Saturday, April 9, 2011

Terbuka Australia : Selangkah Lagi Untuk Choong Hann, Pei Tty & Eei Hui


Baru minggu lepas, Suara Sukan menulis laporan ekslusif tentang pemain badminton veteran negara, baca di sini, tentang peluang pemain ini menempah tiket beraksi di Kejohanan Dunia secara merit, yang mana bergantung kepada kemampuannya mempertahankan atau memperbaiki kedudukan rankingnya di tempat ke-24 ketika ini.

Dan, tahniah Suara Sukan ucapkan, perkembangan terbaru Choong Hann berjaya menempah aksi akhir pertamanya bagi musim 2011, apabila mara ke aksi akhir Kejohanan Badminton Grand Prix Terbuka Australia, selepas menundukkan lawannya Tommy Sugiarto.

Memang kejohanan ini bukanlah bertaraf Siri Super atau bertaraf empat atau lima bintang, namun pada usianya yang semakin lanjut, kejayaan Choong Hann yang berjaya layak ke final, di kejohanan yang turut menghimpunkan beberapa nama besar seperti Boonsak Ponsana, dan Nguyen Tienh Minh haruslah dipuji.

Ia pastinya detik paling mengembirakan buat pemain yang menjangkau usia 34 tahun ini, apatah lagi nyaris tersingkir seawal pusingan awal, apabila tewas kepada pemain tidak ternama dari Perancis, Mathieu Lo Ying Ping pada set pertama, sebelum bangkit menang dua set berikutnya.

Beliau menundukkan Takuma Ueda dari Jepun dan sebentar tadi, Tommy, straight set 21-16, 21-19 dalam laluannya ke final dan lawan yang menanti untuk menafikan kejuaraan pertama buat Choong Hann tahun ini, Sho Sasaki dari Jepun. Cabaran Sasaki tidak boleh dipandang enteng lebih-lebih lagi beliau menyingkirkan Hafiz Hashim, Nguyen, dan Chan Yan Kit dalam laluan ke final, namun satu kelebihan yang mungkin melegakan Choong Hann adalah lawannya itu dikerah beraksi tiga set dalam dua perlawanan terakhir.

Apa sekalipun keputusannya, tahniah buat Choong Hann kerana berjaya membuktikan kudrat anda masih berbisa, dan semoga berjaya untuk perlawanan akhir esok.

Selain Choong Hann, Malaysia juga mempunyai wakil dalam acara beregu wanita di final esok, apabila bekas pasangan nombor satu dunia, Wong Pei Tty / Chin Eei Hui mara selepas menundukkan Suet Tse Ying / Lok Yan Poon dari Hong Kong. Lawan yang menanti mereka, pilihan keempat dari Jepun, Matsuo Shizuka / Mami Naito.

Sama-sama kita doakan kejayaan mereka.

No comments: