Wednesday, May 8, 2013

Ejai selamatkan ATM

Artikel disumbangkan Harris Rajahdin yang juga pemegang saham Suara Sukan, beliau merupakan bekas wartawan Berita Harian yang kini Pegawai PR di Universiti Malaya selain berkhidmat bersama Jabatan Media ATM yang dikendalikan Shekhinah PR.

Pendahulu carta penjaring, Marlon Alex James meledakkan dua gol untuk mengekalkan Angkatan Tentera Malaysia dalam buruan gelaran Liga Super menerusi kejayaan 2-0 keatas barisan berbelanja besar, Johor Darul Takzim.

Penyerang tinggi lampai kelahiran St Vincent & Grenadines itu yang jauh mendahului dalam senarai Kasut Emas menanduk masuk hantaran lintang Bruno Sebastian Martelotto pada minit ke-55.

foto : mediaATM
Ia adalah jaringan ke-15 Marlon musim ini, disusuli dengan gol keduanya lapan minit kemudian apabila melepaskan diri daripada kawalan dalam kotak penalti sebelum merembat kencang ke penjuru gawang.

Drama tercetus, dua minit susulan itu selepas pelawat dianugerahkan penalti berikutan kesilapan pemain muda, Affize Faisal Mamat menjatuhkan Norshahrul Idlan Talaha dalam kawasan bahaya.

Peledak bertubuh gempal, Leonel Nunez mengambil sepakan itu namun Ejai meneka tepat untuk mengekalkan kelebihan dua gol The Gladiators.
ejai cemerlang. foto : mediaATM
Tiga mata itu kini menyaksikan ATM kekal satu mata dipisahkan dengan pendahulu, Lions XII yang meraih kejayaan 2-1 ke atas Terengganu pada aksi yang dilangsungkan sebelah petang.
“Fokus bukan terarah kepada saya tetapi persembahan pasukan, tidak penting sama ada saya atau pemain lain yang menjaringkan gol,” kata Marlon.


“Kami perlu kekal positif dan terus berharap bahawa kami mampu mengekalkan diri dalam buruan Liga Super,” tambahnya.

No comments: