Monday, October 22, 2012

Tiada lagi magis Hai-O

Kapten Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Hairuddin Omar terpaksa menelan hakikat betapa pentas final Piala Malaysia 2012 bukan miliknya.
Sejak lima musim lalu, nama Hairuddin Omar atau Hai-O sering meniti di bibir peminat sukan tanah air kerana tuahnya pada setiap final Piala Malaysia, apabila dia sentiasa memainkan peranan penting kepada faktor kemenangan pasukan yang diwakilinya.
360images
Dia melakar sejarah peribadi pada final kali ini apabila muncul sebagai pemain tempatan pertama beraksi sebanyak lima kali di pentas akhir selepas terdahulu tampil bersama tiga pasukan berbeza iaitu Terengganu (2001), Negeri Sembilan (2009 & 2011) dan Kelantan (2010) malah muncul juara dalam setiap penampilan final tersebut.
Justeru, tidak hairanlah untuk melihat kapten ATM itu kecewa dengan kekalahan pasukannya apatah lagi rakan-rakannya telah menunjukkan semangat melawan cukup tinggi, dan berpendapat kealpaan benteng pertahanan ATM sebagai punca harapan ATM menjulang Piala Malaysia buat pertama kali musnah.
"Apa yang saya dapat katakan, saya jelas kecewa dengan kekalahan ini. Ini pertama kali saya gagal dalam perlawanan akhir Piala Malaysia. Kealpaan benteng dan kehilangan fokus membuka ruang kepada Kelantan untuk menjaringkan gol dan saya ucapkan tahniah kepada Kelantan.
"Namun saya bersyukur kerana ATM layak ke final, saya tahu semua penyokong hampa. Tetapi untuk sebuah pasukan underdog seperti ATM dengan rata-rata pemain baru, skuad yang baru dibentuk tahun ini mara ke final adalah pencapaian yang cukup hebat. Kepada para penyokong yang tidak henti-henti memberi sokongan, saya harap mereka tabah dan teruskan menyokong pasukan ini.”
Ketika ditanya mengenai perancangannya selepas ini apabila hanya menandatangani kontrak semusim bersama skuad kendalian B. Sathianathan, Hairuddin berkata dia mahu berehat seketika sebelum membuat keputusan.
“Saya akan mengadakan perbincangan dengan ATM selepas ini, memang mereka mahu menawarkan kontrak baru tapi saya mahu meneliti dulu kontrak itu. Memang ada beberapa pasukan lain yang berminat untuk mendapatkan khidmat saya, semua ini akan saya fikirkan selepas ini,” katanya yang enggan mendedahkan nama pasukan terbabit.

No comments: