Tatkala tinggal hanya 4 perlawanan lagi sebelum aksi
Kumpulan A Liga FAM 2015 melabuhkan tirai, ianya kini menjadi pertarungan dua
penjuru antara bekas juara Piala Malaysia Perlis dan pendatang baru, Real Mulia
FC untuk memburu tiket ke Liga Perdana 2016.
Pada hari yang menyaksikan Perlis mengukuhkan
cengkaman di tangga teratas menerusi kemenangan 2-0 ke atas Hanelang FC, Real
Mulia bimbingan Yunus Aliff mengekalkan jurang lima mata di antara kedua-dua
pasukan dengan menang 2-1 ke atas Felcra FC.
“Ia kemenangan penting bagi Real, kita dapatkan gol
awal tetapi kita benarkan mereka bangkit dan ia hampir menghukum kita. Selepas
mendahului dua gol, kita sepatutnya membunuh terus perjuangan Felcra tetapi
kita leka dan memberi ruang kepada mereka untuk kembali dalam permainan.
“Syamsuri menggunakan pengalamannya untuk
menyelamatkan kita. Kita sudah berada di fasa getir dan perlu kekalkan momentum
ini, tiada ruang untuk buat silap lagi,” ujar Yunus.
Real Mulia yang berdepan masalah ketumpulan penyudah
sepanjang saingan musim ini, tampil garang apabila penyerang yang dibawa masuk
pada April, Saufie Hamid meledak gol hanya 75 saat selepas permainan bermula
dan menambah satu lagi jaringan pada minit ke-10 untuk mendahului selesa 2-0.
Meskipun menguasai aksi babak pertama dengan
merencana beberapa gerakan serangan menarik, Real Mulia gagal menambah jaringan
dengan dua percubaan masing-masing menerusi Saufie dan Zulkifli Affendi Zakri
dinafikan Muhamad Amirul di gawang Felcra.
Ketika separuh masa pertama dilihat hampir tamat
dengan jaringan 2-0, kelekaan barisan pertahanan membenarkan Muhamad Shafiq
menanduk masuk gol tunggal Felcra hasil hantaran sepakan sudut.
Real Mulia akan menentang Megah Murni FC Ahad
depan, manakala Perlis akan berdepan UKM FC namun detik penentuan sebenar sudah
tentunya apabila Real Mulia dan Perlis bertembung sesama sendiri pada 16 Ogos
depan di Kangar.
No comments:
Post a Comment