Tuesday, June 2, 2015

Real semakin bernafsu

Real Mulia FC (RMFC) melakar kemenangan penting untuk melonjak ke tangga kedua Kumpulan A Liga FAM dengan menewaskan Sungai Ara FC 1-0 pada Ahad untuk terus berada di landasan mengejar tiket beraksi di Liga Perdana 2016.    

Pemain tengah, Badrulhisani Abdul Rahman muncul wira apabila merembat kencang hantaran M.Yoganathan dari luar kotak penalti untuk gol tunggal perlawanan sekaligus mengesahkan tiga mata berharga milik RMFC tatkala Sungai Ara tewas buat pertama kali di gelanggang mereka.

Meskipun berdepan isu padang yang dilihat tidak sesuai untuk sebuah pertandingan rasmi sebelum sepak mula, RMFC menampilkan aksi bertenaga serta kekuatan mental tinggi untuk mencatat kemenangan kelima berturut-turut di gelanggang lawan, dan juga kemenangan kelima dengan jaringan 1-0.



Pengendali RMFC, Yunus Aliff berkata, “Bukan mudah untuk menang di gelanggang ini kerana padang ditakungi air ekoran hujan sebelum perlawanan. Tetapi pemain saya manfaatkan pengalaman mereka dan menunjukkan karakter yang hebat untuk membawa pulang tiga mata.

“Kedua-dua pasukan mencipta peluang, kami ada empat atau lima peluang dan begitu juga mereka tetapi akhirnya pasukan yang beraksi lebih baik menang. Kita ketepikan segala provokasi dan menunjukkan kekuatan mental untuk menang di sini. Pemain tidak boleh leka dan perlu lebih ghairah memburu kemenangan selepas ini.”

RMFC yang berada di kedudukan ketiga sebelum perlawanan, menguasai babak awal perlawanan, dengan dua percubaan dari Wan Aliff  Wan Jasmi sedikit tersasar. Sungai Ara turut memiliki peluang menjaringkan gol tetapi kecemerlangan bekas penjaga gol kebangsaan, Syamsuri Mustafa dan palang gol menjadi penghalang buat tuan rumah meledak jaringan.


RMFC ketika ini di kedudukan kedua, dua mata mengatasi Megah Murni yang seri di UKM dan ketinggalan lima mata di belakang Perlis yang unggul dengan rekod tanpa kalah selepas menewaskan Shahzan Muda. RMFC akan bertandang ke Kuala Berang, Terengganu untuk menentang Hanelang FC Ahad depan.