Thursday, June 23, 2011

Red Warriors Lambang Kemegahan Bolasepak Tanah Air


Pertama sekali, adalah ditegaskan bahawa artikel ini bukanlah bertujuan memperkecilkan peminat atau penyokong mana-mana pasukan lain, atau artikel yang bersifat ‘bias’, kenegerian kerana penulis adalah orang Kelantan atau sewaktu dengannya. Masing-masing ada kelebihan sendiri, bak kata pepatah ‘bercerita kecantikkan bintang, tidak perlulah kita memburukkan sang rambulan”, setuju?

Bermula daripada satu transformasi yang diilhamkan Presidennya, Tan Sri Annuar Musa, kini ‘kegilaan’ dan pembangunan bolasepak di Kelantan bukan sahaja dilihat sebagai suatu fenomena mengagumkan di kalangan peminat bolasepak tempatan, malah berjaya mengangkat nama The Red Warriors sebagai antara lambang kemegahan bolasepak tanah air di mata dunia.

Bukan sahaja dari segi pencapaian pasukan, yang berjaya melangkah ke 4 aksi final dalam tempoh tiga tahun ini, namun yang mengagumkan apabila melihat sambutan luar biasa dan tidak berbelah bahgi peminat setia mereka, setiap kali ‘Pahlawan Merah’ turun beraksi, baik di gelanggang sendiri mahupun gelanggang lawan.

TSAM, bapa pembangunan bola kelantan, foto, FB TSAM
Bukan mudah menghimpunkan puluhan ribu penyokong berlainan pendapat, berbeza agama, bangsa, prinsip, fahaman politik, dan latar belakang di satu tempat, pada satu-satu masa, bersatu memberikan sokongan - namun ianya berjaya dilakukan Stadium Sultan Muhammad Ke-4, Kota Bharu, atau di mana sahaja venue TRW beraksi.

Dan kemuncaknya, lihat sahaja aksi final Piala FA dan Piala Malaysia 2009, Final Piala Malaysia 2010, dan Final Piala FA 2011 baru-baru ini, bagaimana Lautan Merah memenuhi majoriti ruang stadium, menjadi saksi sejarah demi sejarah baru dirintis perwira mereka. 

Itulah kelebihan mereka, yang pastinya dicemburui peminat pasukan lain, malah sokongan padu ditunjukkan pada perlawanan persahabatan Malaysia menentang Myanmar (perlawanan bertaraf antarabangsa pertama di Kota Bharu buat kesekian kalinya), turut mendapat pujian pelbagai pihak, termasuk media tempatan. 

Usaha tanpa henti TSAM memartabatkan dan menjenamakan bolasepak Kelantan, seterusnya menjadikan KAFA sebagai sebuah entiti yang berdiri teguh, nyata berjaya menarik minat bukan saja di kalangan penaja, tetapi juga minat kelab-kelab ternama Eropah untuk mengadakan Klinik Bolasepak atau perlawanan persahabatan, membuktikan betapa TRW kini dipandang tinggi di mata dunia.

Malah, antara kenyataan dipetik daripada FB TSAM berbunyi :

“Cardiff City akan mengadakan Klinik Bolasepak bersama KAFA pada pertengahan Julai, satu pasukan jurulatih dan staff teknikal BLUEBIRD akan diterbangkan dari CARDIFF, dan akan berada di Kelantan beberapa hari..saya sudah muktamadkan perkara ini bersama Cardiff City, dan seorang arkitek kita akan Cardiff pada 28hb untuk tinjauan teknikal..”.

“Kita sedang merundingkan Kejohanan 3 Penjuru MASTERS. Kelantan All Warriors, MU Masters, Liverpool All Masters, selepas Piala Malaysia di SSM4. EPL Former Stars melalui agen mereka sudah menghubungi kita dan memaklumkan mereka teruja dengan suasana bolasepak Kelantan..”.

Klinik itu dimaklumkan akan diadakan pada 15 Julai, di mana 8 jurulatih Cardiff  akan mengendalikannya – sessi pagi untuk jurulatih manakala sessi petang untuk pemain dan ARMY. Manakala dua minggu sebelumnya iaitu pada 2 Julai akan berlangsung Karnival TRW Machang, yang dijangka dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Manakala untuk peminat Lembah Klang, Karnival TRW akan berlangsung pada 7 & 8 Julai, di Karangkraf Shah Alam, dan penganjuran akiviti sebeginilah menjadikan masyarakat luar lebih mudah untuk mengenali TRW.

Mohamed Salleh, bekas CEO LTDL
Dalam pada itu, bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Le Tour De Langkawi, Mohamed Salleh, yang juga anak jati Kelantan kelahiran Muring, antara yang turut menyatakan rasa terujanya melihat perkembangan ini, yang disifatkannya sebagai suatu yang seharusnya menjadi ikutan peminat bolasepak seluruh negara.

Katanya, dari sebuah pasukan picisan, yang mana bolasepak mereka pernah dilabel sebagai mundur, tiada prospek untuk maju, ditambah pula kegagalan pasukan itu meraih sebarang kejuaraan besar dalam sejarah 89 tahun bolasepak negara sebelum ini, persepsi itu berjaya diubah sekelip mata oleh TSAM dengan pelan pembangunan, serta struktur pentadbiran dan pengurusan cukup berkesan.

Jika dalam tempoh 15 tahun lalu, sukar untuk melihat seorang pemain Kelantan menyarung jersi kebangsaan, yang mana dimonopoli Pahang, Selangor, dan Kedah, kini sekurang-kurangnya 6 wakil Kelantan adalah pelatih skuad kebangsaan – Khairul Fahmi Che Mat, Norshahrul Idlan, S.Chanturu, Rizal Fahmi, Farisham Ismail dan terbaru, Shakir Shaari.

Tidak mustahil sekiranya setiap persatuan mampu hadir dengan pelan pembangunan tersusun, mantap dan berkesan, mereka juga boleh mengecapi apa yang diraih TRW pada hari ini.

8 comments:

Akif Mazlan said...

sow jah kawe berharap, Agar suasana di kelate ginih kekal sopmo sapa 2-3 puluh tahun lagi, dan sampai bilo2.

Anonymous said...

kawe suka artikel kupasan aiman yg ni...

Anonymous said...

memang terbaik artikel ni..
Tiada sebab pnykong team lain nak jealous sbb ianya adalah kebenaran.

Jika punya pengurusan yg bagus dan peminat setia di belakang, mna2 pasukn pun boleh berjaya mcm team Kelantan.

-ZP

kasimselamat said...

fenomena penyokong bolasepak tempatan, kehangatan ultras dan terbinanya laman web adalah bermula dari Kelantan, kalau ada yang sebelumnya pun ianya tidaklah seperti sekarang...tahniah buat TRW.

ibun_jogho said...

.."bercerita kecantikkan bintang, tidak perlulah kita memburukkan sang rambulan”.. Kemah ayat.

Kelantan melalui detik2 gemilangan kebelakangan ini. Ssungguhnya pnyokong manaruh harapan pnuh thadap pasukan (tmasuk pengurusan & playe).

Tiada yg lbh manis mlainkan dpt mlihat kebangkitan pasukan.

Dulu Kelate hanya hebat dgn pemain shaja sprt Halim, Hashim, Zahasmi, Nik Leh dll. Tp kini pemain & pasukan sama2 hebat.

Kalau dulu pandangan media massa thadap Kelantan hnya / lbh ttumpu kpd gelagat liar segelintir pnyokong, tp kini nmpaknya media terpaksa "mengalah" dgn kehebatan penyokong seiring dg khebatn pasukann

Cuma ada sdikit terkilan; masih ada lg pnyokong yg babil & tolol. Bbuih mulut kita mmbebel, puas kita nasihat, tp ada lg yg liar. Mudah2an kelakuan liar ini akan berakhir dgn pantas. Biar org luar tahu pnyokong Kelantan adalah pminat bola spak tmpatan yg teeeeerrrrrbaikk.

Buktikan kpd sebahagian media massa bahawa penyokong & pasukan Kelantan adalah yg terbaik di Malaysia...

Anonymous said...

Terbaik Aiman,semangat kawe baca artikel bemo..

Anonymous said...

kawe teruja baca artikel.. otometik BANGGA jadi anak kelate dan peminta TRW... adussss... terujanya saya

the sun said...

salam wbt

selain daripada attitude sebahagian kecil penyokong yang kena berubah setahap lagi, ada satu perkara lain juga yang saya mahu tgk dalam team TRW. Iaitu kita orang Islam, dan saya sangat berharap pihak pengurusan menggalakkan (mewajibkan) player TRW menutup aurat dengan baik.

kita berusaha, dan memohon pertolongan daripada Allah untuk menang, dan wajar juga kita mengikut segala ajaran yang telah digariskan.

Sukan dan Islam tidak pernah berpisah, malah harus sukan itu memperkenalkan lagi keindahan dan kesempurnaan Islam di mata khalayak umum.

sekian.