Friday, September 28, 2012

Sathia tuntut komitmen barisan pertahanan


Pengendali Angkatan Tentera Malaysia, B.Sathianathan mungkin menarik nafas lega di atas kemenangan tipis pasukannya menewaskan Negeri Sembilan 3-2 dalam aksi penuh dramatik tempoh hari, namun beliau tetap melihat kealpaan barisan pertahanan yang menghadiahkan dua gol di tempat lawan kepada skuad penyandang juara itu.  

Justeru, Sathia memberikan amaran kepada pemainnya terutama benteng terakhir diketuai pertahanan kebangsaan, Aidil Zafuan Abdul Radzak agar memperbaiki prestasi dan menuntut komitmen penuh pemainnya menjelang aksi timbal balik suku akhir Piala Malaysia, Selasa ini.

foto : Amierul Hisham
“Dengan hanya 1 gol, kami belum selesa, dan saya mahu pemain saya tunjukkan komitmen penuh di Paroi nanti. Terlalu banyak kelemahan yang masih perlu diperbaiki terutamanya pertahanan yang memberikan dua gol mudah kepada Negeri Sembilan. Ia sepatutnya tidak berlaku, gol pertama adalah nyata kesilapan penjaga gol Farizal Harun dan gol kedua pula kerana pemain saya gagal mengeluarkan bola dari kawasan bahaya.

“Jadi, saya tidak mahu pemain mengulangi kesilapan sama. Keputusan seri sudah cukup untuk kami mara, tetapi saya tidak mahu pemain bermain dengan mentaliti itu, kerana beraksi di Paroi bukan satu tugas mudah. Yang penting kami mahu dapatkan gol di tempat lawan dan mencatat kemenangan untuk mara ke separuh akhir,” tegas Sathia.

Kealpaan barisan pertahanan di kem ATM bukanlah cerita baru kerana tempoh hari ketika menentang Kedah dalam aksi peringkat kumpulan, ATM melepaskan dua gol selepas mendahului 2-0, sekaligus menyaksikan mereka dipintas Kelantan dan akhirnya berkesudahan di tempat kedua  - keputusan yang menjadi penyebab mereka terpaksa menentang Negeri Sembilan di suku akhir.

Maka, tidak hairanlah Sathia dilihat berang dengan pertahanannya yang turut dibarisi dua lagi pemain kebangsaan selain Aidil, iaitu Azmi Muslim dan Amiridzwan Taj Tajuddin.

Pada aksi suku akhir pertama Jumaat lepas, ATM menewaskan Negeri Sembilan menerusi jaringan Christie Jayaseelan, Bruno Sebatian Martelotto dan kapten pasukan, Hairuddin Omar manakala Negeri Sembilan membalas menerusi Firdaus Azizul dan Ahmad Shakir Ali.

ATM Bergaya Atasi Hoben, Bawa Bekalan Tipis Ke Paroi


Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menempuh detik lima minit terakhir cukup mendebarkan sebelum mengesahkan kemenangan dramatik 3-2 ke atas penyandang juara Piala Malaysia, Negeri Sembilan dalam aksi suku akhir pertama di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, malam tadi, sekaligus membawa kelebihan satu gol menjelang aksi timbal balik di Stadium Paroi, Selasa depan.

Satu gol masing-masing jaringan Christie Jayaseelan, Bruno Sebastian Martelotto dan kapten pasukan, Hairuddin Omar sudah memadai buat ATM mencatat kemenangan penting pada ketika skuad Hoben Jang Hoben cuba menjelmakan kebangkitan menerusi asakan bertali arus di minit akhir permainan.

foto : duniasukanonline
Apapun, anak buah B.Sathianathan harus menyalahkan diri sendiri kerana mereka sebenarnya berpotensi membawa bekalan gol lebih selesa jika tidak kerana kealpaan pertahanan yang secara tidak langsung membolehkan Negeri Sembilan membawa pulang dua gol dari tempat lawan.

Kedua-dua pasukan menampilkan aksi berbeza di setiap babak permainan, selepas buntu untuk menjaringkan gol di babak pertama walaupun masing-masing memiliki beberapa peluang keemasan namun dihampakan kelemahan sentuhan penyudah.

Christie Jayaseelan menyaksikan rembatan lemahnya terus ke dakapan penjaga gol pelawat, Farizal Marlias pada minit ke-4, tatkala anak buah Azraai Khor Abdullah turut mengancam menerusi percubaan K.Thanaraj yang mengegar tiang gol pada minit ke-13.

