Mendengar kata-kata jurulatih Harimau Muda, Ong Kim Swee yang mengatakan pasukannya berpotensi besar muncul pasukan pertama selepas Kedah (Liga) dan Negeri Sembilan (Piala Malaysia) untuk membawa pulang 3 mata dari Stadium Sultan Muhammad Ke-4, Kota Bharu, jurulatih Kelantan, Datuk M.Karathu tidak cepat melatah, sebaliknya sekadar tersenyum lebar.
Sedar ianya mainan psikologi yang dilancarkan Kim Swee bagi menjejaskan tumpuan barisan pemainnya, Karathu, mencabar skuad Harimau Muda, tidak sekadar memasang angan kosong, sebaliknya membuktikan mereka sememangnya berhak meraih 3 mata, dengan menewaskan Kelantan pada perlawanan membabitkan kedua-dua pasukan, malam ini.
Katanya, pasukan mana sekalipun tidak akan turun beraksi untuk tewas justeru beliau melihat ada relevannya Kim Swee mengeluarkan kenyataan sedemikian dan menyifatkan pemainnya perlu kuat dari segi mental khususnya apatah lagi tidak beraksi dalam aksi kompetitif hampir 12 hari.
Karathu berkata keampuhan barisan pertahanan diterajui Rizal Fahmi dan penjaga gol sensasi, Khairul Fahmi Che Mat adalah kunci utama kekuatan pasukannya, apatah lagi beliau nyata begitu kagum dengan prestasi cemerlang penjaga gol berusia 22 tahun itu, namun dalam masa sama mengharapkan Khairul Fahmi tidak terjejas dengan publisiti hebat media terhadapnya.
Katanya, Khairul Fahmi ketika ini di puncak prestasi namun dia bukanlah terlalu kebal sehingga tidak boleh dibolosi justeru mahu rakan di barisan pertahanan berkomunikasi baik dengannya dalam usaha memastikan misi meraih 3 mata penuh tercapai.
Karathu akur Harimau Muda pastinya turun memberi saingan sengit, namun menegaskan ianya bukan tugas mudah untuk mana-mana pasukan yang bertandang ke gelanggang keramat SSM4 membawa pulang walaupun 1 mata.
Setakat ini, daripada 4 pasukan yang bertandang ke Kota Bharu, hanya Terengganu berjaya membawa pulang 1 mata apabila berjaya mengikat Sang Kijang 1-1 manakala Johor Fc, Kuala Lumpur, dan Negeri Sembilan kesemuanya berputih mata, masing-masing tewas 1-4, 0-2 dan 0-3.
Skuad The Red Warriors tewas perlawanan liga terakhir, 0-2 kepada Pahang kira-kira 2 minggu lalu selepas merakamkan permulaan sempurna namun Karathu berpendapat ia langsung tidak mengugat moral di kem Kelantan yang kemudiannya bangkit menebus hampa dengan menyingkirkan Felda United 5-2 secara aggregat dari saingan Piala FA.
Skuad Harimau Muda pula mencatat keputusan seri 1-1 dalam 3 perlawanan terakhir mereka, dan masih mengekalkan rekod tanpa kalah dalam 5 perlawanan liga, tewas hanya sekali pada perlawanan pembukaan menentang Negeri Sembilan dan kemenangan ke atas Kelantan pada Jumaat bakal menyaksikan defisit mata dikurangkan kepada 2 mata, selain berkelebihan satu perlawanan dalam tangan.
No comments:
Post a Comment