Monday, April 16, 2012

Anugerah Sukan Negara 2011, Siapa Bakal Bergelar Jagoan?


Esok, 17 April 2012, satu lagi detik bersejarah penuh bermakna buat arena sukan tanah air apabila berlangsungnya Majlis Anugerah Sukan Negara 2011 - majlis yang mengiktiraf jasa dan sumbangan tokoh-tokoh dan wira sukan yang berkorban keringat di dalam mengharumkan nama negara.  

Memasuki edisi ke-46, Anugerah Sukan Negara 2011 akan sekali lagi menyaksikan barisan atlet terkemuka negara bersaing memburu pengiktirafan siapakah yang paling layak dinobatkan Olahragawan dan Olahragawati Kebangsaan yang mana tahun lalu diungguli ‘the pocket-rocketman’ Azizulhasni Awang dan jagoan skuash dunia, Nicol Ann David.

Dengan tiadanya nama Azizul untuk mempertahankan gelaran yang dimenangi tahun lalu, nama calon popular - Lee Chong Wei disebut-sebut untuk kembali mengungguli anugerah yang pernah diunggulinya pada 2005 dan 2008, tatkala jaguh bina badan, Sazali Samad turut mengintai gelaran peribadi ketiga selepas kemenangan pada tahun 2000 dan 2006.

Berbanding saingan sengit 6 penjuru tahun lalu di mana Azizul terpaksa berentap bersama Chong Wei, Sazali, R.Puvaneswaran, Azlan Iskandar dan Alex Liew sebelum dinobatkan pemenang, lain pula ceritanya tahun ini apabila hanya Bryan Nickson Lomas dilihat berupaya mengugat penguasaan Chong Wei mahupun Sazali.

Bryan memukau peminat sukan negara menerusi aksi mengagumkan sepanjang tahun lalu, malah rentetan aksi hebatnya diteruskan hingga setakat ini, apabila berjaya menempah tiket beraksi di Sukan Olimpik London Julai depan. Melengkapkan senarai pendek pencalonan adalah atlet memanah, Cheng Chu Sian, pemain boling, Adrian Ang, dan atlet karate, Leong Tze Wai.

Bagi kategori wanita, sekali lagi pencalonan didahului pemenang Olahragawati Kebangsaan sebanyak LAPAN kali, Nicol David. Rekod gah Nicol di pentas dunia, selain statusnya selaku pemain nombor satu dunia yang belum tergugat hampir TUJUH tahun, menjadikannya calon FAVOURITE ramai.

Namun, prestasi hebat penerjun sensasi negara, Pandalela Renong dan kelibat pelumba basikal wanita pertama negara yang mencipta sejarah melayakkan diri ke Olimpik, Fatehah Mustapha turut dilihat berupaya mengoncang dominasi Nicol kali ini pada ketika tiga lagi atlet – Chai Fong Ying (Wushu), Jaqueline Sijore (Boling), dan Nur Suryani (Menembak) memburu pengiktirafan sama.

Menariknya, hadiah wang kemenangan turut dinaikkan dari RM10,000 tahun sebelumnya kepada RM20,000 setiap seorang.

Anugerah malam esok akan turut mengiktiraf Tokoh Kepimpinan Sukan, Pasukan Lelaki Kebangsaan, Pasukan Wanita Kebangsaan, Jurulatih Lelaki, Jurulatih Wanita, Olahragawan Paralimpik dan Olahragawati Paralimpik.

Anugerah Tokoh Sukan pula diberikan kepada Dato’ Paduka Abu Bakar taib dari Persatuan Pelayaran Malaysia.

Apakah kesudahan ASN 2011 ini, adakah nama sama akan terus mendominasi atau akan muncul pemenang baru untuk melakar sejarah sukan tanah air? Nantikan malam esok!

No comments: