Monday, April 4, 2011

Penganjur Berdiam Diri, Apa Jadi Kejohanan Futsal King Of The Street?


Tempoh hari, penulis menerima beberapa e-mel, yang bertanyakan status penganjuran Kejohanan Futsal King Of The Street yang kononnya kejohanan bolasepak jalanan terbesar yang akan berlangsung selama tiga hari tanpa henti , pertama kali seumpamanya di Malaysia.

Penulis mengakui memang mengetahui tentang penganjuran kejohanan itu, yang pada mulanya dijadualkan akan berlangsung pada malam Tahun Baru di Dataran Putrajaya, tetapi kemudiannya ditunda kepada 4 Mac sebagai memberi peluang kepada penganjur,  Pertubuhan Pembangunan Belia Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (YOUTH) membuat persediaan lebih kemas dan juga mencapai sasaran penyertaan 5000 pasukan yang ditetapkan.

Malah, penulis juga sebenarnya bertindak sebagai ejen tidak rasmi yang membantu dari segi promosi, publisiti dan liputan media, justeru penulis faham mengapa isu ini diajukan kepada Suara Sukan.

Persoalan tercetus apabila kejohanan yang dikatakan mempertandingkan empat kategori, iaitu terbuka lelaki dan wanita, lelaki bawah 18 tahun serta lelaki bawah 12 tahun ini, seterusnya mengintai ruang mencatat nama dalam ‘Malaysia Book Of Records’ tidak dianjurkan sepertimana diwar-warkan, sehingga menimbulkan keraguan di kalangan peserta yang telahpun mengisi borang pendaftaran, selain mereka yang berminat untuk mengambil bahagian.

Apatah lagi,  sepanjang promosi tidak seberapa pihak penganjur, mereka turut menyatakan dua lagenda bolasepak Liga Perdana Inggeris, Ian Rush, dan Robbie Fowler akan turut memeriahkan kejohanan tersebut, yang mana kenyataan media tersebut ditulis oleh penulis sendiri.

Penyertaan pula dikatakan turut dibuka kepada pasukan dari luar negara, dengan harapan mesmastikan sasaran mengumpul lebih 20,000 belia dalam satu masa di Dataran Putrajaya dapat direalisasikan, namun semuanya sekadar indah khabar dari rupa.

Cubaan penulis berulang kali menghubungi Yang Dipertua YOUTH, Mohd Irwan Rizal untuk mendapatkan penjelasan juga gagal, manakala pertemuan yang cuba diatur juga bagaikan mahu dielak. Facebook “The King Of Street” juga tidak dikemaskini.

Yang amat dikesali, tindakan YOUTH yang seolah-olah lepas tangan tanpa memberi sebarang maklumbalas perkembangan terkini, sehingga ia menjejaskan nama promoter-promoter dan sukarelawan yang mereka lantik. 

Penulis sendiri meskipun tidak menerima apa-apa bayaran mahupun mempunyai kontrak dengan penganjur, sentiasa membuat panggilan atau setidak-tidaknya menghantar SMS, namun tidak pernah berbalas. Perjumpaan terakhir adalah sekitar pertengahan Februari, namun pada ketika itu keputusan sama ada kejohanan diteruskan atau tidak belum dibuat.

Terbaru, seorang rakan yang turut sama terlibat dengan penganjuran kejohanan ini, berkata kejohanan ini telah ditunda dan akan diadakan pada Hari Belia: Himpunan Sejuta Belia yang dijadual berlangsung pada penghujung bulan Mei.

Jika benar, mungkin ia satu usaha lebih baik kerana lebih ramai belia berkumpul pada hari tersebut, tetapi apa salahnya sekiranya YOUTH sendiri tampil menjelaskan keadaan atau situasi sebenar, sama ada ianya  ditunda, ditangguhkan, atau telah dibatalkan terus, kerana situasi seperti ini hanya menjejaskan nama anda sebagai penganjur, serta imej mereka-mereka yang terlibat dengan anda, malah mungkin menimbulkan keraguan di kalangan penaja.

Penulis sendiri sebagai individu bertanggungjawab menjaga promosi, publisiti dan media tidak tahu akan perkembangan, hinggakan panggilan daripada rakan-rakan media dan orang ramai di luar sana terpaksa dijawab “Maaf, saya tidak tahu”. 

Maaf di atas penulisan artikel ini sekiranya ia dianggap menjatuhkan imej YOUTH, namun ia sekadar satu ingatan, agar lebih berhati-hati di masa akan datang.

No comments: