Tuesday, May 31, 2011

Hashim Mustapha Mangsa Keadaan Cetusan FAM

**sambungan kpd Part 1, Hashim Mustapha Hero Sepanjang Zaman Bolasepak Kelantan**

Adalah menjadi lumrah, apabila tiba masa seseorang pemain itu menggantung butnya, ada yang bersara atas faktor usia, faktor kecederaan, kegagalan berada dalam kesebelasan utama dan sebagainya, namun dalam kes HASHIM MUSTAPHA, wira sejati sepanjang zaman arena bolasepak Kelantan, ianya atas faktor berbeza.

Keputusan untuk bersara bukan atas kerelaannya, tetapi menjadi mangsa keadaan, apatah lagi Hashim sebenarnya bercita-cita untuk terus bergelar pemain professional, sehingga mencecah usia 40 tahun.

“FAM ni ada mewujudkan satu skim, dia macam tuntutan insuran/pampas an/ganjaran (tiada definisi tepat), di mana apabila kita bergelar pemain professional selama 7 tahun berturut-turut, kita boleh memohon untuk mendapatkan pampasan/ganjaran tu. Tapi bersyarat (tiada masalah disiplin, penggantungan atau sebagainya). Saya pohon, dan saya dapat, tapi wujud kekeliruan, FAM ni dia tak beritahu saya, apabila kita dah dapat pampasan/ganjaran pemain pro tu, kita dah tak boleh main dah, saya sudah bersetuju sambung kontrak dengan TNB, TNB nak daftarkan nama saya musim 2002 tu, tak dapat, FAM cakap saya dah tak layak main, kalau saya tahu, baik saya tangguhkan dulu untuk keluarkan pampasan/ganjaran tu, main sampai umur 40 tahun, cipta satu lagi rekod, walaupun masa tu nak main 90 minit mungkin tak boleh, tapi kudrat saya ni bolehlah kalau nak main 30, 40 minit, tapi nak wat camne, terpaksa gantung but..” – Hashim Mustapha.

Tidak keterlaluan, dan pastinya ramai mengakui andai dikatakan belum ada seorangpun pemain yang mampu menandingi kehebatan Hashim hingga ke hari ini.
foto kredit : coklat strobery/kelate.net
Bercerita tentang Hashim, bekas wartawan dan Ketua Editor NSTP Group, Datuk Hishamuddin Aun, dalam satu kolumnya pada awal 90-an dahulu pernah melabel Hashim sebagai seorang pemain yang menepati segala ciri professional sejati, baik dari segi disiplin, dedikasi, kesungguhan, inspirasi malah ‘role model’ kepada rakan sepasukan.

Bolasepak sudah sebati dalam diri Hashim, pada usia 13 tahun dia sudahpun mewakili Kelab Sri Utama dalam Liga Divisyen 3 Kota Bharu, manakala pada usia 16 tahun sebelum dipanggil mewakili Kelantan, dia mewakili pasukan kelab, PKINK – pasukan yang turut diperkuatkan bekas pemain kebangsaan, Nik Fauzi Hassan.

Kelibatnya di atas padang sudah cukup menghadirkan gerun pertahanan lawan, baik yang berbadan kecil mahupun, bertubuh tegap, sasa persis pemain eropah, maka tidak hairanlah nama Hashim tidak pernah lekang daripada menjadi sebutan dan seringkali menjadi topic utama akhbar tempatan.

Kalau ada seorang pemain tempatan, yang benar-benar dapat menandingi, malah mengatasi kehebatan pemain import pada zaman kegemilangannya seperti Scott Olerenshaw, Fandi Ahmad, Abbas Saad, Peter Nieketien, Alistair Edward, Jose Irriarte dan ramai lagi, ia tidak lain tidak bukan Hashim Mustapha.

Larian pantas, rembatan kencang bak peluru, sentuhan penyudah cukup tajam dan gol-gol memukau, menakjubkan hanyalah secebis daripada deretan kelebihan dimiliki Hashim, yang popular dengan jersi no 10 pernah disarung Dali Omar pada era 60-an dahulu.

“saya ni gelecek bola tak pandai sangat, setakat sorang dua bolehlah, terer Matyo lagi, tapi apabila winger atau rakan lain nk cross bola, saya mesti ada kat tengah..striker kena pandai cari peluang, jangan duk tunggu jer, tak semestinya setiap kali try tu gol, tapi usaha, sekali gagal, dua kali gagal, tapi dalam 10 kali try, mesti akan ada 1 gol, dalam kamus hidup pemain bola tak boleh ada giv up..” 

Sebut sahaja nama penjaga gol terhebat ketika itu - Ong Yu Tiang, Mazlan Wahid, Khairul Azman, V.Murugan, Zubir Ibrahim, Halim Napi (ketika itu bersama Perak), Azmin Azram Aziz, Azlisham Ibrahim, semuanya pernah tewas kepada penyerang prolific ini.

Sesuai dengan statusnya selaku pengempur terhebat, Hashim, 3 kali meraih anugerah Kasut Emas penjaring terbanyak Liga Perdana – 1990 (15 gol), 1993 (13 gol), 1994 (29 gol), namun yang tetap segar di ingatannya hingga ke hari ini, muncul penjaring terbanyak pada 1994, tahun yang sama Hishamuddin Aun menulis tentangnya.
foto kredit : coklat strobery/kelate.net
Ini kerana dia beraksi 90 minit dalam kesemua 39 perlawanan musim tersebut – 30 perlawanan liga (ketika itu liga 16 pasukan), 3 Piala FA, dan 6 Piala Malaysia, tanpa terlepas walau satupun perlawanan sama ada digantikan, direhatkan, digantung, atau kerana kecederaan, satu rekod yang belum diatasi mana-mana pemain hingga ke hari ini. 

Sepanjang menabur bakti bersama negeri kelahirannya, Hashim pernah mendakap Piala Emas Raja-Raja, Piala Agung, namun gagal membantu pasukannya meraih sebarang trofi utama Liga Malaysia – Liga, Piala FA dan Piala Malaysia, meskipun mara hingga ke separuh akhir Piala Malaysia pada 1993, tewas kepada Kedah.

Mungkin itu juga sebab Hashim beralih angin ke utara tanah air, selepas menyumbang 11 gol untuk Kelantan pada 1995, Hashim memilih untuk menyarung jersi Kedah selama 2 musim (1996/1997), yang ketika itu diperkuatkan Radhi Mat Din, Andre Luis Nascimento dan Mamadou Maryam.

foto kredit : coklat strobery/kelate.net
Musim pertama di Kedah, Hashim membantu Kedah muncul Juara Piala FA buat pertama kali, menewaskan Sarawak 1-0 di final, dan selepas berkelana dua tahun, Hashim kembali berbakti kepada Kelantan pada 1998.

Nyata, bisa sentuhan Hashim tidak pudar pada usia mencecah 32 tahun, apabila membantu Kelantan yang turut dibarisi pemain seperti Zahasmi Ismail dan Wong Kah Loon menduduki tangga ketiga Liga Perdana 2, malah masih menjadi kegilaan peminat bolasepak Kelantan yang merindui kelibat lagenda mereka itu.

Gara-gara selisih faham dengan pengurusan yang ketika itu diterajui Datuk Wan Hashim Wan Daud, Hashim sekali lagi membawa diri, kali ini ke Johor, dan membantu pasukan itu muncul juara Liga Perdana 2, seterusnya dinaikkan ke Liga Perdana 1.

Rindu terhadap tanah kelahiran tidak pernah pudar dalam dirinya, dan pada 2000, Hashim memilih untuk menyarung jersi pasukan kelab, JKR Kelantan bersama Adnan Musa dan Rosli Rejab dan membantu pasukan itu menyerlah dalam Liga Perdana 2, sebelum dipancing pula TNB Kelantan pada tahun berikutnya.

Sebaik bersara, Hashim menyepi seketika sebelum kembali bersama skuad Kelantan berwajah baru di bawah kepimpinan Tan Sri Annuar Musa, kali ini di dalam barisan kejurulatihan. Nak tahu apa rahsia di sebalik karier gemilang 20 tahun Hashim, apa yang menjadikannya pemain idaman semua jurulatih, serta pendapatnya tentang pemain hari ini yang disifatkannya MALAS, tunggu part 3.

5 comments:

egypt85 said...

terbaik la ulasan aiman..mantap...hashim tetap lagenda..part 3 cepat ckit tu.. dan harapnye cesc aiman boleh wat artikel pasal halim napi plk...hehe..trbaik jgk tu...

NT Bodek said...

FAM sejak dulu lagi amalkan double standard dengan kelantan..Kalau lah Hashim tu orang Selangor atau main ngan Selangor..comfirm tiap2 tahun boleh wakil Malasia..Sayangnya FAM amalkan politik bodek.Sebab tu prestasi Malaysia merudum sejak tahun 1990-an.Ni baru nak naik semula.Tapi masih lagi amalkan politik bodek gaya FAM

Cheni said...

saudara cesc aiman,
Berita @ artikal berkenaan dengan Hashim boleh didapati di blog saya

http://myccbest.blogspot.com/search/label/Arkib

mungkin boleh digunakan untuk rujukan saudara.

Cesc Aiman said...

nga kelate gak, meme ada sokmo masalah ko guano...

cheni : tq bro...amat dihargai, sama2 tolong menolong..sek kitow blako..hehe

Anonymous said...

zaman kegemilangan hashim mustapha

http://www.facebook.com/photo.php?v=10150739497709683&set=vb.735994682&type=2&theater