Thursday, March 31, 2011

Kim Swee – Kota Bharu Bukan Gelanggang Keramat, Status Pendahulu Tekanan Buat Kelantan


Sehari selepas mendapat tahu siapa lawan skuad Olimpik negara pada Pusingan Kelayakan Olimpik, Ong Kim Swee dan barisan pemainnya sudahpun berada di Kota Bharu, menjelang pertembungan menarik Liga Super minggu ini, antara pasukannya Harimau Muda menentang Juara Piala Sumbangsih juga naib juara liga musim lalu, Kelantan.

Bakal turun beraksi di Stadium Sultan Muhammad Ke-4 pada Jumaat, Kim Swee nyata tidak terganggu dengan reputasi hebat skuad The Red Warriors di gelanggang  keramat mereka itu, sebaliknya berkeyakinan tinggi ‘anak harimau’ bimbingannya dapat menghadiahkan Kelantan kekalahan pertama di laman sendiri musim ini.

Bukan mahu memperlekeh skuad bimbingan Datuk M.Karathu, namun Kim Swee ketika dihubungi Suara Sukan menegaskan moral dan keyakinan pemainnya ketika ini berada di tahap tinggi, dan mahu mereka beraksi seolah-olah bermain di gelanggang sendiri, seterusnya mengegar SSM4 yang dijangka dipenuhi lebih 20 ribu penyokong tuan rumah. 

Kali terakhir Red Warriors tunduk di gelanggang sendiri, adalah kepada Negeri Sembilan dalam saingan Piala Malaysia musim lalu, dan skuad bimbingan Datuk M.Karathu ketika ini menerajui persada liga dengan hanya kelebihan jaringan ke atas dua pencabar terdekat, Felda United dan Selangor, yang mana kesemuanya mengutip 14 mata.
 
Kim Swee berkata kedudukan selaku pendahulu memberi tekanan besar kepada Kelantan, yang pastinya tidak mahu melepaskan cengkaman di tangga teratas, tatkala moral di kem Kelantan dilihat sedikit merudum ekoran kekalahan pertama kepada Pahang di Stadium Darul Makmur, kira-kira dua minggu lalu.

Menyentuh persiapan pasukannya, Kim Swee berkata Harimau Muda akan turun tanpa kelibat tiga tonggak utama – Muslim Ahmad, Faizal Muhamad dan Gary Steven Robbat yang cedera namun menegaskan itu tidak akan menjadi masalah, kerana beberapa pemain lain berpotensi mengisi kekosongan ditinggalkan tiga pemain itu.
Norshahrul, ayam tambatan Kelantan

Beliau yakin Kelantan akan sekali lagi mempertaruhkan ketajaman sentuhan penyudah penjaring terbanyak mereka, Norshahrul idlan Talaha untuk meledak gawang pasukannya, namun berpendapat barisan pertahanannya mempunyai ramuan diperlukan untuk menyekat pergerakan Norshahrul, apatah lagi kebanyakan pemain Harimau Muda pernah beraksi bersamanya. 

Harimau Muda ketika ini berada di tangga ketujuh Liga Super, 1 mata di belakang pasukan tangga keenam, Pahang dan 5 mata di belakang Kelantan.

No comments: