Sunday, April 3, 2011

Sejenak Bersama Editor : Perak Meniti Zaman Kegemilangan


Kali terakhir mereka merasai nikmat bergelar juara adalah pada 2004, ketika menjulang Piala FA menewaskan Terengganu 3-0, seterusnya dua gelaran naib juara Liga Super pada 2005 dan 2006. 

Malah, Perak pernah bergelar kuasa bolasepak tempatan dengan menjuarai Piala Malaysia sebanyak 7 kali, muncul naib juara sebanyak 11 kali, sebelum rebah dek isu dalaman yang membawa kepada zaman kemerosotan bolasepak mereka sejak 6 atau 7 tahun lalu.

V.Saravanan, Khalid Jamlus, Indra Putra Mahyuddin, Syamsol Saad, Liew Kit Kong, Azizul Abu Hanifah, Chan Kok Heng, Ahmad Shahrul Azhar, malah ramai lagi bintang terkenal pernah menabur bakti bersama skuad Seladang, menyingkap semula era kegemilangan bolasepak mereka.

Kini, di bawah bimbingan Norizan Bakar, Perak meniti semula zaman cemerlang itu, setidak-tidaknya buat masa ini, apabila kembali meletakkan diri sebagai antara pencabar kejuaraan Liga Super dengan mempamer peningkatan mendadak.

Jika beberapa tahun kebelakangan Perak menyaksikan seorang demi seorang pemain meninggalkan pasukan, lain pula ceritanya musim ini dengan pucuk pimpinan baru Persatuan Bolasepak Perak (PAFA) berjaya menyelesaikan segala isu berbangkit yang lepas dan menyuntik keyakinan untuk menarik semula minat pemain menabur bakti bersama mereka.

Shahrulnizam Mustapha, Nasril Nordin, Akmal Rizal Ahmad Rakhli, Chan Wing Hong dan Shafiq Jamal adalah antara beberapa pemain yang mana sama ada berjaya dipancing, atau kembali menyarung jersi skuad seladang, dan nyata tindakan merekrut beramai-ramai pemain baru ke dalam pasukan membawa petanda positif buat Perak.

Kemenangan ke atas Felda United pada Sabtu, melonjakkan anak buah Cikgu Jan ke tangga ketiga, sekaligus mengekalkan status selaku satu-satunya pasukan belum tewas dalam saingan liga musim ini. 

Akmal ketika mewakili Kelantan
Akmal yang berjaya dipancing dari skuad juara Piala Malaysia, Kelantan, nyata tidak menunggu lama untuk memastikan kehadirannya dirasai, apabila muncul penjaring terbanyak pasukannya dengan ledakkan 4 gol ketika ini.

Dengan 16 mata, Perak ketika ini ketinggalan hanya 1 mata di belakang pendahulu bersama, Kelantan dan Selangor, sekaligus membayangkan betapa mereka juga sama seperti Kelantan, mengintai kejuaraan pertama Liga Super.

Aksi seterusnya menentang Perlis pada 5 April, pastinya Perak mahu melebarkan rekod tanpa kalah mereka kepada 9 perlawanan, namun dalam masa sama pastinya mengharapkan Kelantan yang bertandang ke K.Terengganu mencicirkan mata menentang T-Team.

No comments: