Saturday, April 9, 2011

Selangor Tidak Mahu Berpaling Lagi


Selepas mengambil alih kedudukan pendahulu buat pertama kali dari musim ini, Gergasi Merah Kuning, Selangor tidak lagi mahu menoleh ke belakang, dalam usaha mereka mengekalkan  kejuaraan itu di Stadium Shah Alam buat musim ketiga berturut-turut.

“Kami di landasan tepat, kami berjaya atasi permulaan yang hambar, kini kami hanya perlu lakukan yang terbaik, namun kami sedar cabaran pasukan lain mesti sengit, yang penting kami fokus..”, jelas K.Devan ketika dihubungi Suara Sukan.

Tambah Devan, Selangor tidak akan memandang enteng cabaran mana-mana pasukan, dan ianya penting jika tidak mahu hasrat merangkul 3 piala berkecai sekali lagi. Selangor melayan kunjungan pasukan kelab, T-Team di Stadium Shah Alam malam ini, dan kemenangan bakal menyaksikan Selangor terus mendominasi kedudukan liga dengan kelebihan 1 mata.

Selepas tewas perlawanan pertama kepada Kelantan Januari lalu, Selangor bangkit mencatat 6 kemenangan dan 2 seri, sekaligus mengekalkan rekod tanpa kalah dalam 12 perlawanan (termasuk saingan Piala FA).

Jika pada awalnya K.Devan mengakui terasa akan ketiadaan penyerang berkaliber, Safee Sali yang berhijrah ke Pelita Jaya, kini beliau sudahpun mempunyai pilihan pemain lain untuk mengisi posisi tersebut, malah pastinya lega, beberapa pemain di posisi lain seperti Amri Yahya dan Amirulhadi Zainal mula menampakkan sentuhan penyudah berkesan.

Apapun, Devan enggan mendabik dada, dan berpendapat masih ada kelemahan perlu diperbaiki, jika kedudukan ketika ini mahu dikekalkan sehingga penghujung musim.

No comments: