Friday, October 21, 2011

Wira Olimpik : Dato’ M.Chandran

Pertahanan kental dan kapten pasukan yang merupakan tonggak kejayaan Malaysia layak beraksi di Sukan Olimpik Munich 1972. Di zaman kegemilangan bolasepak tanah air pada penghujung 1960-an dan 70-an, Chandran berjaya meletakkan namanya sebagai antara ‘centreback’ terbaik Asia, malah kejayaan menyingkirkan Jepun dan Korea Selatan dalam laluan ke Munich 1972 turut dibantu aksi cemerlang barisan pertahanan dikemudi Chandran, serta ciri kepimpinan tinggi ditonjolkannya.

Benteng pertahanan negara nyata sukar ditembusi setiap kali Chandran beraksi. Beliau bukan sahaja tenang dalam mengawal dan mengkoordinasi benteng pertahanan mengikut situasi, malah boleh dilabel pemain serba lengkap dari segenap aspek - disiplin, komitmen, semangat juang, determinasi – maka tidak hairanlah beliau mampu meraih 163 kap antarabangsa, dalam penampilan selama 14 tahun bersama skuad kebangsaan. 

Peringkat awal kariernya bersama skuad negara dan Selangor - kuasa besar bolasepak tanah air ketika itu – Chandran tidak lebih sekadar pemain simpanan, namun aksi mantap dan konsisten setiap kali diberi peluang beraksi, berjaya meraih kepercayaan dan keyakinan jurulatih, untuk memberikannya peranan lebih besar, seterusnya menjadi calon wajib kesebelasan utama.

Chandran mula mewakili Malaya seawal usia 19 tahun beraksi di Piala Merdeka 1961 (Pestabola) – tahun yang sama Malaya meraih emas Sukan SEAP, seterusnya membantu skuad negara meraih gangsa Sukan Asia 1962 di Indonesia, juara Piala Merdeka pada 1963, dan 1973 (sebagai kapten), selain gelaran naib juara pada 1972, di mana beliau menjaringkan gol sendiri dalam kekalahan 1-2 Malaysia kepada Korea Selatan.

Chandran juga pernah tersenarai dalam skuad Asian All Stars yang tewas 2-6 kepada Arsenal pada 1968, dan membantu Malaysia meraih gangsa Sukan SEAP 1969, perak pada 1971 dan gangsa pada 1973, dan bersara sebagai pemain selepas membantu Malaysia meraih gangsa di Sukan Asia Tehran 1974 – yang kekal sebagai pencapaian terbaik hingga ke hari ini. 

Beliau kemudiannya bertindak selaku jurulatih Selangor selama 5 tahun, dan kejayaan cemerlangnya menjulang 4 trofi Piala Malaysia dalam tempoh itu, membawa kepada pelantikannya sebagai Ketua Jurulatih skuad negara pada 1982-1983 dan 1988. Beliau menerima Darjah Indera Mahkota Pahang, daripada Sultan Pahang yang membawa gelaran Datuk pada 2000, sebagai menghargai jasa dan sumbangannya kepada negara.

**dengan kerjasama Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan**

No comments: