2014

Tengku Shakirinal Minat Bola Malaysia

Adakah bola sepak Liga Malaysia akan menyaksikan satu lagi penglibatan dari kerabat Diraja? Begitulah perkhabaran yang mula bertiup membabitkan pasukan paling berjaya dalam arena bola sepak tanah air, Selangor yang dikatakan menarik minat anakanda Tengku Panglima Diraja Selangor, Tengku Haji Shakirinal’ Amin Sulaiman Shah.

Tengku Shakirinal’ atau Tengku Nana, didefinisikan sebagai seorang yang berjiwa bola dan mula menunjukkan minat yang lebih terhadap perkembangan pasukan kesayangannya itu sejak kebelakangan ini, dengan kelibatnya turut disaksikan ketika pertemuan Selangor menentang Hanoi T&T di Stadium Shah Alam pada 1 April lalu.






Jika benar, Selangor akan menjadi pasukan Liga Malaysia ketiga mendapat sentuhan kerabat untuk memacu mereka ke arah penswastaan selepas Pahang yang dipimpin Presidennya Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah, manakala Johor dipimpin Tunku Ismail Idris. 

Sebagai peminat setia pasukan Merah Kuning sejak zaman kegemilangannya dahulu, visi Tengku Nana sudah tentunya mahu melihat Selangor mengembalikan reputasi mereka sebagai gergasi bola sepak tanah air, selain mengekalkan status sebagai ‘pencipta lagenda’.

Selangor diketahui pernah melahirkan ramai lagenda bola sepak sejak dari zaman Allahyarham Tan Sri Ghani Minhat, Allahyarham Mokhtar Dahari hinggalah ke era Malek Rahman, Azman Adnan dan Dollah Salleh justeru peminat bola sepak Selangor juga pastinya tertarik untuk melihat pembaharuan yang dibawa Tengku Nana andai spekulasi ini menjadi kenyataan. 

Tengku Shakirinal Berjiwa Bola

Kehadiran Tengku Haji Shakirinal’ Amin Shah, anakanda kepada Tengku Panglima Diraja Selangor, ketika perlawanan membabitkan bekas pemain-pemain Selangor di Padang SUK pada Ahad lalu mencuri tumpuan ramai sekaligus menambahkan kehangatan spekulasi betapa bola sepak Selangor bakal mengalami transformasi besar-besaran menjelang penswastaan Liga Malaysia tidak lama lagi.

Kelibat Tengku Shakirinal atau sinonim dengan panggilan Tengku Nana sudah beberapa kali diperhatikan bersama lagenda-lagenda bola sepak yang pernah menaikkan imej Selangor suatu masa dahulu, tetapi kali ini beliau bukan sahaja hadir sebagai penonton, tetapi turut mempamer bisanya di atas padang dengan mewakili pasukan kuning Selangor.

Salah seorang bekas pemain Selangor dan kebangsaan yang bertanggungjawab mengelolakan perlawanan tersebut bersama rakan-rakannya berkata : “Kehadiran Tengku Nana tiada kena mengena dengan pengambil alihan mana-mana pasukan. Beliau berada di sini kerana minatnya terhadap bola sepak, Tengku adalah penyokong nombor satu Selangor sejak zaman dahulu.


“Sebagai bekas pemain Selangor, kami teruja untuk mengalukan kehadiran Tengku di sini, beliau seorang yang berjiwa bola dan sangat prihatin tentang bola sepak negeri ini. Selebihnya tiada apa-apa spekulasi perlu ditimbulkan,” katanya.


Bola sepak Malaysia sebelum ini menyaksikan penglibatan Diraja dalam pengurusan pasukan Pahang, dan terbaru Johor Darul Takzim yang diambil alih Tengku Mahkota Johor dalam usaha memacu pasukan bertanding ke era lebih professional, dan seandainya Tengku Nana juga menunjukkan minat sama, maka ia adalah sesuatu yang digalakkan dalam usaha mengembalikan martabat bola sepak Selangor.