27 e-mel Suara Sukan terima, dari tempoh 12 malam Isnin, hinggalah ke 12 tengah hari tadi, iaitu dalam tempoh 12 jam, manakala jumlah keseluruhan e-mel yang belum sempat dibaca sejak 7 April lalu, adalah sebanyak 73 e-mel. Tidak ketinggalan, e-mel daripada atlet (7) dan bekas atlet (4).
Rata-ratanya berkenaan banyak isu sukan tempatan, 90 peratus adalah berkenaan bolasepak, manakala selebihnya tentang sukan-sukan lain. Yang positifnya, ramai menerima baik adanya Suara Sukan, kerana ia memaparkan laporan yang tiada pada mana-mana media lain, manakala pandangan negatif, ada yang berpendapat Suara Sukan pilih bulu, atau dalam kata lain hanya menulis tentang satu pihak sahaja.
Penulis, bagi pihak Suara Sukan, mengucapkan terima kasih atas pandangan, di mana penulis yakin ia akan membantu Suara Sukan lebih memahami apa bentuk laporan yang diinginkan pembaca. Misalnya ada yang mempertikai kenapa penulis asyik menulis tentang bola Kelantan, tulislah pasal Kedah, atau Selangor, atau pasukan lain, manakala ada juga yang bertanya kenapa hanya keluhan penyokong Kelantan sahaja disiarkan, adakah kerana penulis orang Kelantan.
Ingin penulis maklumkan, artikel yang ditulis pertamanya melihat kepada minat ramai, kalangan mana yang banyak meluangkan masa membaca dan berkongsi pandangan. Sama seperti stesen TV, berapa ramai antara anda akan menonton perlawanan Manchester United menentang Liverpool, dan berapa ramai akan menonton Wigan menentang Everton? Berapa ramai nak baca tentang sukan Golf, dan berapa ramai nak baca tentang Bolasepak. Itu sebagai contoh.
Justeru itulah, Suara Sukan mewujudkan ruangan e-mel anda, di mana anda boleh menyuarakan apa sahaja pandangan, pendapat, cadangan berkaitan sukan tanah air, sebab itulah ia dipanggil Suara Sukan Anda. Selagi belum menerima cadangan, artikel yang ditulis adalah mengikut minat ramai, tetapi sebaik pandangan atau sebarang e-mel diterima, ia akan segera disiarkan sepertimana e-mel seorang atlet berkenaan kebersihan asrama Casa 3 MSN, tempoh hari.
Justeru, kalau anda sebagai pembaca/peminat sukan/atlet/bekas atlet ada pendapat, segeralah beritahu, insyaAllah akan dipaparkan, sekali lagi diingatkan, Suara Sukan adalah laman untuk semua, tiada diskriminasi, tiada pilih bulu, tiada double standard.
Terima kasih.
No comments:
Post a Comment