Sunday, April 17, 2011

Annuar Nafi Nasib Karathu Ibarat Telur Di Hujung Tanduk


Hilang sabar dengan prestasi turun naik Kelantan yang menyaksikan mereka bukan saja kehilangan status pendahulu, malah turut gagal membuktikan mereka layak dilabel pencabar kejuaraan, Presiden KAFA, Tan Sri Annuar Musa memberi bayangan betapa kedudukan jurulatih, Dato’ M.Karathu ketika ini berada dalam bahaya andai gagal menghasilkan keputusan positif dalam beberapa perlawanan akan datang.

Annuar nyata kecewa melihat prestasi terkini Sang Kijang, dan mahu Karathu lebih aggresif dan kreatif dalam soal taktikal, dan ketika dihubungi  Suara Sukan, Annuar pantas menafikan kedudukan Karathu dalam bahaya dan menjelaskan semuanya kekal seperti biasa, cuma cara sahaja yang berubah.

Namun melalui kenyataan dipetik dari laman facebook beliau, selain memberi kata dua kepada pemain, Annuar turut menulis bekas jurulatih, B.Sathianathan akan turut membantu dalam penyusunan taktikal pasukan selepas ini, sekaligus menimbulkan persoalan mengenai posisi Karathu.

“Baru habis jumpa pemain dan semua pegawai, PRESTASI TRW MENGECEWAKAN SAYA, ketiadaan Syakir, Norshahrul dan Daudsu jelas menjejaskan kita namun itu bukan alasan. Pemain nampak complacent dan prestasi menurun di tengah musim, ini yang saya bimbangkan sejak awal musim, ruang memperbaiki semakin sempit..”.

“Semua pemain berikrar akan bangkit lebih kuat mulai game akan datang, sepakat untuk perbaiki kelemahan diri dan pasukan. Pemain dan pegawai bersetuju untuk mengamal kid disiplin lebih ketat dan fokus. Pengurus akan lebih hands-on dan coach lebih aggresif dan kreatif terutama hal taktikal. SATHIANATHAN DAN KARATHU BERGABUNG SUSUN TAKTIKAL..”, tegasnya. 

Annuar nyata kecewa melihat prestasi terkini Sang Kijang, dan mahu Karathu lebih aggresif dan kreatif dalam soal taktikal, agar dapat memulihkan semula reputasi mereka yang tercalar teruk, apabila jatuh 3 anak tangga ke tangga ke-4, dalam tempoh kurang sebulan, selain dibelasah Perak 0-4 minggu lalu.

Ekoran keputusan seri menentang pasukan di tangga kedua tercorot, Sabah pada Sabtu, Kelantan kekal di tangga keempat, namun ia juga bermakna mereka hanya mampu mencatat 2 kemenangan dari 6 perlawanan terakhir liga, tewas 3 perlawanan – situasi hampir sama dilalui kelab gergasi Liga Perdana Inggeris, Chelsea, beberapa bulan lalu.

Malah, Annuar sebelum ini lantang mempersoalkan profesionalisme pemainnya, yang dilihat tidak menunjukkan aksi setimpal gaji besar yang diterima.

“Kelantan perlu berhati-hati. Pasukan berstatus Elit dan pemain bintang mula menunjukkan penurunan prestasi. Pemain bergaji mahal mula menunjukkan ketidaupayaan pada tahap setimpal. Semuanya gara-gara profesionalisme yang rendah..”.

Maklumbalas diterima SS menerusi e-mel, SMS, dan pemantauan di laman kelab penyokong, rata-ratanya jelas tidak begitu gemar dengan taktikal, serta formasi 4-5-1 Karathu, selain pemilihan barisan pemain yang dilihat tidak begitu meyakinkan.

Malah, ramai di antara mereka juga mahu Kelantan kembali kepada corak permainan berdisiplin tinggi sepertimana ketika di bawah bimbingan Sathia sejak dua musim lalu. 

Suara Sukan merasakan tiada salahnya peminat mahu melihat pasukan mencapai kejayaan besar sepertimana diidamkan sekian lama, namun dalam masa sama ingin menekankan bahawa jurulatih bertaraf dunia sekalipun belum dijamin mampu membawa kejayaan besar kepada pasukan jika aspek lain yang perlu diberi penekanan seperti disiplin, motivasi, nutrisi, latihan, fokus dan komitmen pemain sendiri ‘hancur’.

No comments: