Kehadiran Presiden Real Mulia FC, YAM Tengku Fahad
Mua’adzam Shah ke gelanggang latihan pasukan buat pertama kali, menyuntik
keyakinan tambahan di kem RMFC untuk tampil memberi aksi terbaik dalam baki lima
perlawanan terakhir Liga FAM – bermula dengan aksi menentang Felcra FC Ahad
ini.
Tengku Fahad, yang turut didaftarkan sebagai pemain
RMFC untuk beraksi di posisi penyerang, turun ke sesi latihan buat pertama kali
musim ini selepas cuti Aidilfitri dan pantas menjadi sensasi hangat di kalangan
pemain dan pegawai pasukan
Ketua pasukan, Fazli Zulkifli berkata, “Kehadiran
Tengku (Fahad) satu tonik bagi semua, sudah lama kami nantikan saat ini. Tengku
cepat mesra, cepat menyesuaikan diri dengan persekitaran di sini dan juga rakan
sepasukan.
“Beliau memberi semangat kepada kami semua agar
tidak berputus asa selagi saingan belum berakhir dan seorang yang cukup positif
terhadap pasukan ini. Kami akan berjuang sehabis baik demi membalas kepercayaan
yang diletakkan apatah lagi pada peringkat getir ini apa sahaja boleh berlaku.”
Pengendali RMFC, Yunus Aliff turut senada dengan
kaptennya itu apabila menyifatkan kehadiran Tengku Fahd adalah tepat pada
masanya di saat pasukan sangat memerlukan motivasi tambahan.
“Di saat ini kehadiran Tengku cukup penting untuk
pasukan. Dalam mana-mana pasukan sekalipun, semua pemain akan melipatgandakan
usaha apabila beraksi di hadapan presiden kelab mereka, kerana mereka mahu
menonjol dan membuktikan sesuatu. Pemain-pemain pastinya tidak mahu
mengecewakan presiden mereka dengan mempamer aksi hambar,” ujar Yunus.
Di sebalik ketinggalan lima mata di belakang
pendahulu, Perlis, Yunus berpendapat persaingan memburu satu slot dari Kumpulan
A untuk beraksi di Liga Perdana 2016 masih terbuka kerana beliau percaya Perlis
ketika ini berada dalam tekanan untuk mengekalkan prestasi cemerlang dan akan
melakukan kesilapan.
“Perlis sebuah pasukan yang bagus, mereka begitu
cemerlang sepanjang 13 perlawanan yang lepas, belum tewas dan merupakan pilihan
utama ketika ini. Saya kagum dengan prestasi mereka tetapi saya tidak mahu
fikir pasal Perlis, yang penting adalah Real Mulia.
“Tiada guna kami harap Perlis cicirkan mata jika
kami sendiri tidak beraksi di tahap yang baik. Kami perlu tingkatkan prestasi
dan menang semua perlawanan. Tiada tekanan bagi kami kerana kami underdog,
Perlis yang tertekan dan tekanan ini akan sebabkan mereka cicirkan mata.”
Ahad ini, Real Mulia akan bertandang ke Stadium
Sains Sukan UM untuk menentang Felcra FC manakala Perlis akan bertandang ke
Kuala Berang untuk menentang Hanelang FC.
No comments:
Post a Comment