Monday, April 13, 2015

Gol Ariff julang Real sekali lagi

Dalam tempoh seminggu, pemain pertahanan Ariff Zulkifli dua kali melonjakkan namanya selaku wira Real Mulia FC apabila menanduk masuk gol tunggal kemenangan ke atas Felcra FC dalam aksi keempat Kumpulan A Piala FAM yang berlangsung pada Ahad.

Bekas pemain remaja kebangsaan berusia 22 tahun ini menanduk masuk hantaran sepakan sudut Shafizi Zain pada minit ke-38, yang kekal menjadi pemisah sehingga tamat perlawanan sekaligus mengutip tiga mata yang membolehkan RMFC melonjak ke tangga ketiga.

Ariff yang pernah berkelana di New Zealand, menjaringkan gol tungal kemenangan ke atas UKM FC minggu lalu dengan gaya sama – gol pertama peribadinya selepas hampir tujuh tahun ketika mewakili skuad B-15 kebangsaan dan dia nyata teruja dapat mengulanginya sekali lagi.



“Saya seolah tidak percaya dapat melakukannya sekali lagi. Minggu lepas saya skor buat kali pertama selepas tujuh tahun dan untuk mengulanginya memang cukup menakjubkan. Yang penting, tiga mata buat pasukan dan kami terus berada di landasan yang baik untuk mara lebih jauh. Kami perlu kekalkan rentak kemenangan ini,” jelas Ariff yang dikeluarkan di pertengahan babak kedua kerana kecederaan.

Pada perlawanan tersebut, Real Mulia yang mencari kemenangan sulung di gelanggang sendiri bermula baik di mana tandukan Wan Aliff Jasmi terkena palang pada minit keempat, disusuli beberapa percubaan yang tersasar oleh Shafizi  dan Badrulhisani Abdul Rahman. 

Real dinafikan sepakan penalti pada minit ke-27 meskipun Wan Aliff jelas dikasari pertahanan Felcra dan mereka menebus hampa tersebut 10 minit kemudian menerusi tandukan kencang Ariff yang sama sekali gagal digapai Khairul Anuar Ong.

Real mempamer aksi defensif bertenaga di babak kedua dengan bekas penjaga gol kebangsaan, Syamsuri Mustafa menyelamatkan sekurang-kurangnya dua percubaan berbahaya untuk menafikan hasrat Felcra membawa pulang satu mata.

Pengendali Real, Yunus Aliff berkata : “Ia kemenangan yang berhak buat kami, kami sepatutnya menang dengan jaringan lebih besar. Kami juga dinafikan sepakan penalti yang jelas. Alhamdulillah, kemenangan yang penting untuk moral pemain. Saya gembira terutama melihat prestasi Syamsuri dan barisan defensif yang cemerlang dalam kesemua empat perlawanan setakat ini.”   

No comments: