Friday, August 12, 2011

MSN Kata Tidak Pernah Lantik Harun, Tapi Kenapa Ada Pembahagian Tugas?


Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara, MSN, Dato’ Zolkples Embong, mendakwa MSN tidak pernah melantik semula atau dalam kata lain memperbaharui kontrak Harun Rashid sebagai Ketua Jurulatih Olahraga Negara, selepas kontrak beliau berakhir pada 31 Disember 2010, justeru berpendapat tuntutan tunggakan gaji 8 bulan sebanyak RM32,000 oleh Harun, sebagai tidak berasas.

Cuma yang peliknya, andai betul dakwaan Zolkples itu, siapakah pula yang bertindak sebagai Ketua Jurulatih Olahraga Negara sepanjang tempoh 8 bulan yang lalu, DAN atas dasar apakah pula Harun diberi tanggungjawab melatih atlet 4x100 meter wanita, selepas berakhirnya Mesyuarat Jawatankuasa Kerja April lalu – seorang individu diberi tugas membimbing sekumpulan atlet, tetapi tidak dilantik sebagai jurulatih, di mana relevannya? 

Senang cerita, kalau tak lantik, kenapa agihkan tugas? Ini petikan kenyataan Zolkples kepada pemberita.

Harun Rasheed
“Kita tak pernah lantik beliau, belum lantik sebagai jurulatih macam mana timbul masalah gaji, beliau juga tahu bahawa DALAM PERBINCANGAN MESYUARAT JAWATANKUASA KERJA, BELIAU SEhARUSNYA MELATIH ATLET 4x100m WANITA, atlet bawah program kita, 3 orang iaitu Siti Zubaidah, Siti Fatimah, dan Ee Ling, tak pernah dilatih beliau, jadi macam mana kita kena ayar gaji? Yang pertama tak pernah lantik, dalam masa sama TAK PERNAH LAKSANAKAN TUGAS YANG SEPATUTNYA BELIAU LAKSANAKAN. Kita persetujui bersama KOAM dalam mesyuarat JKK dihadiri Dato Sri Shahidan..”.

“kita takda masalah dengan jurulatih lain, kita lantik dan bayar dari Januari seramai 8-9 orang, SEBAB MEREKA JALANKAN TANGGUNGJAWAB MEREKA, selepas isu doping, mana beliau pergi, saya hanya dapat tahu melalui media beliau pergi Bulgaria, saya tak tahu keputusan siapa, beliau tak pernah memaklumkan kepada kita, apatah lagi utk mendapat kelulusan. Kalau beliau berada di bawah lantikan kita, kita agensi kerajaan ada peraturan, ke luar negara mesti mendapat kelulusan dan sebagainya, saya tak tahu apa asas beliau buat tuntutan MSN harus bayar gaji beliau..”. – Dato’ Zolkples Embong. 

Daripada kenyataan di atas serta maklumat yang diterima, bukan sahaja Harun, tetapi kesemua jurulatih Olahraga negara, sememangnya ditawarkan pelantikan baru hanya selepas berakhir mesyuarat JKK, iaitu pada Mei, bagi membolehkan persatuan memilih jurulatih berdasarkan pemantauan prestasi atlet dan jurulatih itu sendiri.

Hanya selepas pelantikan baru dibuat, kesemua gaji tertunggak sejak Januari dibayar MSN – masalahnya kesemua jurulatih lain mendapat pembayaran masing-masing, kecuali Harun, apakah masalahnya? Ditanya kepada Zolkples, ini jawapan yang diberikan.

“Sepatutnya memang kita yang bayar, tapi kita tak pernah lantik, beliau hilang, kita tak sempat lanjut kontrak dia hilang, sebab tu yang lain takde masalah, kalau beliau menuruti arahan KOAM, lain dari keputusan yang kita capai, KOAM harus bertanggungjawab bayar gaji beliau, beliau sorang jer, yang lain kita bayar..”.

Katanya tidak pernah lantik, kemudian tidak laksanakan tanggungjawab? Kalau tidak dilantik, tak perlulah beliau laksanakan tanggungjawab, apa masalah? Masalah di sini, MSN bukan tidak pernah melantik, cuma Harun tidak sempat menandatangani pelantikan baru ekoran terjadinya insiden yang mana atlet di bawah bimbingannya lari dari menjalani ujian anti-doping, menyebabkan Harun menghilangkan diri seketika selepas insiden itu.

‘Kehilangan’ Harun itulah, ditambah pula pergeseran dengan KOAM, dijadikan alasan oleh MSN untuk tidak menawarkan kontrak baru, tanpa memberikan beliau sebarang notis, surat amaran atau surat tunjuk sebab. 

MSN sebagai majikan memang berhak mengambil tindakan ke atas Harun, namun menyekat gaji beliau sejak dari January, sedangkan pelantikan dibuat Mei, manakala insiden pula berlaku penghujung Mei tidak wajar dijadikan alasan untuk mengatakan Harun tidak melaksanakan tanggungjawabnya dengan baik. 

Adakah MSN mempergunakan beliau untuk memberikan khidmat percuma, atau sumbangan beliau untuk 5 bulan pertama sekadar khidmat SUKARELA?  

Dalam satu mesyuarat KOAM-MSN minggu lalu, dikhabarkan isu tunggakan gaji ini telah diutarakan dan tidak pula wujud perdebatan bahawa Harun tidak dilantik sebagai jurulatih ketika itu, jadi kenapa sekarang mahu menafikan?

Malah, kenyataan Zolkples bahawa Harun tidak pernah melatih 3 atlet yang disebut beliau iaitu Siti Fatimah, Siti Zubaidah dan Yee Ee Ling juga tidak munasabah, apatah lagi kesemua 3 mereka, termasuk 3 atlet lain – Norjannah Hafiszah, Nurul Sarah dan Imran Hadi berlatih di bawah bimbingan Harun sejak tahun lalu, termasuk ketika di Ranau sebelum mereka berpecah ekoran insiden lari daripada ujian anti-doping.

Malah, kuartet 4x100meter kendalian Harun jugalah yang memecahkan rekod kebangsaan milik gandingan Mumtaz Jaafar, Anita Ali, Sajaratuldur Hamzah dan G.Shanti (baca sini, dan sini 2010), dan ini pula artikel yang membuktikan Harun pernah melatih kesemua atlet itu tahun ini (2011, baca sini).

Apa sekalipun, MSN dan KOAM memang tidak ada peluang untuk berbaik-baik pada generasi ini, mungkin perlu tunggu 7 generasi akan datang, namun janganlah kerana ego dan pergeseran anda, kita kehilangan atlet dan jurulatih berkualiti.

Kita harapkan MSN akan bersikap professional dengan mengadakan pertemuan 4 mata bersama Harun, dan membayar tunggakan gaji sepertimana dituntut Harun, usahlah kita menafikan hak beliau.

4 comments:

Anonymous said...

wow menarik. syabas en.aiman, wartawan seperti andalah yg kita perlukn. haritu anda kritik KOAM, hari ni MSN, ini bermakna anda telus, dan tidak bias (berat sebelah). mmg betul, siapapun dia, kalau salah tetap salah, dan media bertanggungjawab mendedahkannya. melihat penjelasan anda, saya nampak situasinya. malangnya MSN tidak akan beralah dan sentiasa mahu mengatakan mereka di pihak yg benar. benar kata anda, 7 generasi akan datang pun belum tntu berbaik dua badan ini, kita harapkan masng-masing prfoesional, usah korbankan masa depan atlet.

tq. dah lama follow, baru harini trdetik nak komen, syabas bro.

Dunia Baru said...

panjang lebar p'jelasan demo...sebelum ni kabur jek citer ni....now br jelas.....

betul tu, kena temu 4 mata..baru semua leh luahkan....setakat org2 besar bercakap kt media / sidang akhbar, org bawah(juruLetih + atlet) yg naya nye...sbb org2 besar ni, mcm biasa..pandai putar belit...tu normal kt mana2 pun...

harap ada Kuasa2 yg dpt tangani isu ni...

Anonymous said...

yes..aku stuju dgn komen ini..baru lepas tgk brita tv3... muke si zolpless the hopeless mmg cuak gile..."macam tgh pikir, ape aku nak kencing dorang ni...aku dah la hopeless"... kot yer pon tidak dilantik kenape msn diamkan diri selame 7 bulan...tak tau ke jurulatih dah berkorban duit sendri utk pergi ke kompleks bkt jalil utk melatih anak2 buah setiap hari..even di bulgaria mesti jurulatih menggunakan duit sendri utk membiayai diri disana..x payah la nak pentingkan diri sendri...nak lepas smue kes...rase diri perfect giler...x salah kalau kite mengaku salah ...org macam zolpless d hopeless ni kene turun...hancur trus masa depan olahraga malaysia dgn org2 macam ni... die ingat jurulatih & atlit2 ni kaki belit macam die..org nak hak die balik..tu je...

pecinta olahraga

Anonymous said...

...kalau MSN dan KOAM terus bersikap begini,sampai bila2 pon sukan di Malaysia tak akan maju.,Lu orang pikirlah sendiri... NO COMMENT.