Seri tanpa jaringan di babak pertama, aksi lebih kemas dan bertenaga dipamer ATM di babak kedua, dan menerusi satu gerak menarik diilhamkan Zaquan Adha, Christie bijak memperdaya pertahanan Negeri Sembilan sebelum merembat masuk gol pertama pada minit ke-56.

Belumpun sempat Negeri Sembilan menghela nafas menyusun pertahanan, gawang mereka bocor lagi kurang 5 minit kemudian, kali ini menerusi sentuhan bijak Martelotto selepas menerima hantaran Marlon Alex James, dalam gerak yang hampir sama dengan gol pertama.

Skuad Rusa bagaimanapun berjaya merapatkan jurang pada minit ke-73 apabila sepakan penjaga gol ATM, Farizal Harun terkena belakang Firdaus Azizul dan melantun masuk ke gawangnya sendiri sebelum hadir gol jaringan Hairuddin menerusi sepakan lencong dari luar kotak penalti pada minit ke-80.

Ketika tuan rumah seolah berpuas hati dengan kelebihan dua gol, penyerang gantian Negeri Sembilan, Shakir Ali mengurangkan defisit jaringan menerusi sepakan akrobatik cantik pada minit ke-88 susulan kepada percubaan terdahulu Norismaidham Ismail yang terkena palang gol.

Emanuel Effa-Owona hampir memastikan ATM berputih mata jika tidak kerana tandukkannya pada minit ketiga masa kecederaan diselamatkan Farizal sekaligus kedudukan kekal 3-2 sehingga wisel penamat.
Aksi suku akhir kedua akan berlangsung pada Selasa, 2 Oktober.    

Thursday, September 27, 2012

CIMB-YFA Buru Treble Liga 1MCC



SEGAR daripada kejayaan merangkul gelaran bawah 14 Ahad lalu, CIMB-YFA akan turun sebagai pilihan utama dalam misi melengkapkan gelaran treble kejohanan remaja Liga 1MCC-Hong Leong Yamaha apabila turun beraksi dalam saingan kategori bawah 16, Oktober depan.

Sejurus kemenangan 2-1 ke atas PKNS FC pada masa tambahan pada final yang dilangsungkan Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, jurulatih b-14 CIMB-YFA,V.S Radha Krishnan melaungkan tekad untuk menyapu bersih koleksi tiga piala yang dipertandingkan dalam Liga 1MCC-Hong Leong Yamaha musim ini.

Sebelum itu, CIMB-YFA muncul juara kategori b-12 Mei lalu dan kini mensasarkan kategori b-16 menampilkan saingan 30 pasukan yang bakal membuka tirai 13 Oktober ini.

Pengarah Kejohanan, Gobi Nair, mengingatkan kesemua 30 pengurus pasukan untuk mendaftar senarai pemain terkini sebagai memenuhi pra-syarat pertandingan sebelum mesyuarat pengurus-pengurus pasukan Liga 1MCC-Hong Leong Yamaha b-16 pada 10.00 pagi, 29 September (Sabtu ini) di Dewan Berjaya , Bukit Kiara Equestrian & Country Club.

“Setiap pasukan hendaklah di wakili oleh pengurus pasukan dan ketua jurulatih  (2 orang sahaja). Kanak- kanak dan mereka yang berumur kurang dari 20 tahun tidak di benarkan berada di dalam dewan atau mengambil bahagian dalam mesyuarat.

“Semua borang Liga (borang pendaftaran pasukan, borang pendaftaran individu pemain, borang penafian insuran dan borang akurjanji pasukan) yang lengkap di isi harus di serahkan kepada kakitangan 1MCC  sebelum mesyuarat bermula. Pendaftaran pemain baru selepas tarikh ini tidak akan di layani,” tambahnya.

Berikut adalah senarai 30 pasukan yang akan bertanding : 

1. Semenyih Putra United
2. PNSB FC
3. Kickers Suntrack FA
4. Sweet Soccer FA
5. Permata Kapar
6. Royal Selangor Club
7. Ombak FC
8. International Football Academy
9. Kelab Bolasepak Nadi Dahlia
10. Proficient FA
11. AB MBPJ
12. Red Giant Kid
13. Junior Soccer School
14. KB Anak Kalumpang
15. K Pro Football Club
16. CIMB YFA Bintang Muda
17. PKNS FC
18. KB Remaja Bersatu
19. Jasmine Junior FC
20. Akademi Bolasepak Felda United
21. Soccerkid MBSA
22. Putra Kapar
23. SPT Indians
24. Qube FA
25. KB Sri Mawar
26. KB Remaja Puchong
27. Perkasa FC
28. MBJ United
29. Puchong United
30. Armada Belia Pandan FC

Monday, September 24, 2012

30 Pemain Dipanggil Untuk Latihan Newspaper Cup

Persatuan Bolasepak Malaysia telah menyenaraikan seramai 30 pemain untuk hadir menjalani latihan dan sesi pemilihan pasukan bawah 21 tahun kebangsaan untuk menghadapi VFF Newspaper Cup yang akan berlangsung dari 11 hingga 22 Oktober depan.

Wan Zaharulnizam

Pemain yang disenaraikan akan menjalani latihan bermula 1 Oktober hingga 10 Oktober di bawah kendalian jurulatih Harimau Muda, Ong Kim Swee. Nama-nama yang telah dipanggil adalah seperti berikut :

Farhan Abu Bakar, D.Sarvindran, Irfan Fazail, A.Thamil Arasu, Fadhli Shas, Shahrul Saad, Nazirul Naim Che Hashim, Fandi Othman, Syarul Azwari Ibrahim, Izham Tarmizi Roslan, Muhammad Syazwan Tajudin, Ahmad Hazwan Bakri, Mohd Azzizan Nordin, Wan Zaharulnizam Wan Zakaria, Wan Zack Haikal, Mohd Arif Farhan, Mohamad Raphi Azizan, Gary Steven Robbat - kesemuanya dari Harimau Muda A.

Nashriq Yahya dan Firdaus Mohamad dari Harimau Muda B.
Mohamad Nuridzuan Abu Hasan dan D.Kenny Pallraj dari Perak.
Rozaimi Abdul Rahman dari Sabah.
Syazwan Yusoff dari Kelantan.
Muhammad Safwan Syahlan dari Kuala Lumpur.
Zulfadhli Mohd dari Johor
Syazuan Hazani dari ATM
Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham dari PKNS Selangor
Adam Nor Azlin dari SSBJ
Zubir Azmi dari Terengganu

Tamil Arasu

Radha Krishnan Puji Semangat Tinggi Anak Buah

penjaring gol kemenangan

Selepas menyaksikan pasukannya beraksi cemerlang menidakkan hajat besar PKNS FC untuk merangkul kejuaraan bawah 14 tahun Liga 1MCC-Hong Leong Yamaha 2012, jurulatih CIMB-YFA, V.S.Radha Krishnan pantas menghamburkan kata-kata pujian terhadap aksi bersemangat tinggi ditunjukkan pemainnya.

Radha Krishnan berkata komitmen dan semangat berpasukan tinggi adalah kunci utama kejayaan pasukannya dan berharap kemenangan ini akan menjadi batu loncatan buat pemainnya untuk mencatat kejayaan lebih gemilang di masa akan datang.

“Saya berbangga dengan pemain saya, mereka menunjukkan satu permainan yang cukup baik, keupayaan teknikal yang mantap dan berkesan secara taktikal. Sepanjang kejohanan ini kami menunjukkan permainan bolasepak yang sistematik, ini membuktikan betapa CIMB-YFA memiliki program pembangunan bolasepak yang baik.

“Saya harap kemenangan ini akan menjadi satu permulaan yang baik untuk pemain-pemain saya, di mana sasaran kami adalah Piala FAM 2016, ketika itu pemain berusia 18 tahun,” kata Radha Krishnan.


Manakala bagi rakan sejawatannya di PKNS, Mohd Yazid Abdullah, beliau menerima kekalahan pasukannya dengan terbuka meskipun pada satu ketika melaungkan keyakinan tinggi betapa pasukannya akan mampu mencipta kejutan di kejohanan ini.

“Saya akur dengan kekalahan ini, rezeki tidak berpihak kepada kami. Dalam perlawanan final seperti ini macam-macam boleh berlaku, apa sekalipun pujian buat pemain-pemain saya kerana telah memberikan aksi terbaik.”

Pada aksi final yang berlanjutan sehingga ke masa tambahan itu, PKNS berjaya menyamakan kedudukan 1-1 selepas ketinggalan hasil jaringan Kogileswaran Raja Mohan seawal minit kedua, namun terpaksa berputih mata apabila Fariq Ashraf Rohaizan menjaringkan gol kemenangan CIMB hanya dua minit selepas permainan bersambung di masa tambahan.  

kogileswaran penjaring terbanyak kejohanan

1MCC B-14 Milik CIMB


Gol jaringan masa tambahan Fariq Ashraf Rohaizan memastikan kemenangan 2-1 CIMB-YFA ke atas PKNS FC sekaligus muncul juara Kejohanan Bawah 14 Tahun Liga 1MCC-Hong Leong Yamaha 2012, pada Ahad.


Menguasai perlawanan daripada sepak mula, CIMB merebut pendahuluan seawal minit ke-2 menerusi ayam tambatan mereka, Kogileswaran Raja Mohan yang membuat larian solo sebelum melepaskan rembatan kencang menewaskan penjaga gol PKNS, Muhamad Adam Harith Zulkarnaen.

Aksi berhati-hati kedua-dua pasukan menyaksikan bola lebih banyak berlegar di kawasan tengah padang, dengan tidak banyak gerakan-gerakan menarik mahupun berbahaya terhasil.

Tatkala CIMB dilihat mengendurkan asakan dalam memperkukuhkan kelebihan jaringan, PKNS menghukum kealpaan barisan pertahanan mereka apabila percubaan jarak jauh Muhammad Fazrul Fahriz Zeky gagal diselamatkan Muhamad Farizal Abd Mutalib yang tertampan masuk bola ke gawang sendiri, 12 minit sebelum tamat perlawanan.

Perlawanan masa sebenar berkesudahan seri 1-1 memaksa pemenang terpaksa dipisahkan menerusi masa tambahan, dan Fariq memahat namanya selaku wira pasukan apabila merembat masuk bola dari sudut sukar menewaskan Muhamad Adam selepas melakukan larian dari sayap kanan.

Meskipun menggandakan asakan mencari gol penyamaan, PKNS gagal mencari sentuhan penyudah berkesan tatkala CIMB utuh bertahan untuk mengesahkan kejuaraan menjadi milik mereka.

Dengan kemenangan ini, CIMB membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000, baucer barangan dan trofi, manakala PKNS FC selaku naib juara membawa pulang hadiah wang tunai RM5,000, baucer barangan dan trofi.

Lebih manis, penyerang CIMB, Kogileswaran juga dinobatkan selaku penjaring terbanyak kejohanan dengan 18 gol.

Kejayaan ini juga adalah kejayaan berganda buat CIMB selepas terdahulu menjuarai kejohanan bawah 12 tahun.

Sementara itu, dalam aksi penentuan tempat ketiga, Permata Lestari menewaskan Perkasa 2-0 menerusi jaringan Saiful Amirul (m-4) dan Muhamad Syahrul Aizat (m-40) – kemenangan yang mengesahkan kedudukan mereka di tempat ketiga sekaligus membawa pulang hadiah wang tunai RM1,500, baucer barangan dan trofi.

Dengan berakhirnya kejohanan bawah 14 tahun ini, Liga 1MCC-Hong Leong Yamaha akan berlangsung membabitkan kategori bawah 16 tahun, bermula Oktober depan. 

Sunday, September 23, 2012

Berakhirnya Legasi Shahidan & Karim, Zainal Abidin Tidak Professional?


Mungkin itulah yang diinginkan para peminat sukan olahraga tanah air - satu perubahan besar dalam pucuk pimpinan badan induk sukan olahraga - dan ianya menjadi kenyataan selepas berakhirnya AGM KOM yang sekian lama tertunda, sebelum diadakan pada tarikh bersejarah, 23 September 2012.


Datuk Seri Shahidan Kassim mungkin tersilap menduga, apabila menganggap penarikan diri Danyal Balagopal daripada bertanding meninggalkan hanya Datuk Zainal Abidin Ahmad untuk mencabar kedudukan beliau, satu kelebihan untuk mengekalkan jawatan presiden yang disandangnya sejak 2006.

Ini jelas dapat dilihat pada riak wajahnya yang berubah serta-merta, tergamam dan terkilan malah pantas meninggalkan dewan mesyuarat sejurus keputusan pemilihan diumumkan, dan meskipun cuba menutup kecewa dengan bersikap biasa, ianya satu kejutan buat Shahidan walaupun dia tidak mengakuinya.

“Adakah saya kecewa? Anda boleh tengok wajah saya. Perwakilan telah membuat pemilihan dan saya akur saya tidak lagi dipilih menjadi presiden. Yang penting adalah pembangunan sukan olahraga, dan saya yakin presiden dan kepimpinan baru yang telah dipilih punyai misi dan visi untuk naikkan semula sukan olahraga. Saya tidak lagi boleh masuk campur dalam apa jua perancangan mereka dan saya ucapkan all the best kepada yang telah dipilih. Tetapi saya akan terus memberi sokongan kepada sukan olahraga, kerana saya mahu lihat kebangkitan sukan olahraga.” – Shahidan Kassim.

Shahidan tewas kepada Zainal Abidin dengan hanya 2 undi (21-23), pada ketika kekalahan ‘orang kuat’nya sebelum ini, Datuk Karim Ibrahim mungkin sudah diduga lebih awal – Karim tewas kepada Datuk Wan Hisyam dengan keputusan 19-25 undi.


“Tiada apa untuk saya kecewa dan kesalkan dengan kekalahan ini, ia satu persaingan yang sihat dan saya berdepan persaingan dari setiap penjuru. Jadi saya tidaklah terkejut, sebaliknya saya anggap apabila tidak dipilih, ia bukan rezeki saya. Saya berdepan saat yang sukar dan kontroversi memanjang sejak beberapa bulan kebelakangan tetapi saya yakin bukan itu yang menjadi punca saya tewas.” – Karim Ibrahim.

Empat naib presiden yang telah dipilih pula adalah seperti berikut : Datuk R. Anamalai, Dato’ Paduka Mumtaz Jaffar, V. Yogasveran dan Datuk Paiman Abd Karim.


Dalam pada itu, first impression media terhadap Zainal Abidin – unprofessional.

Ini kerana tindakannya yang tidak menghormati media dan enggan memberi komen mengenai kemenangannya ketika diserbu wartawan sejurus selepas berucap di depan perwakilan yang hadir, membuatkan rakan-rakan media sedikit terkilan dengan sikapnya itu. 

Malah, kami pula kelihatan terhegeh-hegeh apabila terpaksa mengejarnya sebelum berjaya mendapatkan komen.

Sepatutnya Zainal peka ini adalah hari penting dalam halatuju KOM itu sendiri, dan mengambil kira ini adalah first meetnya bersama media sejurus bergelar Presiden KOM, pastinya ramai yang mahu tahu apakah jenis pembaharuan yang mahu dibawanya ke arena olahraga tanah air. 
  
Kalau speech untuk berucap di depan perwakilan boleh standby siap-siap, takkan komen untuk media dan orang ramai nak reserve kot?

Friday, September 21, 2012

Wan Muhd Iqmal mahu Ikut Jejak langkah Messi

Artikel ini adalah nukilan rakan karib penulis, Harris Rajahdin, atau dikenali sebagai Harajah Legend - bekas wartawan sukan Berita Harian yang memiliki pengalaman luas dalam bidang penulisan, ini sebahagian daripada hasil kerjanya yan terlibat di dalam usaha mempromosikan program 1 Malaysia Cardiff City. 

Kecil-kecil cili padi - begitulah perumpamaan sesuai menggambarkan Wan Muhd Iqmal Wan Nizar, adik cilik yang paling kecil di atas padang, namun mampu berdiri sama tinggi dengan rakan sepasukannya dalam PKNS FC.

Berketinggian 1.41m, Wan Muhd Iqmal tidak membiarkan dirinya tenggelam di sebalik asakan pemain  lawan yang dua kali lebih besar daripadanya, sebaliknya menggunakan kelincahannya menjana gerakan berbahaya buat rakan sepasukannya dari bahagian tengah.

lincah - Wan Muhd Iqmal
Sungguh pun Muhammad Fazrul Fahriz Zeky yang mencipta tumpuan dengan menjaringkan gol pembukaan dalam laluan kemaraan PKNS FC ke final kejohanan bawah 14 tahun Liga 1MCC-Hong Leong Yamaha 2012, tetapi ia berpunca daripada gerakan Wan Muhd Iqmal yang melepasi kawalan pertahanan Permata Lestari FC. 

PKNS FC mara ke final menerusi penentuan penalti, 4-1 selepas masa tambahan 10 minit gagal memisahkan kedua-dua pasukan berikutan aksi saingan 70 minit berakhir dengan kedudukan terikat 1-1. 

Menceritakan permulaan pembabitannya dalam arena bola sepak, Wan Muhd Iqmal berkata ia bermula dengan galakan ayahnya yang sering membawanya ke padang berhampiran ketika Darjah 3. 

"Ayah saya yang juga bermain bolasepak membawa saya ke padang bermain bolasepak bersama kawan-kawannya ketika saya berada di Darjah 3," kata pelajar tingkatan dua Sekolah Menengah Kebangsaan Seksyen 4, Bandar Kinrara Puchong itu.

"Ketika itu, saya dipilih untuk menyertai program First Touch anjuran Persatuan Bolasepak Malaysia. Selepas itu pada usia saya 12 tahun, saya mendaftar dalam program PKNS dan tidak lama selepas itu dipilih untuk beraksi bersama pasukan ramaja PKNS," katanya. 

Tambahnya : "InsyaAllah, sekiranya diberikan peluang saya memiliki cita-cita untuk mewakili negara pada masa akan datang. Saya ingin menjadi seperti Lionel Messi dan idola saya di dalam negara adalah Safiq Rahim."

Jelas, idolanya Messi memiliki persamaan dengannya di mana pemain Argentina itu hanya berketinggian 1.69m selepas bergelut dengan masalah tumbesaran pada awal kerjayanya - sesuatu yang seharusnya tidak menghalang Wan Muhd Iqmal untuk mengikut jejak langkah idolanya beraksi di pentas sama, di Camp Nou satu hari nanti.

PKNS Yakin Muncul Juara

Jurulatih PKNS FC, Mohd Yazid Ahmad percaya barisan pemainnya sudah bersedia menampilkan aksi terbaik dalam memastikan gelaran juara Liga 1MCC-Hong Leong Yamaha 2012 bawah 14 tahun menjadi milik mereka, Ahad ini. 

PKNS FC akan menentang CIMB YFA pada aksi final di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya selepas menyingkirkan Permata Lestari pada aksi separuh akhir penuh debaran yang mana berlanjutan sehingga ke sepakan penalti, dan Mohd Yazid berkata pemainnya kini bersemangat tinggi untuk memastikan PKNS mencatat satu lagi kemenangan seterusnya bergelar juara buat pertama kali.


"Motivasi di kem kami cukup tinggi, persediaan pasukan semuanya berjalan lancar. Alhamdulillah semua pemain bebas daripada kecederaan dan saya yakin kekuatan utama pasukan PKNS adalah kerjasama sepasukan. Jika mereka menunjukkan permainan berpasukan dan persefahaman baik, tidak mustahil kami akan dapat tewaskan CIMB.

"Saya masih mempunyai tempoh dua hari untuk mempersiapkan pasukan. Selepas perlawanan semifinal tempoh hari saya sudah nampak di mana kelemahan yang perlu diatasi. Bagi saya peluang kedua-dua pasukan adalah seimbang, lagipun ketika pertemuan dalam liga kami hanya tewas tipis 2-3 kepada CIMB. jadi ia bergantung kepada siapa yang kurang melakukan kesilapan dan bijak manfaatkan peluang," kata Mohd Yazid.

Tahun lalu, laluan PKNS tersekat di peringkat suku akhir justeru Mohd Yazid mahu kejayaan manis melangkah jauh sehingga ke pentas final dinoktahkan dengan penuh gaya, namun dalam masa sama tidak mahu pemainnya beraksi dikuasai tekanan. 

"Adalah penting mereka bermain tanpa tekanan, kita perlu ingat mereka masih dalam proses pembelajaran, ada yang mental kuat ada yang lemah, sebagai jurulatih saya perlu mendidik dan membentuk mereka untuk hadapi perlawanan ini dengan tenang."

Mohd Yazid dijangka mempertaruhkan kelincahan pemain tengah, Wan Muhammad Iqmal dan bisa sentuhan Muhammad Fahriz untuk merobek gawang CIMB YFA, setelah kedua-dua pemain ini menampilkan aksi cemerlang ketika perlawanan separuh akhir tempoh hari.

