Sunday, April 3, 2011

Personaliti Ahad SS : Wong Choong Hann, Bukan Sebarang Veteran


Pada usianya yang menjangkau 34 tahun, Wong Choong Hann, nama yang cukup sinonim di arena badminton tanah air suatu ketika dahulu, masih menyimpan hasrat untuk meraih kejayaan besar sebelum menoktahkan kariernya sebagai seorang pemain badminton.

Choong Hann, mungkin tidak begitu popular pada hari ini, ekoran publisiti besar-besaran diberi kepada rakannya, Datuk Lee Chong Wei, malah rekod kejuaraan dimenanginya jelas tidak setanding pemain nombor satu dunia itu.

Memulakan kariernya pada 1991 di Kejohanan Terbuka Malaysia, Choong Hann hanya berjaya mengecap kejayaan pertama pada 1997. Malah rekod penampilannya di Kejohanan Piala Thomas bersama skuad negara, sekadar menyaksikan gelaran naib juara pada 2002 manakala dua penampilan di temasya Olimpik gagal melepasi pusingan 16 terakhir.  

Namun, jangan dilupa beliau yang mengambil keputusan keluar dari skuad negara pada 2008 dan beraksi sebagai pemain bebas (professional), masih merupakan satu-satunya pemain negara yang pernah muncul naib juara Kejohanan Badminton Dunia, rekod mengagumkan yang Chong Wei sendiri belum pernah kecapi sehingga kini.

Pemenang Pingat Emas Sukan Komanwel 1998 ini, yang ketika ini berada di ranking ke 24 dunia, ketika ditanya Suara Sukan, berkata pada usia veterannya ini, beliau hanya mahu terus beraksi baik dan tidak memasang impian besar seperti menjuarai mana-mana kejohanan yang disifatkannya mustahil untuk dilakukan.

“Saya tidak terlalu ghairah mengejar kejuaraan, saya sedar status saya, saya hanya mahu terus bermain, kekal cergas, namun kalau ada rezeki saya pastinya mahu menang, ia satu kebanggaan buat saya..”, jelas Choong Hann.

Andai berjaya menempah tiket beraksi di Kejohanan Badminton Dunia di London, yang berlangsung dari 8-14 Ogos depan, pemain kidal ini bakal mencipta rekod pemain negara paling banyak beraksi di kejohanan berprestij itu, dengan 7 penampilan secara keseluruhan.

Beliau muncul naib juara pada 2003, tewas kepada Xia Xuanze, 6-15, 15-13, 6-15, dan peluangnya untuk sekali lagi beraksi di Kejohanan Dunia mungkin cerah sekiranya berjaya mengekalkan rankingnya ketika ini, kerana setiap negara yang bertanding boleh menghantar maksima 3 wakil, dengan syarat kesemua mereka berada dalam kedudukan 24 terbaik dunia.

Kecederaan seringkali menjejaskan prestasinya
Ini juga mungkin dijangka menjadi peluang terakhir buat Choon Hann beraksi di Kejohanan Dunia, kerana ia tidak akan dilangsungkan pada tahun berlangsungnya Sukan Olimpik, manakala ketika kejohanan itu berlangsung pada 2013, beliau mungkin sudahpun mengantung raket.

Pencapaian terbaiknya tahun ini adalah muncul semi-finalis di  Terbuka Switzerland baru-baru ini, mara selepas menewaskan Jan Jorgenson dari Denmark sebelum tunduk kepada Park Sung-Hwan, dan satu-satunya kejohanan sebelum kelayakan ke Kejohanan Dunia secara merit ditutup, adalah Terbuka Australia yang dijadual berlangsung minggu ini.

Beliau yang kini berlatih sendirian tanpa jurulatih, merupakan pilihan kelapan di kejohanan itu, dan Choong Hann yang juga pemain kedua terbaik negara selepas Chong Wei di sebalik perbezaan 23 anak tangga, berjanji memberikan yang terbaik untuk mara ke kejohanan dunia yang mana hanya 2 kali beliau terlepas pada 2006 dan 2007 gara-gara kecederaan, sejak penampilan pertama di Copenhagen 1999.

Ditanya apa perancangan selepas bersara, Choong Hann berkata terlalu banyak dalam pemikirannya namun buat masa ini mahu menumpukan terhadap usaha melahirkan jaguh badminton baru tanah air, melalui Pioneer Sdn.Bhd, yang dikendalikannya bersama bekas jagoan badminton tanah air – Lee Wan Wah, Chan Chong Ming dan Chew Eng. 

Apa sekalipun langkah diambil, selamat maju jaya buat Wong Choong Hann.

No comments: