Tuesday, May 7, 2013

Taj : Saya perlu berada pada prestasi terbaik

Kejayaan menundukkan T-Team minggu lalu meletakkan Angkatan Tentera Malaysia kembali pada landasan memburu gelaran Liga Super buat julung kalinya musim ini.

ATM yang kini mengekori Lions XII dengan satu mata boleh meneruskan buruan terhadap pendahulu dengan pungutan tiga mata menentang Johor Darul Takzim malam ini di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi.

Pertembungan sebelum ini berakhir 2-2 di Stadium Larkin dengan pertahanan tengah, Amiridzwan Taj Tajudin menjaringkan gol sulungnya buat ATM dalam persembahan yang menobatkannya sebagai pemain terbaik perlawanan.

Taj. Foto : MediaATM
“Saya masih ingat jaringan itu, yang pertama saya buat ATM ketika berdepan Johor Darul Takzim sebelum ini. Selain menjaringkan gol sulung, saya turut dinobatkan sebagai pemain terbaik perlawanan.

“Ia adalah tugas sukar berdepan Johor yang dibarisi ramai pemain bintang, tetapi ATM turut memiliki barisan bintang tersendiri,” kata pemain tinggi lampai berusia 26 tahun itu.

Pemain kebangsaan yang berasal dari Kelantan ini turut mengakui dirinya perlu berada pada tahap prestasi terbaik untuk mengekang asakan pemain import baru, Leonel Nunez dari Argentina dan Andrezinho dari Brazil.

Sejak masuk menggantikan wira Euro 2008 buat Sepanyol, Daniel Guiza pada tempoh perpindahan, penyerang bertubuh gempal, Nunez sudah menjaringkan tiga gol dalam dua perlawanan.

“Saya akui, saya perlu berada pada tahap terbaik untuk mengekang Nunez yang berada pada tahap prestasi terbaik sejak menyertai Johor. Kami tidak boleh sesekali leka seandainya tidak mahu berdepan nasib sama seperti Selangor dan Pahang sebelum ini,” tambahnya.

No comments: