Wednesday, May 30, 2012

India, Guam Tentukan Juara Divisyen 3


India menepati reputasinya selaku pasukan pilihan dari Divisyen 3, apabila mudah menjinakkan musuh tradisi, Pakistan, 34-5 dalam perlawanan berat sebelah di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, seterusnya menempah tiket beraksi di final Divisyen 3 Kejohanan Ragbi 5 Negara Asia yang membuka tirainya hari ini.

Dominasi pasukan bimbingan Mitsutake Hagimoto terserlah sejak babak awal permainan, dengan corak permainan pantas dan aggresif menyukarkan Pakistan untuk mencari ruang memecah masuk melepasi garisan tengah padang.

Sebaliknya India bingkas memanfaatkan setiap peluang, dan mendahului selesa 22-0 di babak pertama.
Beraksi di bawah terik mentari tidak dinafikan sedikit menjejaskan rentak permainan kedua-dua pasukan, dan India menambah 7 mata menerusi try Shokender Singh dan conversion Sethna Rohan 20 minit selepas permainan bersambung di babak kedua, untuk mendahului 29-0.

Meskipun try dilakukan Ahmed Fiaz berjaya memecah kebuntuan mata buat Pakistan, ia tidak memadai untuk menghalang India mencatat kemenangan dengan keputusan akhir 34-5.

Pengurus pasukan India, Vikram Datta memuji semangat juang tinggi para pemainnya dan menyifatkan keyakinan tinggi sebagai pendorong utama kemenangan pasukannya pada hari ini.

“Beza mata mungkin agak besar, tapi ia bukan kemenangan mudah. Anda boleh lihat ada pemain hampir pitam, ada yang berdarah, ada yang cedera, jadi ia adalah hard-fought victory. Pemain saya melakukan yang terbaik untuk mencapai kemenangan ini, dan mereka adalah wira.

“Kemenangan ini menguatkan lagi keyakinan pasukan kami untuk turun di aksi final Jumaat nanti, kami akan pulang dengan kejayaan,” ujar Vikram yang ditemui selepas perlawanan.

Lawan India pada aksi final nanti, adalah Guam yang menewaskan Indonesia 38-17 dalam satu lagi aksi separuh akhir yang berlangsung terdahulu di padang sama.

Namun, kemenangan yang dicari tidak hadir dengan mudah buat anak buah Willie Herataka, apabila mereka yang mendahului 19-3 pada satu ketika diberi tentangan hebat oleh Indonesia yang menghambat merapatkan kedudukan 17-19, ketika permainan memasuki 10 minit terakhir babak pertama.

Namun, try disempurnakan Paul Eustaquio dan conversion Gerard Aguon membolehkan Guam menambah 7 lagi mata dan mendahului 26-17 di babak pertama.

Hasrat Indonesia untuk bangkit di babak kedua, bagaimanapun tidak kesampaian dengan Guam mempamer dominasi menyeluruh dan menambah lagi 12 mata untuk keputusan akhir, 38-17.

“Ya, pada satu ketika tekanan itu memuncak. Kami adalah pilihan dan kami mendahului selesa, kemudian mereka (Indonesia) merapatkan mata kepada hanya dua sahaja. Tamat babak pertama, saya nasihatkan pemain saya untuk main tanpa tekanan, kurangkan kesilapan, jangan terlalu ghairah, dan mereka lakukannya. Ia kemenangan yang cukup bermakna, dan kini kami perlukan sedikit rehat,” ujar Herataka.

Aksi final antara India dan Guam akan berlangsung jam 4.30 petang Jumaat, 1 Jun.

Dalam pada itu, esok (31 Mei) akan menyaksikan bermulanya saingan peringkat separuh akhir bagi Divisyen , dengan Thailand akan menentang Iran (2.30 petang) dan tuan rumah, Malaysia akan menentang China (4.30 petang). Kesemua perlawanan di Stadium MBPJ, Kelana Jaya.  

No comments: