Sunday, April 15, 2012

Kemenangan Bersejarah Buat Garuda


Pemenang dua kali pingat emas Sukan Sea, Simon Santoso meraih mata kemenangan buat pasukannya Indonesia Garuda tatkala skuad senior negara itu muncul juara sulung Piala Axiata menewaskan skuad ‘adik’, Indonesia Rajawali dalam aksi final dua pusingan.

Garuda yang membawa kelebihan selesa 3-0 hasil kemenangan pusingan pertama, hanya memerlukan 50 minit untuk mengesahkan kejuaraan menerusi Simon, yang sekali lagi turun menentang Tommy Sugiarto, anak kepada bekas juara dunia, Icuk Sugiarto, yang perlu menang perlawanan ini untuk memastikan cabaran pasukannya tidak ternoktah seawal perlawanan pertama.

Namun, Simon dilihat terlalu kuat untuk ditandingi Tommy, yang akhirnya tewas straight set 21-16, 21-10 dalam 50 minit, seterusnya menyaksikan Garuda beroleh kelebihan 4-0 yang tidak lagi mampu digugat Rajawali.

“Saya gembira untuk menyumbangkan mata kemenangan untuk Garuda seterusnya membantu muncul juara sulung, ia sebenarnya kejohanan yang cukup bagus dan membantu kami untuk persiapan Piala Thomas bulan depan..”, ujar Simon selepas perlawanan.

Rajawali bagaimanapun beroleh mata saguhati, apabila Alvent Yulianto/Angga Pratama mengejutkan pasangan nombor 6 dunia, Mohamad Ahsan/Bona Septano 23-21, 12-21, 21-13 dalam aksi rubber-set,  sebelum bekas juara Olimpik, Taufik Hidayat menutup tirai dengan kemenangan mudah 21-14, 21-15 ke atas Shesar Rhustavito.

Taufik merupakan satu-satunya pemain yang beraksi kesemua 6 perlawanan di Piala Axiata dan menang kesemua perlawanan.

Pengurus Rajawali, Fuad Basya pula berkata : “Kami sedar ia tugas yang sukar untuk menewaskan pemain senior, pemain saya sudah melakukan yang terbaik tetapi harus diakui Garuda terlalu kuat. Tiada apa untuk dimalukan dan saya percaya pemain saya menimba pengalaman berguna dari kejohanan ini..”.

Manakala Pengurus Garuda mengalungkan pujian kepada pemain kedua-dua pasukan di atas persembahan baik yang ditunjukkan.

Trofi disampaikan Presiden yang juga CEO Axiata Group Dato’ Sri Jamaluddin Ibrahim, dengan pemenang membawa pulang US$400,000 dan naib juara US$200,000. Malaysia selaku semifinalis meraih US$100,000.

-Media247- 

No comments: