Saturday, April 2, 2011

Kejutan Annuar : Pra Olimpik Di Kota Bharu?


Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia, Tan Sri Annuar Musa yang juga Presiden Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA)mahu perlawanan Kelayakan Olimpik Pusingan Kedua yang dijadual berlangsung di Malaysia 23 Jun depan, diadakan di Stadium Sultan Muhammad Ke-4, Kota Bharu.

Suara Sukan cuba mendapatkan pengesahan daripada Tan Sri Annuar sendiri, namun sehingga artikel ini ditulis beliau masih gagal dihubungi, namun menerusi kemaskini status di Facebook beliau, Annuar berkata KAFA akan mengemukakan cadangan dan permohonan untuk menjadikan hasrat itu sebagai realiti.

“Saya akan cuba, jurulatih Ong Kim Swee bersetuju dan saya telah minta Dato Affandi (Hamzah) susuli..”, tulisnya.

Perlawanan antara Skuad Olimpik Malaysia dan Lubnan, pasukan di ranking ke 169 dunia dijadual berlangsung secara dua peringkat pada 19 dan 23 Jun, dengan venue yang kebiasaannya menjadi pilihan untuk menganjurkan perlawanan antarabangsa di Malaysia, adalah Stadium Nasional Bukit Jalil, Stadium Shah Alam, Stadium Bolasepak Cheras dan Stadium Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MBPJ).

Dan untuk mengukuhkan peluang Kota Bharu dipilih sebagai venue, Annuar berharap segala usaha membaikpulih stadium dapat dilaksanakan pihak Perbadanan Stadium.

“Saya harap Perbadanan Stadium beri kerjasama baiki segera Bilik Persalinan dan Bilik Media, dan mula jaga padang dengan baik sementara ada masa, harap semua sokong usaha bersejarah ini..” tambah Annuar lagi.

Jika perlawanan menentang Lubnan diadakan di Kota Bharu, maka negeri Kelantan yang rakyatnya dikenali sebagai ‘gila bola’ bukan sahaja mencipta sejarah baru SSM4, dalam masa sama dijangka mencipta satu lagi fenomena baru bolasepak tanah air.

1 comment:

Abe Syah said...

Sekiranya anda ingin melihat bolasepak malaysia melangkah lebih tinggi cubalah idea ini.... INSYAALLAH... Penyokong The Red Warriors sentiasa bersedia bersama pamain malaysia, menggunakan 'naluri pembunuh' yang di ajar Alex Ferguson beberapa tahun lalu...