Wednesday, May 25, 2011

Lagenda : Juara Dunia Di Jakarta Segar Di Ingatan Zakri Ibrahim

Dia pernah digugurkan dari skuad Sukan Sea 2001 kerana masalah disiplin, malah rayuannya untuk kembali mewakili skuad negara pernah ditolak, namun itu tidak sedikitpun menenggelamkan reputasi hebat bekas pesilat negara, Zakri Ibrahim, yang cukup dikenali sebagai pejuang sejati yang memiliki semangat kental seorang pendekar.

Pernah terjebak dalam kontroversi sehingga tersingkir daripada pekerjaan lamanya sebagai anggota polis, Zakri tidak menjadikannya sebagai alasan untuk mengalah sebaliknya berdiri teguh, menapak setapak demi setapak demi minatnya terhadap Silat Olahraga. 

Namanya sinonim di arena seni mempertahankan diri warisan budaya Melayu sejak zaman-berzaman ini, apatah lagi berkecimpung selama 26 tahun iaitu sejak berusia 17 tahun, pelbagai kejayaan diraihnya sehingga saat menoktahkan karier pada tahun 2004.

Bermula sekadar mempelajari ilmu mempertahankan diri yang sememangnya menjadi kebanggaan anak melayu ketika itu, Zakri atau lebih glamer dengan panggilan Cikgu Zack, mula mewakili negara dalam acara Pencak Silat (Olahraga) sejak 1987, ketika itu usianya 19 tahun.

Menariknya penampilan pertama Zakri di dua kejohanan besar tahun 1987 iaitu Sukan Sea dan Kejohanan Dunia, meninggalkan kenangan manis buatnya, apabila berjaya membawa pulang masing-masing pingat perak dan pingat gangsa – kejayaan yang boleh dianggap besar melihat pada usianya yang masih muda.

Kejayaan demi kejayaan dicipta, membolehkan Zakri diangkat sebagai permata sukan silat negara pada zaman kegemilangannya, seangkatan dengan Yazid Ariffin, Wardi Salim dan Mohd Khairi Abd Rahman.

Dikenali sebagai seorang yang selalu merendah diri, Zakri terus mengorak langkah dan seringkali mengungguli pelbagai kejohanan peringkat kebangsaan serta antarabangsa.

Pingat gangsa di Sukan Sea dan Kejohanan Dunia 1989, ditukarnya kepada kilauan emas pertama peribadi di Sukan Sea 1991, mungkin berkat beralih kepada Kategori H (76kg-80kg), berbanding Kategori D (55kg-60kg) pada tahun-tahun sebelumnya.

Zakri terus menyerlah di beberapa kejohanan antarabangsa dengan Sukan Sea terus menjadi medan buatnya mempamerkan  bisa, apabila meraih emas (1995) dan gangsa (1997), namun kemuncak kegemilangannya adalah ketika ditabalkan sebagai juara dunia di Jakarta pada November 2000, yang disifatkannya sebagai kenangan terindah sepanjang bergelar pesilat negara.

Zakri menewaskan wakil tuan rumah, Samuel Amarillo, 3-2 di final Kategori Putera J pada aksi final.

6 bulan selepas itu, detik hitam dalam kariernya apabila digantung dari skuad negara bersama rakan sepasukan Azlinda Ahmad, kerana meninggalkan kem negara dan ke bercuti ke luar negara, tanpa kebenaran Persekutuan Silat Kebangsaan (Pesaka). (baca sini).

Beliau selepas itu kembali dalam skuad negara, dan berjaya meraih pingat gangsa di Kejohanan Dunia 2004, sebelum bersara pada tahun sama, atas faktor usia yang mencecah 35 tahun ketika itu.

Meskipun sudah bersara, bapa kepada 5 cahayamata hasil perkongsian hidup bersama Noraswana Ahmad ini tetap mengabdikan diri kepada seni silat, dengan bertindak sebagai jurulatih dan pengadil di Persatuan Silat Seni Gayung Malaysia. Baginya silat sebahagian daripada sesuatu yang sudah sebati dengan dirinya dan sukar untuk dipisahkan. 

Zakri mengakui Malaysia tidak pernah sekalipun ketandusan bakat baru dalam dunia silat, dan mahu melihat Malaysia terus cemerlang dalam melahirkan pesilat bertaraf dunia, malah dua pesilat muda negara Mohd Hafifi Habibilah dan Safri Khalid adalah antara pesilat yang digilap bakat mereka, oleh Zakri.

No comments: