Di sebalik krisis keyakinan yang melanda, Terengganu tampil
mempamer aksi garang membelasah kelab dari Vietnam, Song Lam Nghe FC, 6-2 di
laman sendiri seterusnya mengesahkan tiket beraksi di pusingan seterusnya
selepas pasukan tangga ketiga, Tampines Rover terikat tanpa jaringan menentang Kitchee FC dalam perlawanan terdahulu.
foto : Bernama |
Hatrik jaringan awang import, Francis Forkey Doe, dan satu gol
masing-masing jaringan Ashaari THE SILENT KILLER, Hadi Yahya dan Joseph Kalang
Tie memastikan Terengganu mengutip 3 mata berharga dan menutup mulut pengkritik
– setidak-tidaknya buat seketika – dan meredakan tekanan digalas para pemain
dan juga jurulatih, Mat Zan Mat Aris yang dikecam hebat ekoran prestasi lesu sejak
beberapa perlawanan lalu.
Ini termasuklah kekalahan kepada pasukan kelab dari Liga
Perdana, Sime Darby FC pada perlawanan separuh akhir pertama Piala FA tempoh
hari, justeru fokus pastinya terarah untuk menterbalikkan keputusan tersebut 1
Mei depan, dengan Mat Zan mahupun peminat setia Sang Penyu pastinya
mengharapkan kemenangan malam ini menjadi suntikan semangat untuk aksi lebih
konsisten selepas ini.
Meskipun musim ini tiada lagi bisa gandingan trio penggempur
Ashaari-Hadi-Manaf Mamat yang dipecahkan Mat Zan mengikut kesesuaian taktikal
yang diterapnya, barisan depan Sang Penyu tetap dilihat bernafsu besar dengan
adanya kelibat Forkey Doe, dan jika prestasi ini dapat dikekalkan, pastinya
pertahanan Sime Darby bakal berdepan igauan ngeri pada aksi timbal balik nanti.
Jika itu cerita di kem Terengganu, jiran mereka, Kelantan
juga mempunyai sebab untuk berbangga dengan prestasi ditunjukkan pemain import
dari Lubnan Mahmoud Ghaddar yang juga tampil menutup mulut pengkritik dengan
aksi setaraf statusnya - 7 gol dalam saingan peringkat AFC selepas permulaan
hambar di awal musim.
Kemarau jaringan selepas hanya mampu menjaringkan gol menerusi
sepakan penalti hingga pada satu ketika disisihkan dari skuad Liga Super,
Ghaddar membuktikan dia adalah pembelian berbaloi dengan menjaringkan 5 gol
menentang Arema Malang FC dari Indonesia, selain satu gol menentang Ayeyawady
dan gol kemenangan ketika menewaskan Navibank Saigon.
foto :shazlishamsuddin |
Malangnya, kembalinya Ghaddar ke puncak prestasi, merupakan
berita kurang baik buat Nwoha Onyekachi, yang mana dia pula ditunjukkan pintu
keluar dari saingan Liga Malaysia. Dengan Norshahrul Idlan Talaha juga sudah
kembali daripada kecederaan, barisan depan Kelantan kini boleh dilabel lebih
ampuh dan pastinya Bojan Hodak sedang merencana strategi terbaik mendapatkan
hasil terbaik menerusi gandingan dua penyerangnya itu.
Dengan Kelantan akan bertandang ke Alor Star pada 1 Mei
untuk misi hidup mati dalam saingan Piala FA, selain ketinggalan 5 mata di belakang
Lions (12 perlawanan lagi untuk diharungi), dan hanya memerlukan satu mata
sahaja dari perlawanan terakhir menentang Ayeyawady untuk mengesahkan kemaraan
ke pusingan seterusnya – Ghaddar pastinya diharap dapat mengekalkan momentum
diciptanya ini untuk memimpin barisan serangan TRW, seterusnya membuktikan kredibilitinya selaku penyerang bertaraf
Asia.
3 comments:
Aiman..Kalu tengok ke jadual, tidak mustahil Kelantan akan bertemu Terengganu dalam pusingan kalah mati AFC,dan juga tidak mustahil Kelantan akan bertemu Terengganu sekali lagi dalam final piala FA, kuasa ALLAH tiada siapa yang tahu sama2lah kita berdoa.....
Ambo pun raso gitu jugok. East coast derby akan berlaku di AFC Cup.
kne pastikan tganu dan kelantan menang dalam perlawanan terakhir piala AFC nie untuk mngelak dr bertembung sesama sendiri..
Post a Comment