Thursday, October 13, 2011

Failee Sandaran Norizan, Perlu Ulangi Magis 2008 Razali Umar

**Saingan Piala Malaysia 1998, Perak bimbingan Karl Heinz Weigang tewas 0-1 kepada Selangor pada aksi pertama, sebelum bangkit mencatat kemenangan 3-1 pada perlawanan kedua, hasil jaringan emas Laszlo Repasi, membolosi pertahanan ampuh Selangor diterajui Mehmet Durakovic, dan mara ke peringkat seterusnya secara aggregat 3-2.** - Info kredit to DuniaSukan.

Itu antara aksi dramatik pertembungan Perak – Selangor yang pastinya masih segar dalam ingatan peminat bolasepak tanah air.

Selangor bukanlah pasukan kebal yang sukar untuk ditundukkan, namun itulah yang nampaknya sukar untuk dilakukan Perak sejak 10 pertemuan lalu menentang Selangor, apabila hanya pernah menang sekali, iaitu 1-0 di Ipoh pada aksi Liga Super musim lalu.    

Failee - sandaran, foto kredit DuniaSukan.com
Ketika Perak dan Selangor bertemu dalam saingan Piala FA 2008, perlawanan itu mencuri tumpuan ramai apabila berkesudahan dengan rekod jaringan besar seri 4-4 di mana Razali Umar Kandasamy meledak hattrik, namun Perak tersingkir di pusingan kedua secara aggregat 5-6. 

Sedar tak sedar, itulah perlawanan terakhir yang menyaksikan Perak, MENJARINGKAN LEBIH DARIPADA 1 GOL menentang musuh tradisi mereka itu, dan 10 perlawanan selepas itu, termasuk aksi suku akhir pertama Piala Malaysia Isnin lalu, Perak masih gagal mengatasi badi itu.

Kali ini, Stadium Ipoh sekali lagi bakal menjadi saksi kepada penentu HIDUP MATI Perak dalam kempen musim ini, dan jika Perak mahu menempah tiket ke separuh akhir buat kali pertama sejak 2007, maka penyerang sensasi yang juga penjaring terbanyak mereka dalam kempen Piala Malaysia ketika ini, Failee Ghazali, perlu melakukan apa yang kali terakhir dilakukan oleh Razali Umar – hatrik menentang Selangor. 

Dua gol sebenarnya sudah memadai, dengan syarat tidak dibolosi pula oleh penyerang lawan, atau sekali lagi oleh sepakan percuma berkelas dunia Safiq Rahim, namun ia bukan tugas mudah buat anak buah Norizan Bakar ketika Selangor dilihat sudah bangkit daripada prestasi lesu untuk memastikan MISI 33 menjadi satu realiti.

Failee telah menunjukkan aksi cemerlang sejak dipinjamkan dari USM FC, dan ketika ini sentuhan berbisanya nyata amat ditagih Perak untuk membolosi gawang kawalan G.Jeevanathan, rakan sepasukannya di USM. Kepantasannya seringkali memerangkap pertahanan lawan, serta kebolehannya menjaringkan gol-gol menarik sambil berlari -  bakal menjadikannya ancaman besar buat Nasriq Baharom, Yosri Dermaraju, mahupun Bunyamin Omar. 

Norizan tentunya mengharapkan pemain ini berada di kemuncak prestasi dan mencipta gandingan hebat bersama Shafiq Jamal malam esok.

Selepas mara ke kelompok 8 terakhir tanpa tewas, kekalahan 1-3 tempoh hari tidak seharusnya menyentap semangat juang tinggi skuad dengan jolokan Kejor Yob Kejor yang dibarisi adunan pemain berpengalaman dan muda ini, apatah lagi lima pemain tonggak yang sebelum ini tersisih akibat penggantungan sudahpun kembali beraksi. Kita mengharapkan aksi bertenaga dan menghiburkan dari kedua-dua pasukan malam esok, MAY THE BEST TEAM WIN.

3 comments:

Anonymous said...

Akmal Rizal yg akan bawa Perak ke separuh akhir....
saksikan sentuhan ajaib Akmal Rizal esok....

Anonymous said...

yup failee ni prospek bagus..ada speed dan agression..

go perak go..cipta upset!

Dunia Baru said...

Bunyamin Omar - mamat ni tak dpt main kn? sbb kena kad ari tu...

yg nyata, perak akan main bermati-matian...tu la, ari tu cikgu Jan cakap besar sgt...P.Maniam rileks jek...ambik sikap merendah diri berbanding jurulatih asal selangor yg mudah melenting.,.hehehe

Razali Umar Kandasamy - kawe suka mamat ni main...memang terbaik....game berubah bila ada dia...tp tu la...masalah displin dia nih..