Melihat kepada tajuk artikel ini, pastinya ramai yang tertanya-tanya apakah artis popular tanah air, Heliza Helmi sedang dilamun cinta bersama bekas atlet, atau penulis tersalah eja nama personaliti pilihan Suara Sukan, Heliza Helmi dengan Helmi Eliza (penjaga gol Kedah). Dan, apa pula kaitannya seorang artis dengan arena sukan sehingga penulis menjadikan Heliza sebagai pilihan kali ini.
Sabar, Heliza Helmi masih bebas daripada sebarang gosip liar, dan ada sebabnya Suara Sukan menulis tentang Heliza Helmi, produk rancangan realiti televisyen, Akademi Fantasia musim ke-5.
Jika sebelum ini, gadis cantik manis berusia 25 tahun ini seringkali tampil sebagai penghias muka depan dan personaliti pilihan bagi majalah-majalah hiburan, kali ini beliau meluangkan sedikit masa menjawab beberapa soalan yang diajukan Wartawan Sukan.
Mungkin ramai yang tidak tahu, di sebalik kerjayanya sebagai seorang artis dan jadual harian yang begitu ketat memenuhi pelbagai undangan persembahan dan sebagainya, Heliza, gadis genit bermata bulat sebenarnya seorang yang suka menyumbang kepada kebajikan, termasuk kepada bekas-bekas atlet.
Tidak seperti sesetengah golongan artis lain, Heliza, lulusan Universiti Malaysia Sabah nyata seorang yang cukup merendah diri, malah penulis sendiri selesa berinteraksi dan berkomunikasi dengan Heliza yang peramah dan mudah mesra.
Ditanya apa yang mendorong Heliza berbakti kepada bekas atlet, Heliza berkata jasa dan pengorbanan bekas atlet amatlah besar dalam mengharumkan nama negara.
“Saya begitu berbangga dan kagum dengan bekas atlet Malaysia, kerana mereka sebelum ini banyak menyumbang ke arah kejayaan Malaysia di mata dunia."
“Teringin menyumbang kepada kebajikan mereka, InsyaAllah, kalau diizinkan oleh Allah swt, saya juga berhasrat untuk turut serta dalam menyumbangkan dalam aktiviti kebajikan sebegini mengikut kemampuan. Sumbangan kebajikan bagi saya tidak semestinya terletak pada sumber kewangan sahaja. Mungkin kita boleh sama-sama berkongsi tentang pengalaman dan motivasi bersama dan aktiviti aktiviti yang menarik yang boleh dilakukan bersama.” jelas pelakon yang popular dengan watak Cikgu Syuhada dalam filem Syurga Cinta ini.
Malah, Heliza turut memuji peranan dimainkan Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan, YAKEB sejak penubuhannya, di mana beliau berpendapat ia mempunyai pelbagai fungsi yang memberi manfaat kepada atlet dan bekas atlet negara.
“YAKEB sentiasa melaksanakan program yang sesuai sama ada bersama pihak kerajaan atau ataupun swasta dalam usaha untuk pengumpulan dana bagi membantu atlet, bertindak sebagai Pusat Sumber Strategik untuk atlet negara, membantu pembangunan pendidikan dan kerjaya melalui pembinaan dan pembentukan hubungan kerjasama yang erat antara YAKEB dengan institusi pengajian tinggi awam dan swasta”.
“Mereka juga mewujudkan peluang pembangunan kerjaya keusahawanan kepada Atlet Negara, melalui Koperasi Atlet Malaysia Berhad, dan yang paling penting menjaga kebajikan atlet, melalui skim-skim bantuan dan Insurans YAKEB”.
Mengenai sukan diminatinya, berbeza dengan kalangan rakan artis yang mengilai bolasepak malah berkahwin dengan pemain bolasepak terkenal seperti Rita Rudaini (Aidil Zafuan) serta Ayu Raudhah (Zaquan Adha), anak kelahiran Kuala Terengganu ini lebih menggemari sukan yang mana beliau boleh terlibat sama, iaitu Taekwondo, Go-Kart dan Badminton.
Ditanya soal jodoh, sama ada Heliza mungkin memilih rakan artis, atau mungkin juga pemain bolasepak atau atlet popular sebagai teman hidup, ini jawapan ringkas Heliza.
“Bagi saya berlandaskan agama, yang boleh membimbing saya menuju jalan Allah walau siapa pun dia”, jawabnya.
Heliza yang juga Boss Heliza Helmi Production, baru-baru ini tampil dengan single terbaru, ‘Helo’, ‘Cuma Aku’ dan ‘Kau Selamanya’ selepas 'Panggil Namaku' yang dilancarkan tahun lalu.
Kepada Heliza Helmi, semoga anda terus berjaya dalam bidang diceburi, dan niat murni anda menyumbang kepada kebajikan diredhai Allah.
2 comments:
helizaaaaaaaaaaa..aduuuuu cute, comey...aku suka sgt2 kat dia nih, geram sunguh...bgus ar da la comey, brhati mulia lak tuh, moga Allah berkati sgala amalan dia....luv u heliza mmuah mmuahh
barakallahu fik ya uhti! :-)
Post a Comment