Malah, beliau juga mengharapkan penjaga gol, Muhammad Adam Harith Zulkarnaen akan mempamer ketangkasan sama sepertimana ketika muncul wira di semifinal dengan menyelamatkan tiga sepakan penalti lawan dalam kemenangan 4-1 ke atas Permata Lestari.

PKNS FC akan meneruskan latihan seperti biasa di Padang PKNS, Kelana Jaya pada Jumaat sebelum turun menjalani latihan ringan pada Sabtu. 

Nadarajan Tidak Pernah Diabai - Aminuddin

Artikel ini sebenarnya ditulis sudah lama dahulu, sekitar hujung bulan Julai tetapi kepelbagaian komitmen menyebabkan saya tidak dapat publish story ini yang hanya diterbitkan dalam Buletin Yakeb edisi 05/2012 baru-baru ini.

Masih ingatkah anda kelibat D.Nadarajan? Kerjaya gemilang Nadarajan, bekas atlet olahraga negara yang dulu gagah berlari membakar trek, terpaksa dinoktahkan lebih awal berikutan kemalangan tragik yang mengakibatkan dirinya terlantar sakit seumur hidup, selain memerlukan penjagaan 24 jam.

Justeru, sebagai menghargai jasa dan pengorbanannya di dalam mengharumkan nama negara, Yakeb akan meneruskan bantuan kepada Nadarajan yang turut mengalami hilang upaya kekal akibat kemalangan itu pada 2007.

Pengurus Operasi Yakeb, Aminuddin Mohd Nasir berkata Yakeb peka akan nasib menimpa pemenang pingat emas Sukan Sea Jakarta itu dan sepertimana atlet lain yang menjadi ahli Yakeb, kebajikan Nadarajan tidak pernah sekalipun terlepas dari pemerhatian.

Aminuddin menyampaikan hamper kepada Nadarajan pada 2009
Sebagai ahli Yakeb juga, Nadarajan layak untuk menikmati pelbagai manfaat yang disediakan yayasan ini, termasuklah kos perubatan dan rawatan susulan yang ditanggung sepenuhnya mengikut skim yang telah ditetapkan.

"Tidak tepat jika ada yang kata kita abaikan beliau. Kes Nadarajan bukanlah suatu yang baru bagi kita. Kita sentiasa mengikuti perkembangan beliau, malah setakat ini sejak 2009 Yakeb telah memberi sumbangan lebih RM10,000 secara berperingkat sebagai membantu meringankan beban keluarganya. Ini membuktikan keprihatinan kita.

"Ketika ini kita sedang menguruskan pemberian sumbangan pampers dan beberapa bantuan lain yang dirasakan wajar seperti bantuan kewangan bulanan. Kita tolong apa yang kita mampu dan dalam masa sama kita menggalakkan pihak luar juga tampil membantu, jasa dan pengorbanan beliau kepada dunia sukan cukup banyak," ujar Aminuddin. 

Bekas pengerusi Yakeb, Dato' Mumtaz dan Dato' Maznah Mazlan menyampaikan sumbangan kepada Nadarajan pada 2009
Nadarajan, 38 tahun, merupakan anggota kuartet emas 4x400m Sukan Sea jakarta 1997, bersama Yazid Parlan, S.Vasu, dan Romzi Bakar selai  meraih pingat perak acara 400m di temasya yang sama. 

Nadarajan juga meraih gangsa pada Sukan Sea 1995, malah pernah mengharumkan nama negara di pelbagai kejohanan bertaraf kebangsaan dan antarabangsa. 

Beliau mengalami kecederaan teruk di kepala akibat terkena serpihan besi apabila tayar yang sedang dipamnya tiba-tiba meletup dan Nadarajan bersama-sama isteri, D.Shamala dan empat anaknya yang masih bersekolah - Jivithra, Lineysa, Pravinash dan Pravishah - kini tinggal bersama adik perempuannya, D.Piramila di Kulim. 

Kapten Olimpik 1972 Beransur Pulih, Hargai Kunjungan Rakan Searena

Suara Sukan kembali aktif selepas sekian lama menyepi gara-gara kesibukan tugas saya yang terlibat dalam beberapa projek besar selain tugas hakiki sebagai Ketua Pengarang Yayasan Kebajikan Atlet, dan terlibat dalam beberapa siri lawatan mengunjungi bekas-bekas atlet, terbaru Dato' M.Chandran. 

Ini update mengenai keadaan terkini beliau yang sempat saya kirimkan kepada rakan-rakan media baru-baru ini dan selepas ini saya akan terlibat dalam mengunjungi bekas atlet olahraga, D.Nadarajan di Kedah, serta bekas atlet angkat berat yang menderita sakit kulit kronik, Arico Jumitih di Sabah.

Chandran Terharu 


Keadaan kesihatan bekas kapten skuad Olimpik Munich 1972, Dato’ M.Chandran, semakin bertambah baik selepas hampir dua bulan terlantar sakit  akibat serangan strok.
Chandran, 70 tahun, yang menerima rawatan di Hospital Besar Kuala Lumpur (HKL) sejak mengalami serangan strok pada Julai lalu, masih dalam keadaan lemah dan memerlukan bantuan kerusi roda untuk bergerak.
Beliau yang ketika ini menjalani rawatan fisioterapi seminggu sekali di HKL sebagai satu daripada proses pemulihan menerima kunjungan Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan dan rakan-rakan searena seperti lagenda bolasepak tanah air Tan Sri Datuk Abdul Ghani Minhat, Reduan Abdullah, Datuk Khaidir Buyong, Zulkifli Norbit dan Kamarulzaman Yussoff pada Selasa.
Chandran nyata terkejut dan terharu dengan kehadiran rombongan ‘otai’ bolasepak ini, yang juga merupakan rakan lama beliau - baik di dalam skuad kebangsaan mahupun Selangor ketika era 60-an dan 70-an dulu.
“Saya sebenarnya terkejut, ia satu perasaan yang tidak dapat saya gambarkan apabila menerima lawatan dari rakan-rakan yang sudah lama tidak bertemu, gembira dan tersentuh apabila mendapat tahu bahawa mereka mengambil tahu tentang keadaan saya.
“Tan Sri (Ghani) seperti biasa suka bergurau dan kenakan saya. Zulkifli pernah main bersama saya, Khaidir pernah dilatih saya, kami berborak, bercerita tentang kisah-kisah lama, ia cukup menyeronokkan apabila dapat berjumpa seperti ini, mengembalikan nostalgia silam,” ujar Chandran yang ditemui di kediamannya di Ampang Jaya.
Dalam kunjungan itu juga, Tan Sri Abdul Ghani mewakili YAKEB menyampaikan sumbangan kepada Chandran yang bersara sebagai pemain pada 1974, dengan kos rawatan dan rawatan susulan ditanggung sepenuhnya YAKEB.
Ketika zamannya sebagai pemain, Chandran cukup dikenali sebagai pertahanan kental yang berjaya meletakkan namanya sebagai antara ‘centre-back’ terbaik Asia, malah kejayaan menyingkirkan Jepun dan Korea Selatan dalam laluan ke Munich 1972, turut dibantu aksi cemerlang barisan pertahanan dikemudi Chandran yang memiliki lebih 150 kap antarabangsa.
Selain beraksi di Olimpik, antara pencapaian lain Chandran adalah membantu Malaysia meraih gangsa Sukan SEAP 1969 dan 1973, perak pada 1971, juara Piala Merdeka 1973 dan gangsa Sukan Asia 1974 di Tehran, yang kekal sebagai pencapaian terbaik sehingga ke hari ini.
Beliau juga pernah tersenarai dalam skuad Asian All Stars yang tewas 2-6 kepada Arsenal pada 1968.
Sementara itu, Khaidir yang pernah mendapat tunjuk ajar Chandran ketika bersama skuad Selangor berkata : “Ketika zamannya dulu, beliau adalah contoh yang baik kepada pemain-pemain lain, dedikasi dan disiplinnya cukup dikagumi. Saya memang rapat dengan beliau, dan kagum dengan semangat yang ada padanya. Saya mendoakan beliau cepat sembuh seperti biasa.”
Manakala seorang lagi bekas pemain Selangor dan kebangsaan yang pernah dibimbing Chandran, Kamarulzaman Yussoff berkata : “Pemain Selangor ketika beliau menjadi jurulatih semuanya berada di tahap kecergasan tinggi, beliau pentingkan disiplin dan conditioning, saya antara yang bertuah untuk berada di dalam skuad Selangor yang dilatih beliau pada 1988, beliau seorang yang kuat, kami semua harap beliau akan segera sembuh.”