Monday, April 4, 2011

Khairul Fahmi Lebih Serasi Bersama Rizal, Farisham


Musim lalu, barisan pertahanan Kelantan mencipta rekod selaku pertahanan paling ampuh dengan hanya melepaskan 14 gol dalam 26 perlawanan Liga Super, jauh lebih baik berbanding musim sebelumnya (2009), yang mana menyaksikan pertahanan The Red Warriors melepaskan sejumlah 36 gol.

Ia juga rekod pertahanan terbaik sejak Liga Super diperkenalkan pada 2004, meskipun Negeri Sembilan juga hanya melepaskan 14 gol ketika mereka menjuarai Liga Super pada musim 2005/2006, namun harus diingat ketika itu hanya 8 pasukan yang bertanding.

Nama penjaga gol sensasi negara, Khairul Fahmi Che Mat pastinya disebut sebagai tonggak utama, apatah lagi gandingan mantapnya bersama barisan pertahanan yang pada ketika itu diterajui Azizi Mat Rose (kini T-Team) berjaya membentuk pertahanan ampuh yang cukup disegani.

Segalanya bermula sekadar satu kebetulan buat Khairul Fahmi, apabila satu kesilapan Syed Adney Syed Hussin ketika menentang Kedah, memaksa B.Satianathan mencari penjaga gol yang lebih konsisten aksinya.

Khairul Fahmi membalas kepercayaan itu, dan kini diangkat sebagai wira pasukan malah nama wajib dalam kesebelasan utama, setiap kali Kelantan beraksi. 

Ketika dihubungi Suara Sukan beberapa hari lalu, nyata Khairul Fahmi mudah dibawa berbicara dan berkongsi pandangan. Bagi Khairul, beliau senang bekerjasama dengan mana-mana pemain, asalkan pemain itu berdisiplin, dan mampu berkomunikasi baik dengannya. 

Tahun lalu, selain Azizi, pemain yang sentiasa bergandingan di benteng pertahanan adalah Rizal Fahmi Rosid, S.Subramaniam, Farisham Ismail, manakala Zairul Fitri Ishak dan Dausu Jamaludin di kiri-kanan pertahanan. 

Rizal Fahmi, pertahanan mantap
Ditanya sama ada beliau merasai ketiadaan Azizi, Khairul Fahmi berkata ia bukan satu masalah besar buatnya, kerana adalah menjadi tanggungjawab seorang pemain untuk mencipta gandingan terbaik bersama mana-mana pemain yang diturunkan jurulatih, malah tidak menafikan lebih serasi bersama Rizal dan Farisham yang menjadi pilihan utama Dato’ M.Karathu ketika ini.

Khairul juga menafikan aksi kurang menjadi sejak kebelakangan ini, apabila bolos 5 gol dalam 4 perlawanan terakhir bukan disebabkan kegagalan berkomunikasi baik dengan pertahanan, sebaliknya dengan merendah diri, ini jawapan diberikannya. 

“Biasalah bang, kesilapan biasa berlaku, penjaga gol Brazil pun susah nak kekal rekod tanpa bolos, yang penting saya cuba yang terbaik, kalau tugas saya jaga gol, kena ingat tugas striker adalah skor gol, ia adalah perkara biasa..”, jelasnya.

Selepas mengharungi 8 perlawanan liga musim ini, Kelantan hanya berjaya mengekalkan rekod tanpa bolos dalam 3 perlawanan iaitu ketika menentang Selangor, Negeri Sembilan dan Kuala Lumpur, dan jika mahu merealisasikan hasrat menjulang Liga Super buat pertama kali, sekali lagi benteng terakhir TRW perlu mempamerkan aksi terbaik mereka, sepertimana tahun lalu.

Kelantan akan turun menentang T-Team pada Selasa, di mana tiga bekas pemain Kelantan beraksi bersama pasukan itu, iaitu Indra Putra Mahyudin, Norfarhan Mohd, termasuk Azizi.

No comments: