Saturday, April 16, 2011

Bicara Sabtu SS : Kelantan Tempang Layan Kunjungan Sabah?


Belum pun reda isu kemerosotan prestasi beberapa pemain utama, nampaknya Kelantan menghadapi masalah besar menyenaraikan kesebelasan utama terbaik menentang Sabah malam ini, apabila dijangka kehilangan beberapa lagi pemain ekoran masalah kecederaan mahupun kecergasan (match fit).

Dengan Khairul Fahmi Che Mat dan Badhri Razi (Piya) menjadi sasaran kritikan sebelum ini ekoran prestasi merudum, Kelantan bakal turun memulihkan reputasi dan keyakinan di kem mereka, tanpa kelibat Pemain Terbaik Liga Malaysia musim lalu, juga penjaring terbanyak mereka, Norshahrul Idlan Talaha, serta tonggak tengah, Shakir Shaari yang digantung 1 perlawanan selepas  mengutip tiga kad kuning.

Tatkala kedudukan Khairul Fahmi belum pasti apatah lagi Dato’ M.Karathu seolah cuba bermain psikologi mengatakan pemain itu akan direhatkan dan memberi ruang kepada ‘orang lama’, Shahrizan Ismail mengemudi gawang, pemain pertahanan Daudsu Jamaludin juga diberitakan masih merawat kecederaan, tatkala Piya sendiri belum cergas sepenuhnya.

Dengan Ramzul Zahini Adnan tersisih buat jangka panjang, Karathu nyata berdepan dilema, memilih pemain terbaik untuk mengalas cabaran, malah ramai penyokong mendesak beliau untuk akhirnya memberi ruang kepada beberapa pemain berpengalaman seperti Wan Rohaimi Wan Ismail, juga pemain muda berbakat besar, Nizad Ayub.

Wan Rohaimi, bekas pemain kebangsaan adalah anak jati Kelantan yang pernah menabur bakti bersama Terengganu, Pahang, Selangor Public Bank dan Johor FC sebelum kembali ke negeri kelahirannya.

Nizad pula sering memanaskan bangku simpanan namun tidak mustahil andai diberi ruang, pemain ini bakal menjadi duri dalam daging buat pasukan lawan, sepertimana dua gol dijaringkannya ketika menentang Felda Utd.

Kekurangan pemain simpanan serba boleh, sepertimana diakui Tan Sri Annuar Musa, Presiden KAFA nyata mengecilkan pilihan pemain yang ada bagi Karathu, dan beliau mungkin juga akan memilih menyenaraikan beberapa pemain Piala Presiden, antaranya Izuan Solahudin, dan Mohd Farhan Yaakob.

2 comments:

JustKelantanFA said...

InsyaAllah TRW menang malam ini..GKG..


http://bolakelateloni.blogspot.com

Alexis Aiman said...

insyaAllah =)