Presiden Persatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM), Datuk Seri
Shahidan Kassim percaya penerjun sensasi yang dinobatkan Olahragawati
Kebangsaan 2011, Pandalela Renong akan membutirkan kilauan emas pertama negara
di temasya Sukan Olimpik London nanti.
Ditemui SS sejurus selesai majlis Anugerah Sukan Negara 2011
yang mana buat pertama kalinya atlet wanita dari ASUM dinobatkan sebagai pemenang
selepas Nurul Huda Abdullah mengunggulinya 22 tahun lalu, Shahidan berkata
Pandalela berhak untuk meraih pengiktirafan ini dan mahu ianya menjadi ‘morale-booster’
buatnya mencapai kejayaan lebih gemilang.
“Pandalela atlet yang cukup bagus, orang selalu cakap Chong
Wei akan menang emas pertama Olimpik, tapi saya cakap yang akan menang pertama,
bukan perak, bukan gangsa, tetapi emas, adalah Pandalela. Dia menunjukkan
peningkatan mendadak, usia dia baru 18 tahun, sekarang dia ranking nombor 3,
dia dengan atlet nombor 1 tak jauh beza, dia push sikit dia akan dapat emas..”.
– Datuk Seri Shahidan Kassim.
Tambah Shahidan, kejayaan Pandalela ini, ditambah kecemerlangan atlet dari persatuan itu yang
menghadiahkan 19 emas di Sukan Sea Indonesia, membuktikan ASUM sebuah persatuan
yang seharusnya diiktiraf sebagai persatuan terbaik, dan mereka kini di
landasan tepat untuk melahirkan lebih ramai jaguh dunia.
Dalam pada itu, Pandalela yang terbang pulang ke tanah air
dari Moscow dan akan berlepas ke Mexico hari ini, menyifatkan kemenangan ini
sebagai kejutan besar dalam kariernya apatah lagi dia mengetepikan Olahragawati
Kebangsaan sebanyak 6 kali berturut-turut yang juga Ratu Skuash Dunia, Datuk
Nicol Ann David.
Justeru, Pandalela yang terharu dengan kemenangan ini mahu
membalas kepercayaan panel juri yang memilihnya sebagai pemenang dengan membawa
pulang pingat emas pertama Olimpik.
“Jauh di sudut hati saya, saya memang teringin untuk menang
tapi saya tahu ia sukar kerana calon yang lain hebat-hebat semuanya. Apabila
diumumkan saya cukup terkejut, tidak percaya. Saya berterima kasih kepada
sokongan semua pihak, dan kemenangan ini akan saya jadikan pembakar semangat
untuk cuba sedaya upaya meraih emas Olimpik yang pertama..”. – Pandalela Rinong.
Pandalela, 18 tahun, diiktiraf sebagai atlet wanita terbaik
negara ekoran kecemerlangannya meraih pingat perak di Kejohanan Terjun Siri
Dunia Moscow tahun lalu, serta pingat perak dan gangsa di temasya Universiad
Shengzhen, seterusnya melayakkan diri ke Olimpik.
Senarai Pemenang Anugerah Sukan Negara 2011
Olahragawati Kebangsaan : Pandalela Rinong
Berpasukan Lelaki : Skuad Memanah
Berpasukan Wanita : Renang Berirama
Olahragawan Paralimpik : Allahyarham Salam Sidik
Olahragawati Paralimpik : E. Hemala Devi
Jurulatih Lelaki Kebangsaan : Syed Mohd Hussaini Syed Mazlan
Jurulatih Wanita Kebangsaan : Rosniza Abu Bakar
Anugerah Kepimpinan Sukan : Datuk Seri Kee Yong Wee
Anugerah Khas : Shaharudin Jaafar (Berbasikal)
No comments:
Post a Comment