Friday, April 1, 2011

Analisa : Kelantan 2-1 Harimau Muda, Pertahanan Harimau Pincang Tanpa Muslim, Kelantan Menang Di Sebalik Aksi Kurang Menyengat


Pening kepala Ong Kim Swee, melihat aksi longlai dan kurang meyakinkan barisan pertahanannya, menjadi punca utama kekalahan 1-2 kepada tuan rumah, Kelantan di Stadium Sultan Muhammad Keempat, Kota Bharu, sebentar tadi.

Selepas bola rembatan Solehin Kanasian yang membias kaki Fadhli Shas masuk ke dalam gawang sendiri kawalan Zamir Selamat, Kim Swee menyaksikan betapa kesilapan mudah pertahanan tengah, Ameer Saidin dihukum sebaiknya pemain diberi jolokan ‘Kelantan Ekspress’, S.Chanturu untuk gol kedua Kelantan yang seterusnya kekal sebagai gol pemisah antara kedua pasukan sehingga wisel penamat dibunyikan.

Malah, Kim Swee akui beliau menarik nafas lega apabila kesilapan demi kesilapan, atau lebih tepat kesilapan berulang di benteng terakhir yang turut membabitkan ‘mis-communication’ antara Zamir, Fadhli dan Ameer tidak membawa kepada tambahan jaringan kepada Sang Kijang.

Nyata ketiadaan pertahanan serba boleh Muslim Ahmad yang tersisih akibat kecederaan begitu dirasai Kim Swee, namun beliau tidak seharusnya menyalahkan benteng pertahanan semata-mata tatkala mereka turut mensesiakan beberapa peluang keemasan untuk menyamakan kedudukan di penghujung permainan, selepas Irfan Fazail merapatkan jurang pada minit terakhir babak pertama.

Di kem Kelantan, mereka pastinya meratapi kegagalan barisan hadapan diterajui Norshahrul Idlan dan Chanturu menyempurnakan deretan peluang terhidang selepas selesa mendahului 2-0 selepas hanya 25 minit permainan. 

Jurulatih The Red Warriors, Dato’ M.Karathu menegaskan menang besar atau menang tipis, yang penting adalah 3 mata yang diraih, meskipun beliau mengakui Chanturu terutamanya boleh meledak hatrik dan Kelantan bernasib baik dapat mencatat kemenangan seterusnya mengukuhkan cengkaman di tangga teratas, dengan 17 mata.

No comments: