Sunday, April 15, 2012

Ghani Berterima Kasih Di Atas Sokongan


Lagenda bolasepak tanah air, Datuk Abdul Ghani Minhat berterima kasih kepada semua pihak yang mengambil berat akan keadaan kesihatannya sepanjang menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi Hospital Putrajaya minggu lalu.

Ghani ketika di ICU
Beliau yang dikejarkan ke ICU pada Jumaat, 6 April lalu selepas mengalami demam yang berpunca daripada tekanan darah rendah, sudahpun dibenarkan pulang semalam dan dinasihatkan agar mendapatkan rehat yang secukupnya.

“terima kasih saya ucapkan kepada semua, rakan-rakan, wartawan, kenalan-kenalan yang mengambil berat dan datang melawat saya, saya sudah baik, tiada apa untuk dirisaukan, cuma perlu berehat..”, ujar Ghani ketika dihubungi penulis.

Sepanjang 9 hari berada di ICU Hospital Putrajaya, Ghani yang juga digelar Raja Bola menerima kunjungan sahabat handai dari kalangan bekas pemain bolasepak kebangsaan, antaranya Kamarulzaman Yusoff, Bakri Ibni dan Reduan Abdullah, bekas pelari pecut Olimpik, S.Sabapathy, selain Pengerusi Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan, Datuk Jamil Salleh, Datuk Malek Noor dan pemain skuash, Azlan Iskandar.

No comments: