Thursday, April 14, 2011

Hardi Jaafar : Perak Di Kemuncak Prestasi, Kami Tidak Gentar


“Setiap pasukan yang lawan dengan Selangor pasti akan memberi yang terbaik, kami dah biasa, memang Perak pasukan yang bagus, prestasi meningkat tahun ni, tapi nak gentar tu tak lah, kami sentiasa fokus..”, jelas pemain Selangor kelahiran Perak, Hardi Jaafar, menjelang aksi getir dua musuh tradisi, Selangor dan Perak, Sabtu ini.

Selangor, pendahulu Liga Super buat masa ini, berpotensi melebarkan jurang di persada liga kepada empat mata, andai berjaya menundukkan Perak – pasukan yang layak dilabel pasukan kejutan musim ini, yang mengekori rapat Selangor dengan hanya dibezakan 1 mata.

Ini juga pertama kali, sejak sekian lama, dua musuh lama ini bersaing pada kedudukan satu-dua, situasi yang sejak beberapa tahun kebelakangan ini lebih sinonim dengan pasukan Kedah, Terengganu, Kelantan, serta Selangor sendiri. 

Hardi bagaimanapun mengakui Selangor ketika ini masih sedang mencari rentak sebenar selepas permulaan hambar awal musim, yang menyaksikan mereka terlepas Piala Sultan Ahmad Shah, dan hanya berjaya merampas kedudukan pendahulu selepas minggu kelapan, di mana pendahulu sebelumnya, Kelantan ketika itu tewas kepada T-Team.

Beliau yang dianggap antara tonggak utama Selangor, selain Amri Yahyah, Safiq Rahim dan Amirulhadi Zainal, berkata peluang untuk Selangor meraih 3 mata penuh di gelanggang sendiri adalah tinggi, kerana Selangor sentiasa bersedia, dan sekiranya segala arahan jurulatih, K.Devan dituruti, tidak mustahil misi itu dapat direalisasikan.

Hardi, berasal dari Ipoh, pernah beraksi bersama pasukan negeri kelahirannya itu pada musim 2007/2008 sebelum berhijrah ke Selangor, dan menjelaskan sentimen negeri kelahiran tidak akan menjejaskan tumpuannya untuk memberikan aksi terbaik. 

Tambahnya, dalam bolasepak situasi berkenaan adalah perkara biasa, dan sebarang kritikan, ejekan, atau provokasi penyokong sekadar menjadikannya lebih bermotivasi dan bersemangat untuk terus berusaha membuktikan kemampuannya.

Pertemuan kedua-dua pasukan dalam saingan liga di stadium sama tahun lalu, menyaksikan Selangor menang 4-1, namun itu cerita lama, apatah lagi Perak ketika ini, berada di prestasi terbaik dan berkeyakinan tinggi selepas kemenangan menakjubkan 4-0 ke atas Kelantan.

Malah, kemenangan juga akan menyaksikan anak buah Norizan Bakar mengambil alih kedudukan teratas, dan mengintai ruang menamatkan pusingan pertama yang tinggal lagi 3 perlawanan selaku pendahulu.

1 comment:

Anonymous said...

ade lg 2 perlawanan... hrp maklum.. tq