Thursday, April 23, 2015

ISS ISTAF Superseries : Korea harap tuah gelanggang sendiri

Beraksi selaku tuan rumah ISTAF SuperSeries KOREA 2014/15 dijangka menyuntik semangat buat barisan pemain Korea untuk menampilkan aksi cemerlang apabila pusingan ketiga ISTAF SuperSeries membuka tirainya di Arena Wolmyeong Arena pada Khamis.

Korea harap tuah selaku tuan rumah.

Kali terakhir merasai nikmat bergelar juara pada aksi akhir ISTAF SuperSeries INDIA 2013/14 di in New Delhi selepas kemenangan bergaya  3-0 ke atas Malaysia, Korea akan mengharapkan tuah gelanggang dan penyokong sendiri untuk cuba mengulangi pencapaian tersebut.

Bagi kategori Lelaki, Thailand diundi di dalam Kumpulan A bersama-sama Jepun, Indonesia dan tuan rumah Korea. Manakala dalam Kumpulan B, juara ISTAF SuperSeries MALAYSIA, Malaysia dijangka berdepan tentangan sengit dari Myanmar, Singapura, dan China. Malaysia hadir ke kejohanan ini dengan berada di prestasi terbaik mereka setelah kejayaan penuh bersejarah ke atas Thailand pada aksi akhir ISTAF SuperSeries MALAYSIA yang berlangsung di Melaka.

Juara bertahan, Malaysia akan membuka tirai saingan ISS KOREA dengan beraksi dua perlawanan menentang China dan Myanmar pada hari pembukaan manakala Korea menentang Jepun.

ISTAF SuperSeries KOREA 2014/15 diadakan menerusi kerjasama Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa dan rakan komersialnya Asia Sports Ventures (ASV) dengan sokongan dari Gabenor Jeollabuk Do, Song Ha-Jin dan Datuk Bandar Gunsan City, Moon Dong-Shin.

Selepas menampilkan aksi berkelas dunia di ISTAF SuperSeries MALAYSIA pada Februari lalu untuk muncul juara dengan menewaskan Thailand, Malaysia dijangka berdepan saingan yang lebih mencabar di Gunsan dengan perubahan pada barisan pemain termasuk ketiadaan Syahir Rosdi.

Sahidan Ali akan mengetuai cabaran Malaysia bersama-sama Hairul Hazizi Haidzir, Sumari Zuleffendi, Khairul Zaman dan Mohamed Zamree.

Malaysia turun selaku pilihan selepas menjuarai ISTAF Superseries Malaysia. 

Kategori wanita pula menyaksikan pilihan utama Thailand akan disertai musuh ketat Malaysia dan Korea dalam Kumpulan A yang menjanjikan aksi hebat di peringkat kumpulan. Malaysia dijangka berdepan tugas sukar untuk mengatasi skuad wanita Thailand yang cukup dominan, serta Korea yang pastinya mahu memanfaatkan kelebihan beraksi di gelanggang sendiri.

Vietnam adalah pilihan untuk mara dari Kumpulan B, dengan Indonesia dan Jepun kedua-duanya berharap dapat memberikan tentangan kepada Vietnam untuk merebut tempat teratas. Vietnam mara ke perlawanan akhir pada ISS MALAYSIA dan sudah tentunya mahu memperbaiki prestasi untuk merampas takhta kejuaraan wanita dari Thailand.

Timbalan Presiden ISTAF, Datuk Haji Ahmad Ismail, berkata: “Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa cukup berbangga untuk menganjurkan pusingan ketiga ISTAF SuperSeries ini di Korea dengan sokongan kuat dari Gabenor Jeollabuk-do, En. Song Ha-Jin, dan Datuk Bandar Gunsan City, En. Moon Dong-Shin. Mereka telah menjadi tuan rumah yang cukup hebat.”

ISTAF SuperSeries 2014/15 hanyalah satu daripada banyak pertandingan yang kami bawakan kepada pemain dan peminat sepaktakraw dengan matlamat utama meningkatkan kualiti dan prestasi kita di arena antarabangsa,” tambahnya pada sidang media pra-kejohanan hari ini.

Setiausaha Agung badan induk sepaktakraw dunia itu, Dato’ Abdul Halim Kader, berkata matlamat utama ISTAF adalah membawa Sepaktakraw  untuk dipertandingkan di Sukan Olimpik dan sedang bekerjasama erat dengan SportsAccord International dan Persatuan Jawatankuasa Olimpik Kebangsaan (ANOC) untuk mendapatkan sokongan kemasukan Sepaktakraw di Sukan Pantai Dunia pertama yang dijadualkan berlangsung pada 2017 di Eropah.

ISTAF akan turut menghantar delegasinya ke Socchi, Russia bulan depan untuk menghadiri Konvensyen SportsAccord bagi menentukan kemasukan Sepaktakraw yang mana akan menjadi satu langkah besar buat ISTAF untuk mencapai matlamat utamanya – Sukan Olimpik.

Ketua Pegawai Operasi Asia Sports Venture, Venu Ramadass, berkata musim ini menyaksikan Kejohanan ISTAF SuperSeries disiarkan secara langsung sepenuhnya menerusi laman web rasmi, www.sepaktakraw.org.

“Ini akan membolehkan lebih ramai peminat di seluruh dunia untuk menonton dan terhibur menyaksikan perlawanan menerusi internet. Dan sebagai pelengkap kepada laman web kami serta kandungannya, kami juga merancang menyediakan sebuah aplikasi mobil serbaguna untuk membekalkan semua berita dan maklumat sepaktakraw yang peminat perlukan dalam sekelip mata,” tambah Ramadass.

“Aplikasi yang dipanggil “Sepaktakraw” ini boleh dimuat turun pada Apple dan platform Android yang lain. Aplikasi ini bertujuan memberikan semua peminat sepaktakraw jadual perlawanan dan kemaskini keputusan bagi setiap perlawanan. Selain itu, ia memberi peluang kepada penonton menyaksikan perlawanan ‘SECARA LANGSUNG’ menerusi aplikasi ini,” jelas Ramadass.

Undian Kategori Lelaki
Kumpulan A: Thailand, Jepun, Korea, Indonesia
Kumpulan B: Malaysia, Myanmar, China, Singapura

Undian Kategori Wanita
Kumpulan A: Thailand, Malaysia, Korea
Kumpulan B: Vietnam, Indonesia, Jepun


*Semua perlawanan boleh disaksikan secara langsung menerusi ‘livestream’ di  www.sepaktakraw.org

No comments: