Friday, May 18, 2012

Subra Pilihan Terbaik Kekang Ronaldinho


Tahun lalu, tamat 120 minit permainan antara Kelantan dan Terengganu, tiada kelibat S.Subramaniam dan Shakir Shaari di atas padang.


Kedua-dua mereka dikeluarkan Datuk M.Karathu ketika menuju minit-minit akhir perlawanan dalam usaha melengahkan permainan yang berlanjutan sehingga 8 minit masa tambahan, dengan Subra digantikan Rizal Fahmi, manakala Shakir digantikan Khairan Eroza Razali.

Jurulatih Terengganu, Irfan Bakti selepas itu berkata kepincangan di barisan pertahanan Kelantan mula terserlah selepas dua pemain itu dikeluarkan, yang memberi ruang buat pemainnya mengandakan asakan seterusnya mencari gol kemenangan (baca sini).

Itu cerita tahun lalu, namun kenyataan itu, dengan sendirinya sudah cukup untuk menjelaskan betapa pentingnya kudrat Subra, pemain berasal dari Perak yang menjadi tonggak utama barisan pertahanan Kelantan.

Layak dilabel antara pertahanan terbaik negara, Subra pastinya calon pilihan Bojan Hodak di dalam  menggalas misi penting menyekat satu-satunya pemain dari pasukan Sime Darby yang berpotensi menghadirkan ancaman di kubu Kelantan - Patrick Ronaldinho Wleh.

Ronaldinho yang berada di kemuncak prestasi ketika ini sudahpun membuktikan kredibilitinya sebagai penyerang berbisa dan pembelian berbaloi buat SDFC, dengan menjaringkan 6 gol dalam saingan Piala FA, termasuk 2 ketika menyingkirkan skuad juara bertahan, Terengganu.

Pada usia 20 tahun, dia memiliki pakej serba lengkap – lincah, bijak menghidu peluang, skill yang berupaya mengelirukan pertahanan lawan, dan rembatan deras yang sukar dijangka.

“pemain pertahanan saya bagus semuanya, Subra, Obinna, Rizal, Farisham, malahan fullback pun tidak pernah mengecewakan, itu juga kelebihan kita dan kita tidak bolos dalam 3 perlawanan lalu.

“dan kita juga cukup tahu kelebihan SDFC adalah penyerang mereka, saya memerlukan seorang pemain yang tenang, laju dan berpengalaman untuk kawal dia, siapa yang awak rasa ada ciri tersebut? Esok saya akan tentukan,” – Bojan Hodak.

foto : suarasukan
Bagi Subra, fokusnya tetap sama sepertimana perlawanan-perlawanan lain, dan komited memberikan aksi lebih dari 100 peratus dalam memastikan gawang Khairul Fahmi Che Mat tidak bocor malam esok.

“saya sentiasa bersedia, bukan sahaja Ronaldinho, tetapi semua pemain akan diberi perhatian, kita harus elakkan kesilapan mudah, ini pesanan untuk diri saya sendiri, kekal komited dan fokus, kita di ambang melakar sejarah dan saya mahu mengukir nama sebagai generasi pencipta sejarah bolasepak Kelantan. Saya adalah terbaik dan saya akan buktikan, usah ragu,” – S.Subramaniam. 

1 comment:

ibun_jogho said...

Kurang 24 jam dari sekarang Kelantan turun sebagai pelawat untuk menentang Sime Darby. Kelab dari Liga Perdana ini muncul sebagai pasukan pilihan untuk menyekat keinginan Kelantan. Johor FC dan Terengganu dari Liga Super menjadi mangsa Sime Darby. Johor FC yang ingin mencipta rekod tetapi akhirnya merengkot. Terengganu pula gagal untuk mempertahankan piala yang dimenangi tahun lalu.

Kedua-dua pasukan ingin mencipta sejarah. Sime Darby telahpun mencipta sejarah sebagai kelab pertama memasuki perlawanan akhir. Mereka juga ingin mengukir lagi sejarah untuk menjuarai Piala FA buat julung kalinya.

Kelantan pula sudah pasti tidak ingin kecewa buat ke sekian kalinya. Gema sorakan lebih 40 ribu penyokong sudah pasti ingin dibalas dengan membawa piala ini ke Kota Bharu.

19 Mei 2012, Piala FA yang baru akan menjadi milik siapa..?

http://ramboview.blogspot.com/2012/05/cerita-bola-2012-kelantan-dan-sime.html