Monday, May 14, 2012

Nabil Beraksi Dengan Pasukan Terbaik Eropah


Musim baru 2012 perlumbaan JK Racing Asia Series akan hanya bermula akhir bulan ini di Litar Sepang; namun nama pemandu negara Nabil Jeffri sudah menjadi sebutan di kalangan para pencabarnya sebagai saingan yang perlu diatasi dalam misi mereka memburu mahkota kejuaraan.


Mewakili pasukan juara bertahan, Eurointernational, Nabil, yang sudahpun disahkan sebagai pemandu utama pasukan berkenaan dan akan menggunakan #1 sebagai nombor pertandingan pada jenteranya.

“Tentunya, satu kebanggaan besar buat saya. Sememangnya, ia adalah tekanan tambahan; tetapi, saya juga melihatnya sebagai pembakar semangat. Sememangnya, kejuaraan keseluruhan adalah sasaran saya musim ini,” kata Nabil pada majlis sidang akhbar yang diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) hari ini.

“Lebih membanggakan saya lagi adalah kepercayaan yang diberikan kepada saya oleh pasukan ini, yang meletakkan saya sebagai pemandu utama mereka,” tambah Nabil, yang menjadi pemandu Asia pertama untuk dipancing oleh pasukan terkemuka dunia yang beribupejabat di Itali itu.

Pada majlis yang disaksikan oleh Menteri Belia dan Sukan Dato’ Sri Ahmad Shabery Cheek, satu Memorandum Persefahaman turut dimeterai antara pasukan Eurointernational, Akademi Kemahiran Belia Motorsport, Kementerian Belia dan Sukan; dan Comma Motorsports, yang mewakili Nabil. 

Di bawah memorandum berkenaan, pasukan Eurointernational akan menempatkan dua penuntut dan seorang tenaga pengajar daripada Akademi Kemahiran Belia Motorsport sebagai sebahagian daripada tenaga krew pasukan yang akan menyokong cabaran Nabil musim ini dalam siri perlumbaan itu. Melalui kerjasama ini, pelajar dapat menimba ilmu serta budaya kerja pasukan lumba terbaik Eropah.


Menduduki Tempat Kelima keseluruhan pada musim sulungnya pada 2010, pelumba muda berusia 18 tahun yang bercita-cita menjadi pemandu F1 satu hari nanti  ini, menduduki tempat ketiga keseluruhan musim lepas di mana dia mencatat satu kemenangan dengan 10 kali menamatkan perlumbaan di podium kemenangan.

Kemenangan tunggal itu dicatat pada saingan pembuka musim kejohanan JK Racing Asia Series di Litar Sepang di  mana siri berkenaan menjadi perlumbaan sokongan kepada Grand Prix F1 PETRONAS Malaysia.

Menceritakan sebahagian dari pengalaman beliau, “Pengalaman paling buruk adalah pada perlumbaan di Litar Sentul, Indonesia. Segalanya tidak berjalan seperti dirancang dan seluruh pasukan bergelut dengan pelbagai kepayahan sepanjang hujung minggu itu.

“Bagaimanapun, menjelang perlumbaan terakhir, kami berjaya mengatasi segala masalah. Malangnya, ia sudah agak terlambat. Sememangnya, itu adalah kekecewaan terbesar saya musim  lepas,” kata Nabil, yang pernah mencatat sejarah menjadi pemandu ujian F1 paling muda pada usia 16 tahun 10 bulan dan 7 hari  pada 1 September 2010 di Duxford, Britain.

Memasuki musim yang ketiga, Nabil berkata bahawa dia berkeyakinan tinggi dapat mengikut jejak pelumba Austria Lucas Auer, yang muncul juara tahun lepas untuk menghadiahkan kejuaraan kepada pasukan Eurointernational, yang sememangnya dianggap antara pasukan lumba kereta terulung di Eropah.

Menurut Nabil, beliau telah menjalani sesi ujian selama dua hari di Litar Varano, Itali bulan lepas dan dapat merasakan keserasian dengan seluruh krew pasukan dan dengan jentera yang digunakan.

“Segalanya berjalan dengan baik dan saya dapat rasakan kerasian itu. Kami mempunyai pasukan yang hebat dengan tenaga krew yang hebat dan penuh pengalaman. Saya bukan saja berharap untuk memenangi kejuaaraan keseluruhan tetapi juga untuk mencatat sebanyak kemenangan mungkin,” tambah beliau.

Musim baru perlumbaan JK Racing Asia Series akan bermula di Litar Sepang untuk Pusingan 1, 2, 3 dan 4 pada 25 hingga 27 Mei ini dan pusingan seterusnya di Paul Ricard, Perancis untuk Pusingan 5 dan 6 pada 29 Jun hingga 1 Julai. Pada 27 hingga 29 Julai, pusingan 7 dan 8 akan diadakan di Litar Spa-Francorchamps di Belgium; diikuti dengan Pusingan 9 dan 10 di Singapura daripada 21 hingga 23 September.

Enam pusingan akhir akan diadakan di New Delhi, India dengan Pusingan 11 dan 12, yang akan diadakan 26 hingga 28 Oktober, dan Pusingan 13, 14, 15 dan 16 dari 30 November hingga 2 Disember.

Bagi Nabil, saingan paling mencabar bagi dirinya adalah kedua-dua perlumbaan yang akan diadakan di Eropah, yang mana akan menjadi pengalaman pertama buat dirinya.

“Secara jujur, saya katakan bahawa kedua-dua perlumbaan itu adalah yang paling mencabar buat saya. Tetapi, ia juga adalah dua perlumbaan yang saya memang nantikan. Kerana, kedua-dua litar itu penuh dengan tradisi dan banyak menyaksikan jaguh-jaguh F1 bersaing.

“Secara keseluruhan, pada saya musim 2012 adalah menyeronokkan tetapi cukup mencabar. Terdapat ramai pemandu-pemandu berbakat termasuk yang memasuki musim kedua. Tetapi, saya sudah memasuki musim ketiga dan ini memberikan kelebihan kepada saya.

Diasaskan daripada siri perlumbaan Formula BMW, kejohanan ini banyak melahirkan para pemandu handalan dunia termasuk Timo Glock, Nico Rosberg, Nico Hulkenberg  dan juara dunia F1 sebanyak dua kali Sebastian Vettel.

JK Racing Asia Series, yang dahulunya dikenali sebagai Formula BMW Pacific Series, menampilkan para pelumba daripada seluruh dunia termasuk daripada Asia Pasifik, Afrika dan Eropah. Ia juga adalah platform untuk perkembangan bakat daripada Asia untuk mereka yang mengejar impian menjadi pelumba profesional.

No comments: