Sunday, May 13, 2012

“Ini Sahaja Kualiti Yang Kami Ada”


Melihat aksi longlai pasukannya dalam kekalahan 0-3 kepada Kelantan sebentar tadi, pengendali PKNS Selangor, Abdul Rahman Ibrahim seolah sudah berputus asa dengan kemampuan pasukannya untuk menapak lebih jauh dalam saingan liga musim ini.

“ini kali pertama kita bersaing dalam liga super, selepas mengharungi 16 game, kita berpijak di bumi nyata, dengan kualiti yang kita agak sukar nak maju ke depan, sukar nak beri saingan, bertemu pasukan seperti Kelantan, gergasi bolasepak Malaysia, kita cuba beri saingan, ternyata setiap aspek lain kita boleh tandingi, kecuali kualiti dan tempo permainan mereka yang jauh lebih tinggi dari kita.

“First half kita lepas gol mudah, second half kita buat sikit perubahan, tapi pemain muda kita tewas, tak dapat buat hantaran yang bermanfaat, ini sahaja kualiti yang kami ada..”.

Meskipun cuba menafikan wujudnya tekanan selepas kekalahan kelima pasukannya musim ini (ketiga berturut-turut), riak kecewa jelas terpancar di wajah Abdul Rahman yang menyaksikan PKNS jatuh ke tangga ke-12 liga iaitu kedua tercorot.

Di sebalik memiliki beberapa tonggak berpengalaman dalam pasukan seperti Razi Efendi, Rudie Ramli, Azlan Zainal, Nizarudin Yusof serta dua pemain import, Michael Nicoise dan Helmi Lousaief, pasukan yang digelar Semut Api ini sekadar mampu merakamkan 4 kemenangan musim ini, dan hanya 2 mata mengatasi pasukan tangga ke-13, Johor FC.

Abdul Rahman yang juga pernah membimbing pasukan kebangsaan, Terengganu dan Selangor sebelum ini,  pastinya mengharapkan anak buahnya akan bangkit memadam igauan buruk tewas tiga perlawanan berturut-turut apabila bertemu pasukan tangga tercorot, Kuala Lumpur, Rabu ini.

1 comment:

Anonymous said...

Tahniah boh buleh masuk BH ari sabtu lepah,maju lg selangkah.ambo baco artikel pasa demo tu,sapa ko crito masuk stadium curi2.kemah boh